Panas Baran dan Solat

Panas Baran dan Solat

Assalamualaikum dan Hi semua. Aku rasa confession aku ni mungkin tak sepatutnya aku confess tapi aku nak apa yang bakal aku cerita ni dapat dijadikan pengajaran dan juga renungan untuk korang semua. Aku anak kedua daripada lima orang adik beradik dan aku seorang perempuan yang berumur 27 tahun.

Aku masih ada mama dan papa. Aku masih ada semua ahli keluarga aku tapi aku masih rasa aku masih kurang. Kau tahu apa yang kurang? Agama.

Dan sesungguhnya agama tu penyuluh jalan buat kita semua. Aku ada mama yang sentiasa ikut suruhan dan perintahNya dan aku juga ada papa yang tak pernah dan jarang untuk ikut suruhan dan perintahNya. Selama aku membesar, aku tak pernah diajar solat, mengaji bahkan asas-asas keagaamaan oleh papa aku sendiri. Papa aku tak pernah solat sepanjang hidup dia. Kadang-kadang papa aku solat, tapi solat jumaat. Kadang-kadang buat, kadang tak. Walaupun papa aku jarang tunaikan tanggungjawab dia pada agama tapi papa tak pernah abaikan tanggungjawab sebagai papa buat aku lima beradik. Papa cari duit, kerja kuat untuk besarkan aku lima beradik dan juga mama aku. Papa pastikan pelajaran kami dapat sebaiknya.

Sepanjang aku membesar, mama yang banyak tekankan aku bab agama. Mama hantar aku kelas mengaji, mama ajar aku solat dan selebihnya aku belajar masa sekolah. Ustaz dan ustazah aku yang ajar dan aku cari sendiri agama tu. Macam mana aku cari? Aku cari kawan-kawan yang ada latar belakang agama yang kuat, aku cari video, aku cari buku, aku cari kelas-kelas agama, seminar agama. Sebab aku tak pernah dapat macam orang lain dapat. Papa aku tak pernah imamkan solat jemaah aku, papa aku tak pernah ajar aku alif ba ta, tak pernah ajar aku cara nak amik wuduk, halal haram dalam islam. Aku cemburu dengan kawan-kawan aku yang papa dorang imamkan solat dorang, yang berdoa sama-sama dorang. Aku tak pernah rasa semua tu. Aku sedih sebab family aku macam ni. Family aku tak macam family orang lain.

Bukan niat aku untuk burukkan papa aku sendiri tapi solat tu tiang agama, solat tu kunci kejayaan. Dan kau tahu apa akibat bila kau tak solat? Hidup kau asyik dilanda masalah, kau selalu ada masalah. Tak kira duit atau apa jua. Bila kau ada duit sikit, tiba-tiba kereta kau buat hal, kau kene betulkan kete la. Mesin basuh rosak la. Kau jadi lagi panas baran. Kau sakit dan macam-macam lagi jadi sebab kuncinya kau tak solat. Dan itu apa yang aku rasa sepanjang hidup aku ni. Aku malu dekat jiran-jiran aku, kawan-kawan aku, sedara mara aku. Bila masuk waktu solat dan tengah azan, papa aku masih dekat luar lepak dan sembang dengan member dia. Kawan-kawan aku dulu pernah tanya aku ‚‘‘wei, papa kau tak sembahyang ke? Aku nampak papa kau dari maghrib sampai isyak ada dekat kedai tu je“ Kalau kau jadi aku, kau nak jawab apa? Apa aku rasa bila dapat soalan camtu? Aku jadi tak suka berkawan dengan orang. Aku taknak orang kenal sape family aku. Aku jadi pasif, aku jadi suka bersendirian. Aku jadi tertekan. Aku stress!

Panas baran. Ye, tu adalah salah satu cabang sifat yang ada pada papa aku. Susah nak ubah sikap dia tu. Papa aku bukan jenis baran sampai sanggup naik tangan tapi baran dia ditunjukkan melalui sikap dia. Asal marah, asal baran hempas barang. Hentak sana, hentak sini. Kadang-kadang tu aku kesian dekat mama dan adik bongsu aku sebab dia je yang ada dekat rumah. Kami yang lain semua tinggal luar daripada keluarga. Jadi yang selalu kena tempiasnya, mama dan adik. Adik aku yang bongsu, nak periksa besar tak lama lagi. Maka, bila jadi hal macam ni, aku risau kacau prestasi dan mood dia. Dia dalam proses nak membesar. Tengah remaja. Kalau salah acuan, memamg rosak segalanya. Benda ni dah jadi pada abang aku. Sikap dia sebiji macam sikap papa jadi, aku rasa perkara ni memang akan rosakkan satu keluarga. Ye, satu keluarga.

Apa yang buat aku lagi sedih, adik beradik aku ikut jejak langkah papa aku. Susah nak solat, susah nak ikut apa yang diperintahkan agama. Aku bukan tak usaha ubah family aku, aku buat. Aku ajak adik beradik aku solat sama-sama dengan aku. Aku cuba nak tegur papa aku tapi akhirnya aku balik yang kena. Aku doa, hari-hari aku doa supaya Allah jadikan papa aku sama macam papa orang lain. Yang boleh imamkan solat-solat aku, yang boleh ajar aku. Aku dah penat menangis sampai aku tak larat nak menangis lagi kenangkan apa yang aku lalui ni.

Satu benda lagi yang buat aku jadi takut sekarang, aku nak kawin. Aku nak dekat dengan lelaki tapi aku takut. Aku takut lelaki tu tak boleh terima keadaan family aku, lelaki tu macam papa aku. Nak ke lelaki tu terima aku. Aku fobia! Aku takut nak kawin sebab apa yang jadi dalam hidup aku ni bukan sekecil-kecil perkara. Sampai satu masa aku fikir lagi baik aku hidup sendiri.

Untuk perempuan, pilih la bakal suami korang sebaiknya. Carilah yang sebetul-betulnya. Kenal dia, tahu siapa keluarga dia. Kalau pun perkahwinan kau diaturkan keluarga, kau tetap kene selidik latar belakang dia. Ouh ya, aku lupa nk bagitahu. Mama dan papa aku kawin sebab aturan keluarga. Tak sempat nk kenal hati budi mana pun. Keluarga decidekan. Korang perempuan, jadikan diri korang sedia sepenuhnya sebelum kahwin. Teruk mana pun kau, kau tetap ada hak nak pilih bakal suami kau.

Dan aku lelaki, sebelum kau ambil langkah untuk berkahwin. Siapkan diri kau sebaiknya. Fikir hal masa depan. Kalau kau tak ubah diri kau sekarang, kelak yang terima nasib anak-anak kau. Macam aku. Korang ketua keluarga dan tanggungjawab bina keluarga bersama-sama. Kalau sekarang rasa liat nak solat, paksa gak diri tu sebab tu kunci kehidupan. Tak kira lelaki atau perempuan. Solat tu wajib. Paksa dan berkeras lah dengan diri sendiri.

Benda yang aku lalui ni betul-betul buat aku rase depressed dengan kehidupan. Aku persoalkan macam-macam benda. Aku try nak pergi kaunseling tapi bila aku tengok zaman sekolah dulu cikgu kaunseling aku akan cerita kan hal yang pelajar adukan pada dia kepada cikgu atau pelajar lain buat aku rase tak percaya kaunseling ni. Buat apa aku nak cerita kalau cerita aku dihebahkan pada orang lain dan memalukan aku? Aku cuba tenangkan diri tapi cakap-cakap orang sekeliling berlegar-legar je dalam kepala. Nak suruh aku buat tak tau? Aku manusia normal la. Aku tak boleh pura-pura pekak tak dengar orang mengutuk, mengata.

Doakan aku! Doakan keluarga aku kembali kepada fitrahnya. Doakan papa. Doakan mama. Doakan adik beradik aku.

Hidup dalam ketakutan,
Aku Sofia

– Sofia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit