Dia Anak OKU

Aku ada kawan. Tak, kawan aku bukan OKU. Tapi dia anak kepada OKU. OKU penglihatan. Dua-dua mak bapak dia. Aku ulang, dua-dua mak bapak dia OKU penglihatan. Mak dia 100% tak nampak. Bapak dia aku boleh kata severe jugak tapi masih boleh nampak sikit-sikit dan jalan dengan bantuan tongkat.

Aku kenal kawan aku ni dah lama. 20 tahun dah, dari zaman tadika lagi sampai aku dah beranak. Aku kenal mak bapak dia, mak bapak dia kenal aku, mak bapak aku kenal dia. Kawan aku ni dua beradik je. Diorang dua beradik perempuan. Dia yang sulung. Duduk rumah flat je. Sama dengan aku la, budak flat. Hahaha.. Dan semua yang aku nak cerita ni ialah apa yang aku perhati sendiri selama aku kenal dia.

Mak dia 100% tak nampak. Maknanya mak dia tak pernah tengok muka dia dan adik dia. Senang cerita mak dia tak nampak apa-apa la. Kalau aku datang lepak rumah dia pun, rumah dia lapang je. Tak banyak barang. Rumah flat yang kecik tu pun ko rasa boleh guling-guling bila kat rumah dia. Tapi yang aku rasa sangat-sangat hebat tentang mak dia ialah, mak dia boleh menguruskan rumah dengan sangat baik. Korang bayangkan, mak dia tak nampak apa-apa tapi boleh memasak. Aku pernah tengok sendiri mak dia potong cili, siang sayur depan aku weh. Masa tu aku sekolah rendah lagi, memang aku tengok je la, tak reti nak tolong.
Tiba-tiba aku terbayang, macam mana mak dia membesarkan diorang dua beradik masa kecik-kecik dulu? Dia beza 2 tahun je dengan adik dia. Mak aku yang normal pun sampai kena darah tinggi jaga aku dengan abang aku, macam mana pula mak dia handle? Macam mana mak dia urus anak nak pergi sekolah, nak mandikan diorang masa diorang baby, nak siapkan makanan diorang satu keluarga? Aku yang ada anak sorang ni pun kelam kabut kalau suami aku out-station. Mak dia memang makna sebenar superwoman bagi aku.

Bapak dia walaupun OKU, tapi sangat rajin. Kadang-kadang aku terserempak dengan bapak dia kat bawah flat, beli makanan untuk keluarga dia. Kadang-kadang nampak bapak dia bawak mak dia jalan-jalan. Cara bapak dia tu tak menunjukkan yang OKU tu satu kekurangan. Bagi orang lain yang tak kenal, mungkin nampak macam kesian. Ye la, laki bini OKU, jalan sama-sama, tak ada orang tolong (padahal dah biasa macam tu). Tapi bagi aku, bapak dia seorang yang sangat optimis.
Memandangkan bapak dia OKU penglihatan, lesen memandu memang tak boleh dapatlah. Jadi, keluarga diorang tak pernah ada kenderaan sendiri. Motor dan kereta tu memang tak pernah wujud dalam keluarga diorang. Nak pergi mana-mana, naiklah pengangkutan awam. Tak pun, tumpang orang. Tapi aku tabik bapak dia. Dalam keadaan fizikal dia yang OKU, dia mampu bagi pendidikan kat anak-anak dia. Bapak dia tak belajar tinggi-tinggi. Tapi dia cari cara untuk dapatkan pendapatan untuk hantar anak ke sekolah, sambung belajar ke universiti.

Hasilnya? Alhamdulillah, dua-dua beradik ni jadi jurutera. Yang kawan aku ni jadi aircraft engineer, adik dia jadi civil engineer.

Memandangkan kawan aku ni anak sulung, dia yang mulakan langkah untuk beli kereta, senang nak hantar mak bapak pergi mana-mana. Tapi, masa tu skill dia tahap orang yang baru dapat lesen memandu je la. Bapak dia pun tak boleh nak tolong. Aku la yang teman dia bawak keluar kereta dari showroom. Dia yang beli, aku yang bawak sampai rumah. Siap parking cun-cun untuk dia sebab aku tau susah nak parking kat area rumah flat ni, sempit. Tau-tau, esok dia mesej aku, cakap kereta dah calar masa dia bawa keluar dari parking. Hahaha.. redha je la. Kereta kau jugak. Tapi tu awal-awal dulu la. Sekarang ni dia cekap dah. Ulang alik Sepang-KL hari-hari.

Rezeki diorang bertambah lagi, rumah yang diorang duduk ni, tiba-tiba pihak PBT let go untuk jual. Apa lagi, kawan aku tak lepaskan peluang. Dia beli terus. Di usia yang muda, dia dah ada kereta dan rumah sendiri, dibeli khas untuk keluarga dia. Siapa sangka?

Jujur cakap, kalau kau nampak laki bini OKU, duduk rumah flat, sekolah tak habis, apa je jangkaan kau kat anak kepada pasangan macam tu? Kalau aku tak kenal keluarga dia, aku tak kan percaya yang boleh lahir dua orang jurutera dari keluarga tu. Jurutera perempuan pulak tu. Allah tu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Aku kagum dengan kawan aku, tapi aku lagi kagum dengan mak bapak dia yang berjaya membesarkan anak-anak sampai berjaya macam tu. Bagi aku, keluarga dia layak dijadikan contoh. From zero to hero. Kawan aku pun selalu je cerita yang kadang-kadang, orang keliling pandang rendah kat keluarga dia. Sebab tengok dari luar nampak macam lekeh je. Tak kisah la orang yang pandang lekeh kat kau weh, ramai lagi yang pandang tinggi. Cuma orang tak tau kisah kau. Jadi, aku cerita kat sini.

– kawan

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit