Pemandu Uber

Salam Admin dan pembaca yang dirahmati Allah. Aku nak kongsi kisah aku sebagai pemandu U***, separuh masa. Aku harap para pemandu teksi serta isteri, anak, adik, kakak pemandu teksi dan sewaktu dengannya janganlah kecam aku dan pemandu-pemandu U*** / G*** dan macam-mcam lagi applikasi yang akan datang.

Aku dan pemandu lain bukan suka-suka nak nak caras ekonomi pemandu teksi yang kebanyakannya bergantung pada rezeki ‘mengayuh’ (istilah pemandu teksi yang bermaksud memandu teksi cari rezeki). Ada juga ahli keluarga aku menjadi pemandu teksi, tambah lagi sedap cerita, bapa aku pun pemandu teksi. Aku faham sangat perasaan mereka bila pendapatan dah berkurangan sejak akhir-akhir ini. Tujuan kita sama saja, iaitu sebagai survivor (meneruskan kelangsungan hidup).

Sebagai ibu tunggal dan anak yang bertanggungjawab dalam membantu perbelanjaan rumah, banyak tanggungan aku. Namun, aku percaya pada rezeki Allah. Ketika aku mula mencari-cari apa kerja yang aku boleh buat secara separuh masa, maka terpandanglah aku akan iklan U*** ini. Sebelum jadi pemandu, aku jadi penumpang dulu untuk memahami sistem dan prosesnya. Selepas sebulan, berdaftarlah aku dan ‘berkayuh’ menambah rezeki dengan U***.

Aku kesian dengan bapa aku, dia tak pandai guna kecanggihan gajet dan applikasi mobile ni. SMS yang dia hantar pun ikut sedap dia taip aje. Dia tak pandai nak guna Gugel map atau Wez map ni. Jadi harapannya, penumpang tunjukkan jalan ke destinasi. Adakalanya, penumpang tu pulak yang tolong bapa aku navigate laluan guna Wez. Suka atau tidak, ini adalah salah satu sebab kenapa penumpang teksi beralih kepada applikasi U*** dan G***. Mereka juga boleh estimate tambang dan tiada istilah “tipu meter” atau tak guna meter ketika menggunakan perkhidmatan U***. Aku tau, tak ramai yang menipu meter, tapi sebab nila setitik, habislah seluruh pemandu teksi dianggap menipu meter.

Banyak kisah yang aku dengar tentang pemandu teksi yang ‘tak suka’ dengan sistem U*** dan G*** ni. Siap ada kes baling telur kat windscreen kereta pemandu G***. Kata rezeki tersekat, tapi telur yang boleh dibuat lauk tu kau baling pulak kat windscreen kereta. Adoi! Jadi secara tak langsung, aku pun rasa terancam juga. Hendak pula bila melalui di kawasan ‘hot spot’ seperti KL Sentral, di mana ada sederet teksi dah menunggu di satu kawasan menunggu giliran mengambil penumpang, risau juga aku. Tapi aku ke sana bukan nak sauk rider pemandu teksi ni, aku ke sana atas request rider. Jadi tolong jangan marah aku ye abang/adik/pakcik teksi. Apa yang penting, bapa aku sokong aku buat U*** ni.

Bila aku lalu di kawasan yang ramai pemandu teksi tunggu giliran, dalam hati aku minta maaf dekat mereka sebab tiada niat pun nak mencaras rezeki mereka. Dalam pada itu aku berdoa agar mereka juga diberi rezeki berlipat ganda seperti mana Allah melimpahkan rezeki pada aku dan orang lain. Kita sama-sama cari makan dengan aset yang makin lama makin susut nilainya iaitu kereta. Rezeki ada alamatnya, sama-samalah kita ikhtiar.

Dengan hasil U*** ni, walaupun separuh masa, aku boleh bantu ibubapa aku dengan belanja dapur yang semakin meningkat harganya. Bapa aku pun dah tua dan selalu sakit-sakit, tak larat nak drive lama-lama. Jadi, akulah gantinya. Dengan hasil U*** ni juga aku boleh kumpul untuk kos servis dan perbaharui cukai jalan dan insuran kereta. Dulu aku selalu charge kat kad kredit. Lama-lama, hutang kad kredit semakin banyak. Bila buat U***, aku dah kurangkan bebanan hutang aku sebab semuanya bayar tunai.

Gaji aku cukup untuk bagi ibubapa aku, bayar sewa rumah anak aku yang belajar di kolej, hutang kereta dan bil-bil. Bila aku buat U*** ni, aku niatkan yang selain dari mencari rezeki, aku nak tolong rider terutamanya perempuan sampai dengan selamat ke destinasi mereka. Ada juga yang gembira bila dapat pemandu U*** perempuan nak pulak pada waktu malam. Alhamdulillah, misi aku tercapai bila rider perempuan rasa selamat naik dengan pemandu wanita macam aku. Pemandu berhemah pulak tu.

Jadi aku harap, pemandu-pemandu teksi janganlah berdendam dengan pemandu U*** atau G*** ni. Kami juga ada mulut-mulut nak disuap. Aku pasti, mesti ada yang kecam, hentam dan keluarkan fatwa sendiri lepas baca tulisan aku ni. Tu biasa lah kan. Aku “telan” komen kau, kau “telan” la tulisan aku, adilkan?

Sekian,
Kak Tijah Janda Vogue

– Kak Tijah Janda Vogue

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit