Tak Suka Surprise II

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Aku Arizatul. Dan sebagaimana tajuk tentu pembaca semua dah tahu dan baca serta komen di confession pertama aku. Aku ucapkan terima kasih kerana membaca dan beri respons.
Tapi aku tak sedap hati lalu mengundang aku untuk menulis confession kedua ni. Biar aku jelaskan.

Pertama ramai yang bash aku sebab ayat aku untuk suami “bukan stok suami idaman”. Ramai yang salah faham. Maksud aku bukan stok suami idaman tu adalah bukan idaman ramai perempuan di luar sana. Dia idaman aku seorang. Sebab kalau tengok, suami aku ni sangatlah sederhana orangnya. Biar aku beri tahu. Kami bercinta 7 tahun ye. Kot mana bukan suami idaman aku? Semasa mula-mula kenal, kami muda remaja. Aku sedang mempersiapkan diri untuk masuk ke universiti yang sah-sah menjanjikan aku satu jawatan dalam kerajaan. Guess what? Suami aku masa tu duduk di kampung dengan nenek dia (dibesarkan oleh nenek) ke hulu ke hilir tanpa ada matlamat hidup yang jelas. Orang ajak ke laut, pergi ke laut. Buat kerja-kerja kampung start daripada habis sekolah. Dia anak orang miskin. Tapi yang buat aku jatuh cinta adalah keperibadian dia. Sangat hormat orang tua, soft spoken, jujur dan sangat baik dengan semua orang. Dia juga tak merokok. Tinggal di kampung, bercampur dengan kutu-kutu dadah dan sebagainya langsung tak membuatkan diri dia terjebak. Dia pernah cakap, kawan-kawan dia ramai yang matgian.. bercampur sekali tapi Alhamdulillah dia tak terikut. Cannot go. Even rokok pun tak pandai. Ini ciri-ciri suami idaman aku.

Ada ke orang pandang lelaki yang hidup di kampung, miskin dan tak ada pekerjaan tetap? Aku tak cakap aku mulia tapi aku tak tengok dari sudut tu. Semasa bercinta mungkin dia sedar taraf dia berbanding aku. Tapi aku nampak usaha dia. Slow-slow dia cuba apply sambung belajar dengan kemampuan dia. Of course aku support. Sampai duit loan belajar aku pun bagi kat dia time dia sesak. Akhirnya aku berjaya pegang degree dan dia hanya sijil SKM. Aku syukur sangat. Berbekalkan sijil tu dia membina kerjaya dia sedikit demi sedikit sehingga dia berjaya capai apa yang dia ada sekarang. Alhamdulillah. Aku tetap seorang pegawai kerajaan. Gaji dia lebih besar daripada aku. Syukur sangat. Dia sangat berterima kasih pada aku sebab katanya akulah pendorong kuat dia selama ni. Aku ada di sebalik susah senang dia. Aku ceritakan semua ni bukan untuk berbangga tapi untuk clear salah faham ramai tentang “bukan stok suami idaman” tu.

Kedua, aku ada baca juga komen-komen yang mendoakan supaya aku diceraikan, dimadukan, suruh suami aku cari yang lain la..aku cuma nak cakap Allah tak akan memakbulkan doa hamba-Nya yang bersifat penganiayaan kepada hamba-Nya yang lain. Jaga-jaga bahasa bila berbicara. Bahasa melambangkan siapa diri anda. Banyak-banyaklah berdoa, takut berbalik kepada diri sendiri, anak-anak atau saudara terdekat. Nauzubillah. Ini bukan doa ye. Oh ye, kepada adik-adik, kakak-kakak yang single atau yang mencari jodoh untuk siapa-siapalah..kalau nak test suami aku tu mintak maaflah, mungkin tak berjaya sebab dia memang takkan pandang perempuan lain selain aku. Bukan jenis kaki perempuan. Aku kenal hati budi dia. Dia tahu pengorbanan aku selama ni yang buat dia punyai segala apa yang dia ada sekarang. Melainkan Allah nak uji aku, Dia balikkan hati suami tu aku tak tahu. Hati manusia Allah yang pegang kan. Aku serahkan semuanya kepada Allah.

Ketiga, yang cakap aku tak bersyukur tu. Ni komen aku. Ada yang cakap, kalau aku ada orang nak bagi kereta tu dah syukur sangat. Aku nak cakap ni dalam konteks pilihan. First, aku tak minta pun kereta which is aku selesa dia hantar ambil aku pergi kerja, dia pun tak pernah timbulkan issue ni. Aku ok je takde kereta. Dah ada rezeki lebih ni aku ok la dia nak belikan kereta. Lain la kalau aku betul-betul terdesak nak kereta then komplen macam-macam bila dah dapat memang mintak kaki la. Sebab tu orang yang betul-betul memerlukan tak kisah apa yang dia dapat. Lepas tu kau tak terkilan ke kalau benda tu boleh dipilih tapi dapat apa yang kau tak pilih? Contoh macam ni. Kau suka sangat warna kuning. Ada dua buah myvi, kuning dan biru. Of course kau nak yang warna kuning..tiba-tiba laki kau bawa balik myvi biru. Apa kau rasa? Benda boleh pilih kan, kenapa kau tak dapat pilihan kau? Oh ya, yang kata aku meroyan sebab dapat kereta yang lebih murah daripada yang aku nak tu salah. Kereta yang suami aku beli dan yang aku nak tu harga dia lebih kurang sama. Model je lain.

Keempat, dalam banyak-banyak komen aku tertarik dengan satu komen ni yang mengatakan lebih kurang gini “sebenarnya akak ni nak rasa suasana pergi beli kereta sendiri dekat showroom. Perasaannya lain kalau kita pergi beli sendiri berbanding orang lain yang belikan walaupun apa yang kita nak beli tu sama”. Indeed. Akhirnya ada jugak yang faham perasaan aku. Kalau korang masih ingat, masa first confession tu aku ada pesan kat suami kalau nak pergi beli kereta tu ajak aku, aku nak ikut. Then dia ok, dia setuju. Akhirnya?? Beli senyap-senyap tak ajak aku. Aku kalau hari tu dia kata tak jadi nak beli kereta tapi nak beli basikal je untuk aku, sikit aku tak kisah. Jomlah pergi beli basikal asalkan aku ikut sekali. Haha nampak tak?

Kelima, ya aku mengaku aku memang ada sikap degil dan keras kepala which is suami dah masak sangat dengan perangai aku sejak mula kenal sampai sekarang. Sampaikan mak aku risau masa nak kahwinkan aku dengan dia dulu sebab takut dia tak tahan dengan perangai aku. Tapi suami aku tetap suami aku. Dia rela terima apa saja kekurangan aku yang akan dia lengkapkan dengan kelebihan dia. Sepertimana aku juga rela menerima segala kekurangan dia dari mula yang akan aku lengkapkan dengan kelebihan aku. InsyaAllah. Dia kata orang lain takkan dapat gantikan aku (sorry again). Untuk pengetahuan semua, kami dah ok, back to normal. Dah boleh gurau-gurau cuma tak sentuh bab kereta tu. Takut aku merajuk lagi. Aku minta maaf kat dia, dia pun minta maaf.. Aishh..panjang cerita tak payah cerita la. Dia pesan supaya aku jangan ikut sangat emosi. Aku balas mana boleh, dah memang itu sikap aku..haha gurau-gurau. Tapi aku janji nak jadi isteri sebaik mungkin dan kawal sikap aku. Ok ni betul-betul bukan gurauan.

Keenam, aku suka baca yang ni. Terhibur kejap. Ada yang kata mungkin aku mengandung sebab terlalu emosi dan sensitif. Ya, aku pun perasan tu. Emosi lebih. Untuk pengetahuan, aku cuti hari ni. Malas nak pergi kerja sebab kepala rasa berat sejak semalam. Yang sarankan aku buat urine test tu yeah might be considerable. Nanti aku fikirkan. Mana tau dia plak yang kena surprise. Kereta tu dijangka sampai esok atau lusa. Kalau benar bagai dikata nanti aku nak lekat kat stereng kereta baru tu. Double surprise namanya. Tengkiu korang.

Setelah membaca feedback kalian semua jujurnya aku lebih tenang. Terima kasih komen-komen yang menasihatkan aku. Banyak kata-kata nasihat aku terima. Aku hadam satu-satu. Semuanya mengajar aku. Sejuk hati baca kata-kata semangat dan mendoakan rumah tangga aku. General nya, confession aku tu mengundang kecaman. Tak apa, tapi aku tak terima kecaman tu, aku tinggalkan di situ. Aku ambil yang positif sahaja. Terima kasih kerana membaca.

-Arizatul

– Arizatul

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit