Keluar Dari Zon Selesa

Assalamualaikum

Saya rasa perlu untuk berkongsi pengalaman keluar dari zon selesa, agar golongan muda sekarang harus faham, kejayaan perlu bermula dengan cabaran terlebih dahulu.

Kejayaan tanpa cabaran adalah bersifat sementara..malah boleh dianggap sebagai kegagalan jangka panjang.

Permulaannya, selepas ambil SPM, ayah saya minta bekerja di sebuah gudang pemborong. Pada waktu itu saya masih menunggu keputusan SPM dan ini merupakan peluang yang baik mencari pendapatan sampingan.

Pergilah ke kedai gudang borong tersebut memohon kerja sebagai budak kelindan. Budak kelindan ni adalah pekerja yang angkut barangan berat ke kedai2 runcit.

Hari pertama, tugasan saya dengan abang drebar lori bernama ‘Abang Lan’, adalah menghantar barangan asas 4.5 tan ke pelanggan kedai2 runcit di pelbagai tempat.

Perkara yang dilakukan adalah kumpul invois/bil (senarai barangan untuk dihantar) dan disusun ke dalam lori. Cara penyusunan adalah meletakkan barang paling berat di ruangan paling hujung ke dalam lori. Hal ini untuk memudahkan pengawalan pemanduan lori. Sesiapa belajar fizik akan faham konsep ni

Kerja nak memunggah barang ni adalah ‘back-breaking job’. Kami perlu angkut kotak minyak 17kg, guni gandum 25kg, guni gula 50kg serta barangan asas lain2 seperti seikat kicap, budu (dalam bilangan dozen).

Sampai sahaja di pelanggan pertama, pada hari pertama saya bekerja, hujan turun mencurah2. Basah kuyup semasa mengangkat kotak2 minyak tersebut. 100 kotak pula waktu tu. (Sama dengan 1.7tan)

Setelah keletihan angkat barang tersebut, tiba2 disergah pelanggan “Hoi, tengokkan lori nak keluar tu!”. Masih jelas di dalam memori, saya keluar dalam hujan lebat agar memudahkan lori tersebut keluar.

Selesai sahaja penghantaran hari itu, saya tersadai kelesuan diantara tayar2 lori gantian di gudang itu. Tempat mickey mouse menari2 (okok..maksudnya banyak tikus kat situ sebenarnya.)

Saya dengan lena nya tertidur disitu. Sejak itu saya menjadi orang yang boleh terlelap di mana2..terutamanya dalam kelas uni…erkk?

Biasanya setelah habis penghantaran, Abang Lan selalu berpesan penat bagaimanapun kita buat kerja, solat jangan tinggal. Itu hutang kita dengan Allah Ta’ala.

Pesanan yang baik di dunia dimana ada ramai pekerja muslim tidak mempedulikan solat dan mengabaikan puasa Ramadhan.

Di tempat kerja itu biasanya budak2 yang tidak puasa/buka puasa waktu tengahari dpanggil ‘puak kait matahari’.

Antara pelajaran yang saya peroleh semasa bekerja disana

1. Bersyukurlah mendapat pendidikan. Jika kita tidak punya pendidikan, hanya mampu mencari pekerjaan dimana gaji nya amat kecil. Anda rasa RM2.5k kecil, orang yang kerja kelindan ni hanya dibayar gaji minimum ya. Dah la lagi penat pada kerja jaga sekolah.

2. Utamakan solat walau sesibuk mana kerja sekalipun. Sampai sekarang di tempat korporat saya bekerja, saya terus terang memberitahu ketua kerja saya expatriate India atau orang dari Amerika bahawa saya ingin keluar solat.

– Solah is our special rights we should uphold.

– Dan juga hak Allah ke atas kita orang Mu’meen.

3. Hormatilah dengan sesiapa kita bergaul. Mungkin di depan kita nampak sperti kuli biasa2. Tetapi di sisi Allah siapa tahu.

Hidup tanpa memandang rendah kepada orang yang serba kekurangan berbanding kita.

4. Sentiasa bekerja kuat. Setelah keputusan SPM diumumkan, saya masih bekerja disana.

Saya mendapati anak seorang pekedai runcit yang tengah ikat tali ropia ke dozen kicap cap kipas udang adalah pelajar cemerlang 12A.

Saya yang 9A lagi rasa berkobar2 untuk bekerja kuat. (Nampak tak saya berlagak sekejap dengan keputusan SPM 9A)

5. Sabar dengan kesusahan dan bila dihina. Ramai orang memandang remeh bila kita dibawah.

Jadikan hati kita selapang langit. Bila orang menghina ibarat mereka meludah kelangit, air ludah setepek ke muka mereka semula. Langit tidak terkesan. Boleh tahan poyo gak metafora saya ni.

6. Bersedia melaksanakan tugas dengan baik.

Pernah saya tiba balik dari penghantaran. Tiba2 saya perlu menolong pak cik Hussein, (pak cik jaga gudang) memunggah 300 guni gandum 25kg (7 tan wey). Memandangkan saya masih muda belasan tahun, Alhamdulillah 15 minit setel. Takderlah pak cik Hussein penat sangat.

Tapi jenguh jugak pikul gandum berguni2 25kg ni.

7. Menjaga amanah. Saya belajar dari Abang Lan, hidup kena amanah. Dalam dunia kelindan ni, ramai senyap2 curi barang dari majikan senyap2.

Bahkan Abang Lan punya amanah, sampaikan beliau dipercayai untuk deposit wang pusingan modal syarikat ke bank.

Oleh sebab itu, bila dah lanjut usia sekarang ini, beliau masih boleh bekerja disana. Tapi sebagai supervisor buat kerja ringan2 sahaja. Alhamdulillah.

Bila kita keluar dari zon selesa, jiwa dilatih untuk kental menghadapi cabaran mendatang.

Jiwa harus lapang seperti langit, teguh & tenang seperti gunung..

Salam a’laik.

– Abdullah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit