Buntu Dengan Sikap Orang Tua

Assalamualaikum semua. Pertama saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudi memberi komen dan kata-kata semangat untuk saya. Yang memberi komen suruh saya check DNA pasal ibu bapa kandung saya tu, saya memang anak kandung mereka.

Kejap lagi saya kongsi ye bab ni..

Maafkan saya kerana saya mengambil masa untuk hadam setiap baris kata-kata dari anda semua. Saya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan tentang hati saya, perasan saya. Saya memang sejenis suka berfikir panjang. Jujur saya katakan, saya memang sangat terhutang budi pada paklong dan keluarganya. Tanpa jemu mereka membela nasib saya. Walaupun paklong orangnya sangatlah sibuk dengan kerjayanya, dia tetap akan selalu telefon bertanya tentang diri saya. Memang saya anggap paklong ayah saya berbanding ayah kandung sendiri.

Saya cuba hadam ada yang menggelarkan saya bodoh, ada yang mengatakan saya suka lelaki yang ingin dijodohkan oleh mak saya. Allahuakbar. Sekelumit rasa cinta tak pernah wujud pun dalam hati saya terhadap lelaki tu. Saya tak pernah terdetik pun nak berkahwin dengan lelaki tu. Cuma yang saya inginkan cara untuk menghadapi mak saya yang memaksa saya berkahwin dengan lelaki itu. Saya memerlukan masa untuk berfikir tentang masa depan saya. Apa yang bakal saya tempuh pada masa akan datang. Yes, i’m adult now. Not a child anymore. Tapi saya pernah nyatakan pada post sebelum ini, saya sangat sayangkan keluarga saya. Biarlah kisah mak dan ayah saya yang mendera saya yang lalu. Saya dah lama maafkan. Walaubagaimana sekalipun, mereka tetap ibubapa saya. Disini, izinkan saya menceritakan kenapa mereka (mak dan ayah) bersikap dingin terhadap saya sewaktu kecil.

Saya ada terbaca komen, maybe you’re accidential child yang mereka tak mahu. Yes, I am. Mak pernah keguguran sebelum dapat saya. Ayah inginkan 3 orang anak lelaki. Tetapi takda rezeki, mak keguguran sebelum dapat saya. Bila tahu mak mengandung lagi selepas keguguran, ayah seronok. Dia sangat teruja untuk menerima anak lelaki lagi. Katanya jaga anak lelaki senang tak remeh. Mak setuju dengan ayah. Beria mereka ke hospital untuk scan. Pada mulanya memang doktor sahkan jantina aku lelaki. Bukan main kepalang seronok mereka. Tapi Allah yang menentukan segalanya. Lahirlah saya didunia ini sebagai anak perempuan. Mak tak boleh terima. Siap menuduh jururawat tukar bayi lagi. Mereka siap buat laporan polis, lalu diminta untuk membuat pengesahan DNA dan memang sah saya anak kandung mereka. Dari situ bermulalah episod saya tak disayangi dek kerana mereka yang teruja untuk terima anak lelaki baru. Cerita ini diceritakan sendiri oleh Maklong. Waktu ni maklong cakap, mak nak bagi saya pada keluarga lain, kerana mak tak nak membela saya. tapi paklong marah dan tak benarkan. Katanya anak kan rezeki.Macam-macam alasan mereka bagi, paklong cakap terima saja saya. Nanti paklong sediakan semuanya untuk saya. Paklong sangat sayangkan saya kerana paklong hanya mempunyai seorang anak lelaki. Saya gelarkan abang Z. Paklong dan maklong mungkin dimurahkan rezeki dalam bahagian harta dan kemewahan wang ringgit, tapi mereka ada kekurangan dari segi zuriat kerana maklong ada masalah kesihatan.

Harini, genap ramadan yg ke 19. Saya cuma nak berkongsikan sedikit rasa. Selepas saya membuat luahan tempoh hari, Hari-hari saya membuat solat istikarah, tahajud, dan solat hajat. Semoga saya mendapat kekuatan untuk saya menghadapi hari-hari saya akan sikap mak dan ayah saya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untukku.. Dua minggu sebelum ramadan tiba, saya jatuh sakit. Seperti seakan Allah mahu menguji, mungkin mahu memberi peluang untuk diri ini kaji balik apa dosa dan silap yang diri ini telah lakukan.

Mengimbau kembali, dalam masa sehari, saya jatuh pengsan 3 kali. Paling teruk saya jatuh pengsan di salah satu stesen LRT. Syukur ada yang membantu saya dan menghubungi maklong saya (sebab last call dengan maklong) Saya dimasukkan ke hospital. Sedar-sedar, maklong dan paklong disisi. Mereka bertanya tentang kesihatan saya , ternyata saya merasakan saya sihat walafiat tapi tak pasti kenapa saya kerap sakit kepala dan migrain suka menyerang secara tiba-tiba. Keesokkan harinya, doktor pakar datang membuat pemeriksaan, dilakukan pelbagai imbasan, air kencing, darah diperiksa berulang kali sehingga tahap saya lemah tak berdaya. saya lemah. saya menangis mungkin ini petanda Allah makin sayang dengan saya. Doktor minta 3 hari untuk mereka mengesahkan penyakitku. Seperti saya pernah khabarkan sebelum ini, paklong saya seorang yang agak berpengaruh dan berjawatan. Jadi dia mahu keputusan tentang penyakitku disegerakan.. Dua hari selepas itu, 3 orang doktor pakar masuk ke wad ku, dikhabarkan tentang penyakitku di hadapan paklong dan maklong. Brain tumor stage 3. Allah. Tiada Tuhan selain Allah. Hanya DIA mengetahui segalanya. Laju air mata saya turun seperti mengerti langit ketika itu, hujan turun secara tiba-tiba dengan lebatnya. Saya gagahkan untuk memberi senyuman kepada mereka semua. Ini semua petanda Allah sayangkan saya. Saya tak pernah rasa saya dihukum malah saya rasa sangat teruja kerana begitu hebat dugaan saya lalui, tika ini usai umur mahu mencecah 26 tahun, Allah menguji sebegini sekali. Tidak perlulah saya mencerita tentang penyakit saya dengan begitu terperinci.

2 minggu saya ditempatkan di hospital. Tak lupa lepas keluar dari hospital, saya diminta dan dipaksa oleh maklong dan paklong untuk mengambil cuti kerja tanpa gaji. Saya akur dan mohon mereka jangan ceritakan tentang penyakit saya kepada sesiapa pun termasuk mak dan ayah saya. Kebetulan ramadan tiba, Perubahan berat badan mendadak jatuh, nampak benar diri ini sedang sakit. Tapi saya berjaya sembunyikan seperti saya penat berpuasa. Tapi saya mengambil keputusan berehat di rumah paklong. Mak dan ayah sibuk telefon tanya kenapa tak pulang ke rumah mereka, saya beritahu, saya diberhentikan kerja kerana ada masalah di tempat kerja, jadi saya mengambil keputusan bekerja di syarikat milik paklong. Mak saya perli saya mengatakan saya ni memang malang. Nasib esok lusa kau mampus kering la kalau paklong kau takde. Begitu sekali jerkahan mak saya. Takpelah mak. Anakmu ini memang menunggu detik je nak dijemput illahi. Tapi risau amal jariah masih tak mencukupi. (luah dalam hati je mampu.)

Saya telah bercerita dengan paklong dan maklong mengenai diatur jodoh oleh orang tua saya serta perihal sikap si lelaki yang biadap. Seperti dijangka, paklong marah dan menelefon untuk berjumpa dengan lelaki itu. Lelaki itu menolak untuk berjumpa dan dia telah memberitahu ibunya untuk memutuskan hubungan diantara saya dan dia. Tak tahu lah apa apasan yang dia gunakan,tapi yang penting, mak saya begitu marah sekali dengan saya. Saya tak berapa sihat lagi jadi saya tak mengambil pusing kisah itu. Sesungguhnya Allah jua maha mengetahuinya. Minggu depan saya bakal berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah sekaligus beraya disana. Saya sudah khabarkan kepada orang tua saya, tapi mereka tidak kisah pun. Yelah selama ni pun mereka tak ambil pusing sangat hal beraya ni dengan saya. Tak mengapalah, asalkan ibadat umrah saya dipermudahkan. Agak rumit prosedur untuk saya kesana dek kerana tahap kesihatan, tapi surat kebenaran dari hospital telah saya terima, inshaAllah semoga Allah permudahkan urusan saya.

Maafkan saya andai saya ada tersalah taip, tersusun kata. Andai saya menulis tiba-tiba nampak keaiban terbuka di mana-mana. Maafkanlah. Maafkan saya andai saya menulis ini terlalu ringkas ataupun terlalu beria. Maafkan saya. Buat pengetahuan semua, Saya masih menjalani rawatan tambahan pula bulan ramadan ini saya sedikit lemah. Doakan kesihatan saya baik-baik ya dan semoga urusan saya dipermudahkan ke rumahNYA. Sesungguhnya, tiada tempat yang teragung melainkan bersamaNYA.

Saya doakan kita semua, semua sekali, di muka bumi Allah ini dipermudahkan segala urusan, saya doakan ibu bapa saya dipanjang usia mereka, dimaafkan segala dosa mereka dan diberikan hidayah olehnya. Apa pun mereka lalukan terhadap kita, percayalah adalah hikmahnya. Allahuakbar. :)

Yang cuba untuk lebih kuat,
N.
-19 ramadan-

– N

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit