Degil Si Anak

Degil Si Anak

Saya ambil masa berfikir agak lama nak berkongsi kisah saya. Niat nak luah dan berkongsi hati.
Saya adalah salah seorang manusia yang rajin membaca di sini. Kadang – kadang saja saya komen, selebihnya hanya sebagai silent reader.

Saya di dalam keluarga dinobat sebagai yang paling keras kepala. Kalau orang sebut nama saya dalam keluarga, hanya gelang kepala saja..tak tau nak komen apa.

Ada kemungkinan juga faktor membesar dengan cacian dan makian membuat saya jadi keras hati. Dibenci oleh sanak saudara kerana ibubapa saya sendiri tidak seperti ahli keluarga lain yang berjaya. Berjaya dalam intipati ahli keluarga saya adalah mempunyai kedudukan dalam jawatan, belajar sampai Universiti dan paling penting tidak menyusahkan orang lain.

Bermula dari zaman sekolah lagi saya suka buat ikut kepala saya sendiri. Walau ibubapa saya dah pesan, belajar habis dulu baru kerja. Umur 16 tahun saya senyap-senyap kerja sebagai salesgirl kerana selalu tak punya duit belanja. Kantoi pun pasal cikgu tengah shopping nampak saya kerja. Ye ye menangis kat situ, lepas tu bagitau ibu dengan bapa saya. Tak pasal – pasal kena pukul. Tapi budak degil kan. Sampai habis SPM jugak keje salesgirl.

Ibu tukang jahit manakala bapa saya ahli perniagaan bankrup yang termashur. Kenapa saya cakap macam tu? Kerana bapa saya tak malu mencanang pada semua orang yang dia bankrup dan tak malu mengaku tak bekerja, mengharapkan duit ibu saya. Pernah ibu saya suruh dia kerja bawa teksi, dimarahnya ibu saya dengan kata, dia ni bukan orang biasa-biasa nak buat kerja macam tu.

Bapa saya tu cuma asal dari keluarga askar pencen dibanding dengan ibu saya yang keluarganya orang kaya di negeri pantai timur. Tapi yang bongkaknya bapa saya. Saya sendiri pun pelik dengan perangai bapa saya ni. Dalam hati saya sumpah kalau dapat suami macam ni, ada baik saya tak kawin langsung. Part ni la saya sengal sikit bila ditegur..pasal ada orang kata, masin mulut sendiri bila suka mengata orang lain. Lagi – lagi bapa sendiri.

Degil saya bertambah lepas habis sekolah. Ibu saya suruh sambung belajar. Saya bantai pergi kerja sambil belajar. Buat diploma pun kadang-kadang celup kelas. Sampai terpaksa sambung 2 semester. Saya bukan tak minat belajar. Minat lah sangat, impian nak belajar undang-undang menebal tapi bila tengok yuran terus down. Keputusan pun elok-elok je nak apply. Bila saya sebut kat ibu, dia cakap,..ah, kita cuba minta tolong dengan makcik-makcik nanti. Terus mental block. Sanggup lagi saya bayar yuran sendiri dari menagih simpati makcik pakcik.

Kejadian ibu dengan kakak kena malukan, kena hina masa mintak tolong dengan sedara mara tolong top up yuran kakak belajar dulu dah buat saya sakit jiwa. Ibu saya telefon menangis-nangis, cerita yang makcik saya sengaja keluar tak balik-balik masa diaorang datang. Sedangkan diaorang sendiri maklum suruh datang amik. Balik dari rumah makcik, mata ibu dengan kakak bengkak. Sedih gila masa tu. Akhirnya kawan ibu yang bantu selesaikan yuran. Sampai sekarang trauma dengan peristiwa tu.

Degil saya ni makin teruk lepas putus dengan bf yang saya paling serius berkawan. Bakal mentua (orang pantai timur jugak) ni ralat nak saya jadi menantu bukan kerana saya jenis payoh baso, tapi kerana orang belah sana tahu ahli keluarga ibu saya macam mana.

Tengah sibuk-sibuk plan nak bertunang dan nikah, tiba-tiba bf saya kata tak jadi. Malu woo dah semua orang tahu kami nak kawin. Bakal mentua telefon minta maaf dan suruh saya anggap takde jodoh. 3 bulan saya mesej macam-macam kt bf, tapi dia tak reply. Lepas saya dah cool down, baru dia jawab balik elok-elok. Sampai sekarang kami baik dan selalu bertanya kabar tapi gitu-gitu jelah.

Dekat setahun lepas tu adalah berkawan dengan orang lain tapi tak serius. Sampai la kenal suami (budak bandar). Saya tak syok pun kat dia tapi dia yang beria sangat nak kawan dengan saya. Saya perhati la jugak perangai dia. Takut perangai macam bapa saya.

Alhamdulillah, tak poyo dan kerja sendiri. Bukan kaki perempuan dan bukan kaki kelentong. Mak mentua keje bank dan ayah mentua kerani kerajaan. Saya pun bagi la greenlite masuk meminang. Ibu saya memang tak suka. Ibu kata kenapa tangkap muat. Bapa? Dia paling tak sabar nak lepas tanggungjawab. Siap cakap ‘rm1 sebagai hantaran’. Memang kepala bana.

Ibu cakap banyak kali kalau boleh biarlah yang dari kalangan orang pantai timur atau cycle kita jugak. Tahu latar belakang. Tahu perangai kat rumah macam mana. Saya gelak je masa tu. Ibu cakap, biar saya susah masa muda. Bila dah kawin dan ada anak, biarlah hidup senang. Suami saya tu gaya macam takde masa depan pasal takde cita – cita. Saya buat bodoh je. Sedara mara cakap lagi la saya buat bodoh. Macamlah dorang tu perfect sangat.

Kakak saya cakap, tolonglah pecahkan tradisi (kawin match-made). Makcik pakcik dah warning, nanti jadi macam mak saya kalau kawin pilihan sendiri yang bukan dari kalangan mereka kenal. Berkat keras kepala saya, maka kawinlah saya dengan majlis perkahwinan yang diboikot sedara mara.

Mungkin lah, dengan tak redha mak saya, dicampur diboikot sedara mara.. hidup saya macam atas laut yang sentiasa bergelora. Bisnes suami tak menjadi dan saya pula asyik kerja tak kerja. Jawatan tinggi tapi semua kontrak 2-3 tahun. Bila keje, balik asyik penat sampai takde masa nak layan anak-anak. 4 tahun lepas kena tamatkan kontrak secara mengejut. Habis satu department tutup. Balik tu eksiden, pasal kepala tak fokus bawa kereta. Ujian besar bermula.

Suami pulak asyik ikut mood dia je. Hari dia rajin, dia buatlah keje. Hari dia letih, dia tidur lah macam beruang tengah hibernasi. Gempa bumi pun tak sedar. Kalau tak tidur, asyik termenung, asyik belek phone. Cakap sikit je nak terasa hati. Cakap lebih mau melantun barang dalam rumah. Bila kitaorang berdua buat Grab dan bisnes kecik-kecilan, di cemuh pulak. Siap cakap berkat degil cakap dorang la dulu.

Hutang pun makin banyak. Ada rumah pun dah nak kena lelong. Serabut diganggu ajen kutip hutang. Adik beradik nak tolong pun takut saya yang asyik tak dengar cakap diaorang ni.

Cerai? Pernah la jugak fikir. Tapi selesai ke masalah?. Dalam perangai suami macam tu, dia ayah yang baik dan tak pernah halang cita-cita saya sebelum ni. Tak la buruk semuanya. Kadang kesian tengok dia, hidup huru-hara. Dapat pulak bini macam saya yang keras kepala. Dicampur dengan perangai keluarga sikit – sikit nak ungkit hal lama.

Semalam, ibu saya mesej panjang – panjang suruh balik duduk rumah flat yang dia beli dulu. Pesan jangan degil. Suruh saya fikir anak-anak. Suruh saya keje, tak payah buat bisnes. Masalahnya nak pindah bukan tak kena pakai duit. Duit nak makan pun kadang-kadang takde, apa lagi nak pindah. Cukup – cukuplah berhutang. Nak keje, kena juga ada duit nak pergi keje. Lain la macam sekarang, depan ofis, kat belakang buat bilik tempat kami tinggal.

Saya tahu mungkin ibu kecewa dengan saya. Dalam banyak-banyak anak, inilah yang dia selalu risaukan. Saya cuma nak ibu tahu, degil saya hanya bermaksud untuk tidak mengalah menghadapi cabaran. Bukan ego. Bukan saya tak pernah ikut cakap ibu. Sekarang saya mungkin hidup bawah roda kehidupan. Redhalah ibu, mungkin dengan redha itu anak mu yang degil ini akan berjaya satu hari nanti…mengikut sukatan yang ibu mahukan.

– Si Payoh Baso

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit