Dosa Ibu Pada Anak

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu terima kasih diucapkan kepada iium confessions sekiranya luahan ini disiarkan.

Kita sering dengar dan belajar dari kecil lagi bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Seorang ibu harus dihormati malah dengan berkata “ugh” terhadap ibu pon berdosa. Aku tahu semua itu. Seorang ibu kebiasaannya bersikap lembut, penuh dengan kasih- sayang dan menyayangi anak- anak dengan sepenuh hati. Aku mempunyai seorang ibu yang terbaik di dunia. Ibu aku seorang yang penyayang dan seorang wanita yang kuat. Apa yang menyebabkan aku tergerak hati untuk meluahkan confession ini adalah disebabkan nenek aku sendiri. Tujuan aku menulis cerita ini bukanlah tujuan untuk mengaibkan nenek aku dan sesiapa tetapi sebagai pengajaran kepada semua orang terutama kepada warga- warga yang bergelar ibu di luar sana. Ok begini ceritanya…

Nenek aku mempunyai lapan orang anak. Empat lelaki dan empat perempuan. Disebabkan dulu nenek aku seorang yang susah 2 daripada anak- anak nenek iaitu ibu aku dan mak sedara aku diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Kiranya diserahkan kepada ibu susuan lah. Namun hubungan ibu dengan nenek tak putus pun. Ibu faham keadaan nenek waktu itu. Nenek aku seorang yang perengus, panas baran, mata duitan, suka menjaga tepi kain orang dan yang paling menyedihkan adalah nenek sangat tidak adil dan sangat pilih kasih terhadap anak- anaknya. Anak- anak yang berjaya di puji melambung- lambung, anak-anak yang kurang berjaya dihina, dikutuk, disindir dan macam- macam. Ibu bukanlah anak kegemaran nenek kerana ibu kerja biasa- biasa je. Nenek benci dekat ibu sebab ayah aku pun kerja biasa- biasa je. Nenek pernah cakap ayah merupakan menantu paling tak berguna dalam banyak- banyak menantunya. Ibu dan ayah pernah melalui zaman yang sangat susah sampai nak beli susu anak pun kena berhutang. Ibu pernah cakap waktu ibu melahirkan anak yang pertama, nenek tidak mengaku pun anak ibu cucu sendiri. Sekarang bukanlah senang, tapi tak adalah susah sampai kena berhutang. Namun baiknya ibu, ibu tidak pernah berdendam malah dijaga nenek waktu nenek sakit, tapi nenek lupa semua itu. Lepas dah sihat nenek mengata lagi. Dikata tidak diberi perhatian yang secukupnya dan lain- lain lagi. Untuk pengetahuan semua, bukan ibu sahaja anak yang dibenci. Ibu saudara aku, mak teh aku juga bukanlah anak yang digemari.

Ditakdirkan Allah mak teh aku telah dijangkiti penyakit yang memerlukan penjagaan rapi. Mak teh seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai anak. Memandangkan bimbang akan keselamatan mak teh, ibu telah memujuk mak teh untuk tinggal bersama nenek agar makan, minum serta keselamatan mak teh terjaga. Pada awalnya nenek menerima dengan hati yang terbuka setelah diberi sedikit wang untuk menanggung mak teh. Mak teh boleh diibaratkan sebagai hanya menumpang tidur sebab aku menghantar makanan setiap kali waktu makan supaya tidak menyusahkan nenek untuk memasak makanan untuk mak teh. Mungkin semua tertanya, kenapa mak teh tidak tinggal sahaja bersama aku. Aku terpaksa akur dengan suami yang tidak membenarkan mak teh tinggal bersama kami. Setelah berbulan- bulan mak teh tinggal bersama nenek, nenek mula bosan. Nenek mula menunjukkan perangai yang sebenar. Aku faham nenek sudah tua dan cepat penat. Pernah suatu hari nenek masak untuk diri sendiri dan boleh dia cakap “Teh kalau kau nak makan, masak sendiri. Aku bukan orang gaji kau”. Di mana kelembutan seorang ibu? Nenek suka membebel sambil mengeluarkan kata- kata kesat seperti “teh kau ni dahlah bodoh, tak ada suami, nanti mati pun tak ada orang kisah”. Aku menyaksikan sendiri situasi itu dan aku kadang- kadang terlepas cakap jugak, melawan nenek. Maklumlah cucu derhaka. Aku pernah cakap “tak payahlah nenek sibuk hal orang. Kita ni muda pun ada yang mati, tua lagilah. Orang tahulah semua benda yang nenek pernah hina ibu dengan ayah dulu”. Nenek biasanya akan cakap “Fitnah semua itu. Aku tak pernah mengata orang”. Iyalah nenek. Nenek je yang betul. Bulan demi bulan, nenek mogok. Nenek tak nak makan dan suatu hari nenek hypo sebab tidak makan tapi insulin tetap ambil (nenek ada diabetes).

Nenek cakap nenek stress. Nenek tak nak makan apa- apa selagi mak teh ada dekat rumah. Dia cakap dia benci mak teh. Mak teh menyusahkan. Aku tidak tahu, mungkin mak teh pun ada kelemahan yang aku tak pernah tengok. Tapi ada ke dalam dunia ni seorang ibu yang benci anak sendiri. Haiwan pun tahu sayang anak. Tengok muka mak teh pun nenek benci apa lagi nak menjaganya. Mak teh akhirnya membawa diri. Mak teh sambil nangis- nangis cerita dekat aku yang walaupun dia susah setiap bulan dia akan beli seguni beras, cili dan bawang- bawang sebagai bekalan untuk rumah nenek. Tapi nenek tidak pandang semua itu. Nenek sibuk jaja cerita yang dia tidak pernah dapat duit daripada mak teh. Mak teh gila la, bodohla, kena tinggal suami sebab meroyanlah dan macam- macam lagi. Sekarang nenek masih lagi di hospital. Ibu tengah jaga nenek. Tidur bawah katil lagi la. (yang pernah kena jaga orang dekat wad hospital kerajaan fahamla). Ibu cakap dari pagi sampai petang nenek tak habis- habis memburukkan mak teh.

Konklusinya, kita sebagai seorang ibu perlu sedar bahawa kadang- kadang kata- kata kita itu adalah sebenarnya doa. Nenek selalu cakap mak teh tu gila , bodoh tanpa dia sedari sebenarnya kata- kata tersebut adalah doa secara tidak langsung. Wajarkah seorang ibu mencaci, menghina dan memburukkan anak sendiri. Ibu selalu cakap ibu takut jadi macam nenek. Aku harap para ibu atau bakal- bakal ibu dekat luar sana janganlah pilih kasih. Betul lah kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dulu nenek tidak pilih kasih dan adil dalam memberi kasih- sayang mungkin kesemua anak- anak nenek berjaya. Anak-anak adalah anugerah Allah dan kita sebagai ibu bapa lah yang perlu mencorakkan keperibadian anak- anak. Apa yang kita buat sebagai ibu bapa, itulah yang akan kita dapat waktu tua nanti. What goes around comes around. Jujur aku cakap aku hanya menghormati nenek atas sebab dia yang melahirkan ibu aku. Tiada rasa kasih dan sayang pun dalam hati aku terhadap nenek. Aku harap suatu hari nanti nenek akan berubah menjadi seorang ibu yang lebih baik, Sebagai ibu bapa kita juga perlu menilai diri kita sendiri, tanya diri sendiri “apa dosa aku dengan anak- anak hari ini?”

– cucu derhaka

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit