Perhubungan Lelaki dan Wanita dari Sudut Pandang Ulat Buku

Terima kasih pihak IIUM Confessions sudi berkongsi cerita aku.

Aku seorang ulat buku. Sebagai ulat buku, jarang aku terlibat dengan media sosial. Apa-apa yang viral dan trending pun aku tak tahu. Facebook aku hanya memiliki 300 kawan dan 300 orang tu memang orang yang aku betul-betul kenal. Nak kemas kini status pun susah apatah lagi nak berbalas komen. Sekarang ini aku dah deactivate FB sebab nak fokus belajar.

Tapi, kadang-kadang aku tengok Facebook suami aku. Semata-mata nak baca IIUM Confessions. Selepas aku tahu IIUM Confessions ada laman web, memang FB sudah bukan mainan aku lagi. Jadi, tujuan aku di sini kerana ingin berkongsi perkara yang hanya ulat buku boleh tahu. Semoga aku boleh memberi pencerahan kepada masyarakat. Ambil yang baik, buang yang buruk. Tambahan pula, dekan fakulti aku mengerahkan kami pelajar untuk rajin-rajin menulis tidak kira di mana sahaja. Satu kerja yang sukar pula untuk berkongsi cerita santai. Tambah-tambah berkaitan diri sendiri.

Cerita yang aku nak kongsi ni berkaitan dengan perhubungan lelaki perempuan secara am dan suami isteri secara khusus. Aku perhatikan kalau cerita bab-bab kahwin ni memang mendapat sambutan di sini. Menunjukkan alam perkahwinan ini memang sesuatu yang misteri dan sentiasa digali. Tambahan pula, rumahtangga ini tempat menyimpan ilmu pengetahuan berkaitan makhluk berlainan jantina yang datang dari dunia berbeza. Biasalah kalau semua orang tambahan yang belum berkahwin curious untuk mengetahui apa yang berlaku dan bakal berlaku dalam sesebuah rumahtangga.

Jadi di sini, aku nak berkongsi kajian aku yang berdasarkan pengalaman aku berkaitan hubungan lelaki dan perempuan yang berkesan. Walaupun aku ni ulat buku, waktu aku rasa nak kahwin tu, aku terpaksa menggunakan kelebihan suka membaca aku untuk mendapatkan suami. Haha…dah namanya perlu berusaha. Sebelum ini, aku anggap lelaki ni makhluk asing. Ya, termasuklah abah dan adik-beradik lelaki aku. Banyak tindakan mereka yang aku tak faham dan kadang-kadang mengundang kejengkelan dalam diri. Tambahan pula, aku sudah masuk asrama seawal 13 tahun, memang aku tidak punya masa memahami makhluk bernama lelaki ini secara lebih dekat. Beberapa kawan aku ada menasihatkan supaya jangan keras sangat dengan lelaki. Nanti tak kahwin.

Bagi aku, masa belajar bukan masa untuk mencari suami. Ditakdirkan aku belajar sampai 22 tahun (sekarang) dari aku masuk tadika umur 6 tahun. Punya kuat aku belajar sampai tak sedar aku dah nak tua dan tidak punya suami. Aku sedar masa ijazah lagi sebenarnya. Tahun akhir barulah aku mulakan pencarian. Sebelum tu, semua lelaki yang mendekat memang tak lekat sebab sikap aku yang dingin.

Waktu tengah borak-borak dengan rakan-rakan dalam kelas aku, aku tanyalah mereka tips-tips rumahtangga dan ciri-ciri suami yang baik. Sekali seorang pelajar paling tua dalam kelas kami respon, ‘lebih baik awak fokus sambung belajar muda-muda ni, nanti kahwin dah tak boleh fokus.’ Itu nasihat tipikal seorang bapa berumur 53 tahun semasa aku menyuarakan hasrat nak berkahwin lepas habis ijazah. Rakan-rakan perempuan rata-rata konpius macam aku juga. Tiba-tiba datang seorang rakan lelaki yang terdengar perbualan kami memberi pandangan yang telah menjadi pegangan aku sehingga sekarang ini tetapi aku tak faham masa tu.

“Perempuan kena faham, lelaki kena sayang.” (ini kata kunci dalam cerita aku)

‘Apa maksud ko? Kenapa perempuan kena faham lelaki?’

‘Benda yang jadi selalu sebaliknya bila perempuan terlebih sayang, lepas tu minta lelaki faham. Sebab lelaki memang takkan faham perempuan. Tapi bila dia sayang, dia akan automatik cuba nak faham perempuan tu. Bila perempuan yang sayang lelaki, dia akan makan hati bila dia rasa laki tu tak faham perasaan dia.’

Lebih kurang begitulah penjelasan dia yang membuatkan aku bertambah tak faham sehinggalah sampai satu masa ni. Bila aku putus tunang. Sudahla tidak pernah bercinta, bila jumpa seorang lelaki yang kononnya nak dijadikan cinta pertama, tiba-tiba putus di tengah jalan. Kecewanya Tuhan sahaja yang tahu. Memang tak nak lalui dah. Sebab tulah ada orang yang putus cinta terus tak kahwin-kahwin. Rupa-rupanya macam ni sakit putus cinta (walaupun hubungan kami memang jauhla dari bercinta, konon menjaga…)

Tetapi waktu tu, aku memang nak berusaha pulihkan hubungan tu. Nasihat-nasihat orang keliling yang cliché macam ‘nanti akan jumpa yang lebih baik’, ‘dah bukan jodoh’, ‘terimalah ketentuan’ semua tu aku tak nak dengar. Aku cuma fikir cara nak dapatkan dia semula. Jadi, selaku ulat buku, aku bertapa di perpustakaan negeri selama 6 bulan cuba mencari cara bagi memulihkan hubungan dan mendapatkan balik seorang lelaki. Semua buku self-help tentang relationship aku baca termasuklah Quantum Physics for Dummies. Macam mana cara-cara nak dapatkan balik ‘ex’ dan sebagainya. Dan aku aplikasikan dalam hidup aku setiap yang direcommend oleh buku-buku tersebut.

Hasilnya? Aku dah tak nak kat dia sebab aku dah tahu punca putus disebabkan sikap aku dan aku fikir aku boleh dapat lelaki yang lebih awesome dari dia dengan cara-cara yang aku jumpa dan perasaan kecewa aku hilang macam angin semilir. Hati aku sudah tak sakit walaupun aku masih ingat pengalaman kecewa tu macam mana. Aku sudah pulih dan move on. Aku jadi macam tu sebab aku terlebih sayang dekat seorang lelaki. Tetapi aku tak faham dia. Dia pula? Memang sah-sahlah tak sayang aku. Sebab?

Lelaki ni bukan makhluk kompleks. Perempuan kompleks. Ada kawan aku pernah tunjuk buku nak faham perempuan berdasarkan kajian Barat, tinggi buku tu separuh dari ketinggian pengkaji tu. Punyalah manusia cuba memahami makhluk bernama perempuan secara saintifik. Dalam perhubungan yang bersifat emotional-sharing, lelaki hanya bertindak balas terhadap tindakan wanita.
Dia tak mampu nak kawal perasaan dia sebab dia pun tak tahu –apakah perasaan ini? Dia bukan makhluk yang diciptakan untuk beri perhatian terhadap emosi. Agak-agak dia boleh ke pergi berperang atau jalankan hukuman atau bekerja kalau dia terlalu beri perhatian kepada emosi? Hormon testosterone yang menyebabkan mereka memendamkan emosi untuk bersaing dengan manusia lain kat luar sana. Kalau nak lelaki yang beremosi, cari yang kurang sikit hormone testosterone mereka, yang muka lembut, yang lemah-lembut perilaku (sopan) –ini fakta bukan nak menyindir.

Dalam kes bekas tunang aku, sikap aku yang dingin bukankah menghilangkan perasaan sayang dia kepadaku? Sebab tu apabila ditanya punca dia nak putus, dia pun cakap tak tahu. Sebab dia pun sendiri tak faham perasaan dia, yang pasti dia cakap dia rasa serabut. Dia serabutlah sebab dia tak dapat nak jelaskan perasaan dia. Dia tak benci, tapi dia tak rasa nak buat aku jadi bini. Itu je.
Jadi, di sini benarnya apabila rakan lelaki aku tu cakap lelaki kena sayang. Perempuan kena faham. Untuk mendapatkan suami aku yang sekarang ni, aku habiskan masa membaca berpuluh-puluh laman web relationship kat internet dan buku untuk memahami lelaki. Pattern jawapan semua sama. Kemudian, masa terluang selepas habiskan sarjana, aku praktiskan pengetahuan aku dekat mana-mana lelaki yang aku jumpa. Hatta posmen, peniaga ikan, rakan-rakan sekelas dan ramai lagi asalkan lelaki.

Dan teori yang lelaki hanya bertindak balas terhadap cara tertentu layanan perempuan adalah tepat. Dan sama setiap masa bagi setiap lelaki. Tak kompleks. Memang makhluk logik. Aku selalu dapat apa-apa yang aku nak daripada mereka –dengan syarat perempuan kena faham lelaki ni macam mana. Nak faham, kena membaca. Maaf, tak dapat nak explain satu-satu di sini. Jadi, apabila perempuan faham lelaki ni macam mana yang sebenarnya tak kompleks pun dan hanya bertindak balas terhadap cara layanan kita, secara automatik dia akan sayang yang sebenarnya dia pun tak tahu kenapa dia sayang.

Dan dengan cara memahami mereka, aku dapat suami aku yang memenuhi ciri-ciri suami yang aku nak –hensem, bergaya, mutu, keunggulan. Kami kenal tak sampai dua bulan, dia dah ajak kahwin dan terus hantar rombongan walaupun masa tu dalam bank dia hanya ada dua ringgit. Sedangkan masa tu kalau perempuan lain ajak dia kahwin, dia cakap tak ready. Orang lelaki bila dah sayang, lautan api sanggup direnangi. Jadi, cara nak bagi mereka sayang adalah fahami mereka.

Sebab itulah kadang-kadang tak pelik bila kita tengok isteri si A ni perangai tak elok pun, tapi kenapa lelaki dia sayang? Sebab dah dia sayang. Dia pun tak tahu kenapa dia sayang. Pernah tak dengar ayat drama, ‘sayang punya pasal…’ Jadi dapat isteri pemboros, tak solat, tak pakai tudung, tapi suami alim, lepas tu ada perempuan sebelum kahwin si lelaki tahu perempuan ada lelaki lain tapi still setia sebab sayang punya pasal. Orang lelaki kalau dia dah sayang…

Orang perempuan dah tentu makhluk penyayang. Tetapi tak cukup sekadar sayang suami kalau tak faham suami. Boleh sakit jiwa dengan tindak balas mereka dan buat kita tak rasa disayangi. Orang lelaki pula tak cukup kalau dia faham isteri tapi tak sayang. Sebab satu hari nanti, kalau datang masalah dalam rumahtangga, perasaan sayang si suami yang akan menguatkan dia daripada melafazkan cerai, bukan logik akal. Walaupun isteri dia buat benda paling gila dan tak masuk akal pun. Itu yang terjadi berdasarkan pengalaman mak ayah saya. Saya membesar dengan melihat mereka bergaduh sokmo. Mak saya selalu lari dari rumah balik kampung. Sayalah yang selalu teman mak. Sampai saya pernah tanya ‘abah tak jemu ke mengadap perangai mak?’ Abah cakap, ‘Jemu juga kadang-kadang. Tapi dah kita yang pilih dia jadi isteri, jadi buruk baik dia kita kena terima.’

Hanya orang yang ada perasaan sayang boleh terima buruk baik seseorang. Sikap saya pun kadang-kadang buat suami naik angin, tetapi dia boleh bersabar sampai dia boleh tanya saya, ‘Abang tak tahulah, tapi kenapa abang sayang sangat kat awak ea walaupun perangai awak kadang-kadang menyakitkan hati abang?’ Contoh, saya tak suka makan sebelah orang merokok kat kedai makan tambah-tambah sekarang sedang mengandung. Jadi, saya selalu minta tukar tempat kalau tak saya memang tak nak makan. Kadang-kadang berkali-kali tukar tempat dan dia layankan jer walaupun saya tahu dia mesti malu sebab dia kena inform pelayan. Kalau orang lelaki baca, mesti reaksi dia, ‘perangai macam ni pun ada, kalau akulah…’ Sebab itulah tak perlu nak faham perempuan, memang takkan faham.

Orang lelaki tak de masa nak faham perempuan sebab dia bukan jenis teliti bab emosi wanita. Sampai tujuh keturunan pun dia takkan faham. Tapi bila dia dah sayang, bila isteri buat perangai, memang dia boleh hadap dan cuba faham si isteri (bukan faham perempuan, sebab setiap perempuan perangai dia lain macam langit dengan bumi). Dan tak susah nak faham lelaki since orang perempuan ni rajin sangat mencari tips-tips rumahtangga bahagia. Daripada mencari tips-tips membahagiakan isteri dan tag si suami yang dia tak baca pun, lebih baik cari tips fahami suami supaya dengan cara tu dia lebih sayang kita dan kita dapat apa yang kita nak. Lebih dari drama romantik kadang-kadang. Saya percaya perempuan lebih suka dengar perkataan ‘I love you’ dari bibir suami daripada bibir dia sendiri, kan?

Ini cerita mengenai usaha manusia, jadi saya cerita pengalaman saya. Segala-galanya terjadi dalam ketentuan Allah s.w.t jua. Wallahualam.

– jane austen

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit