Susahnya Nak Beli Rumah II

Salam semua, hi aku datang untuk confess lagi. Aku baru check page ni pagi ni, terkejut pulak tengok aku punya confession kat trending top post. Ingatkan confession aku tak terpilih sebab sekarangkan musim confess terlanjur melanjur teruna dara suami isteri bagai..

Dalam confession pertama aku tu aku rasa aku agak general je. Tak tulis details tentang proses semua. So dalam confession ni aku nak perjelaskan tentang semuanya. Yelah berbalik kepada tajuk “susahnya nak beli rumah”. First of all tentang macam mana aku kumpul RM30k dalam masa 3tahun. Tak mustahil pon, bak kata akak twitter rumah 6 bijik tu “boleh je survive”. Memang boleh survive tapi seksa weh! Lifestyle setiap orang bukan sama dan keadaan keluarga pon berlainan.

Aku bertuah sebab aku anak bongsu dan sorang je yang belum berkawin, so aku tak payah nak tanggung adik beradik lain. Mak bapak aku walau tak kaya tapi diorang agak senang lah jugak. Aku setiap bulan memang akan bagi RM100 each kat mak bapak aku tapi diorang selalu tak nak terima sampai aku paksa diorang. Diorang kata alah kalau nak ambik berkat, bagi RM1 pon dah berkat dah tak payah nak bagi banyak-banyak. Apa yang aku buat setiap bulan ialah lepas masuk je duit gaji, aku akan terus masukkan RM700 dalam ASB, tak bertangguh sebab takut “terguna” duit tu. Lepas tu terus bayar sewa bilik. Gaji bersih aku RM1700. Kira perbelanjaan aku bulanan macam ni pecahan dia:
1. RM700 ASB
2. RM204 sewa bilik
3. RM200 bagi kat mak bapak
4. RM100 bayar bil-bil
5. RM100 per week (tambang pegi balik kerja, makan and all) x 4 = RM400
6. RM50 tabung haji
TOTAL: RM1654 so balance RM46 untuk sedekah + emergency and others

Ye aku tak ada ambik mana-mana plan insurance setakat ni. Aku tahu benda tu penting, abang aku pon agen insurance tapi setakat ni aku belum terbuka hati lagi nak ambik mana-mana plan. Tak bayar PTPTN ke? Aku bertuah tak ambik benda tu sebab aku dapat biasiswa JPA. Kalau kira RM700 x 36bulan tak sampai RM30k kan? Apa yang aku buat ialah aku menabung RM5 setiap hari, genap 2bulan aku akan masukkan dalam ASB. So kiranya 6bulan per year aku akan simpan RM1000, dan lagi 6bulan RM700. Pening ke? Alah kiranya: (RM700 x 18 = RM12600) + (RM1000 x 18 = RM18000) = RM30600.

Penat weh hidup asyik fikir pasal duit dan macam mana nak maksimumkan simpanan. Survive memang lah survive tapi seksa! Tengok jelah budget aku, mana ada budget untuk “bersosial”. Pengorbanan tu sampai hilang kawan lah. Yelah dah member agak keluar aku tak join, member ajak travel pon aku tak join, nak jimatkan..last-last aku dah lost contact dengan diorang. Sakit wey bukak FB, bukak Insta nampak member travel sana sini. Aku manusia, ada kehendak macam tu jugak kot. Tapi aku sabar je, aku selalu motivasikan diri “sabar, kejap je seksa ni”.

Masuk bab rumah, ada komen yang kata rumah tu mungkin above market value kan? Bank valuer dari bank yang beri loan kepada aku kata value rumah tu sebenarnya dalam RM143k – RM147k. So memang RM150k tu above market value tapi margin tak berapa besar. Kira baik jugaklah owner rumah tu turunkan sampai RM140k sebab rumah tu memang cun sangat. Terjaga rapi, cat , grill, lampu, kipas, tiles semua lengkap dan dapat free sebijik aircond pulak. Rumah ready to move in.

Masuk bab bank dan loan. Bank-bank yang reject loan aku tu kira sara hidup Lembah Klang RM1500 sebab tu aku tak layak kalau ikot payslip aku. Tah macam mana bank satu ni kira taraf hidup RM1000 so aku layak untuk dapat loan kat bank diorang. Bab kenapa tak dapat 90% or even 110% tu sebab aku tiada commitment langsung. Yelah aku tak ambik PTPTN, aku pon takde kereta. Bank tak tahu kemampuan aku untuk bayar bulanan. Bank tak pasti aku ni trustworthy ke tak. Apa yang menyokong aku dapat loan tu ialah rekod simpanan ASB aku cun. Aku pernah terbaca sebenarnya bab ni, tapi aku tak berapa ambik kisah so ni untuk pedoman korang jugak untuk masa hadapan. Kalau banyak commitment memang susah nak lepas loan dan kalau tiada commitment langsung pon susah nak lepas loan. So bagi sesiapa yang zero commitment tu boleh apply credit card, tapi jangan guna. Guna sikit-sikit je macam isi minyak ke just untuk rekod bank. Apply sekurang-kurangnya 6bulan sebelum apply loan rumah. Sejauh mana kebenarannya wallahu a’lam.

Loan aku yang RM110k tu + free legal fees. Kira RM110k tu memang bayar untuk rumah, ada sesetengah bank yang campur legal fees dalam jumlah loan. So kira aku bertuah lah benda tu free. Lagi satu, valuation fees pon free. Tapi interest rate agak tinggi jugak iaitu 5.1%. Bab kenapa aku tak guna KWSP tu sebab aku kerja baru 3tahun, aku fikir ada berapa sen jelah dalam tu…

Selesai bab-bab loan semua, masuk bab sign S&P dan serah kunci pulak. Proses beli rumah ni leceh sikit, lambat. Kira ambik masa dalam 6-7 bulan jugak nak selesai semua. Owner rumah tu baik lain macam. Kenapa aku cakap macam tu? Sebab dia bagi kunci terus kat aku sebelum selesai semua proses tu! Dia cakap masuk jelah, rumah tu memang kosong so pindah terus je boleh lah deco-deco sebelum cari penyewa. Serius weh mana nak cari orang macam ni? Aku pon deco lah ikot taste aku (pernah tersiar dalam FB deco rumah) hehe. Sebab utama aku nak beli rumah ialah aku nak duduk selesa jiwa dan raga, so aku duduk master bedroom. Aku sewakan 2bilik yang lain. Alhamdulillah aku perlu topup RM70 je setiap bulan untuk bayar loan rumah. Aku start sewakan bilik-bilik tu bila aku betul-betul dapat geran rumah tu. Bila rumah tu dah memang nama aku, dan aku dah start bayar loan baru aku sewakan. Aku bukan kapitalis.

Okeh, panjang lebah jugak aku tulis kali ni. Harap bermanfaat kepada semua. Kalau malas nak baca, tak payah baca. Tak tahulah admin siarkan ke tak confession ni, tapi terima kasih lah kalau berkongsi semua ni.

– Nami

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit