Guru Tak Amanah

Saya melihat pengakuan tersebut sesuai dengan realiti rakyat Malaysia sekarang, tidak kiralah penjawat awam atau swasta dari pelbagai bidang. Bukan berlaku dalam bidang perguruan sahaja. Saya juga merupakan seorang guru dan mempunyai masalah yang sama seperti ‘confessor’ tersebut kerana di sekolah saya mengajar juga wujudnya mereka yang tidak amanah menjalankan tugas yang diberi. Saya bercakap berdasarkan dunia pendidikan dan situasi yang berlaku di sekolah. Tetapi realitinya berlaku di mana-mana bidang pekerjaan.

Tidak amanah atau tidak bertanggungjawab dalam bekerja kadang-kadang berlaku tanpa kita sedari. Perkara ini menjadi sedemikian rupa kerana sudah menjadi perkara biasa sehingga kita mengabaikan sisi negatif perbuatan kita. Pertama, masuk lambat ke kelas atau keluar awal dari kelas bukan situasi yang boleh kita bertolak ansur. Bermain permainan komputer semasa waktu pejabat juga tabiat tidak amanah dalam bekerja. Masa kita tidak boleh undur atau dicepatkan. Setiap detik waktu pejabat kita termasuk dalam gaji yang kita terima pada hujung atau awal bulan. Menipu masa bermaksud gaji yang kita terima bukan 100% halal ya tuan-tuan sekalian. Saya sebolehnya akan masuk dan keluar kelas tepat pada waktunya, kadang-kadang berdiri di luar kelas sebelum kelas saya bermula atau menunggu pertukaran jadual dengan guru lain. Saya tak nak merangkak di akhirat nanti mencari seorang-seorang anak murid saya minta dihalalkan masa yang saya terlambat masuk atau terkeluar awal.

Kedua, sedarkah kita jika tidak amanah dalam bekerja sebenarnya wujud penganiayaan kepada orang lain. Jika kesannya ditanggung sendiri oleh pelaku, mungkin saya tak kisah. Tetapi ia juga memberi kesan kepada orang di sekelilingnya. Guru yang cuti awal atau balik dari cuti lambat, terpaksa diganti oleh guru lain yang sudah sedia menanggung banyak beban. Murid-murid yang tidak belajar semasa guru tersebut masih seronok bercuti boleh dikatakan menganiaya orang lain. Pernah terfikir tak jika ada dalam kalangan rakan guru kita atau anak murid tersebut anak yatim piatu? Dosa kepada insan biasa lain sudah tidak tertanggung, inikan pula dosa menganiaya anak yatim piatu. Besar dosanya cikgu, berubahlah!

Ketiga, kadang-kadang dalam bekerja kita tidak perasan kita ada terambil hak orang lain. Saya nak menegur rakan-rakan terutama dalam bidang perguruan supaya jangan ambil hak anak murid kita. Selalu nampak rakan-rakan guru yang minum susu sekolah murid (bukan untuk menguji minuman jika basi), makan makanan RMT murid (jika diberikan agar tidak membazir sebab lebihan, cerita lain), menggunakan mesin pencetak sekolah untuk kegunaan peribadi dan macam-macam lagi sebenarnya salah. Nampak benda ni kecil sahaja kan, tapi kita tetap dikira mengambil hak orang lain, lagi-lagi hak anak yatim piatu. Dulu saya pun begitu, pernah menggunakan mesin pencetak untuk kegunaan peribadi. Setelah sedar, saya belikan kertas dan dakwat pencetak yang baru sebab saya takut sangat-sangat benda ni disiarkan di akhirat kelak.

Keempat, cikgu-cikgu yang tidak mengajar semasa berada di dalam kelas dan biasanya diganti dengan sesi berborak kosong, sesi mewarna atau melihat kartun memang tidak boleh dimaafkan. Jangan disalahkan anak murid, sebab kaca mata seorang kanak-kanak lebih suka kepada hiburan. Perkara ni berlaku di banyak sekolah, lagi-lagi kawasan pedalaman yang tidak dipantau. Tapi jika dipantau secara tiba-tiba kenapa nak takut kalau tidak membuat kesalahan kan. Cikgu-cikgu kena ingat, pihak PPD atau orang atasan tak pantau kita, tapi kita tidak boleh lari daripada dipantau yang di atas, Tuhan kita. Ingatlah balasan kadang-kadang dapat di dunia atau mungkin di akhirat. Tapi siapalah saya untuk menghukum anda kerana saya juga bukan Tuhan. Saya selalu terfikir, murid-murid yang datang ke sekolah jauh dari rumah atau datangnya dari keluarga yang mengharapkan pendidikan untuk mengubah nasib keluarga tapi balik sekolah tak dapat apa-apa. Sebab cikgunya tak mengajar. Beginilah, kita marah tak jika anak kita diperlakukan macam yang kita buat kat anak murid kita? Kalau rasa tak suka, maka berhenti dan bertaubatlah.

Kelima, cikgu yang suka mendoakan yang bukan-bukan untuk anak murid. Situasi di dalam bilik guru atau di dalam kelas sering saya terdengar doa yang tidak baik buat anak murid. Masalah disiplin atau kurang pandai dalam pelajaran atau kokurikulum bukanlah alasan untuk kita mendoakan mereka dengan yang tidak baik. Anak-anak murid yang rata-rata belum lagi akil baligh masih banyak lagi kekurangan yang mereka ada. Jika anak murid tidak pandai walaupun sudah berusaha sebaik mungkin, doakan mereka pandai dan teruskan usaha kita mengajar. Murid yang membuat masalah disiplin, hukum berpada-pada dan doakan mereka berubah. Mereka bukan anak kita, suka-suka dipukul hingga menyebabkan kecederaan atau kematian. Memberi kepandaian bukan datang dari kita, jika marah-marah semasa mengajar, takut hilang ikhlasnya kita bekerja.

Oleh yang demikian, diharap agar kita semua sama-sama sedar dan muhasabah diri dan berubah ke arah kebaikan kerana perkara ini salah di sisi mana-mana agama. Minta maaf sebab banyak menggunakan contoh dari dunia perguruan. Siaran ini bukan untuk menjatuhkan imej perguruan, tapi untuk memberi nasihat walaupun diri ini juga masih banyak kelemahan. Tidak salah berkongsi atau menegur. Perkongsian melalui media maya mungkin lebih lembut caranya berbanding menegur secara berdepan. Tapi kalau kita tak buat, kenapa kita nak terasa kan. Perkara ini sebenarnya boleh diaplikasi dalam mana-mana bidang sekalipun. Ikhlaskan diri bekerja dan amanah dalam tanggungjawab kita kerana bekerja juga satu ibadah. Manisnya mungkin tidak terasa sekarang, namun lebih manis dirasai di hari kemudian kelak. Sama-sama kita berubah dan meninggalkan tabiat yang tidak baik dalam bekerja. Terima kasih atas bacaan anda. Jom kongsi ramai-ramai.

– Guru Malaysia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit