Tetap Bertahan

Selamat sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih sebab sudi siarkan dan baca confession aku kali ni. Sebenarnya aku dah pernah hantar satu confession baru-baru ni, dan aku berterima kasih kepada admin sebab tak siarkan confession tu. Confession tu ditulis dengan emosi yang bercampur, dengan fikiran yang tak tenang, dan aku yakin, ia lebih memberi keburukan daripada kebaikan kalau dibaca orang. Semoga confession kali ni lebih bermanfaat buat semua.

Aku seorang pesakit mental. Diagnosis aku beberapa kali jugaklah berubah, dan waktu aku berhenti dapatkan rawatan hospital pun, diagnosis aku masih belum final. Bermula dengan Adjustment Disorder, mild MDD with anxiety, dan berakhir dengan chronic MDD. Pada saat aku menulis sekarang, aku masih lagi bertarung (bertahun-tahun dia berumah dalam tubuh dan jiwa aku, tak semudah tu dia hilang), tapi sekarang aku dah berani cakap, yang aku jauh lebih kuat daripada penyakit aku.

Tak perlu aku ceritakan apa yang jadi triggers kepada kemurungan dan anxiety aku. Tak perlu aku ceritakan susur galur keluarga aku yang menghidap masalah mental. Tak perlu aku ceritakan dengan apa aku cederakan tubuh aku serta cubaan-cubaan bunuh diri yang jelas gagal. Cukup aku katakan, aku bersyukur Tuhan masih selamatkan aku daripada dosa besar yang satu tu.

Meneruskan hidup memang sangat susah, kalau pun tak ada penyakit yang perlu digalas dan dilawan. Lepas aku keluar hospital dua tahun lepas (aku tengah buat Masters masa tu, dan aku terpaksa berhenti suku jalan), aku terus dapat kerja. Dari lepas habis degree lagi (ya, aku tetap berjaya lulus dengan kepujian walau terpaksa ambil special exam sebab masuk hospital) aku mintak kerja. Ada yang kena tolak, dan yang dapat ni pun lepas dah beberapa kali ambil tests dan pergi interviews. Ingatkan dah tak dapat sebab lama tak dengar berita, tapi perancangan Tuhan lebih cantik rupanya. Dia bagi aku kerja pada saat aku memang tak ada apa-apa. Aku mula kerja tiga minggu lepas keluar wad. Kerja freelance dari rumah.

Hampir setahun lepas tu, aku putuskan untuk tinggalkan KL dan pindah duduk kat kampung, rumah mak ayah. Aku pindah sebab masa tu tahap kesihatan fizikal aku agak tak baik. Bila tinggal dengan keluarga, memanglah kos sara hidup lebih rendah. Tapi disebabkan masalah kesihatan aku, aku terpaksa kurangkan jam bekerja dan itu bermakna kurang jugaklah pendapatan aku.

Awal-awal dulu, mak aku nampak concerned. Kalau aku tak keluar bilik, dia akan masuk tanya. Kalau billik berkunci dan aku lambat bukak sebab tidur atau dalam bilik air, dia bergegas cari kunci. Kalau aku tidur mati, dia sungguh-sungguh kejutkan aku sebab takut aku betul-betul mati. Dia sebenarnya tahu aku sakit waktu kali terakhir aku masuk hospital tu lah. Tapi dia tak tahu jantung aku rosak lepas tu. Kat kampung, aku ada kawan. Kawan ni jugaklah yang nasihatkan aku balik sebab dia pun nak tolong ubatkan aku. Mak aku pun tak kisah kawan aku selalu bawak aku keluar, asalkan aku tak murung dah. Lepas tu mak aku macam dah tak peduli terus.

Hakikatnya, mak aku cuma tak nak tengok aku murung. Dia cuma nak nampak aku normal macam orang lain. Dia tak peduli kalau aku masih sakit atau tak. Yang dia peduli, aku tak menampakkan sakit aku tu. Secara fizikal, alhamdulillah, dengan bantuan kawan aku, aku jauh lebih sihat sekarang. Jantung aku dah pulih. Tubuh dah tak sakit atau paralyzed macam dulu. Tenaga pun dah tak selemah dulu. Aku cuma sakit teruk waktu ada trigger, dan biasanya aku akan salurkan semua perasaan tak elok tu dengan buat lebih banyak kerja sampai aku depleted. Tapi kalau aku sanggup tinggal semua kerja dan tanggungjawab, itu petanda sakit aku sangat teruk. Itu petanda aku sedang hampir tewas.

Tapi keluarga tak nampak semua ni. Kakak aku yang doktor pun tak pernah ambil peduli keadaan aku. Tak ada sorang ahli keluarga pun yang tanya perkembangan aku. Mungkin diorang nampak aku sekarang dah boleh buat tiga pekerjaan dalam satu masa, dah boleh travel ke sini sana (atas sebab kerja), dah boleh senyum ketawa depan semua, diorang fikir aku dah sihat. Diorang fikir aku dah sembuh. Dan mereka teruskan layan aku macam tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa as in mak ayah aku cuma tanya aku dah makan ke belum (tanya je, tak kisah sangat pun makan ke tak), abang kakak yang dah kahwin tetap terlalu sibuk dengan keluarga sendiri dan tak layan aku kalau aku ceritakan apa-apa, manakala abang yang bujang tu tetap meminta-minta duit dengan aku (dah berapa tahun abang aku menganggur). Hanya adik aku je yang kadang-kadang pinjamkan masa dia untuk layan Whatsapp aku.

Keadaan berubah sikit bila aku mula tunjuk independent. Aku jarang balik rumah sebab aku menumpang rumah kawan sejak aku mula kerja dengan dia. Aku balik pun untuk hantar barang-barang yang mak ayah aku pesan dan hulur duit sikit. Aku tak mampu bagi banyak, dan aku rasa kalau aku tak bagi pun memang mak ayah aku masih boleh bermewah dengan duit pencen diorang, tapi atas dasar tanggungjawab (dan berharap rezeki lebih berkat), aku bagi jugak apa yang mampu. Tiap kali balik, aku cuba, cuba sangat untuk rapatkan hubungan. Borak dengan keluarga walaupun deadline bersusun, walaupun penat. Cuba membantu kat dapur. Tapi memang basic gila-gila. Itu pun dah kira jauh lebih baik daripada aku sebelum-sebelum ni. Aku buat semua ni dengan harapan hubungan keluarga makin baik. Aku pendamkan semua masalah aku, tak tunjuk kat siapa-siapa, buat macam tak ada apa-apa, sebab aku tahu kalau aku tunjuk pun, keadaan takkan jadi lebih baik, dan aku jugak yang sedih sorang-sorang nanti. Itulah silap aku agaknya.
Aku tunjukkan yang aku ni kuat walau hakikatnya tak. Semua orang sekarang macam dah lupa apa yang pernah jadi. Semua orang even expect aku untuk jadi sempurna serba-serbi. Aku rasa tak dihargai, tapi kalau aku memandang menggunakan mata diorang, mungkin aku tak patut pun minta dihargai sebab diorang tak nampak pergelutan aku. Tapi kalau aku tak tunjukkan kekuatan, macam mana aku sendiri nak jadi kuat?

Kadang-kadang, waktu aku hampir tewas, aku paksa jugak diri bangun balik. Aku cakap kat diri sendiri:

“KAU DAH BERUSAHA BANYAK UNTUK JADI LEBIH BAIK, JADI JANGAN ROSAKKAN USAHA KAU.”

Bila aku cakap macam ni, aku akan ingat balik keadaan aku dulu yang dah macam orang lumpuh, yang dah macam bangkai bernyawa, yang dicop keluarga dan masyarakat sebagai antara orang-orang yang paling lemah, sekarang dah mampu berdikari. Sekarang dah mampu buat macam-macam. Sekarang dah mampu kawal perasaan dan bisikan. Sekarang dah mampu lawan penyakit yang membinasakan. Waktu tu aku akan ingat, dan sekali lagi aku cakap:

“KAU SEBENARNYA KUAT.”

Tak terkira rasanya berapa kali aku menangis penat. Penat cuba jadi kuat, sampaikan aku persoalkan kenapa Tuhan tak nak ambil nyawa aku dulu, kenapa Dia berikan aku nyawa semata-mata untuk rasa semua ni. Tapi aku cukupkan sampai di situ. Cukuplah menangis sekejap-sekejap. Aku tak benarkan diri aku rebah lama-lama (kadang-kadang aku tak biarkan semangat jatuh langsung sebab aku takut aku susah nak bangun balik. MDD bukan boleh dibuat main. Nak kena memang senang. Nak binasa memang mudah. Nak sembuh, perlukan kesabaran, ketabahan, dan doa yang berterusan. Daripada siapa? Diri sendiri. Memang susah nak minta orang lain faham keadaan macam ni. Akhirnya memang diri sendiri jugak yang kena tolong diri. Diri sendiri jugak yang kena sayangkan diri. Dan setiap kali aku rasa usaha aku macam sia-sia, aku yakinkan diri aku yang Tuhan Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Tahu, dan Maha Adil.

Jadi untuk pejuang-pejuang jiwa macam aku kat luar sana, tetaplah bertahan. Tetaplah berusaha. Sorang social worker kat hospital pernah beritahu aku, bahawa orang-orang yang sakit macam kita ni ialah orang-orang yang terpilih. Tuhan sengaja pilih kita untuk terima ujian ni. Bukan sebagai hukuman. Tapi sebab Dia nak berikan kita ganjaran. Kekuatan tu memang susah nak dapat, sampai kita terpaksa palsukan ia. Buat-buat kuat. Tak apa. Pentingkan diri sendiri asalkan tak memudaratkan kita dan orang lain. Sayangi diri sendiri. Ikhlaskan pengorbanan yang kita buat. Serahkan hidup kita kepada Tuhan. Selagi Dia bagi kita nyawa, selagi tu Dia takkan putuskan rezeki kita. Yang penting, kita jangan berhenti berusaha, jangan berhenti berharap, dan yang paling penting, tetaplah bertahan.

– Yang Masih Berdiri

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit