Kejayaan Itu Ada

Assalamualaikum. Hari ni aku terfikir nak berkongsi satu kisah yang suatu masa dulu pernah buat aku malu. Aku lahir dan membesar dalam persekitaran yang ratanya adalah kaum melayu. Aku belajar disekolah kebangsaan biasa. Kawan-kawan pula bukan jenis yang berbahasa inggeris walaupun cikgu selalu beri penekanan pada subjek ni.

Dari sekolah rendah, aku cemburu bila tengok pelajar lain mampu skor A sedangkan aku, hanya mampu C atau bernasib baik dapatlah B. Tak pernah sekali aku dapat A, kecuali dizaman tadika hingga darjah 3 (budak-budak bolehlah :D) Masuk tahap dua (2), aku dah rasa tak senang duduk. UPSR makin dekat, dan walaupun percubaan aku peroleh A untuk bahasa inggeris, tapi aku hanya mampu kumpul 4A 1B pada peperiksaan sebenar. Dan B adalah english.

Mula daripada hari tu, minat aku hanya tertumpu pada subjek maths dan science.

Aku teruskan persekolahan dengan gembira hinggalah satu hari tu, cikgu sekolah aku mula buat program pertukaran kelas. Pelajar yang dapat C, akan diturunkan ke kelas lain. Aku? Ya, akulah antara calon-calon yang terpilih. Air matalah yang selalu teman aku waktu malam. Aku malu dengan kawan-kawan terutamanya cikgu.

Sebulan aku turun naik kelas, tebalkan muka bila kawan-kawan yang lain pandang aku bawa buku dan pencil case setiap kali kelas inggeris bermula. Dikelas bawah, aku cuba positifkan diri. Aku pandang cikgu, buku, dan rakan yang lain. Terlintas difikiran aku, ‘Perlu ke aku malu dengan classmates aku sedangkan setiap seorang dikelas bawah ni, datang untuk menimba ilmu.’

Nekad dan sejak hari tu, hari kedua pertukaran, aku cuba dapatkan kawan. Aku tegur mereka dan kami sama-sama buat latihan. Cari jawapan dan penyelesaian untuk setiap soalan. Cikgu pula langsung tidak mempamerkan wajah penat malah semakin sabar mengajar. Cikgu english dari kelas aku dan kelas bawah, sama-sama bantu kami (hanya tinggal tiga bulan sebelum PMR)

Program pertukaran berlangsung selama sebulan dan aku pula masih tidak henti mencari ilmu, menambah pengetahun terutama dari segi grammar. Macam biasa, habis PMR, aku balik rumah dan tawakal. Aku dah buat yang terbaik dan kali ni, Tuhan berikan aku rezeki. Aku berjaya skor A dalam PMR. Mak dan ayahlah yang paling bangga, cikgu aku pun tak kurang juga. Dia usap lengan aku sambil tersenyum, “tahniah, awak berjaya.” Terima kasih teacher.

Disini bermula titik perubahan dari segi pemikiran. Positif dalam sesuatu hal itu sangat penting. Kalau sebelum ini aku anggap cikgu kejam, hanya kerana dia turunkan aku ke kelas bawah, tapi sekarang, aku nak ucapkan terima kasih pada cikgu sebab berjaya buktikan yang aku salah.

Kisah ni dah berlalu lebih sepuluh tahun yang lepas. Usaha aku tak berhenti setakat PMR. Aku kemudiannya berjaya peroleh A dalam bahasa inggeris (subjek paling susah yang pernah aku anggap dulu) setiap kali peperiksaan. Menjadi harapan guru bahasa inggeris disekolah dan menjadi antara pelajar cemerlang bagi subjek ini.

Semasa diploma pula, subjek bahasa inggeris yang mempunyai 4 peringkat juga berjaya aku dapatkan A. Aku graduated dengan CGPA yang tinggi walaupun suatu masa dulu, aku sangat takut untuk sambung belajar hanya kerana penggunaan international language ini yang begitu meluas. Aku juga sudah punya ramai kawan foreigners yang membantu untuk berkomunikasi secara lebih baik. Tamat diploma, aku ambil muet dengan keputusan band 4. Sekarang, aku sedang meyambung pengajian diperingkat ijazah sekaligus memantapkan bahasa dan membina jati diri.

Teknik mahir berbahasa inggeris atau pelajaran lain aku adalah;

i) Buang perasaan negatif; “susahnya! malaslah! tak pandailah buat ni!” (Ini langkah pertama syaitan menghalang kita dari ilmu)

ii) Minta supaya Allah permudah segala urusan sebab kita berniat untuk belajar dan Tuhan tak pernah membebani seorang hamba melebihi kemampuan hambaNya.

iii) Cari kelemahan (dalam sesuatu pelajaran atau dari dalam diri), kemudian fikirkan solusi.

iv) Kurangkan penggunaan kamus inggeris-melayu. Sebaiknya gunalah english dictionary. (eg, aku guna aplikasi Merriam Webster. Senang untuk tahu sebutan dan maksud perkataan kerana ada penerangan. Aku gunakan aplikasi ni dari zaman diploma. Semasa zaman sekolah menengah, aku guna kamus oxford sahaja.

v) Tonton drama atau movie luar negara yang ada subtitles bahasa inggeris. (note; untuk penambahan ilmu, boleh tonton dokumentari. Bukan setakat boleh tingkatkan bahasa inggeris, tapi juga sedikit sebanyak ilmu sains dan apa yang berlaku dipersekitaran kita.)

Akhir sekali, bagi yang beragama Islam, jagalah hubungan dengan Allah dan ibu bapa. Memang bunyi agak klise, tapi kerana dua perkara ini jugalah, aku pernah hadapi kesukaran untuk memperoleh ilmu. Keberkatan itu sangat penting. Bagi non-muslim pula, hormatilah ibu bapa kerana setiap agama mengajar kita kebaikan.

Sekian.
Segala salah silap, saya mohon maaf.

– Pelajar

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit