Aku Sial?

Aku Sial?

Assalamualaikum. If tersiar, thanks a lot admins. Waktu aku taip confession ni, aku memandang, aku mendengar. Aku bergerak seperti biasanya. Tetapi, hari-hari aku, aku rasakan jerih yang amat. Penat yang teramat sangat. Penat sehingga aku mengharapkan pengakhiran. Sehingga aku bertimbang tara dengan bisikan iblis laknatullah supaya aku melakukan sesuatu. Sesuatu yang menjadi garis penentu samada aku beriman atau kafir. Seringkali aku mendapat idea sebegitu tetapi aku tepis juga setiap kali dengan iman yang masih berbaki. Untuk kesekian kalinya, aku kembali menekup wajah ke tanah, menangis dan meratap akan nasib diri. Berdoa semoga aku tidak melihat diri aku penuh dengan sisik-sisik sial sepertimana yang menghiasi mata-mata mereka dan kalian andai kata kalian mengenali diri ini.

Aku, anak sulung yang dibenci. Aku sedar, aku bukan pilihan hatinya. Aku tidak cerdik, tidak bijak berbicara dan tidak berwajah elok bak peragawan. Adikku, serba serbi sempurna dimata ibu. Namanya sentiasa dibibir. Seiring dengan tindak tandukku..pasti ada perbandingan. Aku tidak pernah yang lebih baik daripada adik. Aku sentiasa perlu berpuas hati menjadi yang lebih buruk dan teruk. Aku, seorang kakak yang halimunan. Aku kakak yang gagal lead by example. Example diriku semuanya sampah. Aku adalah rujukan terbaik sebagai seorang kakak yang gagal dan sial. Pakej lengkap. Aku, kakak yang sentiasa berbangga dan bahagia untuk kau adik. Walaupun aku tidak dapat merasakan hal yang sama untuk diri aku. Aku seorang anak kepada bapa yang curang. Aku seorang kakak yang cuba melindungi adik daripada bapanya sendiri. Aku seorang anak yang melihat segala perbuatan kotor bapanya sendiri. Aku anak yang membisikkan kata maaf kepada bapanya sebelum dia melepaskan nafas terakhir. Linangan air matanya saat aku memaafkan dia tak dapat aku lupakan. Aku, seorang isteri bersuamikan biawak hidup. Aku seorang perempuan buruk yang hanya dimahukan kerana mempunyai gaji lebih tinggi. Bersuamikan lelaki yang merancang supaya dirinya disara oleh isteri. Aku, isteri yang menanggung makan minum belanja keluarga termasuk ibuku. Aku isteri yang didakwa curang kerana cemburu buta suamiku.

Sewaktu aku mengandung. Maka sepanjang aku membawa roh lain dalam diriku, tidak pernah satu hari aku merasa bahagia. Tangisan jadi peneman. Sewaktu aku berpantang, suamiku tanpa rasa bersalah mengakui hutang beratus ribu yang diambil sebelum berkahwin. Tertekan, aku putus susu badan. Anakku terpaksa diberi susu formula. Aku meratap anakku setiap malam. Aku memohon maaf kepadanya dalam aliran air mata yang tak putus-putus. Orang sekeliling, sekali lagi dilihat jelik dan tak berguna. Keluarga mertuaku sedar akan hal ini namun, hutang itu biasa bagi mereka. Mungkin, tetapi apa wajar aku bertukar posisi sebagai ketua keluarga dengan suamiku? Apa wajar untuk aku menerima suami masuk ke dalam keluargaku berpakejkan hutang piutangnya? Hutang yang tidak ada kena mengena pun dengan hidupku. Waktu itu sekali lagi aku persoalkan kesialan diriku. Takdir menemukan aku dengan manusia-manusia yang tidak pernah menyayangi aku. Aku mula berkira-kira adakah aku layak untuk disayangi..aku hanya ingin merasa..ingin merasa menjadi yang pertama dalam hati seseorang. Aku tak dapat tempat itu pada ibuku, bapaku malah teman yang aku harapkan untuk sepanjang hayat juga menipu aku demi kepentingan diri. Hari ini, aku masih seperti dulu. Masih menjadi yang dibenci dan berusaha memuaskan hati-hati yang aku sayangi.

Aku kira imanku masih berbaki saat aku manaip bait-bait rasa ini. Harapan aku moga-moga hati aku kuat. Demi Allah dan anakku. Moga juga membuka hati kalian yang berfikir tentang menamatkan hidup. Fikir semula. Walaupun pada saat ini kalian tidak nampak atas dasar apa perlu hidup ini diperjuangkan, bersujudlah. Tangis lah pada saat hati kita paling dekat dengan Allah.

– Wortless

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit