Emosi Ramadhan

Emosi Ramadhan

Assalamualaikum korang semua.

Bagaimana puasa sepanjang sebulan korang? Okay ke? Saya alhamdulillah okay. Semoga puasa kita diterima Allah sebagai amalan yang dapat memberatkan Mizan diakhirat nanti insyaAllah.

Tujuan saya menulis di IIUMC ini tidak lain tidak bukan untuk berkongsi tentang perasaan saya sebelum azan berbuka pada akhir Ramadhan sebentar tadi. Saya tahu mungkin perkara begini tidak asing berlaku dalam kalangan kita, tetapi entahlah. Mungkin sedikit emosi, atau sedikit kebudak-budakan. Who knows.

Okay, begini.

Jam menunjukkan jam 7.17, dalam beberapa minit sahaja mahu berbuka. Saya diam keseorangan di bilik, belum ke dapur makan untuk menunggu waktu berbuka sambil menolong ibu dan adik beradik lain menghidang makanan. Hati rasa kosong. Tertanya-tanya juga, apakah diri ini tidak peroleh tarbiah Ramadhan? Atau, mungkin rasa ‘kehilangan’ itu mula menyapa. Saya bukanlah orang yang kuat agama, bukan juga calon-calon untuk jadi ustaz. Hanya seorang insan biasa, tidak lekang daripada dosa. Tetapi petang ini saya agak terkesima dengan emosi tak menentu ini.

Orang kata doa sekitar tempoh berbuka itu adalah waktu yang bagus. Jadi tanpa membuang masa, tangan yang sukar sekali untuk menadah doa selepas solat ini, laju mengangkat dan menjunjung ke langit, meminta daripada Allah agar dipanjangkan usia untuk ke Ramadhan yang seterusnya. Saya suka Ramadhan. Walaupun saya tidak penuhi hari-hari Ramadhan dengan ibadah, ya saya seorang yang lalai, tetapi jauh di sudut hati ini, ada rasa cinta pada Ramadhan. Bukan cinta kerana perlu berlapar menahan rasa dahaga dan lapar. Bukan juga kerana ada terawikh pada malam harinya. Cinta mungkin kerana Ramadhan ini satu-satunya bulan yang menatijahkan ketenangan hati, merasai indah hari-harinya, dan juga mungkin kerana disiplin waktu solat yang secara automatik terpupuk secara semulajadi pada diri.

Teringat ketika umur masih muda, sungguh puas rasanya bila Ramadhan habis. Boleh diibaratkan ketika pagi raya itu, mahu balas dendam makan banyak-banyak atas rutin menahan lapar selama sebulan. Kini saya fikir yang Ramadhan ini bukan sahaja bulan untuk berlapar, tetapi ia merupakan 1 didikan untuk kita tempuhi bulan-bulan yang seterusnya. Apa yang saya belajar daripada Ramadhan adalah, tidak membazir, sentiasa menolong ibubapa, tidak janggal berkorban untuk mereka, dan sebagainya. Mungkin nilai begini yang membuatkan saya ‘rindu’ untuk bertemu semula dengan Ramadhan tahun hadapan.

Malam ini orang masjid akan takbir raya. Dulu ketika muda, saya sedih dengar takbir raya. Sekarang bila difikir semula, mengapa mahu sedih? Hari Raya hari kemenangan. Kita menang menahan nafsu. Kita menang dengan mempelajari nilai islam yang dipupuk ketika Ramadhan. Sungguh, amat banggalah untuk saya takbir raya sekitar awal Syawal ini.

Tahun ini tahun satu keluarga beraya di kampung. Adik beradik sudah berkumpul di rumah. Saya harapkan kegembiraan. Saya harapkan eratnya silaturrahim antara kami. Moga keluarga kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah dan dipertemukan di dalam syurga Allah nanti.

– Mimi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit