Kasih Emak

Assalamualaikum semua. Entri yang aku nak kongsikan ini sekadar pengajaran dan mungkin juga boleh dijadikan contoh yang baik. Aku tebak dalam kalangan kita pasti pernah merasakan kehilangan insan yang kita sayangi. Sakit kan rasa tu? Kita selalu diingatkan apabila matinya seorang manusia, doa anak yang soleh juga boleh menyelamatkan daripada azab kubur. Tapi bagaimana jika anak yang soleh itu pergi dahulu bertemu Ilahi sebelum ibu dan bapanya?

Arwah pak cik aku meninggal lebih kurang empat tahun yang lalu. Walaupun masa berlalu, tapi cara pemergiannya masih aku ingat sampai sekarang. Arwah anak ke tiga daripada tujuh beradik. Tak dinafikan memang sangat baik orangnya. Boleh dijadikan contoh anak soleh. Sebelum keluar bekerja dan selepas bekerja, dia akan singgah dahulu rumah mak ayah dia yang terletak tidak jauh daripada rumah dia. Itulah rutin harian dia sampailah dia diserang strok.

Serangan kali pertama, Alhamdulillah dia sembuh. Aku ingat lagi betapa dia struggled untuk belajar semula laungkan azan dengan betul. Belajar bacaan solat. Dia tak malu untuk belajar semula apa yang dia lupa. Alhamdulillah, dengan izin Allah dia sihat semula. Dia boleh bergurau macam biasa dengan ahli keluarga. Waktu tu dia gagahkan diri untuk memenuhi jemputan kulliah dhuha. Ditakdirkan, masa nak berwudhuk untuk solat dhuha, dia terjatuh di bilik air. Sekali lagi dia diserang strok. Dalam keadaan separa sedar, antara kata-kata terakhir dia, “Allah bagi sikit (kesakitan) sebab Allah nak bagi lebih banyak (ganjaran).”

Lepas tu dia memang lumpuh sepenuhnya. Semua anggota tubuh badan tak boleh digerakkan. Masa tu kami sekeluarga dah redha dah kalau ditakdirkan dia pergi. Waktu tu semua ahli keluarga yang ada memberikan kata-kata semangat dan kemaafan untuk dia. Tiada respon walaupun dia masih bernafas waktu tu.

Bila tiba giliran mak dia, lembut je kepala dia diusap. Antara kata-kata mak dia yang juga merupakan nenek aku yang masih aku ingat. “Abang anak mak yang baik. Anak mak yang soleh. Mak sayang sangat anak mak ni. Anak mak ni baik sangat. Mak halalkan setiap titisan susu mak untuk abang. Mak halalkan semua…” Lepas je nenek aku cakap macam tu, terus mengalir air mata pak cik aku walaupun dia tak boleh bergerak. Dia menangis dalam keadaan tersedu-sedan. Kami yang ada di situ pun rasanya dah banjir dengan tangisan.

Allah lebih sayangkan pak cik aku, keesokannya lepas waktu solat Jumaat dia dijemput Ilahi. Dalam keadaan yang baik, hari yang baik.

Kita tak tahu pengakhiran kita macam mana. Antara mak ayah dan kita siapa yang pergi dulu. Itu semua aturan Allah yang kita takkan pernah tahu.

Aku rasa terkilan dan sedih bila ada yang buat confession tak puas hati dengan mak ayah sendiri. Betul, ibu bapa pun buat silap. Tapi kita sebagai anak sebaiknya jaga aib mereka. Kalau ada kekuatan untuk menegur, tegurlah dengan berhikmah secara bersemuka, bukan di muka buku. Apa sangatlah perasaan memberontak dan jiwa berkecamuk kalau nak dibandingkan untuk segala penat lelah ibu yang mengandungkan kita, berjuang antara hidup dan mati untuk melahirkan. Membesarkan kita yang banyak ragamnya.

Selagi apa yang dipinta ibu bapa tidak melanggar syara’, maka taatilah, redhailah, syukurilah, kasihilah sebelum terlambat.

– Temah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit