Kawan Baikku Bernafsu Songsang

Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada semua Pembaca IIUM Confession.

Selama ni, memang aku rajin baca confession kat page ni, tapi kali ni tergerak hati nak share pengalaman sendiri. Rasanya daripada tajuk tu, mesti korang dah boleh agak cerita aku pasal apa. Ok, tak perlu intro panjang, aku mulakan cerita aku pada tahun 2013. Pada tahun 2013, aku mula bertukar ke sebuah bandar untuk berkhidmat di situ, kawan baik yang selama ni setia bersama pun bertukar ke sebuah negeri lain di utara tanah air. Masa tu memang hidup bosan, sebab kalau sebelum ni banyak aktiviti yang kitaorang lakukan, tapi kali ni semua aktiviti tersekat sebab jarak kitaorang. Pada tahun 2013 tu juga, aku mula berjinak-jinak dengan applikasi wechat. Bila aku sign up wechat, kawan-kawan masa sekolah rendah add aku ke dalam group diaorang. Dalam group tu la aku jumpa balik dengan kawan rapat masa aku sekolah rendah, Zia.

Sejak tu, kitaorang rajin chat, cerita balik kisah-kisah lama. Masa aku darjah 4 dan 5, aku sekelas dengan Zia ni dan kami memang rapat sebab dia Ketua Darjah dan aku Pengawas. Waktu rehat, pergi perpustakaan, hari sukan sekolah ke, pendidikan jasmani ke kitaorang memang selalu bersama. Tinggal lagi, aku ni dalam pasukan koir sekolah, dia tak sebab suara dia memang hampeh! Anyway, masa darjah 6, aku pindah sekolah jauh dari sekolah lama. Aku dan Zia pun terputus hubungan. Dulu-dulu mana ada handphone, telefon rumah pun takde. Jadi, bila jumpa balik ni memang kitaorang excited! Aku dengan Zia memang selalu spend masa bersama, tak kira la hari cuti ke hari kerja ke memang selalu lepak sekali. Zia ni perwatakan dia macam keras sikit dan memang dia macam tu dari kecil lagi. Kebetulan, kitaorang dua orang still single, takde steady boyfriend lagi jadi sebab tu la kitaorang selalu bersama. Zia ni kawan-kawan dia best-best sebab kerja dia memang selalu bagi peluang dia untuk kenal orang. Zia ni setahu aku pernah putus cinta teruk. Ex boyfriend dia dulu memang kaki pau dia cukup-cukup. Zia frust menonggeng sampai kena berhenti kerja dan balik kampung untuk pulihkan semangat. Sejak tu, Zia memang tak pernah ada boyfriend lagi, tu kalau ikut cerita Zia la.

Dalam bulan 6 tahun 2013 tu, Zia nak pindah masuk rumah dia beli. Tapi dia ni, walaupun perwatakan ganas, tapi sebenarnya penakut. Dia tak sanggup nak duduk sorang kat rumah tu dan dia ajak aku temankan dia. Asalnya aku taknak sebab rumah Zia dengan office aku jauh, so aku akan tanggung kos minyak dan tol yang mahal, tapi Zia cakap tolong temankan dia je dengan duduk situ, tak payah bayar sewa etc. Aku pun setuju. Memandangkan aku duduk rumah dia free, aku memang buat semua kerja rumah, cuci toilet, kemas rumah, masak. Semualah aku buat. Zia ni kalau ada masa free kerja dia tidur je, memang takdela nak pegang penyapu ke apa ke. Jadi dengan adanya aku kat rumah tu, teruruslah rumah tu.

Bermulalah kehidupkan aku dengan Zia, setiap masa aku dengan dia. Ada keadaan dia datang office aku siap tumpang tidur lagi kat office aku. Pantang ada masa terluang, dia memang suka datang lepak office aku, sampai ada mulut-mulut yang buat cerita kata aku ni les****. Zia ni pulak memang pandai melayan aku, rajin temankan aku ke sana ke sini, bab duit memang tak lokek. Kalau makan kat luar, sampai bergaduh la nak bayar sebab asyik dia je nak bayar. Siapa tak seronok dapat kawan pemurah macam ni kan? Tapi benda-benda ni yang buat aku tak sedar, betapa Zia tak normal. Bila dah rapat ni, aku perasan Zia start control pergerakan aku. Zia ni memang possessive sangat. Aku nak keluar dengan kawan-kawan perempuan pun dia yang akan hantarkan. Kalau aku nak jumpa kawan lelaki, dia buat muka. So aku taktau apa masalah dia sebenarnya. Takkan la 24 jam aku nak berkepit dengan dia je? Apa cerita dengan kawan-kawan aku yang lain. Tapi yang paling ketara, kalau aku degil nak juga keluar dengan kawan-kawan lain, bila aku balik tu dia mesti merajuk, mengamuk tak tentu pasal. Perangai pelik dia ni aku dah perasan, tapi bila aku kenangkan dia ni kawan baik aku, mak ayah dia, adik beradik dia pun aku kenal, aku pun abaikan jela.

Ada sekali tu aku travel luar negara dengan kawan aku berdua. Aku memang tak ajak Zia sebab ni kawan aku yang takde kena mengena dengan dia. Sepajang 2 minggu aku kat luar negara tu, hari-hari aku kena maki dengan Zia. Betapa psikonya Zia, Allah je yang tahu. Memang kacau mood aku la sepanjang aku bercuti tu. Pantang dia whatsap, aku dah tau dah dia akan maki sumpah seranah aku. Seolah-olah aku pergi berjalan ni aku langsung tak ingat kat dia. Masalahnya, kawan-kawan baik aku yang lain, bila aku pergi bercuti macam ni takde la mengamuk macam dia ni. Tapi still aku tak sedar pasal perangai aneh Zia ni.

Aku pernah berkenalan dengan sorang pilot ni. Come on la, kerja pilot kot, siapa tak excitedkan? Tapi bila Zia dapat tau, memang kena maki la aku setiap hari. Dia ni memang psiko tau, dan sampai satu tahap bila aku dah tak tahan kena maki dengan Zia, aku stop terus kawan dengan pilot tu. Masa tu aku berkawan je, bukan nak serius ke apa ke pun Zia tak boleh terima! Yang best tu, takde alasan pun, tau-tau je dia nak mengamuk, marah-marah tak tentu pasal. Aku ni memang jenis tak tahan kena tekan, jadi aku turutkan je kehendak Zia untuk tak lagi berkawan dengan pilot ni. Puas agaknya hati dia bila aku ikut je cakap dia!

Kehidupan aku dengan Zia ni diteruskan, sampailah tahun 2015, aku berniat nak tutup aurat. Aku bagitau Zia, tiba-tiba terdetik dalam hati aku rasa nak pakai tudung. Awalnya memang dia bantah, tapi alhamdulillah..Lepas aku explain kenapa, dia pun sama-sama decide nak pakai tudung. Masa tu juga, aku start fikir tentang masa depan aku, kalau boleh nak cari pasangan hidup. Aku start buat solat Tahajud, mohon Allah mudahkan urusan jodoh aku. Setiap kali aku bangun malam buat Tahajud, esok pagi memang teruk aku kena perli dengan Zia. Kalau setakat perli tu takpe lagi, Zia akan merajuk-rajuk kononnya macam aku beria-ria sangat nak kahwin. Padahal itu salah satu usaha aku untuk permudahkan urusan jodoh aku. Aku pernah bagitau dengan Zia pasal niat aku nak kahwin tu, dia cakap kalau aku jumpa lelaki yang aku suka, bawak lelaki tu kat dia sebab dia tau semua perkara pasal aku. Kononnya kalau ada boyfriend kena bawak jumpa dia dan dapatkan blessing dia. Masa tu aku teruskan bersangka baik. Aku rasa mungkin dia over protective sebab aku kan kawan baik dia.

Bulan Disember 2015, aku kenal dengan suami aku sekarang. Kenal pun sebab rakan yang kenalkan. Bila Zia dapat tahu pasal ni, dia mula mengamuk. Hari-hari dia start maki hamun aku, kata aku gatal nak kahwin la, perempuan gedik la dan macam-macam lagi. Hampir setiap hari, setiap masa kami bergaduh. Ada masa gaduh sampai Zia pukul aku, cubit aku sampai lebam-lebam. Kalau dulu aku bebas keluar masuk rumah dia, sekarang tak lagi. Zia siap tukar solex rumah lagi. Setiap kali aku balik kerja, aku kena tunggu dia kat tangga rumah sebab kunci aku dah tak boleh nak bukak pintu rumah tu. Korang bayangkan la macam mana sedihnya hati aku. Zia pulak bila aku call taknak jawab, seolah-olah macam sengaja nak bagi aku suffer. Memang psiko betul Zia ni, tapi aku tetap bertahan aku layan dia macam biasa. Cuma kita boleh rasa yang persahabatan tu dah mula jadi pahit. Kitaorang dah susah nak bersembang. Dia pulak, asal nampak aku pegang handphone je, dia mesti mengamuk then maki hamun aku. Pantang pegang handphone, memang dia akan masuk bilik, hempas pintu. Pelik betul perangai dia. Tapi sebagai kawan baik, aku memang layankan aje. Sebab pada aku, buruk-buruk Zia, masa aku susah dia la yang tolong aku, jadi aku cuba bertahan.

Sampai satu tahap, aku dah tak boleh tahan lagi. Aku decide untuk keluar dari rumah tu dan mulakan hidup aku sendiri. Zia siap sumpah aku, dia kata aku dengan suami aku (masa tu baru boyfriend) takkan bahagia. Kalau bukan aku yang tinggalkan suami aku, suami aku yang akan tinggalkan aku. Kitaorang takkan boleh kahwin sebab dia menderita. Aku ni jenuh la fikir, bahagian mana yang buat dia derita. Kawan-kawan aku yang lain, bila tau aku dah ada boyfriend then kami serius nak kahwin, semua happy dan doakan yang baik-baik aje tetapi bukan Zia. Before aku tinggalkan rumah tu, aku sempat bersemuka dengan Zia dan confront dia kenapa dia macam tu. Masa tulah Zia mengaku yang dia bernafsu kat aku tapi sekarang dia cuba berubah. Zia kata, takde perempuan yang baik hati yang sanggup bagi kawan baik dia duduk rumah free, belanja makan, belikan macam-macam hadiah dan tak berkira macam dia. Jadi bila aku ada boyfriend, selalu sibuk dengan boyfriend, hati dia pedih dan dia sengsara. Zia cakap, aku nak tinggalkan dia di saat-saat dia tengah susah, ada masalah kerja etc. So dia memang betul-betul menderita masa tu. Tapi kalau tengok keadaan fizikal Zia pun, boleh tau dia tengah makan hati. Punya la dasyat, sampai tak lalu makan dan kurus kering. Sebijik macam orang putus cinta!

Kalau korang nak tau, Zia halau aku dari rumah dia sehelai sepinggang. Adalah sikit barang aku yang sempat aku ambil dari rumah dia. Barang-barang lain semua aku tak dapat ambil sebab Zia dah tak bagi aku masuk rumah dia ambil barang-barang aku. Tak cukup dengan tu, Zia suruh aku bayar balik sewa rumah, bil api, air astro etc sepanjang aku tinggal kat rumah tu. Zia cakap lagi, setiap sen yang dia keluarkan untuk aku semua dia tak halalkan dan dia nak aku merangkak cari dia kat akhirat nanti. Zia cakap juga hidup aku takkan senang dan bahagia sebab dia menderita. Sumpah aku menyesal sangat-sangat jumpa balik dengan Zia ni. Kalau aku tahu la macam ni, memang aku taknak berkawan atau contact dia lagi.

Dah lebih 2 tahun perkara tu berlalu. Alhamdulillah, jodoh aku dengan boyfriend aku tu panjang dan dia dah pun jadi suami aku. Zia tu aku taktau la apa cerita sebab dia dah block aku kat kat whatsap, call, facebook etc. Memang takde cara nak contact dia. Aku pun memang takde usaha nak contact dia sebab aku taknak cari pasal lagi. Zia memang sejarah hitam dalam hidup aku. Cuma aku nak tanya korang, pasal benda-benda yang Zia kata hutang tu, apa yang patut aku buat? Susah hati aku bila kenangkan dia tak halalkan satu sen pun duit yang pernah dia keluarkan untuk aku. Apa yang aku belajar dari kesilapan aku, bila baik dengan orang beringatlah. Walaupun kita kawan dengan dia dari kecil, tapi kita tak tahu perubahan yang dia lalui sampai jadi macam ni. Zia ni walau kat mana dia berada, aku doakan yang baik-baik sahaja, semoga ada lelaki yang boleh ubah hati dan perasaan dia. InsyaAllah.

– Gadis Melayu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit