Seronoknya Jadi Dia

Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin andaikata admin publish confession ni.

Pernah tak korang tengok status kawan-kawan dalam instagram, facebook, twitter tentang bahagianya dia melancong ke sana sini, berjalan-jalan dengan keluarga, makan malam dengan suami & bawa anak-anak ke taman tema dan dalam hati korang akan terbit suara, “Seronoknya jadi dia.”

Pertama sekali, ini bukan confession bangga diri sebab bagi aku apa yang aku ada sekarang ni cuma satu fasa yang semua orang akan lalui tapi berbeza waktu & caranya. Kedua, ini salah satu cara aku bermuhasabah dan aku nak kongsikan dengan semua.

Aku perempuan, bekerja dalam bidang profesional, telah berkahwin dan mempunyai anak. Aku dan suami dah membeli sebuah rumah teres dua tingkat, mempunyai 3 biji kereta (satu daripada kereta tu kereta import) dan sebijik motor dan umur aku masih belum menginjak angka 30. Sekarang ni aku dan suami cuma bayar hutang rumah dan kereta import tu sahaja. Kereta 2 bijik dan moto tu memang dah habis bayar dan dapat geran. Suami hantar kerja hari-hari, anak pula keluarga mertua yang offer nak jaga.

Nampak macam seronok kan?

Tapi disebalik semua itu, aku pernah melalui waktu-waktu sukar.
Sebelum mendapat kerja dalam bidang profesional, aku pernah menganggur hampir setahun selepas grad. Pointer aku ok la, atas 3.00, kira cukup makan jugak la. Tapi nak buat macam mana, belum ada rezeki. Aku ada buat kerja sambilan tapi terpaksa berhenti sebab gaji masuk tak menentu. Kadang-kadang dah 2 bulan pun gaji tak masuk-masuk. Itu pun nasib baik masih duduk dengan keluarga. Bila dah dapat gaji tu, cepat-cepat aku asingkan untuk bayar duit kereta, duit untuk mak bapak, duit untuk beli barang-barang rumah sikit. Masa ni belum kahwin lagi, jadi aku bolehlah simpan sebanyak mungkin dari duit gaji aku.

Kereta pertama aku cuma kereta wira secondhand je. Beli guna duit mak bapak tapi lepas dapat kerja aku bayar balik ansur-ansur. Dah nama pun secondhand, memang macam-macam masalah yang tak boleh nak jangka. Kereta tersadai tepi jalan banyak kali sebab enjin tiba-tiba mati tak boleh nak start. Aircond rosak dalam jem, luar pulak hujan. Aku tak boleh bukak tingkap sebab takut air masuk kereta tapi dalam masa yang sama dalam kereta dah berkuap sebab aircond tak ada. Nak drive pun cermin kabur je. Kereta manual pulak, kejang-kejang kaki aku.

Awal-awal perkahwinan, aku PJJ dengan suami. Hampir setahun jugak aku duduk asing dengan suami atas tuntutan kerja. Dan dalam tempoh PJJ tu, setiap minggu la kami bergilir-gilir balik ke tempat masing-masing. Mujur jugak sama masih didalam Semenanjung Malaysia. Sekurang-kurangnya masih boleh berjumpa. Penat memang penat. Aku pun pernah hampir-hampir kena tinggal bas sebab keluar pejabat lambat. Berlari tak cukup tanah dengan baju kurung semata-mata nak kejar bas.

Dalam soal perkahwinan ni, aku dan suami tak pernah bercinta sebelum ni. Kami berkawan rapat sahaja selama ini sebelum dia kata dia nak jadikan aku isteri dia. Sejujurnya aku boleh kata awal-awal perkahwinan tu aku kerap bergaduh dengan dia. Aku cakap sikit, dia terasa. Dia tegur aku, aku tak suka. Rasa macam semua tak kena. Maklumlah, masih mencari keserasian & mengenal hati budi. Jujur aku tertekan sepanjang berada di awal perkahwinan sebab masih tak sefahaman masa tu. Mujur dia masih bertahan dengan aku dan sekarang ni aku rasa lebih tenang dengan dia berbanding awal-awal kahwin dulu.

Bila dapat duduk dengan suami, kami menyewa rumah. Rumah flat 4 tingkat, tak ada lif. Dan nak dijadikan cerita, masa menyewa rumah ni la aku mengandung anak aku yang pertama. Masa ni aku masih drive sendiri ke tempat kerja sebab waktu kerja suami tak sama dengan aku. Jadi sepanjang aku mengandung dari tak nampak perut sampai dah memboyot, aku bawakla kereta manual tu meredah ‘jam’ hari-hari. Sampai rumah, kena mendaki tangga sampai tingkat atas pulak. Nak naik tangga sampai ke rumah tu pun entah berapa kali aku berhenti sebab mengah bawak perut. Sakit kaki tak payah cakap, siapa yang pernah mengandung mesti faham.

Dari segi kerja pula, setakat ni aku masih boleh bertahan lagi. Bagi aku, aku tak ada masalah dari segi kerja tapi aku terpaksa mengorbankan waktu aku dengan keluarga demi kerja. Setiap pagi aku akan bangun seawal pukul 5 pagi dan aku wajib keluar rumah betul-betul lepas azan subuh sebab tempat kerja aku yang jauh dari rumah. Kadang-kadang cemburu jugak dengan kawan-kawan yang cerita boleh keluar rumah jam 8 pagi sebab tempat kerja dekat dengan rumah. Tapi aku sedar, bahagian masing-masing, tak boleh dipertikaikan. Balik kerja, kalau nasib tak baik, boleh sampai rumah jam 7,8 malam jugak. Dan macam yang aku cakap, masa dengan keluarga terbatas. Apa je yang kau boleh buat dengan anak-anak dari jam 8 malam sampai waktu tidur dia?

Alhamdulillah, menginjak fasa 5 tahun pertama perkahwinan, aku dapat rasakan perjalanan hidup aku semakin dipermudahkan. Masih banyak lagi perancangan lagi dalam kepala aku yang masih belum dicapai. Doakan semoga urusan aku dipermudahkan. Buat kawan-kawan di luar sana. Jangan rasa hidup orang lain itu lebih bahagia dari kita. Kita bergerak dalam timeline kita sendiri. Mungkin cepat, mungkin lambat. Yang bujang cemburu tengok yang dah berkeluarga. Yang berkeluarga cemburu tengok yang bujang bebas ke sini sana. Tak perlu cemburu. Kehidupan masing-masing dah diatur oleh yang di atas sana. Dunia ini bukan untuk dirunsingkan tetapi untuk diuruskan.

Mungkin apa yang aku cerita ni bagi sesetengah orang akan nampak “Eleh, biasa je. Orang lain pun pernah lalu lagi susah.” Apa yang aku nak kata, hidup ini bukan untuk dibanding-bandingkan. Kita nampak orang cerita kesusahan, kita perlekeh, kita nampak orang cerita tentang kesenangan, kita kata dia menunjuk-nunjuk. Mungkin kita yang perlu lihat dalam diri kita sendiri. Akhir kata, aku doakan supaya kita semua beroleh kejayaan dan kebahagiaan dengan cara masing-masing.

– Puan E

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit