360 Darjah

Assalamualaikum semua. Aku Siti berasal dari negeri utara dan baru berkahwin Julai yang lalu. Sedikit pengenalan tentang diri aku. Aku merupakan anak kedua daripada 3 adik beradik, mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan. Abang aku pun dah berkahwin tinggal adik bongsu aku sahaja yang masih belajar di luar negara. Abang aku seorang yang sangat penyayang, ambil berat tentang adik-adik perempuan dia, tegas, clumsy dan pak lawak. Adik bongsu aku pula sangat manja dengan mak ayah aku dan seorang gadis yang lasak, bijak, aktif, dan penuh dengan sifat kepimpinan. Aku pula? Aku pernah mencapai zaman kegemilangan aku semasa zaman diploma seterusnya degree di sebuah kolej swasta di KL. Memang aku anatara pelajar yang sentiasa dapat dekan, disayangi oleh semua pensyarah, classmates, mahupun makcik2 dan pakcik2 yang berniaga di cafe kolej. Yes. Aku sangat lah peramah dan seorang yang suka kepada kebaikan (terpaksa masuk bakul angkat sendiri). Boleh dikatakan semua staff dan pelajar kolej tu kenal aku walaupun aku tak kenal pun diorang sebab aku ni murah dengan senyuman dan suka tegur orang.

Kalau bab study, memang tak sah kalau bukan muka aku ni yang jadi group leader. Memang kadang2 rasa dipergunakan juga. Ye lah, dah jadi group leader ni besar tanggungjawabnya tapi semua tanggungjawab tu memang classmate aku akan serahkan bulat2 pada aku. Aku ni jiwa besar, aku terima je dan cuba yang terbaik untuk bagi ahli kumpulan aku dapat markah lebih. Sebab tu kot aku sentiasa disayangi oleh rakan-rakan aku. Memang mak ayah aku dah didik aku dan adik beradik aku yang lain supaya sentiasa berjiwa besar, ikhlas, bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja, hormat orang lain, dan jangan pernah buat orang lain kecil hati dengan kita. Alhamdulillah sepanjang 24 tahun aku hidup, aku tak pernah lagi bergaduh dengan sesiapa hatta melukakan hati orang lain. Hidup aku memang penuh dengan kasih sayang.

Akhirnya, jodoh aku telah sampai. Aku selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihan aku sendiri yang aku kenal dah 4 tahun. Ahmad namanya. Dia memenuhi segala ciri-ciri suami idaman aku. Bertanggungjawab, ikhlas menerima diri aku, dan yang paling penting jujur dalam perhubungan. Semasa kami bernikah, suami aku masih bergelar pelajar akhir tahun dan hasil usaha beliau membuat kerja part time, dia berjaya mengumpul duit sendiri untuk bernikah dengan aku. Kegigihan Ahmad buat aku rasa sangat dihargai.

Selepas kahwin, masa ini lah life aku berubah 360 darjah. Atas persefahaman kami suami isteri, aku bersetuju untuk menetap di rumah mertua aku sementara Ahmad menghabiskan sem akhirnya yang berbaki lagi 2 bulan. Dipendekkan cerita, rezeki Allah itu maha luas, aku disahkan hamil selepas beberapa minggu bernikah. Langit tidak selalunya cerah, aku yang dahulunya bekerja sebagai guru tadika terpaksa menurut keputusan kedua-dua belah keluarga yang mahu aku berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian pada kandungan aku. Al-maklumlah, ini cucu pertama mereka memandangkan abang aku masih belum dikurniakan anak dan dalam keluarga mertua, suami aku yang pertama sekali kahwin. Jadi bermula lah episod aku sebagai seorang isteri yang tidak bekerja dan menetap di rumah mertua.

Aku hanya jumpa suami aku pada hujung minggu sahaja, itupun kalau dia takde job (suami aku seorang photographer). Jadi aku lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga mertua. Sejak aku berkahwin, aku jarang sekali dapat pulang ke kampung halaman di hujung utara sana. Sebab apa tak balik? Aku dihalang keras oleh mak mertua ku. Alasan beliau, aku mengandung dan tidak elok naik bas atau train takut apa2 jadi pada baby. Walaupun aku rindu sangat pada mak ayah dan adik beradik aku, aku redha. Bila bercerita pada suami, suami pun suruh aku ikutkan sahaja kata mertua aku. Genap 4 bulan aku tidak balik jenguk mak ayah aku. Alhamdulillah mak ayah aku sangat memahami walaupun aku tahu mereka pun sangat merindui aku. Di rumah mertua, aku sering dimarahi semasa ketiadaan suami. Walaupun aku hamil, aku disuruh buat kerja2 berat seperti alihkan sofa, angkat kotak2 berat, mop lantai tingkat atas dan bawah, cuci tandas dengan berus, dan banyak lagi. Ada sekali tu aku muntah teruk sebab morning sickness, mak mertua aku nampak, dia marah aku siap kata “pengotor lah kau ni. Habis kotor jamban aku. Masa aku mengandung Ahmad dulu takde pengotor macam kau. Nak harap simpati lah tu buat2 muntah”. Allah.. Rasa nak muntah balik kat muka dia tapi aku bersabar.

Tidak ku sangka rupanya aku tidak disukai oleh mak mertua aku sendiri. Tiada langsung rasa kasih sayang yang dapat aku rasai dalam rumah tu. Ayah mertua pula sibuk dengan hal sendiri. Kakak ipar pula gelakkan saja bila aku disuruh buat itu ini dan dimarahi. Sampai satu masa aku tak tahan, aku mengadu pada suami. Suami sangat kecewa bila dengar cerita aku dan terus balik rumah malam tu jugak memandangkan aku pun demam panas. Malam tu, berlaku pergaduhan besar, Niat Ahmad untuk berbincang baik2 dengan mak nya dibalas dengan maki hamun oleh mak mertua aku. Aku difitnah buat cerita palsu, cuba memecahbelahkan keluarga mertua aku, dan macam2 lagi. Aku dah lama alami culture shock sejak berpindah ke rumah mertua. Aku tidak pernah rasa diherdik, dimaki, ditengking, dan dibenci sebegitu rupa. Kemuncaknya, mak mertua aku naik angin dan tolak aku yang kebetulan berdiri di tepi tangga. Aku jatuh. Darah mengalir dari celah kangkang. Aku berasa sakit yang amat. Kandungan aku gugur. Anak yang tak sempat melihat dunia gugur akibat amarah nenek nya sendiri. Aku pasrah ya Allah..

Sekarang, aku menetap di rumah ibu bapa aku sementara diri aku ‘pulih’ daripada segala mimpi ngeri yang telah merubah hidup aku 360 darjah. Suami ku setiap hari berulang alik dari kampus beliau ke rumah ibu bapaku untuk menemaniku. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi Ahmad nak tamat belajar. Aku cuba mulakan hidup baru.. Tapi aku masih belum dpt menerima kehilangan zuriat aku yang hanya sempat menghuni rahim ku beberapa minggu sahaja. Apa jadi dengan mak mertua aku? Dia masih ada di rumah dia. Suami aku terlalu marahkan tindakan mak nya sampai sekarang tidak mahu pulang ke rumah mak mertua. Mak mertua aku mendiamkan diri di rumahnya. Tiada langsung khabar berita. Aku tidak tahu lah apa kesudahan kisah aku ini, walaupun dalam hati aku sedia memaafkan tindakan mak mertuaku. Kalau kalian jadi aku, apa tindakan kalian?

– Pengantin Baru

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit