Peristiwa Di Kedai Jalanan

Dalam perjalanan pulang dari klinik 1Malaysia, ku singgah di sebuah gerai nasi lemak tepi jalan.
Jam hampir pukul 11.00 pagi pada waktu itu, perut yang berkeroncong harus di isi.
Hari ini tidak berapa sihat sebenarnya, jadi ambil cuti dan duduk di rumah sahaja.

“Nak nasik lemak biasa dua ye”, pesan ku pada penjual itu.

Dari lagak gayanya, perempuan itu berasal dari Indonesia, berusia dalam lingkungan 30an.

“Biasanya gerai ini dijaga oleh seorang ‘mak cik’. Sekarang, ‘akak-akak’ pula ye ” hati ku berbisik.

Sambil itu, ku membelek-belek bekas di atas meja yang berisi dengan sambal berlauk. Ada ayam, udang dan sotong. Gerai ni walau jarang ku kunjungi, tapi harga lauknya sudah di dalam kepala. Tapi, sengaja ku buat bertanya lagi,

“Sambal udang berapa kak? ”

Seperti diduga, dia menjawab, “Lima ringgit. Semua lauk harga sama. Nak? “.

“Ohh..tak apalah…” balas ku bersahaja.

“Tak apalah, kira sambal udang empat ringgit setengah je… nak? “, dia cuba menawar harga. Maklumlah, jam hampir pukul 11.00 pagi, waktu sebegini, pelanggan sudah tidak ramai.

Ku hanya melemparkan senyuman sambil menggeleng kepala. Riak wajahnya ada tanda kecewa.

Apa boleh buat, hati ku merasakan nasi lemak berlauk RM5 itu terlebih mahal. Harganya sama seperti makan nasi lauk kari ayam di restoran mamak. Tapi, di sana ada bangku, kerusi dan juga astro, lebih ‘value for money’.

Sedang dia membungkus nasi lemak, tiba seorang pemuda, dari gaya pakaian, dia bekerja di restoran mamak berhampiran. Muka sedikit kacak, ala-ala pelakon Amir Khan begitu. Dia pesan nasi lemak biasa sebungkus. Mereka berdua lantas terus berbual, boleh tahan mesra, mungkin kenalan atau pelanggan tetap agaknya. Dari gaya perempuan muda itu melihat sang pelakon hindustan, dia seakan ada menaruh perasaan.
Ku hanya memerhati gelagat mesra mereka.

Kemudian ku lihat gadis penjual nasi lemak itu sedang memasukkan bungkusan nasi lemak yang siap di lipat ke dalam plastik, tetapi hanya sebungkus, sedangkan ku pesan untuk dua bungkus tadi.

“Akak, nasi lemak tadi, nak dua ye” , kata ku cuba mengingatkan dia kembali

“Ok..ok” dia membalas sambil menggangguk.

Kemudian, tidak semena-mena, nasi lemak yang baru dibungkusnya tadi dihulurkan terus kepada lelaki yang baru tiba itu, sang jejaka tampan acah-acah pelakon Hindustan.

Tidak cukup dengan itu, “Ehh..mahu dua bungkus”, kata lelaki itu.
Lantas, nasi lemak berlauk bilis dicedok, kemudian di bungkus dan dilipat kemas, kemudian dihulurkan kepada lelaki itu.

Ku terkesima, tercengang dan termangu melihat perbuatan itu tanpa berkata apa-apa.
Sungguh tidak ku sangka, mati-mati ku ingat nasi lemak tadi dibungkus untuk ku.

“Ciss….terbakar dihutan nampak asapnya, terbakar di hati siapa yang tahu? Tidakkah dia mengerti akan hukum perniagaan ini, pat-pat siku lipat, siapa cepat dialah yang dapat” ku membentak di dalam hati.

Ku tertanya-tanya, apakah kekurangan diri ini sehingga ku dilayan sebegini rupa?

“Cisss… pantang nenek moyang ku diperlaku begini.” bentak hati ku lagi.

Puaka amarah yang selama ini bertapa kembali tersedar, bangun membara seakan api besar menggunung tinggi yang membakar tanpa belas kasihan.

“Jika orang berbudi kita berbahasa, kalau orang campak bunga, kita campak bunga juga, bagaimana tepuk begitulah tarinya, tetapi jika celaka yang dicari, celakalah yang dapat” kataku di dalam hati.
“Apalah guna ilmu dituntut, jika tidak berani mati. Dia harus ku ajar, biar mengerti erti penyesalan. Akan ku lawan secara halus” , berbicara ku di dalam hati.
Kemudian, mentera dibaca, “Bukit bukau gunung ganang, pagi petang siang malam, ditetak dipukau direnung ditenung…………..”, kemudian ku hembus santau angin di gerainya.

Serta merta, tiada apa yang terjadi. Kerana itu sekadar gurauan di minda ku ini.

Usahlah kalian bimbang, cahaya keimanan ku masih bersinar di dalam hati, dengan izin Yang Maha Esa. Tiada langsung niat ku begitu, sekadar bahan gelak ketawa sahaja.

Cumanya, berlaku adillah kalian kepada insan lain, lebih-lebih lagi sebagai peniaga jalanan begitu.

Sekian.

– Matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit