Ibu Mertua Pilih Menantu

Ibu Mertua Pilih Menantu

Assalamu’alaikum.Saya Hawa, dah 7 tahun mendirikan rumah tangga dengan Adam.
Saya berkahwin bukan atas dasar suka sama suka. Saya tak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki kerana pada saya, ayah dan abang-abang saya dah berikan perhatian & kasih sayang terbaik sehingga saya tak rasa perlukan cinta lelaki lain semasa remaja. Abang-abang saya sangat protective, sentiasa ada untuk berkongsi cerita, mengajar dalam matapelajaran, menasihati saya dalam menjaga adab sebagai perempuan muslim dan sanggup menemani ke mana saja saya pergi. Saya rasa sempurna sebagai anak dan adik perempuan.

Sehingga umur saya 24 tahun, datang seorang pemuda berjumpa ma dan ayah untuk minta izin ingin melamar saya. Dia adalah senior sekolah saya. Saya rasa ingin memberontak kerana tak terfikir untuk berumah tangga. Ayah bertanya adakah ibu bapa dia tahu tentang saya, dia jawab belum tahu lagi. Ayah saya sebagai orang lama nasihatkan Adam, redha ibu ayah
kunci utama rumahtangga bahagia. Kalau ibu ayah suka, ajaklah datang rumah kami tengok kesayangan pakcik ni. Adam berikan saya masa untuk beristikharah sebelum berikan jawapan.

Ma minta saya berpuasa dan beristikharah. Dalam musyawarah keluarga, ma dan ayah beritahu mereka juga beristikharah dan berkenaan dgn Adam. Saya kelu. Baik bagi org tua saya, baiklah bagi saya sebab saya sangat cintakan ma dan ayah.
‌Saya tak pernah berkomunikasi dengan Adam sejak zaman sekolah hingga saat ini. Saya tak mengenali latar belakang Adam. Saya tak tahu nak menyiasat melalui siapa tentang peribadi Adam.

Selepas sebulan, Adam bawa ibu bapanya datang ke rumah saya. Ibunya tak banyak cakap, cuma banyak memerhatikan saya. Setiap kali merasa diperhatikan, saya cuma melemparkan senyuman.

Akhirnya kami bertunang, majlis Kami sangat sederhana. Tak ada kenduri kendara. Cuma majlis ringkas antara keluarga saya dan keluarganya. Kata ayah, kita ikut syariat, rahsiakan pertunangan, kahwin nanti baru hebahkan. Hantaran perkahwinan pun ayah minta cuma RM4k sahaja dengan alasan taknak menyusahkan Adam, sedangkan saya ada degree. Ayah pesan pada Adam, pakcik yakin Adam mampu jaga Hawa dengan baik, sayangilah Hawa sebagaimana pakcik sayangkan dia. Allah, terharu sangat saya. Sepanjang pertunangan kami tak pernah berhubung, ma, ayah dan abang-abang jadi perantaraan. Kami tak pernah keluar sepanjang pertunangan. Acah-acah cinta Islamik, konon nak menjaga kesucian hubungan sudahnya dapat ibu mertua yang tak sukakan saya.

‌Akhirnya Allah satukan kami. Menangis ma dan ayah lepaskan saya jadi tanggungjawab Adam. Kami tinggal dengan ma ayah sehingga anak keempat kami baru berpindah rumah Yang Adam beli. Selama tinggal dengan ma ayah, Adam tak pernah hulurkan duit dapur atau bil air dan elektrik. Saya malu untuk minta Adam berikan duit sebab saya tak biasa meminta-minta ni. Saya fikir, Adam sebagai manusia normal boleh fikir sendiri untuk hulurkan duit dan tak perlu diberitahu sebab kami ni dah dikira menumpang. Ma ayah tak pernah mengungkit pun, tapi saya rasa sangat malu. Setiap bulan saya hulurkan duit saya dan beritahu ma ini duit Adam bagi buat belanja dapur.

Raya pertama di rumah mertua nun di utara tanah air, saya sarat 8 bulan mengandungkan anak pertama, saya tak dapat cuti pada Hari Raya. Tapi mertua mendesak sehingga saya terpaksa tebalkan muka merayu kepada boss untuk dapat cuti, akhirnya saya dapat cuti sehari. Adam dapat seminggu cuti raya. Ibu mertua saya bising dan suruh Adam tinggal di kampung hingga habis cuti raya, jadi mereka belikan siap-siap tiket bas untuk saya pulang sendiri nanti. Saya menagis teresak-esak seorang diri sebab sangat sedih kerana suami saya ikut saja kemahuan ibunya sedangkan saya yang sedang sarat mengandung disuruh balik sendiri naik bas. Saya bukan minta Adam lebihkan saya dan ketepikan ibunya tapi saya cuma mengharapkan ihsan seorang suami, saya ni tengah sarat mengandung, dibiarkan naik bas seorang diri dalam perjalanan Yang jauh.

Malam hari raya, saya tolong mertua masak dan kemaskan rumah walaupun Allah je yang tahu sakit habis pinggang & kaki sebab perjalanan jauh dari selatan ke utara. Hampir 1 pagi, yang terakhir saya tolong masukkan pulut dalam ketupat, saya minta izin untuk berhenti sebab dah tak larat sangat dan kaki dah kebas, tapi ibu mertua saya cakap sikit je lagi takkan tak larat. Saya terasa hati dan teruskan juga sampai habis. Sebelum masuk tidur, ibu mertua saya berleterkan suami saya, aku dah pesan nak menantu pensyarah atau cikgu kau nak jugak kawin dengan dia. Tengok, cuti raya pun susah nak dapat. Rasa macam dihempap batu, saya baru pertama kali beraya bersama mertua, tak sangka dia tergamak cakap camtu. Dia ingatkan saya ni terhegeh-hegeh sangat ke nakkan anak dia, saya tak mengorat langsung anak dia. Adam yang datang minta saya pada ma ayah. Saya berkahwin dangan anak dia atas restu ma ayah. Kalau dia taknak saya, kenapa tak beritahu awal-awal masa datang jumpa ma ayah saya.‌

Sebelum zuhur Adam kalut hantar saya ke stesyen bas, kawan sekolah Adam yang datang ziarah raya terkejut dan cakap, Adam, kalau aku jadi hang, aku tak sanggup buat bini aku yang sarat mengandung macamni sebab kalau jadi apa-apa kat bini aku, aku takkan maafkan diri aku. Adam cuma diam. Dalam kereta, pertama kali saya menangis kuat-kuat depan Adam. Saya tanya kenapa dia degil kahwin dengan saya sedangkan dia tahu ibunya tak suka saya. Adam tetap diam je. Saya cakap, doakanlah saya mati beranak biar dia dapat kawin dengan menantu pilihan ibu dia. Adam cuma minta maaf berkali-kali. Saya berharap Adam akan pujuk dan hantar saya balik, sayangnya harapan hanya tinggal harapan. Saya menangis sepanjang perjalanan hingga bengkak mata.

Beberapa hari sebelum due, ibu mertua minta balik kampung. Saya turutkan je walaupun doktor dah pesan jangan travel jauh. Pada saya, gembirakan hati ibu, besar rahmat Allah. Kat rumah ibu mertua, makan atas tikar, masa makan tengah hari, saya tak ambil apa-apa lauk sebab perut membesar dan tangan tak sampai untuk ambil lauk. Adam sibuk layan sepupunya yang baru sampai, mak sedara Adam minta ibu mertua saya letakkan lauk di pinggan saya, dia jawab nasib baik mengandung kalau tak jangan haraplah nak tolong letakkan lauk, sambil menjeling sinis. Allah, saya rasa tak mampu nak telan dah. Dia ingatkan saya ni nak buat dia jadi hamba saya ke. Sedih sangat, tapi sampai harini saya tak pernah cerita kat Adam.

Setiap kali datang rumah kami, ibu mertua selalu tegur dan minta barang-barang dalam rumah kami. Nak oven lah, nak penapis air, nak toto lah. Sedangkan demi Allah, semua tu saya yang beli sendiri. Saya bukannya kedekut, saya pun mengumpul duit untuk beli semua tu. Sikap ibu mertua saya sangat berlainan dengan ma dan ayah. Ma ayah bukan saja tak pernah minta apa-apa bahkan bila tengok je apa-apa barang-barang di rumah kami rosak, terus belikan yang baru tanpa kami minta. Saya sayangkan sangat kat ma ayah.

Sekarang, mertua saya Ada 4 menantu, 3 perempuan 1 lelaki, dia tak suka dengan semua menantu. Dekat saya dia mengumpat semua menantu. Semuanya tak kena, dia beritahu meraka tak pernah hulurkan duit ( sedangkan dia tak tahu Adam pun tak pernah nak berikan duit kat ma ayah saya tapi mereka tak pernah sekali pun ungkit), dia mengadu kat saya sebab setiap kali berjumpa saya tak pernah sekali lupa untuk berikan duit dan setiap kali suami saya dapat gaji, saya sentiasa pesan jangan lupa transfer duit kepada ibu bapa dia. Saya cakap dalam hati, orang macam ni tak mustahil dia jugak mengumpat aku sebab dia mengumpat orang lain kat aku. Jadi saya dengan bersopan cakap, ibu, mama saya selalu nasihatkan abang-abang dan saya, layan mertua macam ma ayah jugak, jangan lupa hulurkan duit kat mertua sebab mereka yang lahirkan dan bersusah payah besarkan pasangan hidup kita. Mertua saya terus ubah topik lain. Pada pandangan mata saya, biras-biras saya semuanya baik, rajin dan tak melawan bila ibu mertua berleter.

Ibu mertua saya ni jenis tak pandai hormat orang, kalau dia suruh saya masak, anak kecik saya menangis, saya pergi susukan anak dulu, dia akan bising-bising kat dapur, hempas pinggan mangkuk cakap saya lembap buat kerja, sedangkan anak perempuan dia yang bujang ada je lepak dalam bilik. Ada saja yang saya buat tak kena kat mata dia. Pernah dia bising-bising saya lambat buat sarapan sebab anak terunanya tak makan lagi dan dah nak pergi kerja. Saya tertanya-tanya dalam hati, saya ni isteri siapa sampai dia bising-bising macamni. Dah tahu tak sarapan lagi, masaklah sendiri, kakak ipar ni dengan ada anak kecil lagi yang meragam pagi-pagi. Kalau saya masak ada saja komennya, tawarlah, masinlah, sedangkan bapa mertua puji je sedapnya Hawa masak. Saya rasa kalaulah mama ayah saya tahu macam ni perangai dia, mesti mereka mintak pulangkan saya balik.

Ibu mertua saya ni, kalau anak perempuan dia balik rumah, mereka bersembang dari pagi sampai malam mengumpat orang je kerjanya. Semua orang salah, anak orang ni salah anak orang tu salah, dia je yang betul. Kalau buat kenduri pulak nak grand saja, kalau mampu apa salahnya, tapi ayah mertua selalu cakap dia tak berkenan dengan perangai ibu mertua saya. Tengok jiran sebelah bagi goodies mahal, dia nak bagi yang lagi mahal. Dia siap persoalkan lagi kenapa majlis pertunangan saya tak jemput orang, kalau kat tempat sini buat macam majlis kamu buat malu je. Saya dengan rendah hati jawab, ayah dan ma cakap kami hanya ikut syariat, hikmahnya kalau terputus hubungan atau tak jadi kahwin, tak lah mengundang fitnah atau menjatuhkan air muka. Dia buat-buat tak dengar apa yang saya jawab.

Yang saya sedih sangat sampai sekarang, bila sembang anak beranak dia selalu cakap kat anak bujang dia, kau jangan lupa cari isteri pensyarah, aku nak pensyarah atau cikgu. Cikgu atau pensyarah ni pandai hormat orang tua, sopan santun, cuti pun banyak, duit pun banyak boleh beli kereta besar. Bila bercakap tak habis-habis nak perli menantu. Bila ayah mertua saya tegur mulalah sentap, tarik muka, merajuk taknak makan. Saya doakan moga tercapai impian dia bermenantukan pensyarah atau cikgu yang tegas dan tak boleh dipijak-pijak, biar bertemu buku dengan ruas. Biar dia tahu bersyukur dapat kami ni menantu yang tak pandai melawan.

Kenapalah wujud manusia macam ni. Saya dah lama pendam, harini saya luahkan bukan untuk buruk-burukkan mertua saya, tapi saya nak pesan kepada mertua kat luar sana. Kami ni menantu kalian, isteri kepada anak lelaki kalian, bukan perampas, bukan tergedik-gedik gatal nakkan sangat anak lelaki kalian. Tapi Allah dah aturkan jodoh ni. Kalau dari awal saya tahu jadi macam ni, awal-awal lagi saya dah reject anak makcik, lebih baik bujang daripada menderita dibenci mertua. Tapi saya yakin qada’ dan qadar Allah, aturkan Allah pasti ada hikmah. Kalaulah sebelum kawin kami tahu kalian tak sukakan kami, kami pun tak sudi nak kahwin dengan anak kalian. Layanlah menantu kalian baik-baik. Kalian pun ada anak perempuan, apa rasa kalian bila besan kalian bagi layanan buruk kat anak perempuan kalian? Apa perasaan kalian bila ibu mertua kalian juga layani kalian sebagai mana kalian melayani kami. Allah maha Adil, harini kalian berada di atas, esok belum tentu lagi kalian masih di atas lagi. Kami juga manusia, ada hati dan perasaan.

Kepada Adam, saya ni awak ambil dari ma ayah yang tatang saya dengan minyak yang penuh. Kalau ma ayah abanglong dan abang-abang tahu begini layanan awak dan ibu awak, pasti mereka amat kecewa. Saya tak pernah minta jadi yang pertama di hati awak, cukup awak nasihati ibu awak dengan hikmah dan sayangilah saya selayaknya kerana saya juga ibu kepada anak-anak awak. Lunaskanlah nafkah awak walaupun saya bekerjaya tak bermaksud saya tak perlu dinafkahi. Walaupun saya tak pernah meminta-minta janganlah awak fikir tanggungjawab awak cuma bayar duit dapur dan bayar bil sahaja. Anak-anak ini anak awak juga. Saya seorang yang pemalu, mulut saya kaki lidah saya kelu untuk meminta-minta, tapi jangan kerana malunya saya awak semua ambil kesempatan.

Mohon pembaca sekalian doakanlah ibu mertua saya lembut hati dan diberikan hidayah. Kepada adik ipar saya, sekiranya awak jugak baca confession ini, sila beritahu ibu tentang luahan ini. Sekian, saya isteri yang naif dan tak sempurna.

– Hawa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit