Kenapa Lelaki Orang

Kenapa Lelaki Orang

Hai semua. Izinkan saya berkongsi luahan dalam medium ini kerana sejujurnya saya malu untuk berkongsi berkenaan isu ini dalam kehidupan lahiriah saya.

Saya wanita berusia awal 30-an, berkerjaya dan memiliki ibu bapa dan adik-adik yang amat saya sayangi. Saya amat bersyukur dengan keluarga yang saya ada, walaupun dari golongan sederhana namun semuanya diberikan rahmat kesihatan dan kasih sayang dari Allah.

Namun, apabila semakin meningkat usia, seorang wanita sudah pasti akan dibanjiri dengan soalan tentang jodoh. Walaupun pada hakikatnya semua yang muslim itu patut tahu yang jodoh itu adalah takdir Allah, saya faham bahawa mereka sebenarnya ingin ambil berat akan saya. Kata orang, bulat takkan bergolek, pipih tak datang melayang.. dan nasihat untuk berusaha dan berdoa saya sambut. Saya doa supaya Allah berikan yang terbaik, walaupun dari apa yang saya tidak tahu.

Menjadi seorang perempuan yang belum berkahwin, saya sedar kita selalu dipandang dan dinilai orang lain terutama apabila kerjaya kita melibatkan pengurusan. Walaupun saya tidak fikir saya seorang yang mempunyai emosi yang tak stabil, namun apabila rakan lain tidak sengaja mengumpat wanita yang belum berkahwin seperti saya yang ‘moody’ tak menentu, sedikit sebanyak saya terasa akan keadaan diri saya dan merasakan satu kekurangan.

Hakikatnya, perempuan yang sudah berkahwin juga ramai yang ‘moody’. ‘Sterotyping’ yang memang ada, ditambah perasaan sedih apabila wanita lain membandingkan bilangan anak dan berkongsi kegembiraan rumahtangga menyebabkan saya merasakan serba kekurangan berbanding wanita lain.

“Jangan terlalu memilih”. Kata mereka.

“Kenapa orang macam awak masih single ?”, soalan biasa bila saya berjumpa dengan rakan sekerja baru.

Ahh. Sampai satu tahap saya malas nak jawab. Hanya senyum kambing dan buat lawak saja. Apa boleh saya jawab?

Saya sebenarnya mudah jatuh hati. Terutama dengan orang yang sopan dan beradab. Masa nak terjatuh hati juga tak menentu, kadang lepas meeting, kadang tepi jalan, kadang lepas tengok kawan tolong orang lain.

Masalahnya, saya selalu terjatuh hati pada orang yang dah berpunya; yang dah berkahwin, dan yang dah bertunang. Tak pulak saya minat pada orang yang single. (Mungkin persekitaran saya ni memang ramai lelaki yang dah berkahwin lebih awal dan saya jarang suka orang yang lebih muda)

Jangan risau makcik dan kakak, saya tak suka kacau rumahtangga orang lain atau tunangan orang. Perasaan itu hanya terbuku dan saya simpan di hati. Kalau ada yang nak mencuba, saya biasanya akan terus jarakkan diri dan bersikap tegas. Panggil lah saya sombong, saya tak kisah, tapi saya tak terfikir untuk mengguris hati wanita lain yang telah bergelar isteri.

Semakin melangkah umur, keadaan yang sama sering terjadi. Walaupun bertukar tempat bertugas, hati saya selalu tertarik dengan orang yang sudah berpunya. Dan bila saya tahu tentang statusnya, hati saya akan kecewa lagi. Siapa yang sengaja ingin hidup sendiri. Saya juga ingin punya keluarga dan anak, ibu bapa saya juga ada menyimpan keinginan dan sering diperli oleh kenalan. Mujurlah mereka amat baik dan tidak pernah meletakkan kekecewaan dan tekanan pada saya.

Adakah saya mempunyai penyakit atau ego yang menyebabkan saya hanya terpikat pada orang yang sudah berpunya? Atau pun sebenarnya saya menyukai kematangan yang biasanya ada pada lelaki yang lebih berusia? Saya tak tahu. Ada juga berkenan pada yang 5 tahun lebih muda, tunangan orang pula.

Mungkin saya yang tidak lah mempunyai rupa paras menawan, pada usia ini, ditambah kerjaya yang semakin berkehendakkan komitmen, menjadikan sekeliling saya terhad.

Satu saya ingin pesan, sekuat mana pun seorang anak dara yang telah berusia, janganlah diperli atau terlalu bertanyakan tentang jodoh. Sama juga dengan pertanyaan tentang rezeki anak untuk pasangan yang telah berkahwin.

Anda mungkin rasa anda ambil berat, tetapi anda tidak tahu yang dia sedang berjihad melawan perasaan dari suami anda. Ok bai.

Doakan saya dipertemukan jodoh yang terbaik, dan yang paling penting, Allah redha.

– Khaira

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Comments

comments