Harapan

Pagi datang lagi. Matahari memunculkan diri. Dari gelap, bertukar cerah. Telingaku menangkap bunyi alarm dari telefon bimbitku. Bingit dan membangkitkanku dari lena. Lantas ku capai dan mematikan bunyi alarm. 6.25 pagi. Sudah pun masuk waktu subuh. Kedengaran bunyi bacaan imam mengimamkan solat subuh di surau berdekatan, melalui pembesar suara dan speaker yang diletak berhampiran blok kawasan perumahanku.

Lantas ku bangkit dan membersihkan diri.

“Kak Syifa nanti kalau bangun awal jangan lupa kejut Nana bangun tau” , teringat pesan adik iparku sebelum aku masuk bilik untuk beradu semalam.

Aku ketuk perlahan pintu biliknya dan terdengar sahutan suaranya. Ya, dia sudah bangun.

Sejadah ku hamparkan dan untuk kesekian kalinya, setelah lama dahi ini tidak mencecah lantai untuk bersujud, aku kembali pada fitrahku, yang semakin merindui untuk beribadah padaNya.

Usai memberi salam, aku capai anakku dan dudukkan di ribaku. Zikir zikir pendek meniti di bibir sambil tanganku memegang tangan anakku yang berusia tujuh bulan, Akhtar. Setiap kali memandang wajahnya, hatiku terpalit rasa serba salah. Amanah Allah yang indah, yang telah aku persiakan.

Setiap kali azan dilaungkan di kaca televisyen, pasti Akhtar akan diam dan memandang kaca televisyen, seakan mengerti makna kalimah agung itu dan menyukainya. Dan ketika itu jugalah hatiku sering bertanya, ‘Bilakah masanya aku akan kembali solat seperti dahulu?’

Ku sudahi ibadah solatku dengan doa dan turut meraup wajah Akhtar setelah meng-amin-kannya. Mujur Akhtar tidak meragam. Senang dididik. Amanah Allah. Ah, pun aku masih beralasan untuk beribadah padaNya.

Tahun ini sudah masuk tahun ketiga kami mendirikan rumah tangga. Masuk tahun kedua, kami dikurniakan seorang cahaya mata.

Aku masih ingat lagi akan janji janji suamiku untuk mendidik aku, membawa dan memimpin tanganku ke syurga di awal perkahwinan. Kata kata itu mudah dilafazkan, namun untuk dibuktikan melalui perbuatan, itu bukanlah hal yang mudah.

Pun begitu, tidaklah pula aku menyalahkannya. Jika dahulu, aku pasti akan menuntut janji janjinya. Tapi kini, tidak lagi. Iman manusia itu naik turun. Kadang teguh, kadang lemah.

“Ya Allah yang membolak balikkan hati kami, tetapkanlah kami pada jalanMu”.

Doa yang perlu dibaca setiap hari. Namun kadang aku terlupa.

Memimpin itu bukanlah tugas suami semata mata dan aku sebagai isteri, tidak sewajarnya meletakkan pergantungan pada suami sebulatnya, hatta untuk berubah sekalipun, meskipun aku bukanlah dari keluarga yang mengamalkan ajaran agama secara teguh.

Setiap hari hatiku meronta untuk berubah, tapi aku tak punya kekuatan. Aku sudah lupa bila waktu terakhir aku menunaikan solat. Puncanya? Entah. Pun sudah ku lupa. Dan setelah lamanya tidak solat, aku menjadi terbiasa dengan keadaan itu. Termasuk juga suamiku.

Kadang, aku akan solat ketika suamiku tiada di rumah dan aku berasa amat malu ketika suamiku pulang dan waktu itu aku sedang solat. Berubah menjadi baik pun malu? Ya, bagi yang merasa, fahamlah situasinya. Aku ingin sorok sorok berbuat kebaikan dan mengumpul kekuatan dalam diam. Kemudian, akanku ajak suami untuk sama sama berubah.

Pernah satu hari itu, setelah insiden ‘kantoi’ solat dengan suamiku. Tiba tiba dia bersuara, ” Dah lama kita tak berjemaah kan? Jom?”. Hatiku berbunga bunga tika itu. Tuhan saja yang tahu syukurnya aku dalam hati. Walaupun cuma satu waktu itu kami solat berjemaah setelah sekian lamanya, aku bersyukur. Itu menunjukkan dia juga merasa apa yang aku rasa.

Ingin berubah.

“Solat ni, jangan tinggal. Kalau tinggal susah nak mula balik”.

Teringat pesan arwah ayahku. Ya, kini aku merasai kebenaran kata katanya. Perit ayah. Peritnya nak mula balik.

Anehnya, apabila berkunjung ke rumah saudara mara, senang pula untuk aku dan suamiku, Syukri untuk solat. Seakan kembali menjadi kami di awal perkahwinan.

‘Pilihlah teman yang baik. Bergaullah dengan teman yang baik. Wanginya kamu dapat, busuk dapat kamu hindarkan’

Dan aku mengakui kebenarannya. Bergaul dengan orang baik baik, secara tidak langsung kita akan berubah menjadi baik.

Aku tidak pasti sama ada aku sedang berlaku hipokrit atau bagaimana. Namun, jauh di dasar hatiku, aku ingin berubah, kembali menjadi aku yang dahulu. Aku berdoa, dan Allah hadirkan tetamu di rumahku. Pastinya aku akan berasa segan sekiranya tidak solat. Lalu solatku kerana apa? Tuhan saja yang tahu.

Aku letakkan kembali Akhtar di pembaringannya dan cuba menidurkannya. Suamiku di sisi, ku pandang sayu. Ya Allah, permudahkanlah kami untuk beribadah padaMu, doaku dalam hati.

Luaranku, mungkin tampak sempurna. Aku memakai tudung labuh, stokin tangan, stokin di kaki setiap kali keluar rumah. Syukri melarang keras aku berpakaian mengikut bentuk tubuh dan kerap menegur jika ada yang tidak kena dengan pemakaianku. Dari situ aku tidak punya masalah, kerana aku telah terbiasa dan berasa selesa dengan pemakaian sebegitu.

Kerap aku berasa bersalah pabila keluar berjalan dan tika itu sudah masuk waktu solat. Surau dan masjid hanya menjadi pandangan biasa dan tidak menjadi tempat persinggahan. Ya Allah, apa sudah jadi padaku. Seakan tersekat untukku berbicara, “Abang, jom singgah solat”. Jika aku menyuarakannya, aku tidak rasa Syukri akan menolak permintaanku. Hatinya bukanlah sekeras mana. Lemahnya aku.

” Jika hati berasa bersalah pabila melakukan dosa, itu tanda masih punya iman”.

Mungkin ya aku masih punya iman. Namun imanku sedang diuji.

Aku kembali teringat akan satu situasi di awal perkahwinanku. Tika itu aku berada di surau dan masuk seorang wanita ber-mini skirt ke dalam surau untuk menunaikan solat. Luarannya begitu, namun dia tetap melaksanakn perintah Allah yang satu ini. Mungkin dia sedang berusaha untuk berubah, barangkali, melalui solatnya. Jika didedahkan pada masyarakat kini, pasti kuat wanita itu akan dihentam.

“Solat. Tapi tidak menutup aurat?”.

“Wanita yang baik pasti akan menutup aurat”.

Tapi hakikatnya, Allah sahaja yang tahu. Wanita itu diuji begitu, dan kini, aku diuji begini. Setiap manusia lain ujiannya, Syifa.

” Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan”.

“Ujian itu untuk memperteguhkan iman”.

” Di sebalik kesusahan, kepahitan, terdapat hikmah yang tersembunyi”.

Kerap juga aku memujuk hati agar tidak berputus asa. Harus kerap mencuba. Terus dan terus. Dan aku berharap aku takkan pernah patah semangat untuk berubah.

Bagaimana aku akan menjadi ibu yang baik untuk Akhtar jika aku tidak taat pada perintahNya? Bagaimana Akhtar akan membesar menjadi anak yang soleh jika aku tidak menunjukkan teladan yang baik?

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Sedari kecil, Akhtar perlu dibentuk, dididik sebaik mungkin, sehabis baik untuk dia membesar menjadi hamba Allah yang taat.

Akhtar.

Anugerah Allah yang indah. Mungkin kamu jugalah hadiah dari Allah untuk melahirkan rasa kasih ibu pada Allah. Melihat anak membesar depan mata buatku rasa kagum. Dari bayi, kecil, tidak bermaya, Akhtar perlahan lahan mula senyum, mula respon padaku, mengiring dan meniarap. Allah. Dan tidaklah mampu untuk aku meluahkan rasa kagum pada ciptaanNya yang indah ini. Tuhan, ku mohon agar Akhtar berada dalam lindunganMu selalu.

Akhtar kembali lena. Aku mencapai telefon bimbitku. Sudah masuk waktu dhuha. Ku panjatkan doa agar Allah berikanku kekuatan, berikan suamiku kekuatan agar kami sama sama dapat berubah.

Aku sayang suamiku, sayang anakku, sayang keluarga kecil kami ini.

—————————————————

*Bukanlah cerita rekaan. Ini adalah realiti dan ku nukilkan melalui penulisan. Namun tidaklah pula aku menggunakan nama sebenar watak watak dalam penulisan.

Moga Allah beri kekuatan pada kita semua untuk menjadi hamba Allah yang taat*

– Syifa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit