Rupanya cinta saya itu tidak ikhlas! Tidak tulus!
Entah sudah hari ke berapa pasca putus cinta saya ini. Entah sudah makan minggu atau sudah makan bulan. Rasanya seperti sudah berdekad lamanya saya begini; bertanya kenapa, mengapa, dan bagaimana.
Di pesan terakhirnya dia bilang mungkin kesalahannya itu adalah apabila masa saya itu habis dengannya. Saya juga sudah lupa dan sudah tidak mahu mengira berapa lama namanya sudah wujud dikamus hidup saya.
Sampaikah lima tahun? Apa mungkin enam? Adakah tujuh? Sepertinya tidak mungkin lapan.
‘Adakah anda akan mengingati saya di 10 tahun akan datang?’
Masih jelas pertanyaan itu di benak fikiran saya. Saya fikir pesanan itu saya terima di tengah tahun 2016. Sekarang di tengah tahun 2024, nyatanya dia sudah bertunang dengan pilihan lain.
Tujuannya ke saya pada awalnya tidak jadi kerana saya ini asalnya jauh manakala pilihan lain itu dekat dengan ibunya. Habis saya ini bagaimana? Saya ini sudah bertahun menunggu lelaki itu.
Malah setiap pesan saya diakhirnya selalu saya ucap ‘sampai jumpa lagi’. Tetapi kali ini bagaimana? Apa dia itu sudah benar-benar asing?
Itulah yang saya bilang di awal ayat saya tadi, saya fikir cinta saya ini tulus, ikhlas. Rupanya saya selama ini salah! Cinta saya itu tidak tulus dan tidak ikhlas sama sekali!
Saya ternyata mengharapkan balasan dari lelaki itu untuk segenap cinta saya yang sudah pernah saya beri kepadanya.
Saya yang berharap besar agar dia menemui saya dan kedua orang tua saya, saya juga yang akhirnya terpaksa tunduk dan akur bahawa impian tinggi saya yang satu itu sudah berkecai. Sudah ranap. Memang kurang saya itu di mana? Memang salah saya itu apa?
Apakah saya memang tidak layak untuk menerima balasan cinta yang setara itu? Apakah cinta saya yang memang sungguh tidak tulus ini tidak layak untuk berakhir bahagia? Kenapa di kehidupan saya yang satu ini takdir saya tidak bersama lelaki itu?
Saya ini sudah hampir gila memikir tentang perkara hati ini sehingga saya tidak tahu perasaan apa lagi yang saya perlu rasakan untuk membuat ia berlalu pergi. Kata orang saya itu tidak kehilangan apa-apa. Cumanya, yang hilang di saya itu hanyalah orang yang tidak mencintai saya.
Nah, justeru itu! Justeru itu, yang membuat saya kesal! Hati saya ini walaupun tidak tulus, tetap juga merasa sakit! Entah sampai bila saya akan mengenang cinta saya yang tidak kesampaian ini.
Saya bukanlah orang yang pendendam, tetapi hari ini saya sudah menyimpan semua foto-foto yang memang sengaja saya gantung di dinding bilik saya. Sebabnya cuma satu. Iaitu, saya merasa kasihan dengan sosok tubuh yang ada di dalam foto itu. Saya yang berusia enam tahun.
Kemudian, saya yang berusia 11 tahun. Kemudian, saya yang berusia 15 tahun. Kemudian, saya yang berusia 19 tahun dan seterusnya. Sungguh, saya sangat kasihan melihat saya. Sudah mencintai sebegitu rupa, tetapi tidak dihargai! Malah, diakhir kisah saya ini saya juga yang ditinggal pergi.
Saya tidak tahu bila perasaan dan luka ini akan membaik. Ada kala saya rasa saya sudah sembuh. Rupanya saya dikali yang entah keberapa ini kembali ke bilik gelap saya itu dan menangis mengenangkan perkara hati yang menyesakkan dada saya disaat saya ingin tidur.
Saya rasa sudah sering saya berbicara dengan Tuhan tentang apa yang sudah berlaku dan tentang apa yang terlintas di hati saya, yang sudah semakin rapuh ini. Kadang bicara saya itu tanpa kata.
Tapi saya sangat yakin Tuhan dengar akan saya, akan doa-doa saya, dengar akan cerita saya yang ditimpa malang ini, walaupun saya tahu Dia sudah maklum tentang itu.
Sungguh Dia itu Maha Melihat dan Dia itu juga Maha Mengetahui. Mana mungkin apa yang berlaku ini terlepas dari pengetahuanNya. Dengan rendah hati ya Allah, saya serahkan segenap raga saya, hati saya, perihal saya ini kepadaMu. Tolong bantu saya dalam mengikhlaskan perkara yang bukan punya saya.
Kadang saya fikir dia akan kembali lagi kepada saya. Hanya yang menjadi pertanyaan saya itu adalah bila dan bagaimana. Sudah banyak senario yang saya bayangkan dan sudah banyak dialog yang saya susun rapi di dalam otak saya ini. Sungguhpun saya tahu ini hanyalah mainan akal saya sahaja. Sangat mustahil untuk dia kembali.
Dia itu orang baik. Tidak mungkin menolak permintaan ibunya. Tapi masih sering juga saya ingin mepersoalkan tentang saya. Tentang cinta saya kepada lelaki itu. Hati saya ini masih belum puas mencari tahu alasannya walaupun jawapan itu memang sudah terang dan nyata.
Saya ini aslinya jauh! Bukannya dekat! Namun hati saya ini masih keberatan. Minda saya itu masih degil dan masih kerap mengajukan pertanyaan kepada saya dibalik pintu bilik saya yang tertutup itu. Adakah cinta yang dia tunjukkan ke saya selama bertahun itu palsu? Katanya yang akan ke rumah orang tua saya itu bagaimana?
Kenapa begitu cepat dia pergi bersama pilihan lain? Apakah mungkin cinta saya ini memang terlalu mudah untuk dilepas dan akhirnya dilupakan. Mengapa disaat saya sudah menyimpan keyakinan dan harapan saban tahun itu dia malah pergi jauh dari saya? Sungguh ini tidak adil! Kenapa sampai begini dia menikam saya?
Seharusnya dia itu tidak membawa saya sejauh ini. Jika saya boleh jujur kepada kedua orang tua saya, saya ingin sekali memberitahu mereka bahawa, anak perempuan mereka, yang cintanya tidak tulus ini, sudah tidak tahu harus ke mana lagi dia bawa kesedihan ini pergi. Arah pulang juga dia sudah tidak pasti jalannya yang mana.
Putus cinta saya ini adalah rahsia teragung saya! Orang tua saya tidak boleh tahu! Kadang itu, saya berpergian di tepian laut. Dahulu, pernah terlintas di fikiran saya bahawa, orang-orang yang berkumpul memandang langit jingga ketika bahang matahari sudah tidak lagi terasa itu semuanya gila.
Mereka itu semuanya datang menuntut untuk sembuh dari luka yang saya juga kurang pasti asal usulnya. Tidakkah itu gila? Tapi rasanya sekarang saya juga sudah sama-sama gila dengan kumpulan manusia itu kerana akhirnya senja itu, pantai itu, serta bunyi deruan ombak itu membuat saya berhenti berfikir tentang luka saya yang dalam itu.
Yang saya fikirkan hanyalah saya. Diri saya, yang asing daripada setiap yang melukai saya. Sembuh itu tidak ada di pantai. Kenyataan ini harus saya sampaikan kepada kumpulan manusia gila itu. Akan tetapi, hati saya ini tidak sampai untuk menyampaikannya kepada mereka.
Biarlah kumpulan manusia gila yang mencari tenang itu duduk dengan fikiran masing-masing kerana saya yakin selepas gelap, perihal luka itu akan datang kembali, menuntut mereka untuk merasainya buat sekian kalinya.
Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana untuk menghentikan diri saya dari meneruskan catatan saya ini. Perasaan saya, amarah saya, kesedihan saya, semua itu rasanya bercampur baur.
Kata orang, yang sedang saya alami ini nanti akan beransur pulih. Keadaan pasti akan reda. Luka ini akan sembuh. Memori saya tentang lelaki itu akan pudar. Dan rasa cinta saya kepadanya itu juga akan mulai surut. Entahlah. Saya sendiri juga masih bingung penghujung yang bagaimana saya harapkan.
Juga, jujur saya katakan, yang tinggal bersama saya sekarang itu hanyalah harga diri saya yang tersisa. Dan pada saat ini, di hujung catatan saya ini, saya rasa saya sudah berada di akhir perang. Apapun itu, yang datang kepada saya dan apapun itu, yang terbaik untuk saya, tidak lagi akan saya halangi.
Tuhan jika ini memang yang terbaik untuk saya, agama saya, masa depan saya, maka permudahkanlah perihal hidup dan hati saya ini. Sungguh saya tidak dendam kepadanya. Hanya saja hati saya ini masih sakit dan masih belum mahu melepaskan sosok lelaki itu dari hidup saya.
Ampunkanlah dosa saya, kasihanilah saya. Luaskanlah rezeki saya. Permudahkanlah urusan saya. Jika dihujungnya nanti saya memang harus merelakannya pergi, gantilah ia dengan sesuatu yang lebih baik menurutMu. Semoga saya tidak lagi begini. Dan semoga kumpulan manusia gila itu bertemu kebahagian yang hakiki.
…
Di akhir catatan saya ini, saya sertakan juga terjemahan surah Ad-Duha. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan redha Allah SWT, InsyaAllah.
…
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Demi waktu dhuha,
Dan malam apabila ia sunyi-sepi –
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
– Bintang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit