Luahan Anak Di Aidilfitri

Assalamualaikum wbt.

Bagaimana sambutan Hari Raya Aidilfitri? Seronok? Alhamdulillah seronok.

Assalamualaikum wbt.

Bagaimana sambutan Hari Raya Aidilfitri? Seronok? Alhamdulillah seronok.

Hari ini seperti biasa aku ke masjid bahagian wanita untuk menunaikan solat Aidilfitri. Adik aku sudah pergi terdahulu daripada aku. Aku pergi secara berseorangan, setiap tahun begini kerana ibuku tetap bekerja meskipun malam sebelum raya, 1 Syawal dan hari-hari seterusnya. Seronok melihat orang lain pergi ke masjid dengan ahli keluarga. Aku hanya mampu melihat lalu tersenyum dalam hati. 13 tahun ayah pergi meninggalkan kami, meninggalkan kami ketika kami masih kecil. Ibu pula ketika itu tidak bekerja, ayahlah yang membanting tulang . Sewaktu ayah sudah tiada, dunia ini seakan berputar 360 darjah. Pada mulanya, kami ditempatkan di rumah kawan arwah untuk menumpang sementara waktu bersama ahli keluarganya sebelum kami memulakan hidup baru. Beliau merupakan penjaga aku dengan adikku ketika itu, seorang OKU tapi sangat amanah tentang tanggungjawab.

“Ini adalah suruhan Allah yang dititipkan untuk menjaga kami. (Anak-anak yatim).” kata beliau kepada ibuku.

Selepas 3 bulan aku menetap disitu, beliau meninggal akibat sakit. Aku masih ingat jasa beliau, menghantar aku pergi ke sekolah seawal 6.30 pagi, menjaga aku dan adik seolah-olah ahli keluarga sendiri. Selepas beliau meninggal, kami pun berpindah dari rumah tersebut, membina kehidupan baru walaupun selama ini ayah sahaja yang menguruskan. Ibuku terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah. Tapi tidak mengapalah, asalkan gaji itu halal untuk kami. Kami memilih untuk duduk di kawasan rumah setinggan kerana ibuku bergaji agak kecil dan kami masih bersekolah rendah.

Harini genap 13 tahun ayah pergi, ibu membanting tulang. Kadangkala, makan sahaja apa yang ada kerana ibu penat bekerja. Hari ini, usai solat Aidilfitri, aku lelapkan mata. Sebenarnya cara ini mampu tahan sebak didada. Ikutkan aku hendak membantu ibu aku dan tidak mahu teruskan pengajian.

” Ilmu adalah harta dunia akhirat. ” Pesan ibu padaku.

Jadi, aku teruskan semangat. Berniaga kecil-kecilan sambil belajar. Kesusahan dalam hidup ini mengajar erti hidup yang sebenar. Simpan sedikit demi sedikit untuk menunaikan hasrat ingin membeli kereta. Ibuku tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai lesen kereta/motosikal. Jadi, akulah sebagai anak sulung teruskan sebagai harapan keluarga. Aku seronok melihat insan sesama Islam berkumpul dengan sanak-saudara ketika Hari Raya. Sanak-saudara aku jauh, duit hanya cukup untuk keperluan. Jadi, jarang -jarang kami balik kampung. Biasanya, beraya di rumah kawan arwah yang dianggap seperti saudara sendiri.

Bagi insan yang mengalami nasib sepertiku, aku doakan semoga tabah menjalani ujian. Teruskan tabah kerana janji Allah itu pasti. Andai kita sedih, ingatlah kita masih dikurniakan nikmat Islam, nikmat akal, nikmat kesihatan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Sekian,

Segenggam tabah.

– Insan Bersedih

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit