Permohonan Wali Hakim

Bismillah.
Saya Alia, berumur 24 tahun dan seorang penuntut di IPTA. Saya berhasrat untuk bernikah pada akhir tahun ini. Tempat pernikahan kami adalah di Kuala Lumpur. Namun, hancur hati saya apabila ketika mengisi borang nikah, saya dapati mak ayah saya tiada sijil nikah. Mula mulanya, mak cuba sorokkan sesuatu dari saya. Katanya sijil nikah hilang ketika berpindah rumah. Saya refer dengan Pejabat Agama, mereka kata boleh dapat yang baru asalkan pernikahan itu didaftarkan. Alangkah terkejutnya saya apabila mak memberitahu, dahulu dia dan arwah saya lari ke Siam untuk bernikah dan pernikahan itu tidak pernah didaftarkan di Malaysia. Apa lagi, menangis teresak-esaklah saya. Rupa-rupanya surat beranak kami adik beradik juga dibuat secara ‘kow-tim’ dengan pegawai JPN, yang merupakan sahabat baik arwah ayah saya di sana.

Saya berjumpa dengan Pegawai Agama di Pejabat Agama. Ustaz itu kata, daftar nikah tidak boleh dilakukan sebab ayah saya dah meninggal dunia. Ustaz itu mencadangkan saya memohon wali hakim disebabkan status pernikahan mak ayah saya yang tak didaftarkan. Maka bermulalah episod sedih saya.

Saya ke Mahkama Syariah Jalan Duta, memohon wali hakim. Pergi ke sana, pegawainya kata “Eh cik kena ke JAWI dahulu, mohon JAWI keluarkan laporan baru boleh mohon wali hakim”. Saya pun pergilah pula ke JAWI.

“Salam cik, macam mana ya saya nak dapatkan laporan pejabat agama untuk wali hakim?”
“Kenapa kamu nak mintak wali hakim?”
“Ibu bapa saya tak daftarkan nikah di Malaysia”
“Amboi.. Ingat senang senang ke nak mintak wali hakim. Bukan senang tau dapat wali hakim. Bukan sebab tak daftar nikah terus dapat. Hah, macam ni. Mula mula kamu kena daftarkan nikah mak kamu tu dulu.”
“Hah? Macam mana pulak saya nak daftarkan nikah mak ayah?”

Masalah di sini, adalah ibubapa saya tiada sekeping pun bukti perkahwinan di siam. Katanya sijil sijil nikah Siam hilang. Hatta sekeping gambar pun tiada. Aduh luluhnya hati saya.. Sudahlah tarikh tidak lama lagi. Saya pun masih belajar di selatan tanah air. Harus berulang alik ke ibu kota tampaknya selepas ini.. Jujur saya katakan betapa sedih saya dengan ibubapa sendiri. Mengapa kesalahan mereka harus saya pikul.

Pembaca budiman, jika ada antara yang boleh membantu saya menjelaskan dengan lebih terang akan prosedur wali hakim atau apa yang saya patut lakukan sekarang ini, amatlah besar hati saya.

Terima kasih.

– Alia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit