Realiti Kehidupan

Dulu, sewaktu aku kecil, aku selalu merasakan orang dewasa adalah orang yang aku perlu hormat. Orang yang hidup berbeza dengan aku, kanak-kanak riang yang tak perlu fikir tentang apa-apa pun.

Aku biul. Hidup dalam dunia aku sendiri. Kadang kala nama sendiri pun aku tak hafal apa lagi nama panjang ibu bapa aku. Aku berada dalam dunia aku. Bersama ‘kawan imaginasi’ aku. Bersama kembar yang ‘sama’ dengan aku.

Oleh kerana sifat aku yang happy go lucky aku amat popular di sekolah. Alasannya sebab satu: aku kembar, dan kedua aku ni matured, happy go lucky tak macam budak-budak yang lain yang hanya fokus pada cinta dan gred akedemik.

Walaupun memiliki kembar, kembar aku tak sama dengan aku. Dia pendiam dan suram. Selalu bersendiri. Di sekolah pula berkeras tidak mahu bercakap dengan aku. Mungkin kerana aku selalu bergerak dalam kumpulan dia tidak mahu menarik perhatian orang ramai.

Aku biarkan sahaja kerana aku menghormati keputusannya tanpa perlu mendengar langsung penjelasannya. Kembar aku. Nombor satu aku. Separuh jiwa aku. Segalanya aku buat untuk dia. Demi dia, apa sahaja boleh.

Aku masih kekalkan sikap santai aku dan berseronok dalam fantasi aku sehinggalah tingkatan 2, muncul topik berkenaan ‘apa kau nak buat selepas tamat sekolah’.

Aku agak pelik. “Habis sekolah?” Ahh betullah, tiba masanya aku kena fikir nak buat apa. Tapi aku masih tak faham. Kenapa perlu fikir?

Let’s just go with the flow. Why think hard? Aku mula terpengaruh dengan kawan-kawan aku yang cuba bersiap sedia untuk menjadi dewasa.

Tapi aku disini masih tersekat. Tak tahu apa aku perlu lakukan. Tak tahu apa yang aku nak. Dan keliru kenapa kena fikir tentang itu. Apa yang perlu fikir sebenarnya?

Kawan aku bersembang tentang mereka mahukan rumah sendiri dan kereta sendiri. Sedangkan aku? Aku masih kekalkan happy go lucky aku. Aku mahu enjoy life aku yang ada.

Bagi aku mustahil untuk aku ke arah dewasa. Kerana kefahaman aku dewasa itu sesuatu yang serious. Sesuatu yang besar dimana bukan semua boleh jadi dewasa.

Aku menggambarkan dewasa itu adalah seperti ibu aku. Serious, teratur dan sempurna. Ibu aku adalah manusia paling hebat pernah aku tahu. Tiada seperti itu. Aku menjadi dewasa? Menjadi seperti ibu aku? Mustahil.

Tetapi ibu mahukan aku sama seperti dia. Aku tahu aku tak mampu mencapai tahap itu. Tapi aku mengikut sahaja kehendaknya. Bercampur dengan minat aku, dan kemahuan ibu mahu aku dapatkan diploma akhirnya aku sambung belajar.

Belajar amatlah susah. Bukan susah kerana aku tak pandai tapi susah kerana terikat dengan peraturan. Aku adalah manusia bebas yang berpandangan berbeza dengan majoriti orang biasa.

Pendapat aku, manusia tidak perlu dinilai mengikut tahap pembelajarannya kerana setiap manusia berbeza. Kalau seseorang itu tak pandai, tidak semestinya dia bodoh. Setiap manusia mempunyai bakatnya yang tersendiri. Ada perkara yang dia tak bagus dan perkara lain yang dia bagus.

Kalau semua orang jadi doktor siapa yang nak jadi tukang masak? Aku merasakan sistem dunia amat pelik. Dalam banyak perkara. Aku merasakan kita manusia amat terkongkong tidak dapat menjadi lebih baik akibat terpaksa mengikut sistem dunia. Ibarat lembu dicucuk hidungnya. Menyedihkan.

Tapi siapa aku untuk mengubah dunia? Walaupun pelik dan meremehkan aku terpaksa juga mengikut sistem yang ditetapkan. Kerana hanya orang yang tertentu yang mencapai “kriteria/syarat” sebagai orang yang berjaya di negara ni perlu ada degree sekurang-kurangnya.

Tak cukup dengan itu perlu mempunyai kereta, perlu kacak/cantik dan berkulit putih. Kalau dari keluarga yang bagus seperti lawyer atau doktor lebih baik!

Aku lesu. Umur semakin meningkat. Aku sudah mencapai umur sebagai seorang yang dewasa. Tetapi hairan pula ya. Aku tidak merasakan aku ini dewasa. Penat belajar.

Duit habis kononnya untuk menjadi “orang dewasa yang ideal” mengejar segenggam ijazah setiap kali habis. Berhutang demi untuk belajar.

Ilmu yang diberi aku simpan tetapi ilmu yang aku dapat bagi aku tidak membantu aku untuk menjadi manusia yang berilmu. Hanya setakat menjadi “manusia yang berjaya di dunia sahaja”.

Penat belajar mengutip ilmu dunia tetapi ‘menjadi manusia yang berjaya di dunia’ masih lagi tidak apatah lagi “menjadi manusia yang berilmu”.

Umur semakin meningkat begitu juga yang lain tetapi aku, mereka masih tak nampak ‘dewasanya’. Masih seperti di sewaktu sekolah, bersembang dengan topik yang tiada faedah, bergosip, tindas kuasa, buli, dan sebagainya.

Aku tak nampak imej ibu aku dimana-mana pun. Tiada yang menjadi seperti ibu aku. Begitu juga dengan aku. Walaupun aku dah dewasa aku masih tidak seperti ibu aku.

Aku amat hairan. Masih keliru. Apa yang dewasanya apabila kita sudah mencapai umur dewasa? Badan berubah tetapi tidak akal.

Apa dewasa sebenarnya? Kefahaman aku dewasa itu dapat berfikir matang, mampu membezakan salah dan betul, mampu menggalas tanggungjawab dan akhir sekali mampu bergantung pada diri sendiri dan bukan orang lain. Tetapi semakin aku dewasa semakin aku keliru.

Melihat sikap manusia dewasa yang aku kenal serta rakan rapat aku, juga kembar aku, membuatkan aku amatlah hairan yang terlalu hairan.

Mereka memperlekehkan aku sebagai dewasa yang tidak ideal hanya kerana aku tidak kahwin, tidak mempunyai rumah dan kereta sendiri.

Sedangkan kereta yang dimiliki mereka juga adalah kereta milik ibubapa mereka, bukan kereta mereka. Kahwin? Mengapa aku bukan ‘dewasa yang ideal’ hanya kerana aku tidak kahwin?

Jadi aku bukan dewasa sekirannya kesucian aku masih ada walaupun aku sudah dewasa? Aku lihat ramai rakan aku yang bergantung pada pasangan sendiri setelah kahwin. Kalau ini yang dimaksudkan menjadi ‘dewasa’ maka aku tumpas.

Aku tidak mahu mengejar ‘dewasa ideal’ yang semua terkejar-kejar. Selama bertahun-tahun aku tutup mata aku dari percaya apa yang aku percaya. Aku ikut kehendak semua.

Hampir kahwin dengan lelaki pilihan ibu kerana bersangka itulah ‘dewasa’ dan aku harus jadi dewasa seperti yang diikutkan oleh semua orang.

Tapi sejujur-jujurnya aku hampir musnahkan diri aku untuk mengikut ‘dewasa ideal’ yang dikejar-kejar oleh semua orang termasuk rakan-rakan aku.

Melihat posting stories di Instagram, di whatsapp membuatkan aku di brain-wash. Aku terpengaruh. Membuatkan aku percaya pendapat/kepercayaan aku adalah salah dan kepercayaan mereka betul. Seperti yang aku terangkan, aku santai happy go lucky. Aku berjiwa bebas.

Apa yang aku mahu dari hidup aku cuma dua perkara. Satu, Mampu membuatkan ibubapa aku gembira dan senang. Kedua, menambahkan pengalaman. Aku mahu lihat dunia. Aku tidak mahu terkongkong menjadi hamba didalam rumah tangga.

Sekirannya dapat suami yang baik, yang faham hak perempuan dalam rumah tangga maka baiklah aku. Tapi bagaimana pula sekirannya dapat suami yang menjadikan aku hamba seks dan kuli kemas rumah? Itu adalah mimpi ngeri aku.

Berbapakan ayah yang kurang ilmu dalam mengendalikan hak perempuan dan ilmu asas sebagai manusia bertauliah aku sengsara. Hampir semua lelaki yang aku kenal juga seperti ayah aku.

Boleh katakan manusia dewasa seperti ibu aku sudah pupus. Kerana ibu aku terlalu sempurna, harapan aku pada ‘dewasa ideal’ terlalu tinggi.

Ya benar manusia berbeza bukan semua sempurna tetapi manusia dewasa yang ideal sepatutnya seperti yang aku telah terangkan di atas.

Mampu membezakan salah dan betul, mampu menggalas tanggungjawab, mampu bergantung dan pada diri sendiri.

Dengan diri aku yang bukan straight. Berkahwin dengan lelaki bukan hal yang buat aku runsing. Tetapi bersetubuh dengannya. Loya tekak aku. Terasa seperti hendak muntah. Begitu jijik apabila aku terbayang. Betul bukan semua manusia sama. Semua berbeza begitu juga dengan aku.

Aku axesual. Tidak straight seperti semua rakan aku. Mengejar ‘ideal dewasa’ yang dikejar-kejarkan oleh semua orang, satu hal. Mengejar partner ideal pun satu hal.

Lelaki mana sahaja mahu kahwin dengan perempuan yang tidak mahu seks? Mustahil kerana dalam kepala kaum lelaki itu adalah nombor 1 dalam perkahwinan.

Runsing aku. Oh runsing. Menjadi dewasa adalah satu perkara yang amat merunsingkan. Menstabilkan kehidupan aku sebagai seorang yang dewasa juga amatlah susah. Aku sesat dan keliru tidak tahu hendak pilih jalan yang mana dahulu.

Kereta atau rumah mungkin boleh aku kejar. Tetapi memiliki keluarga sendiri bukan lagi pilihan bagi aku. Walaupun aku cuba memperluaskan pencarian aku dengan mencari lelaki dan perempuan sebagai partner aku, masih juga mustahil bagi aku.

Memperluaskan lagi dengan mencari lelaki dan perempuan agama berbeza, tetapi masih juga mustahil. Bukan tidak pernah bercinta.

Sentiasa. Sudah tidak boleh terkira berapa lelaki dan perempuan aku cuba bersama tetapi mustahil.

Kekasih cina aku yang terakhir adalah kekasih yang paling serasi. Tinggi ( terlalu tinggi). Kacak dan amatlah bijaksana. Tidak seperti lelaki cina dan lelaki melayu yang aku kenal. Dia adalah lelaki pertama yang open minded sama seperti aku.

Tahu akan diri aku yang axesual ini dia tidak perlekehkan aku. Dia tahu apa itu axesual. Bukan seperti semua partner lelaki atau perempuan aku yang dulu. Bila sebut asexual semua tak tahu apa itu. Boleh Google ya untuk tahu apa itu asexual

Kami selalu berbual tentang perkara yang kami anggap pelik tetapi normal bagi semua orang. Malangnya dia straight. Tidak nampak masa depan kami bersama. Aku sedih. Hubungan tak lama pun. Dari kekasih bertukar kawan.

Ramai yang mengganggap aku mengarut apabila meraka tahu aku asexual. Alasan mereka adalah sama. Meletakkan tuhan dan agama dalam ceramah mereka sedangkan mereka sendiri melanggar apa yang halal dan teruskan yang haram. Merokok bukankah haram?

Begitu juga dengan menyentuh/berpegang tangan atau berdua-duaan dengan lelaki atau perempuan yang bukan muhrim? Jadi kita sama saja.

Sekurang kurangnya aku tidak pernah berpegang tangan dengan kekasih aku apatah lagi berdua-duaan. Balik juga kereta berasingan walaupun rumah dekat.

Paling sakit hati apabila mereka kata “tak cuba lagi bersetubuh, belum tahu tak suka”. Baiklah kita tukar. Awak straight betul? Bagaimana awak tahu awak straight kalau awak belum cuba lagi sesama jantina? Cubalah. Belum cuba belum tahu kan?

Automatik rasa mustahil kan? Rasa jijik betul? Jadi samalah kita. Aku jijik membayangkan aku di atas tilam dan membiarkan sesiapa tidak kira lelaki atau perempuan cuba ‘buat’ aku.

Bertahun-tahun aku fikirkan ‘dewasa yang ideal’ tu. Sehingga ia memakan aku. Aku fikir mengapa aku tidak sama seperti orang lain.

Mengapa susah sungguh untuk menjadi dewasa yang orang mahukan. Dewasa yang aku percaya adalah tidak cukup bagi mereka. Harus kahwin juga. Perlu mengandung dan ada anak. Aku runsing! Aku marah! Penatlah mahu fikir perkara yang sama sehingga bertahun tahun!!

Apa salahnya aku jadi ‘dewasa’ yang aku percaya? Mengapa aku kena ikut ‘ideal dewasa’ yang dimahukan oleh semua orang?

Realiti kehidupan ni amatlah memeningkan. Seperti ombak. Ikut sahaja tiupan angin. Seperti lembu dicucuk hidungnya!

Ia bukan perkara yang besar pun. Aku yang happy go lucky ni sepatutnya tepis sahaja pendapat orang dan teruskan dengan kehidupan aku sebagai ‘dewasa ideal’ yang aku mahukan.

Tetapi ia amatlah susah kerana kehidupan aku juga kehidupan semua orang. Lama-lama api akan terpadam juga. Aku penat menghadap mentaliti masyarakat yang kuno. Bukan semua orang open minded. Seks adalah nombor 1 bagi mereka yang cuba melangkah ke alam dewasa.

Aku tidak mampu untuk meletakkan harapan jadi aku memberitahu ibu, “mama tak akan nampak adik(aku) pakai baju kahwin” kata aku pada ibu.

Ibu aku hanya pandang aku. Dia tidak berkata apa-apa. Kerana ibu aku adalah ‘dewasa yang ideal’. Diafaham semua orang boleh memilih kehidupan yang dia mahukan.

Tapi ada juga sekali ibu risau aku cuma di peringkat dimana aku keliru dengan diri aku (walaupun sebenarnya tak), ibu cuba pasangkan aku dengan jejaka yang hampir sama dengan aku.

Dia boleh melihat sesuatu yang bukan semua boleh nampak (spiritual). Dia amatlah penyayang dan berkarisma. Hampir sama seperti ibu aku.

Kenal 3 kali sahaja, tetapi aku cuba jauhkan diri. Lelaki bagus seperti dia tidak seharusnya dipasangkan dengan aku. Dia straight. Ibunya pula tegas.

Mustahil. Aku tak mahu merosakkan harapan. Dia adalah yang terakhir selepas itu aku tekad aku tidak mahu mencari partner lagi. Aku cuba untuk fokus kepada “ideal dewasa” aku pula. Aku penat cuba menjadi apa yang orang mahu aku jadi.

Aku penat apabila semua rakan-rakan aku melontarkan kehidupan mereka sebagai satu “ideal dewasa” yang kononnya.

Sehinggakan ramai rakan-rakan aku seperti bertanding untuk kahwin awal, untuk cari kerja yang gajinya tinggi, untuk menunjukkan kereta mereka, suami/isteri mereka dan seterusnya.

Aku penat amatlah penat. Satu apa pun aku tidak capai. Aku bukan “ideal dewasa” yang dimahukan semua orang. Aku cuma budak tua yang cuba mengejar impiannya. Aku tak ada apa.

Bagi aku umur aku masih muda. Aku sepatunya enjoy hidup aku. Cari maksud sebenar kehidupan.

Tetapi aku habiskan masa aku belajar untuk degree, kerja untuk makan dan beli kereta dan mencari ‘kekasih’ untuk aku kahwin dan buat seks. Inikah kehidupan? Lebih baik aku tidak lahir kalaulah itu aturannya.

Aku berjiwa besar. Aku mahukan lebih dari itu. Aku mahu mencari ilmu. Pengalaman. Dan ketenangan. Tetapi yang aku dapat adalah tekanan dari semua orang yang mempersoalkan sexual orientation aku, mempersoalkan hala tuju aku, mempersoalkan semuanya aku buat.

Bernafas pun sudah sesak. Masa pun tak pernah cukup untuk aku kejar apa yang semua orang mahu dari aku.

Masa aku habis mengejar “dewasa ideal” yang orang mahu aku jadi. Apabila aku tidak mencapai “dewasa ideal” yang dicipta oleh masyarakat, aku dihina dipandang rendah! Tetapi mereka tak tahu apa yang mereka buat dengan kehidupan mereka.

Apa yang aku mampu lakukan cumalah sabar. Menunggu masanya apabila aku mencapai segala yang aku mahu dalam kehidupan aku dan mereka pula hanya mencapai “dewasa ideal” yang dicipta oleh masyarakat.

Ini kisah benar dari aku.

– Budak ‘tu’ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *