Kisah Orang Gemuk

Salam untuk semua dan terima kepada admin kerana sudi siarkan confession ni. Nama aku Joe, aku gemuk dan gemuk tu sangat la tak osem. Kadang-kadang kita akan selalu dengar orang bercerita atau kawan-kawan sendiri yang menyatakan sebab apa mereka gemuk. 2 jawapan paling cliché adalah “aku gemuk ni keturunan, keluarga aku semua gemuk-gemuk sihat-sihat semua” dan “aku gemuk sebab penyakit, sebab tu aku tak boleh kurus. Tulang aku dah memang dari dulu besar sebab tu badan aku ikut sama besar”. Aku tak tahu wujud atau tidak sebenarnya istilah gemuk keturunan tapi yang pasti “tulang aku besar” tu memang totally B.S. Siapa-siapa yang gemuk dan buat alasan macam tu meh aku belanja pergi buat x-ray. Kalau tulang kau saiz normal macam orang lain, bayar aku balik 3 kali ganda. Sendiri gemuk nak salahkan tulang. Tapi tulah, siapalah aku nak menilai orang-orang ni.

Jadi aku nak kongsikan apa yang aku rase sebagai orang gemok. Harap-harap pembaca kat sini yang gemuk memahami apa yang aku rasa. Aku mempunyai pengalaman hidup kurus dan gemuk dalam setiap fasa dalam hidup ni. Dari tadika masuk sekolah rendah kemudian sekolah menengah lepas tu sambung belajar ambil sijil dan terus diploma dan akhir sekali waktu sekarang, dah bekerja. Waktu tadika aku kurus, masuk sekolah rendah aku jadi budak yang comel. Dah masuk sekolah menengah sebab duduk asrama aku kurus balik kemudian form 4&5 aku duduk rumah semula dan gemuk balik. Waktu sambung belajar sijil aku kurus dan bila diploma aku gemuk balik dan terus gemuk sampai la dah kerja sekarang. Secara terus terang bila badan gemuk ni keyakinan diri tu tak banyak. Tetap ada, cume tak banyak. Sebagai contoh lepas abis praktikal waktu belajar sijil dulu aku duduk kat rumah selama 2 bulan sebelum sambung belajar untuk diploma. Jadi masa yang terluang kat rumah tu aku dengan “gigihnya” gemokkan badan. Waktu tu terasa muda lagi, ramai je kawan-kawan aku yang buat part time sementara tunggu untuk sambung pelajaran tapi aku tetap memilih untuk duduk rumah goyang kaki. Jadi bile dah dapat keputusan untuk sambung belajar, keyakinan diri tu sedikit hilang sebab badan dah bertambah besar. Segan nak jumpa orang, malu nak berkenalan dengan kawan-kawan baru. Selebihnya bila dah kenal takde masalah.

Aku gemuk atas pilihan sendiri dan orang yang patut aku marah sebab aku gemuk adalah diri sendiri. Antara yang susah bila jadi orang gemuk ni adalah bila time nak solat. Kalau sembahyang sendiri kita boleh baca laju-laju (jangan nak pertikai khusuk ke tak, aku tak tahu) tapi bila solat berjemaah macam solat tarawih atau solat jumaat, setiap kali sujud dan duduk antara dua sujud waktu tu paling menguji kesabaran diri. Seksanya orang gemok je la nak faham. Alhamdullah sebelum ni walaupon berat pernah cecah 130kg aku tak pernah ada masalah sakit lutut ke apa. Jadi aku tak pernah solat duduk atas kerusi. Selain solat, bile dah gemuk ni badan akan jadi sangat malas, malas punya segala malas. Yang hairan time makan takde pon malas kalau lapar tengah-tengah malam pun sanggup keluar beli makan kat kedai. Selain ada perasaan malas, bab nak memilih outfit tak kira samada nak keluar berjalan atau ke kerja. Kebanyakkan kedai-kedai pakaian atau butik takde jual pakaian saiz besar-besar ni melainkan yang tertentu-tentu saja tapi harga meninggal la. Kah Kah, sape suruh aku gemuk. Jesteru itu aku memilih bundle sebagai tempat shoping beli pakaian. Sumpah puas hati, tak tipu punya. Dekat batu pahat yang aku tahu ada 3 outlet bundle jenama BIG BUNDLE. Memang tak pernah lagi aku masuk keluar tangan kosong. Paling kurang ada 3 helai aku beli. (ini bukan iklan).

3 perkara kat atas tu adalah masalah utama yang aku hadapi bila berbadan besar ni. Aku bekerja dalam bidang IT dan gemuk ni agak menyukarkan aku untuk buat kerja-kerja memanjat. 1st aku ni memang jenis gayat kat tempat tinggi. Kalau time nak raya, aku merayu-rayu jugak dekat mak jangan la suruh aku panjat cabut dan pasang langsir. Aku lebih rela mengemop satu rumah dari kerja-kerja memanjat ni. Dan bila kau gemuk dan memanjat tempat tinggi. Risiko sakit kalau jatuh berbanding orang kurus ni tinggi woii. Aku tau la aku pernah jatuh dari tingkat 1 waktu lepas SPM dulu. Aku pernah menolong bapak sedara aku meniaga kat kedai makan dia. Dekat kedai makan tu dia ada buat 1 pondok kayu tinggi (tinggi dalam 1 tingkat gitu) sebagai tempat tidur pekerja. Petang tu aku naik kejap sebab nak amik apron tapi malangnya kayu tu dah reput dan aku jatuh bagaikan nangka busuk. Tak sempat menjerit pun, sedar-sedar dah kat tanah. Seminggu jugak aku terbaring kat rumah setelah 2 kali kat hospital.

Mungkin perspektif kebanyakkan orang, orang gemok ni lebih selesa gelarkan diri sebagai “bob” tapi tidak bagi aku. Kawan aku ada jugak yang gemok dan dipanggil dengan gelaran bob. Setakat ni mana-mana “bob” yang aku kenal mesti seorang yang gemuk dan comel. Memandangkan aku tak comel sebab tu aku tak suka orang panggil aku ‘Bob”. Pernah juga sekali ade seorang manager kat tempat aku praktikal tu panggil aku dengan gelaran “bob”. Tu la kali pertama dan terakhir dia cakap dengan aku lepas aku tegur dia depan staff-staff. Aku dah cakap nama aku Joe, boleh panggil Joe je tapi dia tetap dengan panggilan “bob” tu. Nasib baik aku tak gagal score time praktikal tu. Ini belum termasuk lagi dengan bab mencari pasangan bile kite berbadan besar ni. Ni tak payah cerita la, aku masih belum dalam kategori lelaki gemuk yang terdesak nak kawin lagi. Baru 27 kot, awal lagi relek-relek dulu. (Percayalah,ni bukan nak sedapkan hati sendiri. Aku gemuk tapi hensem kot)

Hinggalah pada bulan 9 yang lepas, aku ada tengok satu movie kat HBO. Aku tak ingat tajuk apa, puas aku recall dalam kepala hotak, google nama-nama watak sebab nak carik apa tajuk filem tu. Filem tu betul-betul bagi kesan dalam hidup aku sebagai orang gemuk. Macam mana suatu hari nanti aku sakit? Ditakdirkan tak dapat berjalan, hidup atas kerusi roda, hidup atas katil. Harapkan ihsan mak ayah dan adik-beradik je. Sampai masa orang tua aku akan pergi, sampai masa adik beradik aku pun perlukan masa untuk keluarga sendiri. Jadi aku bernekad dengan senekad-nekadnya untuk kurus semula. Dekat sebulan aku follow tip-tip diet tapi aku tetap tak puas hati. Sebab aku dulu pernah kurus tanpa tip-tip pemakanan ni semua. Cume yang aku betul-betul ingat last aku kurus time belajar sijil dulu. Waktu awal belajar berat aku 110kg dan tak sampai hujung sem(kira-kira dalam 5 bulan)berat aku tinggal 80kg. Yup, tanpa sebarang diet atau kawal pemakanan. Apa yang aku buat makan macam biasa 5 kali sehari(hostel punya waktu makan) dan sepanjang tempoh masa 5 bulan tu aku takde usik langsung air gas atau apa-apa jenis jajan. Selain makan, waktu tidur yang cukup. Paling kurang 6 jam, biasa sharp pukul 12 malam aku dah tidur dan bangun 6 lebih untuk sembahyang dan siap-siap pergi kelas semua. Clean, 5 bulan hilang 30kg sampai la habis belajar.

Bila waktu bekerja ni aku dah pernah try buat balik apa yang aku dah buat dulu dan ternyata aku gagal. Hahahaha. Dulu faktor makan yang ikut waktu hostel sebab yelah, duduk hostel peraturan hostel dan zaman belajar dulu harap elaun rm100 je sebulan. Bila dah bekerja ni, bila ada duit lebih sikit mula la mengarut-ngarut beli makananan. Dari dalam kereta, dalam office dan dalam bilik aku penuh dengan stock-stock makanan ringan. Kedua faktor kekurangan waktu tidur. Start zaman diploma aku dah “melatih” badan untuk berjaga sampai pukul 3-4 pagi. Kalau tak pasal game, mesti kes melepak atau assignment+study last-last minit. Jadi dekat 3 tahun badan dah “terlatih” membawak la sampai kerja. Aku pun kadang-kadang kagum dengan diri sendiri, time belajar kemain banyak la warning letter hantar ke rumah pasal tak pegi ke kelas tapi bila dah kerja ni Alhamdulillah tak pernah langsung ponteng. Mungkin faktor usia dan aku dah faham apa tu tanggungjawab yang sebenarnya. Jadi bila 2 faktor tu aku fail maka fail la misi aku untuk kurus.

Hinggalah ada seorang kawan kat fb ni invite aku join satu group. Group atkins. Dekat 3 minggu aku kaji apa tu atkin, segala amalan pemakanan dan limit-limit makanan yang diambil. Atkin ni adalah diet tanpa carbo. Means segala jenis makanan yang tinggi karbo adalah haram sama sekali untuk diambil pada fasa 1. Pada mulanya aku cadang nak leave je group untuk carik diet yang lain sebab diet atkin ni diet tanpa karbo. Takde karbo maknanya takde nasi. Takde nasi maknanya aku boleh gile. Woii, aku orang asia kot. Mana boleh hidup takde nasi, gile punya kerja. Orang putih takpe la buat diet ni, depa bukan kebuluq sangat makan nasi pun. Tapi azam aku makin kuat lepas sehari demi sehari orang dalam group tu tunjuk perubahan yang mereka buat lepas mulakan diet atkin ni.

20/10/2017 adalah tarikh aku menulis confession ni, bermakna sudah 20 hari aku mulakan diet ni. Alhadulillah 20 hari tanpa nasi dan segala jenis makanan minuman bergula aku tak ambil. Berat aku kini sudah cecah 120kg dari 130kg dari hari 1st aku atkins. Aku target 10kg setiap bulan sampai hujung bulan 12 nanti. Bila badan dah ringan barulah aku akan mulakan aktiviti lain yang lebih lasak sebab badan mungkin dah ringan sikit berbanding sekarang. Doakan la supaya impian aku tercapai. Aku dah 27 tahun makan sedap-sedap, apa salahnya aku korban 4-5 bulan untuk dapatkan berat ideal. Haaa, time tu takyah pikir jodoh dah. Dia mai sendiri, bijak tak aku? Kah kah. Yang penting aku dapat solat dengan lebih sempurna. Dah bertahun rasanya aku tak mampu duduk tahiyat akhir dengan kedudukan yang betul sebab faktor badan gemuk ni.

Sekian saja bebelan aku dalam confession ni. Kalau ada sifu-sifu aktin kat sini yang boleh tolong realisasikan impian 30kg dalam tempoh 3 bulan ni, komen la kat bawah nanti. Aku masih belajar, aku masih mentah dan masih banyak yang tak tahu. Dugaan aktin ni memang banyak oiii, time tu la kawan-kawan kau nak belanje shell out, time tu la office kau buat jamuan akhir tahun, time tu la kawan-kawan nak ajak reunion. Kalau iman tak kuat, memang ke bulan tak balik-balik dah macam iklan kopi kapal api tu. Ok stop, nanti makin banyak aku melalut. Terima kasih admin sebab sudi post, terima kasih gais sebab sudi baca. Terima kasih semua. Semoga Allah merahmati kalian semua.

JOE.

– Zul Husni

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit