Kelebihan Istighfar

Assalamualaikum. Moga kisah ini memberi manfaat kepada semua. Insya Allah. Terima kasih admin sudi siarkan kisah ini. Saya sekadar ingin berkongsi satu kisah mengenai Hasan Al-Basri.

Al-Qurtubi meriwayatkan cerita Ibni Shabih. Pada suatau hari ada seorang lelaki mengadu kepada Hasan al-Basri tentang masa kemarau yang menimpanya. Hasan al-Basri berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Seterusnya seorang lelaki lain mengadu akan kemiskinan yang menimpanya. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Ada pula lelaki lain berkata : “Doakanlah aku supaya Allah s.w.t memberiku anak.” Hasan al-Basri kemudian berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan. Hasan al-Basri pun berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Ar-Rabi lantas berkata kepada Hasan al-Basri: “Beberapa orang lelaki datang mengadu pelbagai jenis perkara kepada kamu tetapi kamu menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar”

Hasan al-Basri berkata kepada mereka, “Tidakkah kalian membaca firman Allah subhaanahu wa ta’ala yang bermaksud,
“Maka aku katakan kepada mereka; ‘Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai’” (Q.S. Nuh: 10-12)

Allah sudah memberi kepada kita jalan penyelesaian untuk setiap masalah, tetapi kita tidak mengamalkannya. Tepuk dada, tanya iman. Sentiasa bersangka baik kepada Allah, jika rezeki kita belum sampai, sabar, usaha dan terus berdoa ya! Insya Allah, semuanya akan baik-baik sahaja. Moga bermanfaat

– Ustazah rock

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit