Berfikir Menggunakan Alternatif Ketiga

Buku The 3rd Alternative oleh Stephen R. Covey merupakan salah satu buku motivasi pilihan yang wajib dibaca dalam meniti kehidupan yang penuh dengan dilema dan konflik. Kebanyakan konflik terdiri daripada dua pihak, iaitu satu pihak dengan “cara saya” manakala satu pihak dengan “cara awak”. Selama ini, hanya dua alternatif itu yang kita gunakan dalam menangani konflik. Tidak kiralah sama ada konflik itu berbentuk hubungan keluarga, suami isteri, hubungan antara bos dan pekerja, hubungan antara pelbagai kaum dan hubungan antarabangsa. Pilihan persetujuan yang dicapai demi menyelesaikan konflik juga ada dua, sama ada berkompromi atau pergaduhan/peperangan. Bila kita terjebak dengan pergaduhan/peperangan, dua-dua pihak rugi dan situasi kalah-kalah berlaku. Memilih untuk berkompromi memang menghentikan pergaduhan, tetapi situasi kalah-menang berlaku iaitu jalan penyelesaian yang diambil hanya memuaskan hati satu pihak sahaja. Satu pihak yang lain terpaksa pasrah dan redha semata-mata. Masalah memang dapat diselesaikan tetapi konflik yang baru mungkin akan muncul. “Mungkin kita boleh melakukan penyelesaian yang lebih baik berbanding dengan hanya dua alternatif. Apa kata kita atasi masalah ini melalui pendekatan Alternatif Ketiga yang belum pernah difikirkan?” Jom kita ikuti kisah benar mengenai cinta seorang lelaki yang tidak berbalas hasil pemikiran dua alternatif yang sering digunakan.

Seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan sejak sekian lama sehingga lelaki itu berazam untuk melamarnya. Cinta lelaki tersebut sangat hebat hinggakan dia berjaya mengumpul wang yang mencukupi untuk majlis walimah idamannya. Bukan setakat itu sahaja, lelaki itu sudah menyiapkan kertas kerja proposal perancangan keluarga dari segi pendidikan, kesihatan, rumah, kerjaya dan perniagaan bersama. Tinggal untuk bentangkan kepada bakal perempuan sahaja. Apa yang lebih gempak lagi, lelaki itu merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan serentak dengan kawan karibnya pada tahun 2016 dengan tema “Kejayaan penantian 8 tahun.” Ya, lelaki itu dan kawan karibnya jatuh cinta kepada pasangan idaman masing-masing pada tahun 2008 (pada akhirnya kawan karibnya berjaya mengahwini pasangan idamannya pada tahun 2016). Ada yang lebih hebat lagi mengenai lelaki ini, lelaki ini sampai sanggup melafazkan ikrar sebagai penderma organ kepada pasangan idamannya andai perempuan tersebut berjaya dikahwininya. Kesetiaan lelaki ini benar benar terbukti apabila lelaki ini sanggup menolak beberapa tawaran untuk mengahwini beberapa gadis cantik oleh kawan-kawannya. Ya, rahsia lelaki ini disimpan dengan baik sehingga tiada seorang kawan dia pun termasuk kawan karibnya yang mengetahui bahawa dia jatuh cinta pada seorang perempuan idaman sehingga ada kawan kawannya yang mengelarnya gay.

Tetapi malangnya, cinta lelaki itu hanya bertepuk sebelah tangan atau syok sendiri. Si perempuan idaman lelaki tersebut langsung tidak mencintai lelaki tersebut malah dengan keras menolak lamaran lelaki itu. Si lelaki itu merayu berkali kali kepada perempuan itu tetapi si perempuan itu tetap dengan pendiriannya tidak mahu mengahwini lelaki tersebut. Sebelum itu, si lelaki sudah maklumkan kepada ibu perempuan tersebut mengenai hasrat lelaki itu. Dipendekkan cerita, perempuan itu mengahwini lelaki idamannya pada tahun 2014. Lelaki yang telah ditolak cintanya oleh perempuan itu hadir ke walimah perempuan tersebut atas jemputan ibu perempuan tersebut dengan lapang dada dan tumpang gembira. Penyelesaian berjaya dicapai tanpa pergaduhan tapi dalam situasi kalah-menang dengan satu pihak terpaksa akur dengan “cara awak” sahaja. Si lelaki tetap merasakan dirinya tidak dihargai oleh si perempuan dan ahli keluarganya kerana si lelaki itu tidak diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja proposal dan menceritakan hasratnya. Pertemuan lelaki itu dengan ahli keluarga tersebut pernah berlaku tapi hanya melibatkan ibu perempuan tersebut tanpa kehadiran perempuan itu. Itupun sekadar ingin memaklumkan anak perempuannya sudah mempunyai pilihan hati dan akan berkahwin. Sebelum ini lelaki tersebut pernah memohon diadakan pertemuan untuk menyampaikan pelan rancangan masa depannya tetapi permohonan lelaki itu tidak dilayan langsung.

Terdapat dua konflik antara dua pihak dalam situasi di atas. Satu pihak bagi lelaki yang terus memaksa perempuan itu mengahwininya dan tidak mahu mengahwini perempuan lain. Satu pihak bagi perempuan yang terus menolak lamaran lelaki itu tanpa mempertimbangkan tawaran lelaki itu. Bagi lelaki, perempuan itu gagal memahami pengorbanan dan kesetiaan lelaki itu selama bertahun tahun lamanya. Bagi perempuan, lelaki itu gagal memahami keputusan dan pendirian perempuan itu untuk memilih pasangan idamannya dan menganggap lelaki itu berniat jahat dan ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya. Masalah boleh diselesaikan jika salah seorang mengalah tapi tiada siapa mengalah dalam situasi ini. Walaupun lelaki itu terpaksa akur dengan keputusan perempuan itu malah menghadiri majlis perkahwinan perempuan itu, tetapi penyelesaian konflik yang diambil hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja tanpa mengambil kira hasil titik peluh lelaki itu selama bertahun tahun lamanya. Malah konflik baru yang muncul iaitu hubungan ibubapa dan suami perempuan dengan lelaki itu renggang dan menjadi buruk selepas perkahwinan si perempuan itu malah lelaki itu dianggap sebagai pemusnah hidup perempuan tersebut.

Dalam hal ini, penyelesaian alternatif ketiga yang boleh difikirkan adalah:

1.) Elakkan memberi persepsi negatif dan wasangka buruk mengenai niat kedua dua belah pihak pada awal perbincangan. Perbincangan menjadi lebih mudah andai si lelaki tidak menganggap si perempuan sebagai objek yang perlu ikut kehendaknya sahaja dan si perempuan tidak menganggap si lelaki sebagai penjahat yang ingin memuaskan nafsunya sahaja.

2.) Si lelaki dan perempuan berbincang bersama-sama dengan suasana harmoni dengan ditemani ahli keluarga perempuan tersebut. Pihak perempuan yang setuju dengan tawaran lelaki itu boleh meninggikan lagi demand dan syarat untuk dipenuhi oleh lelaki semasa proses rundingan itu sebagai syarat tambahan untuk si lelaki yang betul-betul serius ingin mengahwininya.

2.) Jika perempuan tidak setuju dengan tawaran tersebut, perempuan boleh menolak lamaran lelaki itu dengan baik dan dalam masa yang sama memastikan hubungan baik antara ahli keluarga perempuan dan lelaki tersebut masih terjaga.

3.) Si perempuan yang mengahwini lelaki lain akan mengalakkan suaminya membina hubungan baik dengan lelaki tersebut dan dalam masa yang sama menggalakkan ahli keluarganya membina hubungan baik dengan lelaki tersebut. Hubungan baik tersebut boleh dimanfaat untuk perkara perkara lain seperti pertolongan cemas, kebajikan dan kerjasama perniagaan.

Dengan penyelesaian alternatif ketiga ini, sama ada lelaki itu berjaya mengahwini perempuan itu ataupun tidak, penyelesaian konflik yang diambil berjaya menjadikan situasi di atas menang-menang dengan masing masing berpuas hati dengan keputusan yang diambil. Jika lamaran lelaki itu diterima, dua dua pihak akan menang dan lelaki itu akan merasai pengorbanan dan kesetiaan selama bertahun tahun lamanya sangat berbaloi dan dihargai oleh si perempuan itu dan sudah pasti lelaki itu akan lebih gembira dan bersemangat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Jika ini berlaku, si perempuan juga akan gembira dan bahagia kerana dapat menerima layanan terbaik daripada seorang suami yang benar benar membulatkan kecintaan dan kesetiaan sepenuhnya kepadanya. Jika lamaran lelaki itu tidak diterima sekalipun, si lelaki itu juga tetap merasa puas dan dihargai kerana sekurang kurangnya suara dan hasratnya didengari dengan penuh perhatian dan empati oleh si perempuan dan ahli keluarganya malah si perempuan itu tetap menggalakkan hubungan baik antara keluarga dan suaminya dengan lelaki itu. Hubungan baik tersebut boleh dimanfaat untuk perkara-perkara lain seperti kebajikan, pendidikan, kerjaya dan kerjasama perniagaan. Dengan cara ini, lelaki itu tetap gembira dan lebih menghormati keputusan perempuan tersebut. Dalam hal ini, satu persoalan yang patut ditanya, kenapa kita lebih cenderung dengan pemikiran dua alternatif iaitu dengan “cara saya” atau “cara awak” semata mata dengan hasil akhir sama ada kompromi atau pergaduhan walhal kita mampu mencipta “cara kita bersama” yang mampu mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak dalam konflik ini?

– Unknown

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit