Aku, Dia, dan HIV

Aku, Dia, dan HIV

Aku, Dia, dan HIV

Assalammualaikum admin & pembaca IIUM. Pertama kali saya nak ucapkan terima kasih kepada admin jika confession saya ni disiarkan. Sejujurnya saya harap sangat-sangat admin siarkan kisah saya ini.

Sekarang ni di IIUM Confession kerap disiarkan dengan kisah yang berkisar tentang alam perkahwinan dan persediaan kahwin. Macam-macam jenis cerita ada, terutamanya bab hantaran, dugaan bertunang, dugaan berkahwin, perceraian, dan sebagainya.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi cerita daripada kehidupan saya, dan saya harap daripada kisah saya ini pembaca dapat kongsikan pandangan dengan saya. Sesungguhnya, kisah saya ni masih membelenggu kehidupan saya yang membuatkan saya masih buntu dan keliru dengan situasi & permasalahan ini.

Oh terlupa. Saya perkenalkan diri saya sebagai Wina, berusia 28 tahun dan bekerja di sektor perindustrian. Kisah saya mungkin agak panjang, dan saya mulakan dari awal supaya pembaca dapat memahami kronologinya.

Seperti gadis lain seusia saya, saya juga ingin mempunyai pasangan, mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat dan keluarga sendiri. Apatah lagi pada tahap umur saya ni, kebanyakan kawan-kawan dah berkeluarga, dan soalan “bila nak kahwin” tu dah lali sangat di telinga saya. Boleh dikatakan, soalan tu menjadi soalan utama yang ditanyakan bila berjumpa dengan kawan-kawan atau saudara mara. Lebih lagi bila ada yang berkata, usia saya ni seharusnya sudah mempunyai 2 atau 3 orang anak, dan potensi tidak mempunyai anak tinggi jika berkahwin lewat usia.

Saya tidak merasa tertekan, sebab saya tahu belum masanya lagi untuk saya melalui fasa itu walaupun sesekali terdetik dalam hati saya untuk membenarkan apa yang mereka katakan itu. Mungkin mereka ambil berat, maka nasihat itu diberikan, dan saya ambil itu sebagai sesuatu yang positif.

Saya bukanlah gadis yang gemar berpoya-poya dengan sebarangan lelaki dan sejujurnya saya sukar membuka hati saya untuk menerima lelaki dalam hidup saya. Saya ada kawan-kawan lelaki dalam circle saya, tetapi hanyalah sekadar berkawan.

Kehidupan saya berjalan seperti biasa, sehinggalah saya bertemu dengan seorang lelaki, saya namakan dia sebagai Iz. Kami diperkenalkan oleh kawan saya, yang mana Iz ini rakan sekerja kepada suami kawan saya. Kami pertama kali berjumpa pada bulan puasa tahun 2015, tetapi pada waktu itu, perhubungan kami hanya sebagai kawan biasa dan tidak melibatkan perasaan.

Beberapa bulan selepas itu, kami sekali lagi berjumpa dan pada waktu itu dia memujuk untuk membawa saya berjumpa dengan keluarganya. Dia jugak minta saya tidur di rumah keluarganya namun saya menolak kerana merasakan tidak manis apatah lagi kami masih berstatus kenalan. Baru sekali berjumpa, untuk apa mahu bawa saya berjumpa keluarga dan tidur di rumah keluarganya?

Namun, dia tetap bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan saya kepada keluarganya. Akhirnya saya menerima pelawaan dia namun bersyarat, saya tidak akan tidur di rumah keluarganya dan hanya berjumpa keluarganya sahaja. Dia bersetuju dengan syarat saya dan pertemuan saya dengan keluarganya berlangsung secara biasa.

Selepas itu, kami ada bertemu beberapa kali namun beramai-ramai dengan kawan-kawan lain. Sehinggalah pada bulan puasa tahun 2016, dia meluahkan perasaannya kepada saya. Dia melamar saya untuk dijadikan pasangannya dan menyatakan yang dia mahu serius dengan saya.

Saya beritahu Iz, pada masa itu, saya tidak mempunyai perasaan sayang kepada dia. Tetapi jika dia serius dengan lamarannya, saya akan cuba untuk belajar menerima dan menyayangi dia sebagai pasangan. Iz bersetuju dan dia menyatakan dia bersungguh-sungguh inginkan saya sebagai pasangannya dan dia juga mengajak saya bertunang.

Tak lama kemudian, Iz masuk merisik saya dan pada hari raya yang lepas (Jun 2017), keluarga saya menerima pinangan daripada Iz dan keluarganya. Alhamdulillah, mungkin Tuhan dengar isi hati saya dan mungkin Dia telah izinkan untuk saya membina keluarga sendiri.

Kami merancang untuk bertunang beberapa bulan sahaja dan bernikah pada bulan Oktober 2017. Iz juga bersetuju memberikan wang hantaran sebanyak RM9 ribu untuk saya. Saya & keluarga tidak menetapkan jumlah hantaran, Iz yang sukarela ingin memberikan hantaran sebanyak itu, dan kami menerimanya dengan hati terbuka.

Dalam tempoh beberapa bulan ini, kami mengenali hati budi dan peribadi masing-masing dan sedikit demi sedikit, perasaan sayang mula berputik. Memang pada awalnya saya tiada perasaan dengan Iz, tetapi selepas bertunang dan semakin menghampiri majlis, perasaan sayang semakin berkembang. Ya, saya dah mula sayangkan Iz.

Selepas bertunang, kami mula melakukan persiapan perkahwinan memandangkan hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum majlis. Kami menghadiri kursus perkahwinan, melakukan proses dokumentasi dan menjalani ujian saringan HIV. Kami juga mula membeli barang-barang untuk majlis, menempah katering, andaman, pelamin, fotografi, dan sebagainya.

Duit hantaran sebanyak RM9 ribu telah dia serahkan kepada saya selepas kami bertunang. Mengikut kebiasaan di negeri saya, duit hantaran diberikan sebelum majlis perkahwinan sebab duit itulah yang digunakan oleh pengantin perempuan untuk persiapan majlis. Jadi, saya gunakan duit itu untuk bayaran deposit bridal, katering, membeli doorgift, hantaran, dan kad kahwin bagi majlis di pihak saya.

RM9 ribu tidaklah banyak mana untuk majlis kahwin, dan saya sendiri ada gunakan duit simpanan saya sebagai tambahan kos majlis kami. (Harap tiada yang kecam dengan mengatakan kenapa tidak buat yang wajib sahaja. Majlis perkahwinan melibatkan keluarga, bukan mudah untuk kita ikut kehendak kita yang mahu kesederhanaan semata-mata).

Orang kata, semasa bertunang ni akan ada dugaannya. Dan tidak saya duga, dugaan pertunangan kami bukanlah yang biasa-biasa.

Persiapan perkahwinan tiada masalah. Dokumentasi juga elok sahaja semua. Tiada dugaan orang ketiga mahupun cemburu buta.

Tetapi, satu syarat perkahwinan yang perlu dijalani oleh pasangan yang ingin berkahwin, di sini, salah seorang daripada kami “gagal”.

Ya. Hasil ujian saringan HIV yang dijalani, menunjukkan keputusan yang reaktif – positif HIV.

Saya kecewa, selepas mendapat tahu yang HIV positif itu dikesan pada Iz, bakal suami saya. Terduduk saya. HIV positif. Benda yang paling ditakuti sekali. Saya dah terbayangkan majlis yang semakin dekat, persiapan perkahwinan yang 85% siap dan hanya tinggal diedarkan kad sahaja.

Sumpah, saya sedih dan kecewa. Dia – orang yang mula saya sayang, orang yang bersungguh inginkan saya menjadi pasangan hidup dia, orang yang saya impikan sebagai suami dan bapa kepada anak-anak saya.

Sejurus dimaklumkan mengenai keputusan saringan ini, mengikut prosedur jika keputusan HIV menunjukkan reaksi positif, doktor akan melakukan sesi kaunseling kepada pasangan untuk menerangkan secara lebih jelas mengenai HIV. Semasa sesi pertama, saya dan Iz dipanggil masuk berasingan. Saya terlebih dahulu dipanggil seorang diri berjumpa dengan doktor. Doktor maklumkan kepada saya yang pasangan saya mempunyai HIV, dan kemudian menerangkan mengenai teknologi yang semakin canggih dalam mencegah jangkitan dan sebagainya. Doktor juga ceritakan kepada saya mengenai cara dan proses “bersama” serta kehamilan bagi pasangan HIV.

Nasihat yang positif saya terima daripada doktor semasa sesi kaunseling itu dan doktor juga beri saya tempoh masa 2 minggu untuk memutuskan sama ada ingin meneruskan perkahwinan dengan Iz ataupun tidak, sebelum dia mengeluarkan surat hitam putih bagi tujuan pengesahan.

Selepas itu, doktor memanggil semua orang untuk masuk ke sesi kaunseling itu. Waktu itu Iz, ibu Iz, ayah Iz, dan kakak Iz juga ada sekali dan doktor ceritakan perkara yang sama kepada mereka. Mungkin doktor panggil saya seorang terlebih dahulu sebelum itu supaya saya lebih faham dan bersedia.
Selepas berjumpa doktor, ibu dan kakak Iz datang berjumpa saya untuk berbincang dan daripada apa yang diberitahu doktor, mereka beritahu saya yang Iz ada masa beberapa bulan untuk sembuh daripada penyakit HIV nya. Mereka bertanya kepada saya sama ada saya masih menerima Iz.

Mereka juga beritahu saya yang jika kami meneruskan perkahwinan, dalam tempoh beberapa bulan proses penyembuhan Iz, kami hanya perlu duduk berasingan dan “jangan buat apa-apa”, well you know what it means. Secara asasnya, mereka mahu kami teruskan perkahwinan. Selain tu, mereka minta saya rahsiakan perkara ini daripada keluarga saya, terutamanya ibu bapa saya bagi menjaga aib Iz. Ibu dia sebolehnya tidak mahu sesiapa pun tahu mengenai kes HIV Iz ini.

Setelah mempertimbangkan, saya bersetuju untuk meneruskan majlis kerana saya memikirkan logiknya apa yang dimaklumkan doktor dan ibu Iz.

Selepas 2 minggu, saya dan Iz berjumpa sekali lagi dengan doktor tersebut semasa sesi kedua kaunseling, untuk memberikan keputusan saya. Saya beritahu doktor, saya mahu meneruskan perkahwinan. Dan waktu itulah doktor berterus-terang situasi sebenar.

Paras CD4 Iz pada waktu ini hanyalah paras atas pagar. Bila-bila masa boleh jatuh dan memburukkan lagi keadaannya. Senang cerita, tak ada harapan lagi dah.

Sebagai makluman, CD4 ini sel penting yang bertugas menjaga kekebalan badan manusia. Dalam badan kita, ada berjuta sel ini. Tetapi di dalam badan Iz, sel ini semakin berkurang dan pada waktu itu hanya tinggal 250 sahaja, tidak cukup untuk melawan bakteria dalam badan. Patutlah Iz kerap tidak sihat dan ambil masa lama untuk sembuh.

Berbalik pada cerita, pada waktu ini saya mula hilang semangat. Saya terkejut. Saya tahu harapan untuk Iz sembuh daripada HIV itu hampir tiada. Saya mempersoalkan doktor, mengapa doktor tidak maklumkan lebih awal mengenai status CD4 Iz dan hanya maklumkan sekarang. Sedangkan 2 minggu lepas, doktor nyatakan maklumat yang positif.

Ya, pada awalnya doktor mengatakan Iz boleh sembuh (atau apa istilah yang selayaknya). Dengan pengambilan ubat secara berterusan dan teratur selama 6 bulan, HIV itu boleh pulih (errr atau ada istilah lain yang wajar digunakan). Disebabkan itulah ibu Iz juga yakin dan membuatkan saya juga yakin untuk meneruskan perkahwinan itu.

Doktor kemudiannya maklumkan, dia menghantar sampel darah Iz ke hospital utama negeri kami dan di Hospital Kuala Lumpur kerana di hospital dia bertugas tiada kelengkapan untuk detect status CD4 itu lebih awal. Dan hasil daripada kedua-dua buah hospital itu, barulah status sebenar diperolehi dan keputusan kedua-dua buah hospital juga sama.

Selepas doktor maklumkan situasi sebenar, saya mohon untuk berjumpa dengan doktor secara personal dan saya minta Iz keluar dari bilik tu. Waktu itulah saya menangis bersungguh-sungguh, melalak saya di hadapan doktor. Itulah kali pertama saya menangis sejak saya dapat tahu mengenai hal ini. Selama tempoh ini, saya simpan seorang diri, saya tidak beritahu sesiapa, setiap keputusan dan tindakan, saya bertanggungjawab sendiri. Keluarga saya pun tidak tahu sebab saya dah berjanji dengan ibu Iz. Tapi, rupanya jadi begini.

Doktor nasihat saya semula supaya lebih baik saya tidak meneruskan perkahwinan kami dan memberitahu keluarga saya mengenai hal ini.

Selepas sesi kaunseling kedua dan selepas saya berjumpa doktor secara personal, kami pulang. Sepanjang perjalanan, saya senyap sahaja dan tak bercakap langsung dengan Iz. Kepala saya ligat berfikir mengenai apa yang doktor cakap pada saya.

Sampai di rumah, saya terus menangis. Saya langsung tak boleh simpan semuanya lagi. Selepas solat maghrib, saya telefon ibu saya sambil menangis. Saya kemas barang saya dan terus balik ke kampung saya, balik ke rumah ibu bapa saya. Jam 10 malam saya tiba di rumah ibu bapa saya, terus saya ceritakan kepada mereka sambil menangis. Saya luahkan semuanya.

Saya sedih, sebab semasa sesi kaunseling kedua baru saya tahu keadaan Iz sudah teruk. Kalau lah saya tahu lebih awal, saya tak akan teruskan. Saya kesal.

Punca Iz mendapat HIV? Saya tidak tahu. Puas saya tanya dia, tapi dia tidak mahu menjawab. Kecewanya saya, berganda-ganda. Saya rasa tertipu.

Saya ambil keputusan untuk memutuskan pertunangan. Hati saya sakit, marah, sedih, dan semua perasaan bercampur baur. Walaupun saya sayangkan dia, tetapi, saya masih rasional untuk memikirkan masa hadapan saya dan bakal anak-anak saya. Saya tidak sanggup mempertaruhkan nyawa saya. Saya tidak sanggup membenarkan kuman membunuh itu memasuki tubuh saya dan menghancurkan diri saya perlahan-lahan.

Saya sayangkan dia, tapi saya juga sayangkan diri saya, dan keluarga saya. Orang kata, kalau dah sayang, sanggup buat apa sahaja. Orang kata, kalau dah sayang sanggup pertaruh jiwa raga mahupun nyawa. Orang kata, saya pentingkan diri sendiri semata-mata.

Itu orang kata. Kalau mereka di tempat saya, apa mereka akan lakukan? Teruskan perkahwinan, lakukan perhubungan suami isteri, dan tak kisah biarpun diri sendiri dan anak-anak berisiko tinggi dijangkiti virus HIV yang disebarkan oleh si suami? Teruskan perkahwinan, namun jalani kehidupan seperti pasangan yang belum halal, tak kisah jika tiada zuriat asalkan berkahwin?

Akhirnya, pertunangan kami putus, hanya sebulan sebelum majlis kami berlangsung. Sepatutnya, bulan ini kami berkahwin, tapi, jodoh kami tak panjang. Saya redha.

Kami bersetuju berpisah dan putus secara baik. Semuanya berjalan seperti biasa. Saya masih kecewa dan terluka. Bayangkan, impian berumahtangga dan bahagia dengan keluarga, hancur sekelip mata. Siapa tak sedih kan? Puas dah saya menangis bila terfikirkan semua ini.

But, life must go on. Saya memang tidak menceritakan hal ini kepada sesiapa pun kecuali keluarga saya.
Persiapan kahwin? Semuanya dibatalkan serta merta. Mujur sahaja kad belum diedarkan. Rugi duit? Memang rugi. Tapi, apa lagi yang boleh saya buat?

Sehinggalah baru-baru ini, Iz dan keluarganya kembali menghantui hidup saya. Mereka menuntut supaya saya memulangkan semula semua duit hantaran yang telah diberikan kepada saya. Mereka mahukan semula duit RM9 ribu yang telah Iz serahkan kepada saya sebagai duit hantaran yang telah saya gunakan untuk persiapan perkahwinan.

Allah, sekali lagi saya rasa diuji. Sudahlah diduga dengan pasangan berpenyakit bahaya, tidak jadi berkahwin, dan sekarang diuji pula dengan tuntutan semula duit hantaran sebagai gantirugi.

Saya maklumkan secara baik kepada mereka, duit itu telah saya gunakan sebagai bayaran beberapa persiapan perkhawinan yang tak jadi itu. Iz sendiri tahu ke mana duit itu dibelanjakan. Bukan mereka sahaja yang rugi, saya juga rugi kerana duit saya juga ada digunakan. Tetapi mereka bertegas mereka tetap mahukan duit itu semula, atas alasan yang perkahwinan tidak dilangsungkan dan mereka berhak ke atas duit itu. Hinggakan ibu Iz mengugut, dia tidak akan menghalalkan satu sen pun duit itu jika saya tidak membayarnya semula.

Saya keliru. Saya takut bila ibu Iz katakan mengenai duit itu diharamkan. Tapi, bagaimana saya nak bayar semula kepada mereka, saya tiada duit sebanyak itu. Duit yang diberi sudah habis, jika ada pasti saya dah pulangkan semula.

Saya buntu. Saya minta pandangan kawan baik saya. Pada awalnya, mereka juga tidak tahu punca saya putus tunang dan tak jadi berkahwin. Tetapi, apabila keadaan mendesak sebegini, saya ceritakan juga kepada mereka situasi sebenar untuk dapatkan pandangan mereka. Semestinya mereka memihak kepada saya. Tetapi, apa lagi yang boleh dibuat? Hanya sokongan dapat mereka berikan kepada saya.
Mereka juga marah apabila saya berlembut hati kepada Iz terutamanya adabila merahsiakan hal sebenar demi menjaga aib Iz. Sedangkan, Iz langsung tidak ambil peduli dan tak mahu tahu langsung susah senang saya. Sejak kami putus dan berhubung semula untuk tuntutan wang, Iz memang tidak kisah apa. Dia hanya ikut cakap dan keputusan ibunya yang mahukan saya memulangkan semula duit itu. Mereka kata saya banyak berdalih dan mereka tak mahu ambil tahu tentang perkara lain. Iz menyerahkan bulat-bulat hal tuntutan ini kepada ibu dan keluarganya.

Saya akui, Iz ini anak mak. Saya tiada masalah tentang itu, tetapi apabila Iz enggan menyatakan keadaan sebenar (sekurang-kurangnya berterus terang ke mana duit dah dibelanjakan) dan membiarkan sahaja saya diserang ibu dan keluarganya, saya rasa marah dan sedih. Selama ini, saya berdiam diri sahaja walaupun saya dan keluarga saya diperkatakan macam-macam terutamanya sejak pembatalan perkahwinan. Tetapi kali ini, saya jadi marah. Jujur, perasaan sayang tiada lagi. Hanya perasaan marah, meluat, dan menyampah sahaja yang saya rasa terhadap Iz.

Kawan baik saya berpendapat, saya tidak perlu membayar semula kepada Iz kerana puncanya daripada pihak lelaki, walaupun saya yang memutuskan pertunangan itu.

Kawan baik saya juga mendapatkan pandangan secara undang-undang daripada kawannya yang merupakan seorang peguam. Dan kawannya juga menyatakan, kes sebegini walaupun kelihatan “nonsense”, tetapi rumit dan sukar diputuskan kerana ia berlaku dalam keadaan kami tiada ikatan yang sah.

Jika dibawa ke mahkamah sekali pun, kedua-dua pihak boleh mainkan isu daripada pelbagai sudut. Saya boleh katakan yang duit itu diberikan secara sukarela dan hadiah atas persetujuan bersama sebab nak berkahwin. Iz pula boleh putar belit dengan mengatakan duit itu adalah advance perkahwinan dan disebabkan tidak jadi kahwin, dia berhak tuntut semula duit itu.

Potensi mahkamah minta saya pulangkan semula duit itu tinggi, sebab dikira tuntutan gantirugi. Malah, Iz mungkin boleh tuntut gantirugi yang lebih tinggi lagi. Cuma, jika dibawa ke mahkamah, ia akan berlarutan dan memakan kos tinggi.

Saya keliru sangat-sangat sekarang ini. Saya perlukan bantuan idea mengenai apa yang boleh saya buat sekarang ini. Apa yang boleh saya lakukan supaya saya dapat meyakinkan Iz dan keluarganya yang saya tidak perlu membayar wang itu. Apa yang perlu saya lakukan supaya keluarga Iz berhenti mengganggu saya dan keluarga saya secara emosi dan mental.

Bagi sesetengah orang, RM9 ribu mungkin tidak banyak. Tapi bagi saya, nilai itu sangat besar.
Mungkin ada salah saya daripada kisah ini. Tetapi sebagai manusia biasa, saya tak lari daripada kesilapan. Saya bukanlah mahu menghina mereka yang menghidap penyakit HIV. Ya, ada yang mendapat penyakit itu bukan daripada kesilapan mereka. Tetapi, apabila ianya berlaku kepada saya, saya betul-betul buntu dan saya rasakan inilah keputusan yang terbaik dapat saya lakukan.

Apa yang saya inginkan adalah kelangsungan hidup yang baik dan kebahagiaan. Apa yang saya impikan sebelum ini dengan Iz mungkin tak tercapai, tetapi saya yakin ada hikmahnya. Jika ada yang mengecam saya dan tindakan yang saya ambil, saya harap, anda tidak perlu melalui apa yang saya lalui. Sebab ianya sangat sukar dan sakit.

Semoga ada idea bernas yang dapat saya perolehi. Dan semoga saya dapat lalui saat sukar ini dengan baik. Terima kasih kerana anda sudi membaca.

– Wina

– Wina

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Comments

comments