Kenangan Bersama Abah Yang Aku Tidak Akan Lupakan

Seperti biasa, aku menyikat rambut kemas dan rapi di hadapan cermin. Memandang wajah sendiri. Wajah yang menyerupai seseorang. Seseorang yang aku buang dalam hati namun aku sangat merindui dia melebihi segalanya.

Aku memang tak suka duduk rumah. Benci, serabut, tak tenang dan berbagai perasaan yang kurang menyenangkan di hati ini. Semua ini kerana Abah. Bapa kandung yang aku anggap asing dalam hati ini. Telah aku kosongkan daerah dalam hati ini daripada abah. Abah buat aku ada rasa itu semua. Meluat.

Semuanya bermula ketika aku masih belajar di sekolah menengah. Aku dihantar ke sekolah berasrama. Hubungan aku dan dia pada mulanya agak biasa biasa. Jauh dari keluarga. Itu yang aku mahu. Aku mula membesar di asrama. Bergaul dengan dengan rakan. Aku ditekan mereka. Buat perkara baru. Seronok. Aku mula merokok.

Duit abah bagi aku beli “manap”. Istilah rokok di asrama negeri selatan. Aku berkecimpung dengan rokok tak lama. Semuanya berakhir apabila aku pulang ke rumah menaiki bas. Turunnya aku dari bas. Rokok aku nyalakan. Sedut dengan penuh bangga bersama rakan. Tiba-tiba, satu lempangan singgah di pipi aku buat aku merona jiwa. Abah!

Aku di lempang bertalu-talu. Seperti abah memalu kompang. Tak terlepas juga pipi rakanku yang berada di samping. Aku malu. Marah, malu, sakit hati dan semua perasaan fasad aku rasa.

Semenjak itu, aku mula menjauhkan diri aku dengan rakan lempangan abah. Aku malu. Rokok aku buang. Aku berhenti. Seperti mana aku buang abah dalam hati aku. Aku berhenti bukan sebab dia. Sebab ibu. Aku tak bercakap dengan abah. Walau sepatah. Rasa membalas kata kata abah suatu benda jijik. Aku terasing dalam rumah. 7 tahun aku mendiam diri dari berbual dengan abah. Sehingga aku jejak kaki aku di UIA.

Hari khamis aku balik. Aku balik 3 hari je. Aku jarang balik rumah. Ini pun sebab kawan aky kahwin. Aku naik bas. Aku suruh kakak ambil aku. Aku tak mahu abah tapi aku kecewa juga. Abah yang datang. Suasana sepi dalam kereta. Abah pun memang tak bercakap dengan aku begitu juga aku selama ini. Tiba tiba abah bersuara. “Belajar okey?”
Aku diam. Abah menyambung. “Belajar kat uia berapa tahun ek?”. Aku terdetik mahu menjawab pertanyaan itu. 4. Jawabku pendek.

Banyak benda abah cerita. Aku hanya mendengar dan menjawab sekali sekala. Lawak lawak radio. Lawak maharajalawak pun di beritahu. Aku ketawa kecil. Namun aku sembunyikan. Perjalanan ke rumah 30 minit dari stesen bas ke rumah diisi cerita dan ketawa abah. Aku tak semena rasa bahagia. Mungkin kosongnya ruangan hati untuk abah terisi kembali. Kenapa tak dari dulu lagi abah tak seperti ini. Kalau abah cuba berbual dengan aku, mungkin aku boleh terima dia dengan perlahan. Kenapa abah semeriah ini? Ini bukan abah!

Aku mula mahu berbual dengan abah. Aku rasa tiada salahnya aku cuba jernihkan kembali hubungan aku jika abah pun buat benda yang sama. Banyak yang kami bualkan. Pasal tanah, harga makanan di uia, politik dan banyak lagi.

Hari ahad aku balik Uia semula. Abah hantar aku ke bustop. Sayup sayup abah bertanya. “Amir marah abah lagi?” Tersentap dengan pertanyaan itu, aku diam. “Abah minta maaf kalau abah ada kecikkan hati Fittrie”. “Taklah abah, mana ada apa apa”. Senyap. Tak berfikir panjang aku pun bersuara. ” fittrie nak minta maaf andai fittrie ada kecewakan abah sebelum ini.” Abah membelok stereng kereta dan berhenti di bahu jalan. Dah sampai stesen bas. “Fittrie tak pernah kecewakan abah. Fittrie anak abah yang abah paling bangga sekali. Kemana mana abah pergi fittrie abah cerita.” Mata aku berkaca. Aku salam tangan abah. Aku minta ampun. Tangan yang lama aku tak salam. Aku peluk dia. Sebelum ini abah menjemput aku, aku terus menonong masuk dalam kereta.

Abah hantar aku sampai ke pintu bas. Aku salam abah lagi. Terasa berat aku mahu tinggalkan abah. Tak pernah aku rasa seperti ini. Tak pernah. Aku sampai dia uia. Aku call abah kata aku dah sampai. Abah pesan jaga diri. Semalaman aku tak lena tidur mengenangkan dosa aku. Esoknya aku tak ke kelas. Sakit kepala yang teramat. Aku tidur sampai ke tengah hari. Aku dapat panggilan telifon. Ibu. Aku angkat.

Baru semalam aku salam dia. Baru semalam aku rasa terhibur dengan kata kata dia. Baru semalam aku tinggalkan rumah, aku sudah rindu. Baru semalam aku menangis air mata tak sempat aku seka. Banyak lagi benda aku mahu cerita. Banyak lagi benda aku mahu konsikan. Siapa aku suka, siapa aku benci, apa yang aku takuti, ke mana aku teringin pergi. Terlalu banyak. Abah pergi meninggalkan aku. Terdetik aku mengatakan tuhan itu sangat kejam. Lebih kejam dari kejamnya aku pada abah. Kenapa baru sekarang dia ambil abah. Saat aku baru membuah sayang. Saat aku mahu penuhi daerah hati yang padangnya aku jarakkan dengan taman kasih. Kenapa baru sekarang. Lambat aku mengerti. Lalu pasrah.

Semenjak itu. Akan aku tatap wajah sendiri. Wajah yang sama dengan insan bernama abah. Rasa rindu sampai ke umbun. Rasa cinta sampai ke kuku. Rasa sayang sekeliling dunia. Terima kasih abah ajar fittrie. Abah bangga fittrie tak hisap rokok. Abah berjaya. Kerana ajaran abah fitrie pandai jaga fittrie. Sejujurnya tiada rasa benci pada abah semenjak hari itu cuma sengaja diri ini membenci abah. Benci mahukan perhatian. Tapi sayang, benci ini memakan diri. Sesungguhnya abah, terlalu banyak, teramat banyak dan sangat banyak benda fittrie mahu kisahkan dengan abah. Tapi abah, TAK SEMPAT.

– Zlausha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit