Hati Mati

Aku tak tau macam mana dan perkataan apa yang patut aku guna untuk aku tulis tentang isi hati aku. Anggaplah nama aku Syazreeq, berusia 20an. Tangan aku masih mampu menulis, kaki aku masih kuat berjalan, secara fizikalnya aku hidup, tapi hati aku kurasakan mati.

Mungkin silapnya pada diri aku sendiri. Aku sedar aku sudah jauh dari agama. Hari-hari aku rasa gelap dan mendung.

Bulan Ramadhan kata orang adalah masa untuk menghidupkan dan melakukan ibadah, namun setiap yang aku lakukan terasa kosong dan tak ada makna. Aku tak pernah rasa apa yang orang lain katakan kemanisan beribadah, ketenangan hati.

Mungkin atas sebab kisah silam aku, episod-episod pertengkaran antara aku dan ayah aku yang berlarutan bertahun lamanya. Mungkin kerana aku tak pernah memeluk atau mencium tangan ibu bapa aku. Mungkin kerana berlaku satu fasa dalam hidup aku di mana aku mula meninggalkan solat kerana aku rasakan aku adalah manusia hina yang tak layak langsung berada di atas tikar sejadah. Setiap kalimah alQuran yang aku bacakan hanyalah bacaan monotone yang tak memberi kesan apa-apa sekalipun pada hati aku.

Mungkin kerana ada momen-momen dalam hidup aku yang mana aku berharap agar aku tidak lagi bernyawa. Aku pernah mengelar tangan aku berkali-kali kerana aku rasa diri aku ni hanyalah beban semata-mata.

Aku tinggalkan perkara-perkara wajib, apatah lagi sunat. Segala hobi dan minat aku tidak ada apa2 makna lagi pada aku. Sangat sukar untuk aku rasa gembira. Suara laungan azan dan bacaan alQuran tiada memberi impak pada diri aku, malah aku menutupnya setiap kali kerana ia mengingatkan aku betapa gagalnya aku sebagai seorang Muslim. Fikiran-fikiran negatif, cynical dan pesimistik adalah makanan kepada jiwa aku. Hati aku kosong.

Bertahun lamanya aku pendam. Sekarang aku cuba untuk kembali ke tikar sejadah walaupun sekiranya aku jujur aku hanya melakukannya atas dasar keterpaksaan oleh ibu aku. Bisikan-bisikan jahat mengatakan yang Allah tidak mahu menerima doa-doa aku, solat aku, sujud aku kerana hati aku hitam.

Aku taknak cerita apa yang aku lalui selama beberapa tahun ni. Aku penat mengulangi dan mengingati perkara2 yang bagi aku adalah pahit untuk aku bicarakan.

Pasti akan ada golongan Islamik yang akan menyuruh aku agar bertaubat dan bersabar. I have tried. Tapi tidak pernah aku merasakan hidayah. Berapa lama lagi harus aku tunggu agar sampainya petunjuk? Ada sesiapa berani jamin yang aku tidak akan semakin jauh tersesat sementara aku menanti nur Ilahi?

Hari ni hari raya. Sekali lagi aku ditampar oleh realiti betapa aku berasa sunyi tanpa ada kawan atau saudara. Baju raya aku langsung aku tak beli. Tiada sekeping gambar pun aku bersama keluarga. Tiada kunjung mengunjung. Tiada maaf-maafan di pagi raya.

Aku penat. Aku takut. Dan aku harap satu masa nanti semua ni akan terhenti.

– Syazreeq

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *