Kisah Disebalik Warga Asing

Hari kedua aku bekerja sebagai assistant manager di sebuah kedai buku ketika waktu rehat, seusai makan dan menunaikan solat, aku pergi ke luar mall untuk menghisap rokok. Ketika menghisap rokok sambil melayan perasaan, ada seorang lelaki datang menegur lalu menghisap rokok bersama. Lalu aku pun memulakan perbualan dan bertanya “apa macam kerja? Ada baik?” dia pun jawab “ok lah”. Dia yang bernama Aru merupakan pekerja asing berasal daripada negara India. Kami berbual panjang, dia menceritakan yang dia merupakan supervisor di salah satu gerai di foodcourt di dalam mall itu.

Kami bertukar tukar soalan dan pandangan mengenai negara Malaysia dan juga negara asalnya India, dia bilang Bombay di India lebih kurang sama dengan Kuala Lumpur di Malaysia, aku hanya senyum dan menganggukkan kepala. Aku memuji Bandar Kashmir yang begitu cantik di India, lalu si Aru pun membalas “saya pun tidak pernah sampai situ lagi“ tempat tinggal asalnya ialah di Chennai, aku hanya mengiyakan saja sebab aku pernah dengar filem Hindi yang bertajuk Chennai Express lakonan Shahrukh Khan.

Sambil sambil menghembus hasap rokok U2 mentol aku saja menanyakan perihal gaji si Aru, Aru menceritakan gajinya sekarang basic adalah rm3500, aku terus cakap “wow manyak masyuk you Aru, gaji saya pun kecil ja”. Lalu dia pun menceritakan bagaimana mula mula dia berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki. Lupa nak beritahu Aru ni beragama Islam, dan dia menceritakan di India dia tidak menghisap rokok sebab ibunya tidak bagi, dan di sana dia tidak boleh keluar sehingga lewat malam, tapi di sini katanya dia bebas orang tuanya tidak tahu apa yang dia buat. Hati kecil aku ketawa, dalam hati aku berkata “bagus si Aru ni anak yang baik, taat dengan ibu bapanya, cuma biasalah dalam baik baik itu mesti ada nakal sedikit”.

Aru sekarang berumur 29 tahun, dia datang ke Malaysia pada umur 18 tahun, sewaktu para remaja di Malaysia sedang berpusu pusu untuk masuk ke menara gading sama ada di pengajian stpm, diploma, asasi mahupun matrik dan sewaktu dengannya Aru sedang membuat keputusan yang amat besar dalam hidupnya. Aru menceritakan dia terpaksa mengumpul dana sebanyak 6 ribu ringgit Malaysia semata mata untuk menyiapkan proses untuk datang bekerja di Malaysia, katanya ketika itu dia takde duit, ibu bapa dan saudara maranyalah yang banyak membantu memberi sumbangan duit sehingga cukup 6 ribu itu. Sampainya di Malaysia ketika itu pada tahun 2000, Aru menceritakan bahawasanya dia sudah di tipu oleh agennnya, proses untuk bekerja di Malaysia hanyalah bernilai 2ribu pada ketika itu, tapi agennya makan duit lebih.

Aru juga di tipu mengenai kerja, dia bilang ketika di India sana agennya mengatakan yang dia akan bekerja cuma 8 jam sehari dan gaji adalah rm35 sehari, tetapi bila datang sini dia bekerja 16 jam, dan gaji sebulan hanya rm650, dan jika cuti gajinya akan di potong walaupun cuti mingguan. Aku mendengar dengan kusyuk sedar tak sedar rokok aku sudah habis, aku bakar rokok seterusnya lalu menghulur rokok kepada si Aru. Aru menyambung ketika itu keadaan dia amat susah, bila gaji hanya rm650 tolak rumah sewa tolak api air, yang tinggal hanya berapa, dan nak beri kepada keluarga di India lagi, dia menceritakan kadang dia hanya makan sekali sahaja sehari. Kerja pertama Aru di Malaysia adalah sebagai pengangkut barangan dari lori di sebuah Mall yang agak famous di Malaysia.

Aru hanya bertahan kerja di Mall itu hanya 3 bulan, selepas itu dia bergaduh dengan bosnya perihal kebajikan dan gajinya yang tidak seberapa dengan kudrat yang dikerahnya itu. Dia mengambil keputusan untuk berhenti, lalu bekerja dengan Pemilik Restoran India Muslim iaitu majikannya sehingga sekarang. Katanya dia bermula dengan gaji rm800, dan ketika itu dia tidak tahu apa apa mengenai kerja di restoran, memasak apatah lagi, dia bermula dengan kosong, bermula dengan sekecil kecil kerja sehingga sekarang ni dia dah boleh masak dan menjadi supervisor di beberapa cawangan restoran itu. Si Aru bilang bosnya itu sangat baik, menjaga kebajikan pekerja tempat tinggal di beri, kenaikan gaji dan pangkat di beri jika menunjukkan prestasi yang bagus, dalam hati kecil aku berkata “nowonder kau pun gaji besar macam tu”.

Aku saja tanya “you sampai bila nak kerja macam ni di Malaysia?” Aru bilang, “kita lelaki kudrat masih kuat sehingga umur 50 sahaja lepas tu dah tak kuat, lepas saya umur 50 tahun saya mahu buka restoran di India dan buka peluang pekerjaan bagi orang di sana”, katanya lagi sekarang dia dalam proses mengumpul modal. Si Aru baru saja berkahwin beberapa bulan lepas, isterinya tinggal di India bersama ibu dan keluarganya. Selepas habis rokok kedua itu, Aru meminta izin untuk pergi solat Asar, aku pun hanya mengangkat dan berkata “ok bos, jumpa lagi”.

Aku sengaja berkongsi kisah ini kerana ramai di antara kita yang salah paham tentang pekerja warga asing, kita cuma nampak luarannya sahaja, yang kita nampak cuma slip gajinya yang beribu ribu, tetapi kita tidak tahu bagaimana dia bermula datang ke Malaysia dan bekerja sehingga gajinya sebanyak itu, kita tidak tahu macam mana dia survive di negara orang, kita hanya berfikiran negatif dan beranggapan mereka merampas pekerjaan orang kita di Malaysia. Dan ketika kita hanya menyalahkan orang lain, mereka sudahpun melangkah ke depan.

Aku ada lagi satu kisah mengenai graduan sarjana muda English daripada Myanmar yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai India Muslim di salah sebuah pekan di utara Malaysia, jika kalian mahu aku kongsikan sila berikan feedback di ruangan komen, terima kasih.

p/s kisah ini merupakan pengalaman penulis sendiri dan tiada kaitan antara yang masih hidup ataupaun yang sedang tidur. Mungkin akan ada kawan kawan atau kenalan yang mungkin boleh kenal pasti siapa penulis confession ini, tapi aku berharap simpanlah sendiri, kalau betul nak kan kepastian just personal message je dengan aku

– Ahmad (Bukan Nama Sebenar)

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit