Nota Buat Pelanggan

Salam terima kasih jadi landasan buat saya berkongsi rasa dan cerita. Moga perkongsian ini bawa makna dan sampai ke jiwa.

Saya lepasan ijazah yang masih belum ada rezeki nak bekerja dalam pejabat berhawa dingin menghadap PC , meeting dan pakai cantik-cantik macam makcik-makcik tipikal selalu canang anak kerja best tu. Alhamdulillah sesuai dengan komitmen terhadap keluarga, saya sekarang bekerja di sebuah pasaraya yang lokasinya dalam 20 minit dari tempat tinggal saya. Saya pembantu jualan, ya yang susun barang kira stok tu semua.

Berikut saya selitkan beberapa pesanan yang saya fikir memang kakak abang pasaraya nak sampaikan tapi atas kekangan Customers Always Right, kami telan air liur je hadap perangai Tuan/Puan pelanggan.

1) Jangan buka bungkusan/plastik barang. Hal ini sangat ketara terutamanya kalau kami jaga bahagian barang mainan. Ya, budak lagi, tak reti. Lepas tu, mak ayahnya reti main fon , tengok anak tak reti ke? Hadirkan rasa tanggungjawab, anak dah koyakkan plastik barang, panggil kami, minta maaf paling kurang pun. Tahu tak, ada syarikat, selagi boleh repair kami kena repair barang, bungkus balik ke tape balik ke, bila repair ada pulak bunyi macam ni, tak payah ambiklah yang ni, orang dah bukak, ambik yang lain yang tak terusik. Demand.

2) Rajinkan diri explore tempat. Saya boleh terima kalau ditanya tentang kat mana letaknya satu atau dua barang, tapi sampai lima enam benda takkan setiap kali tu kami kena tunjuk tempat, bawak tuan puan kat barang yang tuan puan cari. Kami pun perlu masa nak siapkan check barang sampai dan sebagainya.

3) Elakkan tanya kualiti barang. Ya, saya kerja di pasaraya yang barangnya memang murah jadi saya selalu berhadapan dengan pelanggan yang tanya barang ni okay ke tak. Jawapan dalam hati kami, kalau rasa banyak duit dan nak barang lagi baik, ini bukan tempatnya. Orang lain datang sebab nak jimat, awak sibuk dengan tanya okay tak, cakap barang nanti tak sampai dua hari dah rosak.

4) Jangan buat kelas Bahasa Inggeris dengan anak dalam pasaraya. Bila sampai pesan macam ni, take one only. Si anak pilih satu letak dalam bakul maknya cakap no pulak, cannot. Dah tadi suruh pilih, bila pilih tak boleh pulak. Anak kat hujung sana, awak terjerit-jerit cakap COME HERE, NO, ONE ONLY, CANNOT. Selain bising, kami rasa ada yang sengaja menunjuk boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, lagi-lagi depan kami yang kerjanya hanya sapu lantai kemas barang yang awak semua sepahkan.

5) Tahan nafsu makan dan minum dalam pasaraya. Saya banyak kali kena mop lantai sebab air tumpah, aiskrim lagi, kuah keropok pun ada. Kadang-kadang kami terlepas pandang pelanggan yang degil masuk dengan makanan minuman di tangan. Mak sibuk tilik wallpaper anak suka hati buang plastik aiskrim merata-rata. Bukan sahaja makanan, ada kawan saya pernah mop muntah dan najis budak, ya datang pasaraya nak berak gamaknya. Memang ada pasaraya yang ada cleaner, tapi lagi pilu kot sebab biasa yang kerja cleaner ni macam mak kita.

6) Belajar redha bila barang kehabisan stok. Barang murah memang biasa cepat habis. Jangan marah-marah sindir cakap apalah order barang sikit, bila saya tanya nak banyak ke, nak dua. Oh. Gaya marah macam nak selori. Kami minta maaf barang habis stok memang bukan dalam kawalan kami, paling kurang kami boleh order, tapi ya kena tunggu. Anggap takde rezeki nak beli mungkin esok-esok boleh datang lagi. Terima kasih.

– Sia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit