Tiang Agama

Assalamualaikum. Aku dah berkahwin dan punya anak. Alhamdulillah, sepanjang berkahwin, rumahtangga kami utuh tanpa sebarang isu besar yang menduga kami. Anak² sihat, keadaan ekonomi keluarga makin elok tahun demi tahun.

Terlalu banyak nikmat dalam rumahtangga kami. Dari luar nampak rumahtangga kami tenang dan bahagia. Tapi kami ada 1 rahsia besar yang semua orang tak tau.

Kami dah lama tak solat. Solat on off. Pernah 1 fasa sampai tak solat langsung. Nauzubillahiminzalik. Tak tau mana silapnya.

Sebelum kahwin dan diawal perkahwinan kami memang solat tapi jarang² sangat cukup 5 waktu, selalu solat di hujung waktu. Makin lama, entah kenapa, makin culas bab solat sampaikan dengar azan pun kami boleh buat tak tau je.

Nauzubillahiminzalik. Malu bila teringat balik. Sedih dengan kehidupan zaman jahil tu.

Sampailah 1 hari, anak kami yang berumur 3 tahun, ajak kami solat. Puncanya dia tengok dalam TV orang solat. Dia rasa seronok dan nak buat.

Allahuakbar. Besarnya kuasa Allah. Allah tegur kami melalui anak kami. Kami mula solat balik, tapi Maghrib sahaja, sebab kami laki bini ada dirumah waktu maghrib dan kami solat berjemaah pada waktu itu.

Tiba² 1 hari, anak tanya lagi, kita solat malam je ke? Sekali je ke sehari? Allahuakbar. Rasa tertampar lagi.

Kali ni memang betul² rasa loser sangat. Rasa macam gagal jadi contoh yang baik untuk anak. Macamana anak² nak berjaya kalau ibubapa tak solat, apatah lagi nak mendoakan kebaikan untuk anak². Kami berdua betul² tertampar pada masa itu.

Bila difikir² balik kenapa sampai jadi begini? Mana silapnya? Aku dan suami akui, kami tidak dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan solat.

Masa kecil bila tak solat, kena marah je. Kami dimomokkan dengan tak solat itu berdosa, masuk neraka. Tapi melihat keadaan sekeliling, solat itu bukan prioriti dalam keluarga kami.

Maksud aku, bila tiba waktu solat, kami sekeluarga tak digesa pun untuk terus solat. Kalau keluar, takde pun abah kami singgah di masjid atau surau pada waktu solat. Kalau terlepas 1 waktu tu pun, macam takde apa.

Jadi, tak pelik lah kalau tiada siapa yang takut dengan momokan “tak solat itu berdosa”.

Dan kami dibiarkan tak solat sampai capai umur akil baligh, sedangkan dalam Islam menyarankan seusia 7 tahun, dibolehkan merotan anak yang tidak solat (mengikut syarat yang betul).

Solat berjemaah adalah perkara asing dalam keluarga besar kami. Kami tidak diajar untuk rasa seronok beribadah, sebaliknya kami sentiasa dimomokkan dengan dosa dan neraka.

Mungkin itu silap terbesar. Perkara seperti ini jika tak dipupuk sedari kecil, tak dijadikan rutin kehidupan seharian dalam keluarga, kelak akan menjadi barah dalam diam.

Dulu pernah keluar statistik masyarakat Islam zaman sekarang ramai yang tak solat. Menakutkan sangat. Mungkin kita kena ubah cara didikan.

Kami nekad nak berubah. Kami taknak zuriat keturunan kami tidak menjaga solat. Kami mahukan anak² yang tahu solat, suka solat dan sentiasa menunaikan solat kerana dia faham akan kewajipan sebagai seorang Muslim dan kami nak didik anak² rasa seronok untuk beribadah.

Kami suami isteri sangat percaya akan konsep kepimpinan melalui teladan. Anak tengok, anak buat. Jadi, untuk bawa anak² ke arah kebaikan, kami kena mula dulu. Kami kena jadi contoh yang baik untuk anak². Nak lentur anak², kami si buluh ni kena perbaiki diri kami sendiri dulu.

Mulai dari itu, kami mula berubah. Kami mula solat balik. Untuk jadikan solat ni fun untuk anak² yang baru nak belajar solat, kami jadikan ianya aktiviti keluarga dengan cara solat berjemaah untuk setiap waktu.

Time PKP ni senanglah nak solat berjemaah tiap waktu. Kami ajar anak² untuk alert dengan azan. Azan je, berlumba² semua nak solat. Secara tak langsung, kami pun rasa seronok dan tak lagi tinggal solat. Itulah niat kami.

Kami nak anak² seronok dalam beribadah. Kami tak nak anak² rasa ibadah ini membebankan. Lagi² ibadah yang fardhu ini. Kami nak mereka rasa tak sabar² dan teruja setiap kali nak beribadah.

Kami nak mereka rasa sayang dan cintakan agama. Kami nak mereka cintakan Allah, cintakan Rasulullah. Kami taknak ulang kesilapan keluarga kami lagi. Kami nak zuriat keturunan kami semuanya menunaikan solat dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar.

Alhamdulillah lepas kami jaga solat, Allah jaga kami. Kalau dulu kami rasa apa yang kami ada dah cukup, sekarang Allah bagi lebih lagi.

Kalau dulu, bila ada masalah, kami rasa tertekan dan stress, kini kami doa sungguh² setiap kali habis solat agar diangkat semua masalah kami dan ditenangkan hati kami.

Alhamdulillah, kami lebih tenang dan bahagia. Kalau dulu banyak masa terbuang dengan perkara tak berfaedah (TV, handphone), kini masa kami lebih terisi.

Kalau dulu, selalu marah² anak sebab tak dengar cakap, sekarang anak² lebih lembut hati dan mudah menerima teguran.

Kalau dulu, rasa panas je diantara suami isteri, sekarang kami lebih menghormati dan menghargai satu sama lain. Alhamdulillah ya Allah. Benarlah, Dia yang Berkuasa atas segalanya. Jaga Hablumminallah, inshaaAllah terpelihara hidup kita.

Allahuakbar. Allah kurniakan kami anak yang berjaya menegur kami yang dah jauh hanyut dibawa arus duniawi ni. Sungguh kami malu dengan dosa² kami. Kami malu dengan sikap sombong kami yang terlupa untuk sujud pada yang Maha Memberi. Sungguh kami alpa.

Sebagai penutup, aku nak mintak doa kalian supaya kami terus isitqomah dalam penghijrahan ini. Kami masih belajar, masih dalam fasa penghijrahan, masih berusaha menjaga solat kami. Doakan kami ye.

Harapnya adalah sedikit ilmu berguna dari perkongsian yang tak seberapa ini buat kita semua. Semoga ianya membawa kebaikan buat kita semua.

Buat yang masih belum solat atau telah lama meninggalkan solat, jom kita sama² berubah. Jom kita kejar syurga Allah. Masih belum terlambat. Kita masih punya masa. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Jom kita kejar cinta Allah dan Rasulullah.

Jom kita berubah! We can do this!

– Narinar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *