Aku Mangsa Dera

Salam

Lately kita banyak dengar dan baca kes dera anak sampai mati. Aku sedih bila baca kisah dera ni semua, lagi menyayat hati apabila ianya menyebabkan kematian.

To be honest, aku pun salah seorang yang pernah didera fizikal dan emosi oleh kedua ibu bapa aku sejak aku kecil. Kadang-kadang silap aku kecil je, contoh tertumpahkan air atas lantai. Tapi terus ibu bapa aku belasah aku dengan tali pinggang, kadang-kadang kena sepak terajang sampai senak perut aku. Badan berbirat-birat tu biasa. Sampai sekarang, aku dah dewasa pun, tapi badan aku tetap banyak parut yang tertinggal kesan ‘deraan’ ibu bapa aku. Cuma aku dan adik beradik aku bertuah sebab kami tak mati. Kami bernasib baik sebab berjaya survive dengan deraan ibu bapa kami.

Bukan aku je yang ‘didera’, bahkan adik beradik aku yang lain pun sama. Takde yang terkecuali. Malah, sedara sedara aku pun sama. Masing-masing ada experience kena dera ni semua. Abang aku pernah kena pukul dengan bapa aku dalam bilik air sampai dia tergelincir dalam bilik air, nyaris nak maut, sebab kepala dia bleeding teruk. Kakak aku pernah kena lempar dengan kerusi sampai calar muka dia. Adik aku pernah berdarah badan di belakang sebab banyak sangat berbirat kena libasan tali pinggang. Aku pun pernah kena gigit dengan ibu aku sebab gaduh dengan adik, rambut kena tarik dengan ibu tu biasa dah. Banyak lagi nak cerita sebenarnya, tapi aku pun dah tak ingat sangat, sebab memori tu hampir separuh aku dah padam dari ingatan aku sebab ianya terlalu sakit untuk aku.

Yang lagi awesome ialah, bila kami adik beradik buat salah, sedara mara tolong galakkan ibu bapa dera kami. Contoh, abang aku main mainan sepupu dia pastu tanpa dia sengaja mainan tu rosak (aku rasa tu bukan salah abang aku sebab mainan tu memang nak rosak dah pun. Just timing je kebetulan terkena time dia main).

Soo apa lagi, mak cik aku pun report kat bapa aku. Dia suruh rotan abang aku. Bapa aku pun rotan dan marah la abang aku depan mak cik depan sedara kami semua. Lepas rotan dilibasnya pula tali pinggang. Aku setiap kali adik beradik aku kena ‘dera’, aku memang tak sanggup nak tengok sebab aku boleh rasa betapa sakit dan ngilunya setiap kali benda tu hinggap kat badan kami. Bila abang aku menjerit dan menangis je, bapa aku libas lagi kuat dan kuat, malah makcik aku pun cakap “hah padan muka.. kuat lagi kuat lagi.. biar dia rasa.. biar dia belajar jadi manusia”… Abang aku masa tu dah meronta-ronta siap cakap lagi “tolong ayah.. tolong.. maafkan abang.. abang tak sengaja.. tolong ayah.. abang sakit..”. Tapi ‘tolong’ abang aku tu sia-sia, semakin dia merayu, semakin laju libasan tali pinggang hinggap di tubuh dia.

Kenapa aku cakap kami ‘didera’? Sebab kesalahan kami terlalu kecil untuk dihukum, dan usia kami terlalu muda untuk dihukum. Bayangkan aku umur 5 tahun dah kena sepak terajang dan kepala dihantuk ke dinding hanya kerana terpecahkan pinggan kaca? Dan bayangkan lagi, bila adik aku umur 5 tahun masih tak reti membaca, diikat kat pokok di luar rumah sampai kelaparan dan penuh gigitan nyamuk di badan? Kau rasa ni satu didikan yang bagus ke?

Ramai yang cakap, “disebabkan didikan mak bapak yang macam tu lah, anak jadi berjaya.. jadi manusia sekarang”.

Kau silap, aku dan adik beradik aku berjaya sebab kami memang nak berjaya.. dan kami berjaya sebab kami mahu.. atas desire sendiri.. dan atas didikan guru-guru di sekolah, didikan pensyarah dan ustaz ustazah yang banyak bimbing kami di luar rumah..

Disebabkan ibu bapa aku yang selalu sangat ‘dera’ kami, hubungan kami dengan ibu bapa jadi tak rapat. Dah la fizikal selalu tercalar kerana dihukum gara-gara kesalahan yang kecil, kemudian kami juga sering dimalukan di hadapan jiran-jiran dan saudara mara yang lain. Mental kami koyak teruk. Aku pernah dapat nombor tercorot di sekolah, bukan sebab aku malas tapi aku lambat pick up. Terus balik rumah, buku latihan sekolah aku semua dikoyak, dan macam biasalah.. fizikal aku akan menerima libasan tali pinggang, muka aku dilemparkan dengan buku-buku dan aku diherdik dicaci maki. Menangis teruk aku masa tu, nasib baik cikgu sekolah faham situasi aku. Lalu dia tolong belikan buku baru untuk aku.

Kadang-kadang aku malu dengan kawan. Kawan-kawan selalu tegur “kenapa muka awak luka?” “Kenapa tangan awak lebam?” “Kenapa kaki awak ada parut?”. Mereka tak tahu derita kami. Aku terpaksa menipu “terjatuh longkang dan sebagainya”…

Kawan-kawan aku pun selalu cerita mak ayah diorang manjakan diorang, bawa jalan-jalan, peluk diorang, cakap yang baik-baik.. Tapi aku? Aku selalu menangis sebab aku rasa aku tak dilayan seperti anak kandung. Aku selalu cemburu lihat mak ayah kawan-kawan aku peluk diorang, ucap tahniah bila berjaya.

Istilah ‘bodoh’ tu dah lali untuk aku. Kadang kala aku terdetik dalam hati “Mak bapak nak anak pandai, bila dapat nombor terkebelakang, pandai pula marah, Tapi selalu cakap anak bodoh dan lembap. Sedangkan lidah mereka tu doa.”

Bila semakin besar, aku selalu belajar rajin-rajin sebab aku nak buktikan bahawa aku pandai. Adik beradik aku yang lain pun sama. Kami berusaha bersungguh-sungguh selama ni bukan sebab nak buktikan kepada orang luar, tapi kami cuma dah serik dicaci maki dengan ibu bapa sendiri.

Bila aku dapat tempat pertama dalam kelas, aku dambakan pelukan atau ucapan tahniah dari ibu bapa aku. Tapi lain yang aku dapat, cuma kata-kata sinis sahaja dari ibu bapa aku. ‘Dapat nombor satu pun tak guna, markah pun tak dapat 100% semua’. Kadang aku penat nak puaskan hati ibu bapa aku.

Dah masuk universiti pun sama, bila aku dekan, aku mengharapkan ucapan tahniah dari ibu bapa. Tapi tiada. Malah yang mereka tahu ialah herdik aku bila aku tak dekan. Ingatkan kami dah besar sikit tak lagi merasa rotan tu semua, tapi nampaknya itulah mainan kami dari kecil sampai sekarang.

Impak ‘deraan’ dari kecil sampailah ke besar tu sangatlah BESAR untuk kami. Mental kami koyak rabak, fizikal kami tak sesempurna orang lain, penuh parut kesan luka akibat deraan orang tua kami. Kami hilang zaman kanak-kanak kami. Kami semua membesar jadi pendiam. Kami tak dapat merasa kebebasan explore dunia luar, kami tak bebas bertanya kepada ibu bapa, sebab kalau tanya soalan simple pun kena maki. Akibatnya, kami sangat renggang dengan ibu bapa kami. Kami tak pernah share masalah dengan ibu bapa, tapi kami adik beradik hanya story sesama sendiri je (hikmah dia ukhuwah kami adik beradik jadi sangat rapat). Nak mengadu masalah kepada ibu bapa tu jauh sekali. Kalau balik rumah pun, kami krik krik. Nak cium tangan ibu bapa pun rasa kekok, berpeluk tu memang tak pernah. Rasa sangat tidak harmoni, rasa seperti berada di dunia yang asing. Orang selalu cakap, rumahku syurgaku. Tapi hakikatnya, rumahku adalah nerakaku.

Aku dapat rasakan gap yang wujud antara kami adik beradik dengan ibu bapa kami. Abang aku sampai sekarang masih bencikan ayah. Kakak pun sama. Aku? sama juga. Kadang2 aku rasa benci dengan ibu bapa aku. Susah untuk kami lupa kisah hitam kami. Tapi aku sedar, ibu bapa adalah permata berharga kami. Sekarang mereka dah tua, sikap mereka pun tak sebengis dulu lagi sebab sekarang mereka pula yang meminta2 tolong anak2. Mujur kami adik beradik ni baik. Kami belum sampai tahap derhaka, memang tak berani nak melawan cakap ibu bapa. Kami tetap balik bila ibu ayah mengadu sakit. Cuma, kami balik dengan takde perasaan. Tengok muka ibu ayah yang tua itu pun rasa takde belas ihsan. Rasa tawar. Tak tahu nak ekspresikan perasaan kami macam mana, sebab kami hanya sekadar laksanakan kewajipan anak sahaja sekarang.

Raya adalah momen paling tak best untuk kami. Di saat family lain sibuk bersalaman dengan ibu bapa, kami takde salam-salam tu semua. Semua diam krik krik dan main phone, duduk dalam bilik, ada yang keluar rumah jumpa kawan, ada yang memang tak balik raya. Sebab apa jadi macam ni? Sebab kami sendiri dah hilang rasa hormat dan respect dengan ibu bapa kami. Nak bertegur sapa ibu bapa kami tu memang momen yang paling awkward. Rasa fake semua tu. Kadang-kadang kakak pandai cover, dia buat-buat ramah sikit, tanya ayah nak makan apa. Ibu nak makan apa. so dia masakkan. Kami ? Hanya memerhati. Diam seribu bahasa. Nak berbasi basa tanya khabar pun rasa awkward

Dengan ibu pula, adik aku pun tak baik sangat dengan ibu. Boleh dikatakan masing2 masih ada mimpi ngeri dengan sikap ibu bapa kami. Sekarang dah dewasa, kami tak didera dah. Sebab masing2 dah duduk jauh dari ibu bapa., cuma igauan ngeri waktu kecil sedikit sebanyak beri kesan kepada emosi kami. Hasilnya, kami adik beradik jadi agak sensitif dan mudah mengalirkan air mata di dunia luar saat diuji, kerana kami tiada tempat meluahkan rasa sedih melainkan hanya sharing sesama adik beradik.

Wahai ibu bapa sekalian, cara mendidik anak yang betul ialah dengan memberi nasihat. Jika anak masih tak dengar cakap, terus nasihat anak tapi dengan cara baik. Jika anak masih degil juga, marah anak tapi jangan sentuh badannya, dan jika anak masih jugak degil, boleh rotan tapi rotan tangan sahaja sebagai hukuman . Bukannya sepak terajang anak sampai terpelanting.

Isu dera ni sebenarnya dah lama berlaku dalam masyarakat melayu. Bahkan, isu merotan anak dengan tali pinggang, paip getah, rotan dan seumpama dengannya telah menjadi tradisi untuk mendidik anak. Disebabkan aku pernah jadi mangsa deraan sebegini, aku sangat tidak bersetuju dengan konsep dera anak menggunakan teknik-teknik yang aku sebutkan tadi.

Tradisi melayu ini sangatlah bertentangan dengan ajaran Islam. Yang Islam ajar, rotan anak jika anak tak solat pada usia 7 tahun. Rotan yang dimaksudkan itu bukanlah rotan dengan rotan tebal sampai berbirat badan anak. Yang diajar ialah rotan untuk mendidik, bukan mendera, nak angkat rotan pun tak boleh angkat tangan tinggi.

Aku percaya dan yakin, masih ramai anak-anak lain yang merasa apa yang aku rasa, dan aku yakin masih ramai kanak-kanak yang berbirat tubuh badannya sekarang kerana dirotan ibu bapa. Cuma dia masih survive dan belum maut. Bila dah maut rasa nak terpampang di dada dada akhbar dan televisyen.

Tradisi mendera anak ini harus dihentikan. Orang melayu, kita perlu ubah cara didik anak. Islam ajar supaya kita didik anak dengan berhikmah, bukan mendera. Sebab tu lah anak-anak melayu ni kebanyakannya jadi renggang dengan bapa. Bapa dengan anak selalu tak ngam sebab ada history bapa ni pernah rotan dan sebagainya. Bapa pun jarang care dengan anak, sebab tu hubungan bapa-anak ni selalu complicated dalam kalangan masyarakat melayu.

Aku suka tengok rancangan realiti Korea “The Return of Superman”. Aku paling suka tengok Song Il Kook didik anak kembar tiganya, Song Daehan Song Minguk dan Song Manse.

Bagaimana Il Kook didik anaknya? Bila dia nak marah anak, dia akan pastikan dia bawa anak tersebut ke tempat yang tersembunyi untuk jaga aib anak tu. Ada dia maki maki anak dia? Takde. Cara didikan dia sangat jauh dari cara didikan ibu bapa melayu. Yang bagus pula ialah rancangan itu menekankan hubungan bapa & anak supaya bapa jadi lebih bonding dengan anak dan bapa turut mainkan peranan ibu. Kesannya, anak berjaya terima kasih sayang sama rata dari ibu bapa dan mereka berjaya dibentuk untuk jadi manusia yang baik dan berakhlak

Aku harap confession aku ni dapat buka mata kalian bahawa kes dera ni sebenarnya dah lama berlaku, dan dah jadi duri dalam daging pun dalam masyarakat kita, bahkan menjadi hidden tradition yang kita tak sedar.

Kalau kalian perasan, ibu bapa muda zaman sekarang sangat supportive dengan anak, sehingga guru sekolah sentuh sikit pun tak boleh. Tahu kenapa? Mungkin mereka belajar dari pengalaman. Sama juga dengan aku dan adik beradik aku. Cara kami adik beradik didik anak kami sangatlah 360 degree berbeza dengan cara kami dididik sewaktu kecil dulu. Kami jadi sangat lembut dengan anak-anak, tutur kata kami sangat kami jaga ketika berbicara depan anak-anak, sebab kita adalah role model untuk anak-anak. Mimpi ngeri kami dah menukarkan kami menjadi ibu bapa yang sangat penyayang.

Orang cakap, bila terlalu baik dengan anak, anak jadi degil dan manja. Salah tu. Anak anak kami Alhamdulillah semuanya membesar jadi baik, tak buat perangai. Alhamdulillah. Kita sebagai ibu bapa kena jadi kawan-kawan untuk anak, ada masa kena tegas (Bukan marah melulu), dan ada masa kita kena berlembut. Sentiasa berikan anak kasih sayang, berikan mereka pelukan dan ciuman dari kecil.

Apa yang kami adik beradik tak dapat sewaktu kecil, kami hadiahkan pada anak-anak kami. Didikan yang kami beri, adalah didikan yang kami mahu sewaktu kecil dulu. Tapi apakan daya.. dah tertulis takdir kami untuk dapat ibu bapa panas baran.. Nasi sudah jadi bubur. Masa berlalu pantas, ibu bapa kami pun sudah tua, kami juga meningkat usia. Hubungan dengan ibu bapa kami sangat susah dah nak dibetulkan. Ada antara kami adik beradik masih simpan dendam dan benci dengan orang tua kami. Memang, rasa sakit tu sangat sukar nak hilang. Biarlah masa saje yang menentukannya…

Doakan kami dapat berbakti untuk orang tua kami dan semoga kalian semua tidak melakukan apa yang ibu bapa kami pernah lakukan kepada kami dulu. Jadilah ibu bapa yang penyayang, kerana sikap anda akan memberi kesan kepada emosi mereka.

– mai

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit