Sibuk Dengan Side Income, Kerja Sendiri Diabaikan

As salam semua pembaca IIUMC. Terima kasih kepada admin seandainya coretan aku ini diketengahkan untuk tatapan. Ambil lah pengajaran yang baik dari penulisan ini. Seandainya tidak bersetuju dengan apa yang dicoretkan, terpulanglah. Itu hak masing masing. Selamilah hati nurani, carilah kebenaran yang hak dan hakiki.

Mencari sumber pendapatan tambahan adalah satu perkara yang bagus. Malahan ianya merupakan salah satu kaedah untuk meneruskan survival kita di dalam ekonomi yang teruk sekarang. Ramai yang merasakan betapa sempitnya hidup dengan hanya mempunyai satu sumber pendapatan untuk keluarga.

Aku sangat menyokong, malahan kagum dengan keazaman mereka untuk meningkatkan ekonomi hidup mereka.

AKAN TETAPI

Aku tidak bersetuju dengan pendekatan yang mereka lakukan untuk mencapai azam mereka. Setakat dari apa yang aku nampak berlaku di kalangan rakan sepejabat aku, itulah yang berlaku sekarang.

APA DIA???

“SIKAP KURANG MENGENDAHKAN KERJA HAKIKI TETAPI DALAM MASA YANG SAMA MENGUTAMAKAN KERJA – KERJA TEPI”

Dapat gambarkan apa yang aku cuba sampaikan?? Konsep dia mudah je. Kerja pejabat kau lengah lengahkan tapi kerja tepi kau dahulukan.

Macam mana aku tahu? Sebab semuanya berlaku di depan mata aku sendiri. Sebelum ada antara kamu yang berkata “alahai…buat apa bising kat sini IIUMC ni. Baik kau cakap dengan diorang face to face terus. Kau tulis kat sini pun bukannya diorang baca”..

Aku bukan bebal. Aku dah face to face dan nasihat mereka one by one. Tujuan aku tulis di IIUMC ni adalah sekadar perkongsian, dan juga untuk menegur mereka yang berperangai sama di luar sana. Siapa yang makan cili dia yang terasa kepedasannya, betul tak?

Modus operandi mereka bagaikan skrip. Semuanya sama lebih kurang. Di dalam pejabat, dengan jelas aku boleh saksikan apa yang mereka lakukan, walaupun mereka cuba untuk menyorokkan perbuatan mereka itu. Contohnya:

Pekerja A merupakan seorang kerani. Pada hujung minggu beliau juga merupakan seorang jurugambar perkahwinan. Agak terkenal lah jugak namanya di daerah tempat aku tinggal ni. Sebagai seorang kerani sudah pastinya akan ada dokumen dokumen rasmi yang perlu diselesaikan. Dan selalunya dokumen dokumen itu akan melibatkan aku. Setiap kali tiba masanya aku minta untuk semakan, pastinya akan ada saja alasan.

“Belum siap lagi” atau “Tengah difinalisekan” atau “Nak siapkan laporan lain dahulu”

Sedangkan dalam masa yang sama aku lihat dari jauh si A khusyuk mengedit gambar2 pengantin dengan Photoshop saban hari menggunakan komputer pejabat. Macam mana nak siap laporan / dokumen kalau kamu sibuk mengedit gambar pengantin sepanjang masa??

Pekerja A dah ditegur oleh aku dan diberi amaran.

Pekerja B pula merupakan seorang ustaz di pejabat kami. Dalam masa yang sama pada waktu malam, beliau akan mengadakan kelas tusyen Bahasa Inggeris. Hebat ustaz ni. Bila bersembang tak lepas dari selitan tazkirah. Ramai yang kagum.

Masalahnya, beliau rupanya selalu gunakan masa bekerja untuk membangunkan modul modul tusyennya. Sedangkan dalam masa yang sama, kerja kerja hakiki beliau di lengah – lengahkan. Bila dikejar dateline baru terkejar kejar. Kalau masa meeting selalu pula “berjaya” melarikan diri. Bila diberi tugasan adhoc ada saja alasan untuk menepis. Sangkaan awal mungkin kerana beliau benar benar sibuk tetapi ternyata tembelangnya sudah pecah.

Ustaz ini juga dah ditegur oleh aku dan diberi amaran.

Itulah contoh yang boleh aku berikan. Ada beberapa lagi yang wujud di dalam pejabat aku tapi tak perlulah aku tulis semuanya. Kamu semua pun boleh bayangkan macam mana kisahnya. Yang jual tudunglah, yang MLM lah, Public Mutual lah…macam macam. Ada yang bijak mengurus masa. Tapi ramai juga yang melakukan aktiviti kerja tepi pada waktu pejabat tanpa sekelumit rasa bersalah timbul di hati. Guna waktu pejabat untuk bukak system online bisnes mereka sebagai contoh. Semuanya aku dah jumpa dan nasihatkan. Mereka nak dengar, dengarlah. Siapa lagi yang nak menegur kalau bukan kawan sendiri.

Kenapa jadi macam ni ya? Itu kan amanah yang telah diberi kepada kita. Adakah kerana terlalu selesa dan yakin bahawa kerja tetap itu setiap bulan gajinya masuk? Maka tak kisahlah kalau tak perform pun? Tidakkah kamu terfikir akan keberkatan gaji tersebut? Ingatlah bahawa PEMECATAN itu benar belaka saudara dan saudari, pakcik dan makcik. Jangan disalahkan majikan jika itu berlaku. Tidak mustahil. Tiada majikan yang akan membiarkan wujudnya kanser didalam organisasi.

Akhir kata, tak salah untuk mencari sumber pendapatan sampingan. Asalkan jangan sampai mengganggu fokus kamu pada kerja yang hakiki. Kerja itu dituntut haknya dari kamu dengan setiap sen yang dibayar. Jangan buta hati kerana duit. Beringatlah.

p/s: Aku yakin tindakan aku ini akan dibenci. Lantak pi lah. Aku dah jalankan tanggungjawab.

– Sang Pemerhati.

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit