I’m 28 and I’m Lost

I’m 28 and I’m Lost

Assalamualaikum para pembaca sekelian dan terima kasih kepada admin yang sudi siarkan ‘confession’ ini. Baru pertama kali aku menulis coretan di ruangan ini. Selama ini aku hanyalah ‘silence reader’ IIUM confession. Maaf tajuknya dalam bahasa inggeris. Sebab aku rasa macam lagi ‘kena’ tulis tajuk dalam bahasa inggeris. Hehe. Beberapa hari ini terdetik dalam hati nak menulis di IIUM confession. Maaf kalau ‘confession’ ini terlalu panjang. Terpaksa cerita panjang lebar agar para pembaca sekelian lebih memahami.

Sedikit pengenalan tentang aku, nama aku nora. Berumur 28 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat master di salah satu universiti awam tanah air. Masih lagi ‘single’ dan berstatus penganggur terhormat. Pengajian peringkat master aku mengambil masa selama 4 tahun untuk dihabiskan. Kenapa lama sangat? Mari aku ceritakan kisahnya.

Dari sekolah rendah lagi aku dikenali sebagai seorang pelajar yang pintar. Aku sering mendapat anugerah pelajar cemerlang dan sering mendapat pujian guru-guru kerana kepandaian aku di dalam pelajaran. Selain itu, aku juga memegang jawatan sebagai seorang pengawas berjawatan tinggi serta sangat aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum dan sering menjadi wakil sekolah untuk pelbagai pertandingan. Hampir semua guru mengenali aku dan aku telah menjadi salah seorang pelajar harapan untuk mendapat ‘straight’ A’s didalam peperiksaan SPM. Aku juga mempunya sifat ‘humour’ yang tinggi menyebabkan orang senang berkawan denganku.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima menjadikan aku seorang yang sangat optimis dan sentiasa positif dalam hidup. Aku bercita-cita besar dan bermotivasi tinggi untuk menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Dipendekkan cerita, selepas saja tamat SPM dan program matrikulasi aku mendapat tajaan biasiswa JPA untuk menyambung pengajian ke peringkat ‘degree’. Di peringkat degree pula, walaupun kos dan subjek yang aku ambil agak ‘tough’, namun begitu aku berjaya menghabiskan pengajian aku dengan cemerlang. Semuanya nampak mudah bukan untuk aku? Namun begitu, langit tidak selalu cerah, kadang-kala mendung juga. Hidup aku menjadi ‘tunggang-terbalik’ sebaik sahaja aku melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu di peringkat ‘master’.

Di peringkat ini, hidup aku benar-benar diuji. Aku memilih mode ‘research’ untuk master dan kesalahan pertama aku adalah apabila aku tidak membuat kajian teliti tentang latar belakang ‘supervisor’ yang aku pilih. Bagi aku semua guru adalah sama sahaja, tugasnya hanyalah untuk mendidik. Tanpa aku sedar, pemilihan ‘supervisor’ yang bagus adalah sangat penting agar peringkat pengajian ‘post graduate’ ini berjalan dengan lancar. Ia sangat berbeza bagi peringkat ‘degree’. Sebaik sahaja mendaftarkan diri, aku cuba untuk berbincang dengan supervisor tentang kajianku. Namun begitu beliau seolah-olah mahu lepas tangan dan mahu aku jalankan projek itu sendirian. Aku menjadi sangat tertekan kerana merasakan diri ditinggalkan sendirian tanpa tunjuk ajar yang sepatutnya. Beliau juga sering memperlekehkan pelajar-pelajar beliau dan membuatkan pelajar merasa ‘down’. Rupa-rupanya sebelum aku, sudah ramai pelajar yang telah ‘lari’ daripada beliau sebelum ini akibat sifat acuh tak acuh beliau. Sifat beliau sangat berbeza dengan guru-guru aku sebelum ini. Betullah kata pujangga ‘ Expectation will hurt’.

Kajian yang aku jalankan adalah kajian yang sangat baru dan sebagai seorang pelajar yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia ‘research’ aku perlukan bimbingan dan buah pandangan daripada beliau. Setiap kali berjumpa pula, kadang-kadang beliau melepaskan kemarahannya padaku atas kesalahan yang tidak aku lakukan dan kadang-kadang pula aku hanya sempat berbincang tentang kajianku sedikit sahaja, selebihnya aku terpaksa mendengar keluhan-keluhan dan umpatan beliau pada orang lain. Aku dan beberapa pelajar lain di bawah seliaan beliau juga sering juga dijadikan sebagai ‘hamba’ oleh beliau di mana kami sering diminta menemaninya ‘shopping’, mengajar anaknya tuisyen secara personal, mengambil dan menghantar anaknya sekolah, membeli barangan peribadi dan bermacam-macam lagi. Kehidupan seharian aku bukanlah sibuk menjalankan kajian di makmal, tetapi sibuk menguruskan hal peribadi beliau.

Sekiranya aku dan sahabat lain tidak buat seperti yang diminta, beliau akan merajuk serta memburuk-burukkan kami satu fakulti serta pada pensyarah lain dan kami akan dimalukan. Kami juga akan dilabelkan sebagai pelajar yang bermasalah. Salah seorang sahabat aku pernah menjadi mangsa beliau dan aku tidak mahu kejadian yang sama berlaku pada aku. Sekiranya kami meminta penukaran supervisor baru, perkara yang sama akan berlaku. Beliau akan buruk-burukkan kami pada supervisor baru kami. Kebolehan kami akan diperlekehkan. Jadi kami tiada pilihan lain kecuali terpaksa ‘stay’ dengan beliau.

Dugaan hidup aku makin bertambah bila mana di peringkat yang kritikal ini, aku mendapat ujian ditinggalkan kekasih hati yang sudah 9 tahun bersama aku atas sebab aku sibuk dengan pengajianku, hilang kawan baik akibat perselisihan faham dan aku gagal ‘proposal defends master’. Beban aku bertambah, di mana aku terpaksa membuat banyak kerja ‘part time’ untuk menanggung pengajian aku disebabkan mempunyai masalah kewangan. Saat itu, badan aku sangat penat, otak aku letih, jiwa aku lemah. Kurasakan hidup aku huru-hara dan tidak tenteram. Aku banyak menangis sendirian. Kalau dulu aku ada kekasih dan kawan baik untuk berkongsi masalah, kini aku hanya seorang diri memendam perasaan.

Aku ada bercerita yang kehidupanku sebelum ini sangat lancar bukan? Namun ia tidak berlaku untuk peringkat ini. Disebabkan ujian-ujian yang aku hadapi, aku menjadi seorang yang sangat kurang yakin diri dan tidak bermotivasi. Banyak lagi kegagalan yang aku terima dan ia membuatkan aku sangat tertekan sehinggakan aku telah didaignosis menghidapi penyakit kemurungan (peringkat awal) dan telah diberi surat oleh doktor untuk berjumpa dengan pakar psiakatri. Namun begitu aku tidak berbuat demikian. Aku cuba bermuhasabah diri aku kembali dan mengatur hidup aku satu persatu. Aku banyak dekatkan diri aku pada Allah, dan bermohon agar dipermudahkan segalanya untukku. Alhamdulillah, aku berjaya pulih dari sakitku dan walaupun agak lambat, aku berjaya menghabiskan pengajian masterku dengan cemerlang. Pemeriksa thesisku sangat berpuas hati dengan hasil kajianku dan memuji-muji thesis aku. Syukur pada Allah.

Walaupun aku telah berjaya menghabiskan pengajianku, namun sedikit sebanyak kejadian yang berlaku sewaktu pengajian masterku memberi impak yang sangat besar dalam hidup aku. Sampai sekarang, aku sering merasa sedih dengan apa yang berlaku dan sering merasakan diri seolah-olah tidak berguna. Aku hilang kekasih, aku hilang kawan baik. Aku jadi seorang yang kurang percaya diri. Tambahan pula sekarang, aku belum lagi mendapat sebarang pekerjaan tetap meskipun sudah beratus-ratus resume telah aku hantar. Kalau dulu hidup aku sentiasa ada matlamat, namun kini hidup aku kosong tanpa matlamat.

Aku tak tahu, apa lagi yang aku perlu lakukan dan capai dalam hidup. Umur aku telah menjangkau 28 tahun dan aku sering membanding-bandingkan diri aku dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Di peringkat ini, ramai yang sudah mempunyai suami dan anak-anak, pekerjaan tetap dan mempunyai aset sendiri. Aku pula? Masih lagi terkial-kial menghantar resume di sana sini, masih lagi hidup sendirian, gemuk, tak lawa, selekeh dan tiada lansung wang simpanan. Ya aku tahu, membanding-bandingkan diri dengan orang lain adalah tidak bagus. Namun begitu, susah untuk aku elakkan. Kadang-kadang aku merasa sedih melihat orang tua aku. Harapan mereka sangat tinggi pada aku. Dan sekarang, aku rasakan diri aku macam ‘total loser’. Tiada apa-apa yang boleh dibanggakan pada aku. Hidup aku kosong dan tiada matlamat lansung. Pada pandangan pembaca, apa yang patut aku buat sekarang? Ada tak tips untuk tingkatkan keyakinan diri dan jadikan hidup aku positif kembali? Kalau nak kongsi kisah hidup pun boleh juga. Untuk confession ini, apa yang baik jadikan panduan, yang buruk jadikan sempadan. Terima kasih banyak-banyak aku ucapkan pada yang sudi memberi komen. Sekian.

– Nora

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit