Simpanan 6 Angka Pada Umur 28

Simpanan 6 Angka Pada Umur 28

Assalamualaikum. Aku seorang lelaki berumur 28. Aku nak kongsi macam mana aku boleh simpan RM100,000 dalam masa kurang 6 tahun. Pertama sekali, aku bukan orang bisnes, forex, hartanah, MLM, pengutip buah di Australia, mahupun anak orang berada. Aku cuma rakyat marhaen yang makan gaji di tanah air dalam bidang IT. Kerja part-time, freelance pun takde. Duit simpanan tu aku cuma harapkan gaji je, dan dividen Tabung Haji untuk beranakkannya. So, aku rasa “confession” ni boleh jadi lebih relevan untuk orang kebanyakan. Tips yang aku nak kongsi lebih kepada tips jimat/simpan, bukan tips jana wang.

Sikap penjimat aku ni sebenarnya dah bermula sejak zaman sekolah lagi, sampaikan mak gelar aku “cashier” sebab mak suka pinjam duit bila sesak; walaupun pekerjaan cashier dan pinjam duit tu takde kena mengena haha. Maybe gaya aku keluarkan duit dari laci meja tu kot macam cashier kehkeh. Masa zaman kolej dulu pun, elaun bulanan aku sentiasa terlebih cukup, sedangkan kawan-kawan lain sesekali terpaksa pinjam duit kat aku masa hujung bulan.

Aku mula aktif menyimpan sejak 2012 (23 tahun). Pada masa tu, gaji aku RM2000 dan boleh simpan dalam RM1300 kot. Sekarang pulak bergaji RM4xxx dan boleh simpan RM2250. Alhamdulillah aku dah bebas dari sebarang hutang (motorsikal dan pinjaman pelajaran) sejak 2013 dan ia sangat menenangkan. Macam mana cara aku boleh berjimat? Aku pecahkan kepada beberapa kategori biar senang nak baca.

1. RELATIONSHIP
Aku single sejak 2009 (20 tahun). Dalam masa 8 tahun tu, bayangkan berapa banyak aku dapat jimat bila single. Yela, kalau couple mesti nak dating, bagi hadiah dan sebagainya. Banyak duit mengalir kat situ. Lagi sadis kalau hubungan terputus di tengah jalan. Takkan nak mintak balik duit & segala pemberian tu kan. Buruk siku, tak sepadan dengan muka nanti. Aku single sepanjang 8 tahun tu pun sebab dulu aku #TeamBercintaLepasNikah haha. Sekarang dah “murtad” dari team tu (confession Fadhil “Bercinta Lepas Kahwin Tidak Semanis Khabarnya” tu kemuncaknya haha) dan mula pelan-pelan mencari pasangan untuk dikenali dan dinikahi hehehe #TeamJagaBatas

2. SOCIAL LIFE
Aku jenis suka duduk rumah. Most of time, aku keluar dengan family je. Tak pasti aku ni family guy ke, introvert ke, antisosial ke apa. Malas betul nak keluar lepak dengan kawan-kawan. Nak lepak dengan siapa pun tak tahu. Sekarang takde kawan rapat pun. Kawan yang pernah rapat pulak semua jauh-jauh dan berkeluarga. Takde kereta pun antara faktor malas nak keluar rumah. Tak suka pinjam kereta orang even parent punya. Tapi takpelah, jimat sikit takde life huhu.

3. RUMAH
Aku beruntung sebab family tinggal kat Lembah Klang, kawasan yang banyak peluang pekerjaan. So, tak perlu merantau jauh dan menyewa. Jimat banyak di situ. Aku cuma kena berulang-alik 50km (25km/trip) setiap hari. Aku takde rumah sendiri lagi, tapi insyaAllah 2018/19 akan mulakan pembinaan rumah kat tanah milik abah. Sebelah rumah je pun tapak tu, hari hari boleh balik kampung. Rumah 900-1000sqft pun dah cukup.

4. KENDERAAN
Aku selalu pergi kerja naik motor. Bukan superbike ya, cuma skuter 110cc yang dah berusia lebih tujuh tahun. Sebulan kos minyak dalam RM60-70 je. Takde tol, takde caj parking. Maintenance & repair tak sampai RM500 pun setahun. Motor tu pun dah agak uzur, sampai trauma sikit dengan bunyian sebab pernah 3 kali rosak kat tengah jalan. Handling, balancing pun dah kelaut. Ikut rasa memang nak je beli motor baru, tapi sayang duit. So, pakai lah selagi boleh. Baru je hari tu beli towing rope supaya mudah nak tow kalau rosak tengah jalan huhu.

Aku tak beli kereta masa muda dulu sebab kononnya nak tunggu harga kereta turun 30% seperti yang dijanjikan. Haram tak turun turun. Tapi nasib baik jugak. Kalau dah terbeli kereta di usia muda, susah dah nak menyimpan. Banyak duit akan keluar; ansuran bulanan, insurans, maintenance, repair, minyak, tol, parking, saman, modify (orang lain, aku takkan buang duit modify sebab bukan keperluan), dll. Melainkan kereta tu digunakan untuk Uber/Grab.

Masa gaji RM2k dulu aku pernah plan nak beli Kia Forte sebab itu kereta paling berbaloi waktu tu. Lemah ilmu kewangan betul! Masa gaji RM3k pulak, tukar plan beli kereta Proton Iriz cash RM50k. Lepas tu tukar plan lagi, beli kereta terpakai Nissan Latio / Mazda 2 cash RM50k. Sampai sekarang tak beli lagi sebab sejak 2015 aku dah tukar plan guna cash tu untuk bina rumah. Sebelum tu tak pernah terfikir nak bina rumah, sebab tak tahu dengan RM70k pun boleh bina rumah (basic spec).

Tapi aku dah tahu nak beli kereta apa nanti; samada Perodua Myvi (berbaloi gila!) atau SUV kompak Perodua (D38L) yang bakal dilancarkan 2018/19 nanti. Harga Myvi masih jauh di bawah paras formula rekaan aku 15 bulan gaji (harga kereta = gaji X 15); dan aku harap SUV tu nanti pun di bawah paras itu. Kalau nak guna formula 12 bulan gaji lagi bagus. Asal jangan ikut formula bank sudah (ansuran bulanan <= 1/3 gaji). Kena ingat, ikut statistik muflis di kalangan orang muda, punca #1 adalah pinjaman kereta! Mampu beli belum tentu mampu bela, ye tak?

5. MAKAN MINUM
Masa gaji RM2xxx (2012-13) dulu, aku berjimat tahap ekstrim bab makan. Masa hari bekerja, pagi-pagi beli mee/bihun/nasi goreng berlauk RM3. Makan half masa breakfast, half lagi masa lunch. Ditambah pulak dengan puasa sunat pada Isnin dan Khamis. Ditambah lagi dengan boss belanja makan seminggu sekali (aku sorang je staff, company startup). Sebulan tak sampai RM50 pun untuk lunch. Tapi tak boleh kalahkan zaman sengkek (semester satu, belum dapat elaun) masa kat kolej dulu. Tiap hari lunch RM3 dan dinner roti sapu jem/kaya sampai turun berat badan. Masa gaji RM3xxx pulak, cara aku berjimat masa lunch pilih lauk processed food (hotdog, fishball, dll), tempe, kentang, begedil atau telur, pilih ulam untuk sayur, dan air kosong (free) untuk minum. Kalau kat mamak, aku tak order minum sebab air kosong pun 30 sen; ini aku amalkan sampai sekarang.

Sekarang bila dah stabil sikit, aku makan lunch macam orang lain (5 hari = RM35-RM50); weekend kekadang makan sedap sikit, tapi tak pula minum/makan Starbucks (bukan kaki kopi), Baskin Robbins (pedelpop pun dah sedap), kafe hipster dan segala benda yang aku rasa overpriced. Memang seumur hidup tak pernah beli Starbucks & Baskin Robbins, orang belanja ada lah. Aku lebih suka cari alternatif yang murah tapi masih sedap. Misalnya kalau teringin makan cheese tart, aku beli kat kedai roti biasa je (Bee’s, Baker’s Cottage, dll) sekitar RM3/ketul, instead of beli kat Hokkaido, Pablo, dll.

Prinsip aku, makanan mahal-mahal ni buat rasa/cuba boleh lah, atau tunggu promosi. Misalnya, Kenny Roger’s Roaster, sangat kerap buat promosi. Follow akaun/page jenama yang korang gemar untuk dapatkan info pasal promosi. Kalau kat twitter, boleh follow @myjoe_, dia yang paling rajin update. Walaupun aku macam cheapskate, tapi bila masuk bab belanja family makan, aku tak lah berkira. Memang ada bajet khas setiap bulan untuk belanja family makan. Kalau tak belanja rasa tak lengkap. Sampai tahap “Bila nak makan kat luar ni? Tak belanja lagi bulan ni” haha.

6. PINJAMAN PELAJARAN
Aku cuma pemegang Diploma dari sebuah IPTS di ibu negara. Aku bernasib baik, pinjaman MARA yang berjumlah RM36,000+ dapat pengecualian bayaran balik 100% sebab aku dapat CGPA 3.5 ke atas. Aku cuma kena bayar denda tamat pengajian awal (tak tahu apa benda) sebanyak RM2000+. Alhamdulillah dah habis bayar sejak 2013. Terima kasih MARA! So, adik adik yang masih belajar tu, belajar lah betul betul ya. Bersusah susah 3-4 tahun je, tapi bersenang lenang berpuluh tahun di masa depan.

7. BIL & KAD KREDIT
Bil Astro rumah aku dulu RM200+/bulan, dan pernah tertunggak sampai RM600+. Masa tu aku bodoh tak ambik berat hal bil kat rumah. Semua bil parents yang bayar sedangkan diorang dah tak bekerja. Untuk menebus kesilapan, aku langsaikan tunggakan tu dan uruskan bil Astro sejak dari tu. Perkara pertama aku buat, unsubscribe pakej Sports, Movies, dll atas persetujuan semua. Ambik basic je, RM67+/bulan. Ikut hati nak je potong terus, tapi ramai kaki drama Astro dalam family aku haha.

Bil internet pun aku yang uruskan sejak reformasi tu. Aku cuma subscribe Streamyx 4MBps RM150/bulan je. Tu pun dah memadai untuk kami sekeluarga walaupun dikira mahal sebenarnya pakej tu. Nak tukar Unifi, kawasan rumah aku belum ada dalam coverage pulak.

Untuk phone pula, aku cuma topup RM30/bulan. Tu pun banyak baki. Kredit pernah cecah RM200 sebab tak terguna #LumrahSingle. Dah macam orang tua tua dah balance beratus haha. Mobile data pun jarang subscribe; subscribe bila perlu je. Cuma harapkan wifi rumah, pejabat, restoran untuk internet. Oktober 2016 – Oktober 2017 pun tak topup langsung sebab subscribe validity 365. Jimat RM360 kat situ, dan kredit masih berbaki RM7 lepas validity 365 tamat. Lepas tamat tu pun aku tak terus topup. Aku cuma simpan kupon topup dalam dompet. Topup hanya bila betul-betul nak guna. Sekarang dah lebih sebulan tak topup. Tunggu dekat-dekat tarikh pembatalan talian baru topup hehe.

Aku ada kad kredit, tapi tersimpan je dalam laci, tak aktifkan pun. Aku terima kad kredit masa tu pun sebab tak nak bank kacau lagi tiap bulan call (wadehel??) dan sebab takde caj tahunan (islamik). Mungkin boleh digunakan bila kecemasan..? Dan aku baru discover pasal 0% interest installment plan kad kredit. Sangat berguna! Boleh lah beli motorsikal baru guna plan tu nanti. Kalau pandai guna, kad kredit pun boleh jadi menguntungkan sebab setiap kad kredit ada kelebihannya tersendiri, macam point, cashback, dll; juga boleh cipta rekod CCRIS yang baik kalau nak beli rumah. Tapi kalau jenis tak berdisiplin tu, eloklah jauhkan terus.

8. KESIHATAN
Aku bukan perokok, sebab tak nak bakar duit. Got it?

Pada 2010-2014 (sejak tamat belajar), aku seorang yang gempal, tapi aku berjaya turunkan 14kg dalam masa 7 bulan pada tahun 2015. Sebagai seorang penjimat, aku tak pergi gym pun untuk kuruskan badan. Aku cuma bersenam dalam bilik je. Ubatan/supplement pun tak ambik langsung. Makan pun macam orang lain, takde lah clean sangat sampai masak sendiri apa semua. Bila kat rumah, apa yang emak masak, itu lah yang aku makan; cuma aku kurangkan pengambilan kalori. Ilmu dan disiplin penting untuk turunkan berat badan. Nak ilmu pasal ni boleh baca blog SusuSejat.com dan KevinZahri.com. Turunkan lah berat badan dengan cara yang menjimatkan!

9. GAJET
Sejak 2012, aku cuma beli smartphone dua kali; Lenovo dan Xiaomi. Kedua-duanya harga bawah RM800. Xiaomi ni memang jenama yang berbaloi. Spesifikasi bagus, kualiti bagus, dan harga murah. Bila orang minta cadangan phone apa nak beli, aku takde jawapan lain selain Xiaomi sebab Xiaomi sentiasa menang dari segi spesifikasi & harga bila dibandingkan dengan phone lain. Aku tengok dah makin ramai pakai jenama Xiaomi ni. Dalam rumah aku sendiri 3 daripada 5 orang dah pakai Xiaomi sebab aku haha. Kalau ada rumah sendiri nanti, aku tak kisah untuk beli perkakasan elektrik jenama Hisense. Aku memang suka pada jenama China yang murah tapi berkualiti.

Disebabkan aku tak suka benda overpriced, iPhone memang tak pernah ada dalam senarai. Phone/tablet paling mahal pernah aku beli, RM1200; iPad2 & Blackberry 8520. Aku punya prinsip, harga sebuah phone/tablet tak patut lebih dari RM1500. Kalau RM3000 tu dah harga sebuah laptop. Memang aku takkan beli phone dengan harga macam tu. Laptop pula, aku dah gunakan sejak 2008, dan masih bertahan. Pernah rosak benda kecik-kecik, tapi aku repair je sebab tak mahal pun nak repair. Pernah juga teringin nak beli baru sebab dah uzur, tapi aku tahankan nafsu. Selagi boleh pakai, aku pakai. Setiap kali terfikir nak beli apa-apa barang mahal, mesti aku akan tanya diri sendiri “Perlu ke? Ke cuma kemahuan?”.

10. HOBI
Aku pernah ada hobi mahal, main muzik. Zaman belajar dulu (2009) banyak aku berhabis duit beli barang muzik. Hampir RM6000! Kos tu boleh jadi lebih mahal lagi sebenarnya, tapi mujur minat tu hilang sikit demi sikit, dan hilang terus sejak bekerja. Hobi aku sekarang cuma tengok movie je. Tu pun banyak download je haha. Bab hobi ni biasanya lelaki lebih terkesan; muzik, games, RC, figures, mod kereta, macam-macam lah. Kalau nak jimat, memang tak boleh terjebak dalam hobi mahal ni. Kena pilih lah, minat atau wang. Perlukan pengorbanan kat situ.

11. PERCUTIAN
Aku bukan kaki travel punya orang. Jalan jalan dalam negara biasa 1-2 kali setahun je. Kalau luar negara, aku cuma harapkan company trip je. So far, dah pernah melancong ke Taiwan dan Korea Selatan. Kos penerbangan & penginapan yang bernilai ribuan ringgit ditanggung company, aku cuma spent RM500 sebagai duit belanja. Ini kira rezeki lah. Tak semua orang ada peluang macam ni kan. Biasanya company cina je yang ada benefit company trip ni. Masa kat Korea dulu, terjumpa sekumpulan pelajar IPTA tengah bercuti kat sana. Dalam hati aku, “banyak duit betul student sekarang boleh melancong ke luar negara dengan kawan-kawan”. Zaman aku belajar dulu paling jauh pun pergi Port Dickson je kot hahaha.

Penjimatan aku ni bukan setakat duit je, tapi juga annual leave. Baki annual leave 2016 ada lagi 8.5 hari lagi setakat hari ni. Tahun 2017 punya yang 16 hari tu sudah semestinya tak sentuh lagi. Disebabkan policy company previous year’s annual leave cuma boleh simpan untuk 12 bulan, terpaksa lah aku habiskan 8.5 hari tu bulan Disember nanti huhu. Kan best kalau takde limit, boleh simpan untuk honeymoon 2 minggu haha.

12. PENAMPILAN
Aku simple je bab penampilan ni. Baju dan seluar suka beli kat Brands Outlet je sebab murah, design ok, selesa dan berkualiti lah juga. Jam tangan yang aku beli pun takde yang lebih RM150. Nak beli perfume mahal pun berkira walaupun aku tahu penting untuk jadi wangi. Sementara single, aku pakai perfume murah (Playboy, De’Xandra) je dulu. Aku pernah beli perfume RM200+ (Diesel’s Fuel for Life) sekali je, masa bergaji RM1.3k. Tak sedar diri kan?

Kalau aku seorang perempuan, tudung beratus ringgit pastinya bukan jadi pilihan aku. Kalau mampu takpe lah. Tapi kalau asyik komplen pasal kos sara hidup, tak perlu nak beritik-itik kot. Banyak lagi binatang lain. Kangaroo? Rama-rama? Biar tak bergaya, asal tak papa. Kalau teringin sangat sampai tak boleh tidur malam, beli satu je buat syarat #BroMemahami

13. IBU BAPA
Bagi duit bulanan kat parents ni sangat penting, lagi-lagi kalau diorang dah tak bekerja. Kalau duduk dengan diorang, lagi lah wajib bagi. Dah dewasa takkan nak jadi biawak hidup ditanggung makan minum lagi? Pasti ada keberkatannya kat situ; hidup pun lebih dipermudahkan dan jauh dari musibah, insyaAllah. Usah dilupa pada sedekah, solat dhuha dan paling penting zakat. Tak perlu lah diulas panjang lebar bab amal, macam boleh mengundang syirik khafi je hehe (in defense kalau ada geng holier than thou atau pakcik bawang datang komen macam confession kewangan terdahulu).

14. GAJI
Masuk je gaji, terus aku asingkan ke Tabung Haji via Maybank2u. Simpan dulu, belanja kemudian. Asingkan awal ni sejenis taktik untuk rasa miskin supaya tak terlebih belanja. Biasanya kalau dah transfer ke TH tu, memang aku takkan usik dah, melainkan kecemasan. Aku tak simpan kat ASB sebab lebih yakin dengan TH. Lagipun, aku tak perlu fikir pasal zakat simpanan sebab TH dah uruskan semua. Tinggal fokus zakat pendapatan dan fitrah je. Pernah ada beberapa individu buat kiraan simulasi TH vs ASB-ditolak-zakat, dan hasilnya TH lebih menguntungkan. Tapi rasanya macam ramai terlepas pandang bab zakat simpanan ni..?

Perbelanjaan kasar aku sekarang:
– RM2250 (tabung haji)
– RM500 (ibu bapa)
– RM150 (takaful)
– RM150 (internet)
– RM68 (astro)
– RM70 (minyak)
– RM150-200 (lunch)
– RM100-150 (belanja makan)
– RMxxx (shopping/kecemasan/perubatan parent/lain-lain)

15. BONUS
Tak kira lah bonus company bagi ke, bonus/dividen Tabung Haji bagi ke, aku tetap akan simpan, sebab aku jenis fokus pada matlamat. Kalau orang lain mungkin dah joli duit bonus tu, sebab ramai anggap itu hadiah/lebihan wang, lalu meng-selfreward. Bonus company aku bagi pun biasanya sebulan je, so memang tak boleh nak joli sangat. Kalau kerja Perodua ke, Bank Rakyat ke, takpe lah nak joli; standard 6-12 bulan punya bonus. Biasanya kalau dapat bonus, aku akan bagi bonus kat parent juga; gandakan elaun mereka.

In case ada sesiapa yang curious, bonus/dividen Tabung Haji untuk tahun 2015 aku dapat RM2310, 2016 dapat RM2999. So, untuk tahun 2017 nanti boleh cecah RM3xxx lah sepatutnya. Ameen.

16. ILMU
Ilmu pun sangat penting, sebab tak semua orang ada common sense dan kesedaran; macam aku masa muda-muda dulu lah. So, kena banyakkan membaca, follow/like, blog/page/akaun yang selalu bercakap pasal kewangan. Antara yang aku follow dan suka baca, RinggitPlus.com, iMoney.my, Harith Faisal (facebook), Neraka Wang (facebook), @faizwahab (twitter), @mohdkautharr (twitter) dan @kewangangraduan (twitter). Kalau ada nak tambah, silakan kongsi dengan pembaca lain.

17. PENGURUSAN WANG
Seeloknya, catit setiap perbelanjaan setiap hari. Duit keluar & masuk. Barulah kewangan lebih terurus dan dapat bermuhasabah. Takdelah korang terkejut lagi mana perginya duit korang lepas pecahkan RM50. Memang dapat jejak punya tang mana berlakunya kebocoran. Search je “expense manager” kat Google Store/App Store, macam-macam ada. Cuba lah satu-satu, tengok mana yang berkenan di hati. Aku paling suka Money Manager by RealByte (icon piggy bank). Tapi kalau amaun dalam akaun sebenar tak sama dengan data dalam app sebab terlupa nak masukkan data, sakit hati sikit lah haha.

Aku senaraikan rekod simpanan aku. Mana tahu ada yang nak jadikan benchmark.
Disember 2012 (23 tahun) – tiada rekod
Disember 2013 (24 tahun) – RM18,000
Disember 2014 (25 tahun) – RM35,600
Disember 2015 (26 tahun) – RM50,562
Disember 2016 (27 tahun) – RM76,472
November 2017 (28 tahun) – RM100,216

Sebenarnya, aku boleh kumpul RM100k kurang 5 tahun, tapi sejumlah besar duit aku gunakan untuk beli emas (RM3k+), tambak/tambun tanah halaman & tapak rumah (RM11.2k @ 52 lori @ 4900sqft), dan pinjamkan ahli keluarga (baki terkini: RM6k).

PERANCANGAN SETERUSNYA?
Aku dah buat kira-kira dan aku perlukan dalam RM160k untuk bina rumah (110k), isi rumah (10k) kahwin (20k), kereta (d/p: 6k) dan kecemasan (10k). Jadi, kat sini aku ada beberapa pilihan:

A. Kahwin, beli kereta, bina rumah kesemuanya pada hujung 2019. Masa tu cukup RM160k dah berdasarkan kiraan kasar yang dibuat
B. Bina rumah pada 2018. Beli kereta pada 2019 lepas simpanan kecemasan & duit kahwin dah cukup
C. Bina rumah & beli kereta pada 2018. Kahwin lambat sebab ada kereta, susah save. Maybe buat Uber/Grab on weekend untuk cepatkan

Buat masa ni, naluri cenderung ke pilihan B. Rumah memang kena buat secepat mungkin sebab kos bahan binaan makin naik. Contoh, kalau bina rumah pada 2018, RM110k boleh dapat 1000sqft; pada 2019 mungkin cuma dapat bina 950sqft je. Nak sewakan rumah sementara bujang, macam sayang pulak rumah tu takut penyewa tak reti jaga. Kalau sewakan bilik atau buat airbnb/homestay boleh dipertimbangkan. Apa-apa pun, aku hanya mampu merancang, Allah sebaik-baik perancang. Entah-entah aku dijemputNya sebelum sempat aku gunakan duit tu. Allahu.

Geng hartanah mungkin tertanya “kenapa tak beli 2-3 buah rumah dan sewakan?”. Hmmm bukan semua orang suka berhutang lama-lama, bukan semua orang suka/sanggup hadap ragam orang lain, lagi lagi “tenant from hell”. Impian aku cuma nak hidup sederhana, tenang dan bebas hutang secepatnya. Kalau satu hari nanti aku tetiba berubah fikiran pun, aku akan beli rumah lelong je. At least terguna juga EPF Akaun 2 aku, ada RM18k dalam tu. Sesuai untuk pelaburan.

PENUTUP
Nak menyimpan ni kena ada matlamat yang spesifik, disiplin, tekad, banyak berkorban, bezakan keperluan-kemahuan dan tangguhkan kehendak; susah dulu senang kemudian. Oh ya, kena ada nasib/rezeki jugak. Kekadang tu dah simpan elok, tapi ada je masalah datang dan terpaksa guna duit tu. Aku sendiri dah alami. Confession ni ditulis sejak Julai (ditambahbaik dari masa ke semasa), dan sepatutnya nak publish pada September. Malangnya, ahli keluarga nak pinjam RM4k. So, terpaksa lah tunda sebab belum cukup enam angka lagi haha.

Orang muda susah nak menyimpan samada sebab memang gaji cukup makan, banyak komitmen atau sebab tunduk pada gaya + gaya hidup. So, mana yang relevan tu, boleh lah diikuti. Kalau tak relevan, abaikan je #TipsJimatHidup ni. Aku pun faham setiap orang lain kisah hidupnya, berlainan tanggungan dan komitmennya. Ada orang perlu kereta, ada orang tak perlu; dan sebagainya. Jangan pulak dah ada pakwe, mintak putus sebab nak jimat. Kalau putus sebab nak bercinta dengan saya, takpe jugak.

Sejujurnya, apa yang aku buat ni pun tak cukup bagus lagi; sebab aku spend less, tapi tak earn more. Seeloknya, spend less and earn more; buat part-time bisnes, freelance ke apa. Aku je malas sebab nak work-life balance, walaupun sebenarnya takde life hahaha. Sempena nak masuk tahun baru ni, memang sesuai lah nak buat reformasi pada pengurusan kewangan korang. Selamat menyimpan, guys!

Kepada sesiapa yang dapat teka siapa diri aku, tolong jangan tag nama aku ya. Akhir kata, maaf kalau ada salah silap dalam penulisan di atas, dan terima kasih sebab sudi baca confession yang panjang gila ni . Ribuan terima kasih juga pada admin sebab approve dan beri peluang untuk kongsikan tips-tips pada semua.

– Jaime Lannister

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Comments

comments