Kotor Ya Ampun!

Kotor Ya Ampun!

Assalamualaikum warga IIUMC. Tanpa berbelok ke kiri kanan, aku akan terus menyatakan apa yang aku rasa perlu aku paparkan dalam masyarakat Islam setempat.

Aku datang dari sekolah madrasah penuh. Dari tadika sampai ke IIUM. Ya saya, aku memang bekas mahasiswi IIUM. Sebelem tu, aku belajar di satu kolej Islam di Selangor.

Aku ni jenis biasa. Biasa sangat. Bukan lah solehah sangat. Aku muslimah yang terlampau biasa apatah lagi nak dibandingkan dengan mahasiswa kolej Islam tersebut yang sangat Islamik.

Namun, ada beberapa peristiwa yang buat aku tertanya-tanya kenapa mesti macam ni jadinya.

Aku ada kawan-kawan yang memanglah pembersih. Tak kira kawan sekolah atau kolej atau UIA. Tapi, ada beberapa juga kenalan aku yang dikenali kerana kesopanan dan solehah serta solat, puasa sunat, sampai aku tengok pun aku impikan diri aku nak jadi macam dorang dari segi tersebut.

Walaupun rasa nak memperbaiki diri dan jadikan mereka sebagai contoh utama, hati aku mati separuh bila tengok bilik dan rumah sewa mereka.

Pertama, aku pernah menumpang di rumah sewa kenalan aku. Sebab nak uruskan hal kolej. Kenalan aku memang terkenal dengan thiqahnya atau pembawaan diri sebagai muslimah yang jauh lebih baik dari yang biasa. Tapi waktu aku sampai, aku terkejut.

Ramai sangat mahasiswi kolej yang duduk dalam rumah sewa yang hanya ada 3 bilik tidur tu. Satu bilik tidur, penuh orang tidur di lantai beralaskan tilam. Baju-baju, tudung, tuala, sidai sana sini, dan yang tidur tu penuh satu bilik macam sardin. Dan ini berlaku pada ketiga-tiga bilik tersebut. Aku tak tipu. Aku ingat lagi aku fikir, mana aku nak tidur? Mana aku nak letak barang? Macam mana aku nak jalan?

Sudahnya, aku tidur di ruang tamu. Tepi dinding. Tu pun, ruang tamu ada ramai juga kawan-kawannya. Yang aku pelik, sorang pun macam tak terganggu dengan keadaan kotor dan bersepah tu. Dinding sebelah aku, berhabuk. Aku jujur, hidung aku kategori sensitif. Belum tahap resdung, tapi hampir. Aku tak boleh tidur sebab berhabuk dan kotor tepi-tepi dinding tu.

Di dapur, aku nampak kenalan aku sedang menumbuk bawang atau apa-apa lagi, sambil berbual dengan teman-temannya yang lain. Aku jenguk dapur, aku tak berani nak langkah masuk. Bayangkan lah, kalau dah bilik dan ruang tamu kotor begitu, dapur apatah lagi.

Aku terus terfikir. Bukan kah toharoh, atau lebih tepat lagi, kesucian itu, bab pertama dalam kitab fiqh? Menunjukkan betapa pentingnya kebersihan dalam hidup kita. Aku tak tau nak tegur macam mana, dan yang paling aku tertekan sendiri, dalam ramai-ramai orang, satu pun tak nampak terkesan dengan keadaan kotor tersebut. Jujur, aku kecewa.

Kedua, aku pernah ke rumah kuarters seorang senior kolej tersebut. Saja singgah sebab dah lama kenal. Bila aku menapak ke dalam blok rumah tersebut, aku terpana. Bukan sebab bersih atau cantik. Tapi sebab kotornya blok tersebut buatkan aku hampir nak patah balik. Blok tersebut hampir kesemuanya dihuni oleh pekerja kolej atau asatizah yang bekerja sebagai pensyarah di kolej tersebut. Mungkin ada asatizah atau pekerja yang bising jugak dengan keadaan blok. Tetapi kalau kolej abaikan, mereka boleh buat apa. Mungkin lah.

Bila aku masuk ke dalam rumah senior, aku terkejut untuk entah kali keberapa aku tak ingat. Di dapurnya, tak perlu aku sebutkan. Aku ingat ada semut menghurung sesuatu, mungkin gula yang tertumpah, dan semut-semut tu jalan ke arah salah satu bilik di rumah tu.

Bilik solatnya, lengkap dengan sejadah dan telekung. Tapi, lebih kurang rumah sewa yang aku pernah pergi seperti cerita di atas. Bersepah dan senior aku seperti tak terkesan dengan keadaan tu. Tak kelam kabut mengemas atau apa pun walaupun ada tetamu.

Biar aku jelaskan. Aku ada beberapa kawan juga yang solehah, mu’minah, di pandangan mata aku lah. Tapi kebersihan sangat terjaga. Cuma kes-kes yang aku sebutkan di atas, aku sangat pelik dan kecewa.

Terlebih lagi bila aku baca di IIUMC ni tentang beberapa roommate atau housemate yang kebersihan mereka lebih kurang kenalan dan senior aku tu. Lebih mendukacitakan, muslimah-muslimah ni secara mata kasar, dan in sya Allah mata hati, kalau di luar rumah, memang muslimah yang sangat elok dan baik.

Aku terfikir, macam mana mereka boleh hidup dalam keadaan kotor begitu? Apa pun sebab mereka, aku rasa tak patut dijadikan alasan untuk tidak menjaga kebersihan.

Tolonglah sesiapa pun, kebersihan tu sangat penting. Bila ada lipas atau semut, tak guna panggil pest control kalau sudahnya kita tak jaga kebersihan tu sendiri. Kalau dah sakit, tak perlu salahkan tempat kerja atau sekolah kalau di rumah, kotornya aku cakap, ya ampun!!

– Wanita yang banyak kekurangan

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit