Cantik Itu Membunuh

Assalamualaikum warga iium, terima kasih andai confession ini disiarkan.

Aku rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat tentang satu isu khususnya buat kaum hawa (namun jugak telah menular kepada kaum lelaki), terhadap satu lagi kegilaan dan ketaksuban masa kini, iaitu kecantikkan yang diistilahkan sebagai “beauty hunter”.

Aku merupakan seorang pelajar perubatan di sebuah ipta yang sedang menunggu penempatan di hospital tanah air. Dan sepanjang aku menjadi pelajar, pelbagai jenis manusia aku temui dengan pelbagai jalan cerita dan latar belakang hidup mereka.

Sebelum lebih lanjut, tahukah anda penyakit nombor satu di Malaysia adalah sakit jantung (yang berkaitan dengan permakanan dan gaya hidup kita) manakala kanser kini berada di tangga nombor dua?
Dan terutamanya untuk para wanita, lima kanser utama yang membunuh pada waktu ini adalah kanser payu dara (nombor satu) ,disamping kanser kolon (usus),serviks , ovari dan paru-paru. Malah melihat kepada kepesatan penyakit-penyakit kanser, menjelang tahun 2020 dijangkakan kanser akan menjadi pembunuh nombor satu di dunia.

Kesedaran masyarakat kita terhadap bahaya kanser masih rendah, dan kerana itu kita dibanjiri dengan pelbagai kegilaan-kegilaan hipster seperti food hunter, kecantikkan dan sebagainya. Secara ringkas disini, kanser terjadi apabila berlaku pertumbuhan sel abnormal yang tidak terkawal di dalam tubuh badan manusia. Jadi apa sahaja yang boleh menyebabkan sel badan membesar atau membahagi secara tidak normal berpotensi untuk mengakibatkan kanser seperti pendedahan terhadap bahan-bahan kimia atau toksik, radiasi, dan faktor keturunan atau genetik manusia.

Confesion aku ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau nak cantas rezeki atau bisnes siapa-siapa. Tapi aku rasa perlu untuk kita ambil masa sedikit dan merenung sejenak apa yang telah kita lakukan pada tubuh badan kita yang merupakan amanah dari tuhan, agar kita sedar sebelum terlambat dan tidak meletakkan diri kita dalam kecelakaan.

Dalam kehidupan harian kita, kita tidak boleh lari dari terdedah kepada bahan-bahan kimia, dari segi permakanan dek kerana kekangan waktu, kita banyak mengambil makanan diluar dan juga makanan berproses disamping fast food. Jadi perkara itu sudah menjadi normal dalam masyarakat, tapi kegilaan kita tidak berhenti disitu apabila ditambahkan pulak dengan penggunaan bahan-bahan kimia yang lain seperti produk-produk kecantikkan yang meningkatkan lagi kandungan bahan-bahan kimia yang sedia ada dalam tubuh badan kita.

Aku ingin kongsikan sendiri bagaimana aku berdepan dengan pesakit-pesakit kanser yang menderita kerana obsesisi ‘nak cantik’ ini. Ketika aku menjadi pelajar dulu, ramai pesakit wanita yang aku temui diwad wanita menghidap kanser. Sehinggakan pernah ada minggu-minggu dimana katil-katil hospital memang penuh gila dengan pesakit kanser.
Berdasarkan pemerhatian aku terhadap pesakit kanser ini, mereka mempunyai hampir satu persamaan yang jelas, nyata, terang lagi bersuluh, iaitu penggamalan produk-produk kecantikkan tidak kira ianya ubat-ubat tradisional (yang sudah bercampur bahan kimia) atau produk-produk kecantikkan yang berlambak di pasaran. Tidak terhad hanya kepada produk mencantik dan mencerahkan wajah, ia merangkumi jugak supplement-supplement kesihatan, produk kosmetik,produk penegang payudara, pil-pil kurus, dan produk kesihatan dalaman, harian dan pencuci wanita.

Aku masih ingat, pertemuan aku dengan seorang wanita, dalam lingkungan umur 50 an, ketika aku menemubual (dalam istilah perubatan dipanggil history taking). Mak cik ni aku namakan mak cik A, menyambut kedatangan aku dengan senyuman yang tak lekang dibibir. Tak tergambar langsung kesedihan atau perderitaan yang dia tanggung. Mak cik A ini disahkan menghidap kanser ovari tapi aku tak ingat tahap berapa, yang pasti badan dia kurus, dan muka sedikit cengkung. Dia menceritakan bagaimana dia mula-mula sedar tentang masalah itu. Katanya selepas dia bersama dengan suami, dia mengalami kesakitan dan pendarahan pada bahagian sulit. Setelah menjalani pemeriksaan di hospital dia disahkan menghidap kanser ovari.

Perbualan itu semakin jauh dan serius dengan aku menanyakan amalan dan gaya hidup mak cik A, merangkumi sejarah keluarga jika ada dalam keluarganya jugak menghidap kanser, permakanan dan produk-produk kesihatan sampingan yang dia ambil. Tiada sejarah kanser dalam keluarganya, tidak merokok juga mengamalkan permakanan sihat kecuali satu benda yang dia tekankan semasa temubual itu, adalah gaya hidup dia sejak dari zaman anak dara, iaitu pengamalan pelbagai produk-produk kecantikkan seperti jamu, dan segala macam produk kt pasaran demi memenuhi kehendak suaminya dan dirinya untuk sentiasa kelihatan cantik, menarik dan tertarik . Malah walaupun sudah lanjut usia, dia masih mngamalkan tabiat itu kerana sekarang produk yang ada sudah pelbagai jenis dengan aneka pilihan juadah yang lebih banyak berbanding zaman dia muda-muda dulu.

Sebelum aku meminta diri, mak cik A menyampaikan satu pesanan yang masih aku ingat sampai sekarang. Kata mak cik A,”Anak, tolong pesan pada semua orang, pada kawan-kawan dan ahli keluarga, jangan amalkan makan produk-produk macam ni, sebelum dapat kanser macam mak cik” kata-kata itu diakhirinya dengan senyuman. Jadi aku menganggap confession ini adalah salah satu amanah dan pesanan terakhir dari mak cik A buat kaum hawa sekalian.

Seorang lagi pesakit, masih muda, dalam lingkungan 35-40 an, aku gelarkan dia kak B. Kak B ni disahkan menghidap kanser payudara. Ketika ditemui, dia sudah menjalani pembuangan payudara. Katanya dia menyedari ada ketulan namun membiarkan kerana takut ke hospital sehingga ia menjadi sedikit bernanah dan membusuk. Apabila ditanya lebih lanjut, dia mngatakan mengamalkan ubat-ubat sapuan dan jugak suntikan menegang dan membesarkan payudara bagi kepuasan si suami yang mahukan dia memiliki payudara yang besar, pejal dan mantop. Menurutnya lagi, si suami kini menyesal beribu sesalan kerana meminta hal tersebut namun semuanya sudah tidak berguna lagi . Dia menceritakan kepada aku dengan mengharapkan kisah dia ini menjadi pengajaran buat kaum wanita diluar disana yang obses terhadap kecantikkan agar berhenti merosakkan diri anda demi memenuhi nafsu suami atau nafsu diri sendiri.

Ramai diantara kita yang salah faham dengan menganggap produk-produk yang digunakan dipasaran selamat kerana telah mendapat kelulusan KKM. Namun ‘selamat’ dan ‘lulus’ yang dimaksudkan itu bukanlah bermakna bahan-bahan itu tidak mendatangkan kesan jangka panjang yang bahaya kepada tubuh badan kita. Sebaliknya kandungan ‘racun’ itu masih terkawal dan dibenarkan penggunaannya. Tapi jika diamalkan secara berterusan dalam jangka masa yang lama, bahan-bahan kimia itu berpotensi menganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan mutasi kepada sel tubuh badan yang membawa kepada barah atau kanser.

Beringatlah para wanita, kanser bukan penyakit biasa. Penderita akan menderita secara perlahan-lahan sebelum malaikat izrail datang memanggil. Aku sendiri tidak sanggup melihat keadaan pesakit-pesakit kanser bertarung nyawa sehingga aku berharap dijauhkan diuji sedemikian rupa. Kebanyakkan pesakit ini akan berakhir dengan kematian kerana kebanyakkan kanser dikesan agak lambat sehingga mencapai stage atau peringkat yang telah kronik. Berhentilah dimomokkan dengan kecantikkan dikaca tv sebelum terlambat. Keseronokkan anda sekarang adalah penderitaan anda akan datang. Obsesi anda terhadap kecantikkan akan membunuh anda jauh lebih awal.

Bukan tidak boleh cantik, tapi bersederhanalah. Jika anda ingin juga menggunakan produk kecantikkan, kurangkanlah dan cukuplah sekadar penggunaan luaran saja seperti pencuci muka. Berhentilah mengambil produk-produk pil, serbuk atau apa saja dipasaran kerana ia meningkatkan kandungan kimia dalam badan anda. Benar, kesan bahan-bahan ini terhadap individu adalah berbeza. Namun banyak bukti yang menunjukkan bahawa bahan kimia tertentu ini boleh menyumbang kepada kanser ini terjadi.
Kembalilah kepada penggunaan bahan-bahan semula jadi dan jugak petua-petua tradisional orang-orang dulu yang jauh lebih selamat dan berkesan daripada produk-produk sekarang. Amalkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan antioksidan semula jadi yang bukan sahaja melambatkan proses penuaaan malah ia menggalakkan pertumbuhan sel-sel baru disamping menyingkirkan sel-sel rosak yang mengalakkan pertumbuhan kanser.

Pesanlah kepada keluarga dan orang tersayang anda, sampaikan maklumat kepada mereka tentang bahayanya bahan-bahan kimia ini terhadap kesihatan mereka. Ibu aku sendiri satu ketika dulu berada dalam kategori obses kepada kecantikkan. Macam-macam produk yang di”claim” sebagai produk kesihatan dia ambil. Tapi Alhamdulillah dia diberikan kesedaran lebih awal sebelum terlambat dan mak aku kini dah berhenti menggamalkan gaya hidup seperti itu.

Dan pesanan aku untuk kaum lelaki, terutamanya para suami. Jika anda sayangkan isteri anda, hentikanlah jugak kegilaan anda mengejar kecantikkan daripada para isteri. Kebanyakkan pesakit wanita yang aku jumpa, ramai mengatakan terpaksa mengamalkan pengambilan produk-produk kecantikkan ini kerana si suami mahukan mereka cantik ,muda dan ‘ketat’ seperti mereka mula-mula kahwin dulu. malah ada yang jika tidak ambil, suami mengugut akan kahwin lain, diceraikan, diabai dan sebagainya. Sayangilah isteri anda seadanya kerana mereka adalah ketua bidadari anda disyurga nanti. Kepuasan anda nanti akan menjadi barah dan kanser buat para isteri.
Sekian,terima kasih.

– Z

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit