Ada Hikmahnya Bernikah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kisah ini adalah kisah benar berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri. Ianya merupakan kisah insan terdekat dalam hidup saya, iaitu saudara kandung saya sendiri. Saya ingin berkongsi kisah ini untuk warga pembaca di luar sana mengambil iktibar dan manfaat daripada apa yang disampaikan. Terima kasih saya dahulukan kepada Saudara/Saudari Admin IIUMC kerana sudi membaca coretan ini. Seandainya coretan ini berjaya menjadi bahan bacaan Tuan/Puan/Saudara/Saudari pembaca, ini bermakna pihak Admin merasakan ada sesuatu yang perlu digali oleh para pembaca budiman juga.

Saya mempunyai beberapa orang beradik dan kebanyakan mereka telah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangan masing-masing. Ada yang telah dikurniakan cahaya mata dan ada yang belum. Apa yang ingin saya kongsikan ini adalah sesuatu yang saya boleh katakana sebagai hikmah di sebalik sebuah pernikahan yang dijanjikan.

1. LEBIH DEKAT KEPADA TUHAN
Ini adalah perubahan ketara dan point paling utama yang ingin saya nyatakan. Sejak adik-beradik saya berkahwin, saya perasan bahawa kesemua mereka selalu solat di awal waktu. Ada juga yang lebih kerap membaca al-Quran, hingga ada yang membacanya bersama pasangan. Selain itu, ada sesuatu yang saya suka juga. Sejak mendirikan rumah tangga, kakak saya mula mengenakan tudung bilamana ada abang ipar di rumah. Jika sebelum ini, kakak tidak mengenakan tudung meskipun ada abang ipar bersama-sama kami. Saya cuba menasihatkan tetapi sepertinya belum berjaya. Sebagai seorang adik, amat sukar untuk menasihati kakak sendiri. Kerana saya menyayanginya, saya hanya mampu mendoakannya dalam diam hingga kadang-kadang mengalir jua air mata ini.

2. MURAH REZEKI
Yang ni banyak untuk diceritakan. Saya pilih satu je dulu. Contohnya kakak ipar, pada mulanya dia tak bekerja. Pada awal perkahwinan juga masih menjadi surirumah sepenuh masa. Tidak berapa lama kemudian, akhirnya dia mendapat kerja dalam bidangnya sendiri. Rezeki orang masing-masing. Rezeki tak pernah salah alamat. Asbab kepada rezeki seseorang juga banyak dan berbeza-beza. Namun kita selalu diberitahu bahawa perkahwinan itu membuka pintu rezeki. Kita kena percaya walaupun kita tidak faham pada mulanya.

3. MELATIH SABAR DALAM DIRI
Memandangkan perkahwinan itu melibatkan dua insan dan dua keluarga yang masing-masing mempunyai peribadi berbeza dan unik, maka sabra itu sangatlah perlu. Salah seorang kakak saya jenis yang suka kritik atau membebel. Apa-apa saja yang dilihatnya pasti ada saja yang tak kena pada pandangan dia. Kadang-kadang apa yang dikatakannya tu betul je. Cuma mendengar kepada apa yang disampaikannya dengan cara penyampaiannya tu, boleh jadi stress, bosan, geram dan menyampah juga jadinya. Di sinilah kesabaran itu diperlukan terutamanya abang ipar. Alhamdulillah Allah itu Maha Bijaksana. Dia mentakdirkan seorang insan yang sangat sabar dan tenang untuk menjadi pasangan kakak. Perbezaan inilah yang menjadikan hubungan mereka kuat dan berkekalan hingga hari ini. Rasanya kalau pasangan tak sabar, entah apa la jadi dalam rumah tangga tersebut. Hebat kan Allah…

4. LEBIH MATANG DAN BERDIKARI
Pernikahan itu satu amanah yang besar dan ia dating bersama tanggungjawab. Dugaan-dugaan yang hadir dalam rumah tangga menjadikan seseorang lebih matang dan berdikari. Bukan sahaja dalam keluarga saya malahan sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga, pasti masing-masing akan menghadapi ujian tertentu. Setelah berkahwin, seseorang akan tinggal bersama pasangannya dan perlu menghadapi setiap hal sendirian. Jika sebelum berkahwin, boleh mengarah itu ini kepada adik-beradik lain tetapi bila dah kahwin, semua kena buat sendiri. Adik-beradik yang sebelum ni kita bermain bergurau senda bersama, lama-kelamaan mereka semua dah jadi lain. Cara berfikir mereka juga dah mula berbeza. Itulah hikmahnya sesebuah pernikahan.

5. MENJADI LEBIH BAIK DARIPADA SEBELUMNYA
Saya mempunyai kakak yang sangat garang. Dalam keluarga, dialah juara. Namun sejak jatuh cinta dan berkahwin, garangnya mula reda. Lebih mudah terlihat senyumnya. Kakak jenis yang suka membuat halnya sendiri dan tak boleh disuruh. Jika bab memasak, memang tak pernah kami merasa masakannya. Walaupun mak selalu menyatakan hajat untuk merasa air tangannya, tapi last-last mak juga yang kena masak. Bukan apa, dia kata dia tak pandai masak dan dia tak suka juga dikomen sekiranya masakannya tak sedap. Itu je. Tapi sejak dia merancang untuk berkahwin, alhamdulillah dia dah mula berjinak-jinak dengan dapur. Saya sendiri pun pernah merasa hasil masakannya. Sedap jer.

Manakala kisah abang pula, dia jenis yang sangat gilakan kereta. Bila dah ada kereta, habis benda berkait kereta dia akan modify hinggakan kadang-kadang keadaan kereta tu dah tak macam kereta normal. Macam kereta lumba pun ada. Dari jauh pun dah boleh tahu tu kereta dia, walaupun belum kelihatan. Tapi sejak berkahwin dan sejak mempunyai cahaya mata, saya perasan bahawa abang dah mula kurang memberi perhatian berlebihan terhadap kereta. Dia dah mula memberi perhatian terhadap komitmennya kepada keluarga. Duit pun tak banyak yang habis untuk kereta berbanding dulu. Malah ada juga sedikit sebanyak yang dia berikan kepada keluarga dan bantu adik-beradik yang lain.

Banyak lagi hikmah bagi sesebuah pernikahan sebenarnya. Ini Cuma sebahagian yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Mungkin anda juga ada kisah sendiri yang unik dan istimewa. Tidak semua pernikahan itu menyakitkan dan tidak semua juga membahagiakan. Tapi kita cuba sedaya upaya untuk menghalalkan sesebuah perhubungan mengikut jalan yang sepatutnya. Sebelum nikah, buat apa yang sepatutnya dan persiapkan diri sebaiknya. Inshaa Allah kelak kita akan merasai nikmatnya sebuah pernikahan dan melihat hikmahnya yang tersimpan.

Buat semua yang telah selamat mendirikan rumah tangga di luar sana, tahniah. Mudah-mudahan itulah pasangan yang ditentukan Allah untuk diri. Peliharalah ikatan itu sebaiknya. Belajarlah untuk melihat kebaikan dan keindahan dalam setiap sesuatu yang terjadi dalam hidup. Hargailah diri sendiri dan pasangan masing-masing.

Manakala bagi yang belum menamatkan zaman bujang, usah bersedih. Mungkin ini adalah masa tambahan yang Tuhan sedang berikan untuk diri melakukan persiapan agar dapat menjadi yang terbaik buat pasangan yang bakal hadir kelak. Atau boleh jadi, bakal pasangan anda sedang mempersiapkan dirinya untuk anda. Doakanlah jodoh anda walau di mana saja dirinya berada, meskipun anda belum pasti siapa dirinya. Doakan yang terbaik.

Buat semua, selamat maju jaya dalam bahtera rumah tangga dan dalam hidup dunia dan akhirat. Hidup ini indah andai kita tahu menikmatinya.

Wallahua’lam.

Sekian, wassalam.

– MJ

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit