Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum w.b.t semua.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua umat Islam di luar sana.

Setelah membaca confession yang pelbagai di sini, dan saya cuba amati pula perjalanan hidup saya sendiri, saya mula belajar untuk bersyukur dalam mengecapi hidup yang bahagia.

Dahulu saya selalu menyatakan, saya mendamba cinta Illahi.. Saya mahu mencari cintaNya. CintaNya itu abadi berbanding cinta manusia yang bersyarat dan bersifat fana. Sehinggalah saya dipukul oleh satu kenyataan yang membuat saya terduduk dan menangis.

ALLAH TELAH LAMA MENYAYANGIKU, CUMANYA AKU SAHAJA BUTA MELIHAT KASIH SAYANGNYA.

Mengapa perlu saya berdoa untuk mendamba cinta Allah? Allah itu sentiasa mencintai setiap hambaNya. Tetapi, kita yang gagal melihat kasih sayang dan cinta Allah. Kita kerap menangis perihal dunia, menyalahkan orang lain atas musibah dan ujian yang melanda.

Menyalahkan ibu bapa salah mendidik disebabkan itu menghasilkan diri kita mempunyai personaliti yang toksik.

Menyalahkan suami yang tidak bertanggungjawab menyebabkan diri kita terabai, teraniaya dan terumbang ambing.

Menyalahkan majikan kejam dan tak berhati perut menyebabkan kita tak bahagia kerja, performance kita drop, tak dapat banyak benefit, dipergunakan, politik tempat kerja.

Menyalahkan sahabat yang fitnah dan tikam belakang sehinggakan hidup kita rosak dan musnah.

Menyalahkan orang lain memberi sihir sehingga hidup porak peranda dan jatuh sakit.

Sedangkan, tiada apa yang berlaku tanpa izinNya. Kenapa Dia izinkan semua itu berlaku? Kerana Dia tahu kita mampu menguruskannya dengan baik. Dia tidak akan menguji seorang hambaNya melebihi apa yang termampu. Kenapa kita hidup dengan ujian2 sebegini?

Ini adalah perjanjian kita di alam ruh sebelum lahir. Kita setuju dilahirkan sebagai sipolan dan melalui hidup seperti sipolan. Jika lulus, masuk syurga, jika gagal… Masuk neraka. Kita sendiri sign agreement dengan Allah sebelum lahir.

Bila dah diuji macam2, kita pulak bertanya mengapa diuji begini? Layakkah bertanya balik kandungan agreement di alam ruh tu? Sedangkan kita yang tandatangan semua tu sendiri tanpa paksaan?

Saya mengalami fasa2 dalam hidup yang menyebabkan diri saya menjadi seperti berikut:

1. Fasa pertama – kerap menyalahkan diri sendiri tak berguna, pendosa, dan lain2 disebabkan itu ditimpa ujian bertalu2. Pernah ada terfikir nak bunuh diri sebab tak tahan diuji. (fasa murung)

2. Fasa kedua – mula melihat pengaruh dan kesan tindakan orang lain dalam hidup aku. Jadinya, saya kerap menyalahkan semua orang atas masalah hidup saya. (fasa memberontak)

3. Fasa ketiga – merayu2 pada Allah nak mendamba cinta Allah. Mengadu pada Dia hari2, menyatakan tak mahu lagi dunia.. Cukuplah Dia di hati. Tetapi selalu bersedih dan berkeluh kesah dengan ujian dunia. (fasa mengadu)

4. Fasa keempat – mulai nampak sedikit hikmah daripada kejadian yang berlaku. Perlahan2 cuba berubah, memperbaiki pemikiran sendiri, mengubati hati dan meneruskan perjalanan. (fasa menyedari cinta Allah tu dah lama ada)

Keempat2 fasa yang saya alami ini ada pasang surutnya. Kadang2 elok dah masuk fasa keempat, dia boleh undur balik ke fasa satu semula. Lepas tu apa yang perlu saya buat ? Cepat2 istighfar, muhasabah diri, susun strategi balik untuk pecut laju supaya masuk fasa keempat semula.

Letih juga sebenarnya. Bila rasa tak bermaya, menangis sendirian di atas katil dan berdoa,

“Ya Allah.. Bukakanlah pintu hati aku untuk melihat kasih sayangMu. Barangkali aku tertutup pintu itu kerana dunia masih merajai hidupku.”

Sehinggalah saya tertidur.

Sekarang saya cuba melazimi zikir dengan niat nak kuatkan hati aku untuk melihat cinta dan kasih sayang Allah. Kadangkala saya lemah tak bermaya kerana stress dan tertekan. Saya terpaksa baring seharian sambil berzikir seharian. (bangun untuk solat sahaja, itu pun dengan paksaan). Hari2 saya buat untuk tanamkan kekuatan saya melihat cinta dan kasih sayang Allah.

Sedikit demi sedikit hikmah hidup ini aku nampak. Dan saya malu sendiri dengan Allah. Sebenarnya, Dia banyak membantu saya di sebalik ujian yang Dia berikan.

Percayalah kawan2, Allah tak pernah zalim. Cuma kita yang buta melihat kasih sayangNya.

Setiap ujian hidup yang kita alami, cuba renungkan:

1. Perasan tak, mesti akan ada bantuan yang datang dalam hidup kita.

2. Walaupun keadaan hidup sangat teruk dalam ujian, perasan tak sebenarnya ada orang diuji berganda2 lagi teruk?

3. Orang yang tak pernah kita kenal tiba2 datang hulurkan bantuan di saat orang yang kita percaya tidak datang membantu.

4. Kita kekurangan duit tak dapat beli apa yang kita inginkan… Tetapi perasan tak kita susah jatuh sakit? Tetap cergas dan lasak meskipun makanan tak cukup zat ikut piramid makanan? (mungkin terpaksa makan nasi kosong dan telur / ikan masin sahaja tetapi tetap sihat)

5. Dapat ibu bapa yang tak faham kita, berperangai yang pelik2 dan buat kita jauh hati… Tetapi hari2 kita dapat lubuk pahala dengan sabar dan mendoakan dia?

Dan banyak lagi sebenarnya jika kita senaraikan satu per satu.

Syukur itu kunci untuk bahagia. Marilah kita bersyukur dilahirkan sebagai hamba Allah. Dunia adalah sementara, akhirat juga yang abadi.

– Seri

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *