Wanita dan Solekan Tebal

Assalamualaikum warga iium confession. Terima kasih kerana menyiarkan luahan rasa seorang wanita yang sudah lama terbuku di minda ini. Wah, lamanya tak mengarang dalam bahasa melayu. Berdebar pulak rasanya. Syabas iium confession, kalian secara tidak langsung menggalakkan ramai orang mencungkil bakal sebagai penulis.

Berbalik kepada tajuk entri saya, wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Solekan sememangnya sangat sinonim dengan kecantikan wanita atau perempuan tidak mengira umur. Ya, tidak mengira umur. Daripada kanak-kanak sehingga wanita berusia, semua golongan wanita gemarkan solekan. Gempar di media sosial kanak-kanak berusia 9tahun mampu bersolek seperti juru solek mahir. Begitu kuat pengaruh solekan ini.Tetapi apa yang menjadi persoalan, mengapa solekan masa kini begitu trending dan menghantui kita sebagai wanita. Seakan waiib bersolek untuk ke mana-mana. Sangat ramai yang mementingkan solekan yang cantik sebelum keluar dari rumah. Ibu-ibu muda pun kadangkala bersolek mengalahkan golongan artis.

Puluhan malah ratusan share di Facebook mengenai tutorial solekan. Hebat pengaruh solekan ini. Semua mahu cantik bersolek.

Apa yang terbuku di hati saya adalah perlukah solekan tebal dipakai setiap hari khususnya oleh adik-adik, kakak-kakak dan ibu-ibu muslimah kita. Bagi yang sudah berkahwin, saya tertanya-tanya jika niat saudari bersolek tebal demi suami, adakah benar? Oh ya, mungkin demi suami orang lain juga? Perempuan dibenarkan berhias hanya untuk suami sendiri sahaja ya, bukan suami adik kandung, suami kakak tiri atau suami sahabat baik kita. Jika benarlah konsep mahu kelihatan sentiasa cantik di mata suami, bagaimanakah kalian di rumah? Adakah kalian tetap memakai eye primer, fake eyelashes, big eye lenses, maskara, concealer, blusher dan gincu (banyak lagi tools lain) setiap masa di rumah sehingga sang suami menutup mata beradu? Terjumpa seorang sahabat yang tidak pernah malas mencalitkan gincu merah menyala di pejabat dengan alasan suaminya suka beliau memakai gincu terang menggoda. Cuma saya terfikir suami beliau bukanlah sepejabat. Oh mungkin beliau perlu menghantar swafoto beliau dengan bibir berwarna terang menawan setiap jam kepada suami. Mungkin. Tetapi apa yang menjadi gusar disini, rakan lelaki sepejabat turut terpesona dengan bibir yang terang menawan itu. Sungguh kompleks masalah ini. Saya sering berjumpa wanita yang bersolek tebal ini biasanya mementingkan penjagaan kulit juga. Dan belum pernah saya berjumpa wanita yang bersolek 24jam dek kerana mahu cantik demi suami. Kalau ada, sangat lah luar biasa. Mungkin ada kan. Tetapi biasanya di rumahlah wajah akan dibiar segar bernafas tanpa apa-apa solekan supaya kulit tidak bermasalah dikemudian hari. Persoalan itu datang sekali lagi. Benarkah bersolek tebal semata mata mahu cantik hanya didepan mata suami sendiri?

Persoalan kedua. Usaha mekap, menanggalkan mekap dan waktu solat. Poin ini berkecuali bagi mereka yang bersolek nipis, bukan kalis air atau yang mudah ditanggalkan. Ini hanyalah persoalan yang timbul daripada pemerhatian normal hari ini sama ada di pejabat ataupun di pusat membeli belah. Menanggalkan mekap seringkali diambil mudah oleh segelintir wanita. Mengambil wudhuk dengan eyeliner yang masih cantik di garisan mata, mascara yang masih tebal tercalit di bulu mata, foundation yang kalis air. Bagi yang berusaha menanggalkannya dengan sempurna, syabas. Bagi yang tidak, mungkin perlu kesedaran bahawa wudhuk yang sempurna penting untuk solat. Ulasan seterusnya, masa bersolek lebih lama berbanding waktu solat dan berdoa. Doa bukanlah wajib. Begitu juga solekan. Solat 2minit tanpa tama’ninah kerana mahu mengejar masa kerana suami atau kawan sudah menunggu. Doa ditinggalkan. Namun berdiri lebih 10minit di hadapan cermin untuk memakai semula mekap. Belum lagi melilit tudung dengan gaya berkepuk-kepuk. Bukanlah urusan kita mempertikaikan solat seseorang. Cuma jika benar kita solat dengan segera tanpa kehadiran jiwa solat itu, ditinggalkan perkara sunat dalam solat semata-mata untuk memounyai levih masa bersolek, semak semula keutamaan kita sama ada mahu kelihatan hebat di mata manusia ataupun Pencipta kita. Bersoleklah jika mahu. Cuma kurangkan usaha menebalkannya supaya mudah kita menanggalkannya. Supaya yakin wudhuk diterima seterusnya solat dengan tenang dan selesa. Sediakan dan rajinlah membawa tisu basah atau penanggal mekap khas, pastikan tiada waswas menyelubungi jika kesan solekan masih terlekat diwajah. Solatlah seperti biasa bukan terkejar kejar. Pastikan solat kita lebih berkualiti berbanding solekan kita. Jika kita memandang enteng usaha ini, kita perlu semak iman dan diri kita. Bagi yang menjaga rapi hal solat dan wudhuk ini, tahniah dan teruskan. Bagi yang berasa susah perlu menanggalkan solekan atau memakainya semula, jangan anggap solat sebagai penghalang anda kelihatan cantik.

Yakinlah dengan diri. Jadilah wanita bijak dan ringkas yang menghargai masa. Kalian lebih patut fokus kepada kesihatan kulit. Letakkan azam dan berusaha mendapatkan kulit cantik dan berseri. Berdoalah supaya usaha menjaga kulit ini sebagai ibadah yang diterima Allah dan penguatnya supaya kita yakin wajah cantik dan bersih tanpa solekan. Supaya kita dapat menjimat masa untuk keutamaan solat dan perkara yang lebih penting.

Syaitan sangat licik. Kulit sudah mulus namun di hasut lagi supaya bersolek tebal. Tabarruj. Sila bertanya ahli agama.

Wahai wanita-wanita sekalian, cukuplah muka dioles dengan krim sinar uv dengan kandungan spf yang sesuai untuk melindungi kulit beserta pelembab bibir. Kurangkan solekan tebal. Tetapkan target untik berusaha memiliki wajah cantik dan sihat di mata suami sendiri dirumah.

Catatan ini bukanlah mahu menjatuhkan mana-mana wanita yang bersolek. Jadilah wanita bijak yang bersolek pada kesesuaiannya. Utamakan yang utama. Semak semula niat kita.

Maaf dah lama tak mengarang, mungkin ada frasa yang tidak sesuai. Jom jadi cantik tanpa solekan. Bak kata suamiku, wanita yang cantik itu bukan dinilai dengan selendang berjenama atau solekan tebal. Wanita yang cantik itu cukup sekadar yang menyejukkan hati dengan budi pekerti dan iman yang tinggi.

Peringatan buat diriku dan dirimu yang lupa.

– Ummi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit