Aku Alami Depresi?

Assalamualaikum para pembaca IIUM.
Moga semuanya berada di bawah lindungan Allah.

Aku menulis ini kerana aku terbaca tentang sebuah kisah di mana seorang lelaki telah menggantung dirinya kerana mengalami depresi. Tekanan jiwa. Walaupun beliau solat, mengaji dan mengadu pada Allah tentang segala permasalahannya.

Aku juga begitu. Sewaktu aku menulis ini, 2 malam sebelum, aku telah menghantukkan kepala di tembok kerana aku rasa itu cara yang paling mudah untuk aku tamatkan riwayat aku sendiri. Mungkin ada pembaca yang akan ketawakan aku. Sebab aku takut sakit untuk mengelar diri aku. Dan aku takut tempat tinggi untuk aku terjun. Tapi kesakitan hati aku pun tidak kurang dari tu. Aku selalu menghantukkan kepala di tembok pun jika aku sakit kepala. Sebab tu lah, aku rasa cara itu yang paling sesuai.

Waktu aku lakukan perbuatan tersebut, aku baru habis solat isya’, dan dalam keadaan bertelekung. Seluruh tubuh aku menggigil teruk. Tapi bila aku kenangkan apa yang berlaku, kepala aku bagai menghayun dengan mudah. Semua salah aku. Sebab aku manusia tak berguna.

Kenapa aku berhenti? Suami aku terdengar bunyi hantukan dan jenguk apa aku tengah buat. Cepat-cepat dia tarik aku dan beristighfar. Aku cuma mampu nangis dengan berkata yang aku nak mati. Aku nak mati. Aku sangka dia dah tidur. Dan aku sembunyi di balik langsir, hantukkan kepala di tembok tingkap. Waktu hantukkan kepala pun, aku rasa macam nak terjun tingkap saja. Biar cepat aku mati. Tapi anehnya, aku pun nak seksa diri aku. Sebab aku rasa aku perlu diseksa atas kekurangan aku.

Aku memang seorang yang berjiwa emosi. Tersangat emosi. Aku biasa bersendiri sehingga aku jumpa suami aku yang bagaikan soulmate.

Aku ada dua anak lelaki. Dan aku tinggal dengan keluarga aku atas sebab kesihatan sendiri dan semua ahli keluarga takut jika sakit aku datang tiba-tiba dan anak-anak aku yang baru berusia 2 dan 1 tahun itu dalam keadaan bahaya kerana mereka masih kecil. Sakit aku merupakan sawan.

Bila aku bertambah sihat, emak pula yang sakit. Dan waktu tu aku masih belum bekerja sepenuh masa. Jadi aku tolong tengokkan mak.

Tekanan jiwa aku bermula lama. Waktu aku masih 19 tahun. Hati aku terluka dek masalah peribadi. Aku selalu tutup lampu dan bergelap. Duduk di korner bilik dan mengunci pintu. Terlebih lagi waktu period. Aku akan nangis sampai tertidur atas lantai yang sejuk.

Aku pernah hentak berus baju yang tajam kat lengan aku. Kerana hati aku sakit sangat dan ya. Sakitnya tak boleh dibanding dengan sakit hati aku yang terluka.

Bila aku kahwin dan bersalin anak sulung aku, ahli keluarga aku akan main dengan anak aku dan akan pulangkan ke bilik menginjak tengah malam. Maklumlah. Cucu sulung. Aku cuba faham sebab anak aku cucu pertama. Anak aku putus susu pada minggu kedua dia dilahirkan. Sebab aku tak cukup susu. Aku tak tau dan tak ada ilmu tentang breastfeeding. Apa yang orang sekeliling aku cakap, memang ada orang yang tak cukup susu. Jadi aku pun turutkan. Aku tak rasa dorang salah sebab memang ada.

Pada bulan ke-3 anak aku lahir ke dunia, aku pernah cuba juga susukan anak aku lagi sebab aku masih berharap. Satu hari, ada tetamu datang nak ziarah aku dan baby. Tapi anak aku masih lagi menyusu jadi aku masuk bilik. Agak lama, ada seorang ahli keluarga aku masuk dan suruh aku keluar. Mintak aku bagi je botol. Muka ahli keluarga aku tu sangat tak berpuas hati. Yelah. Kena muliakan tetamu. Aku terganggu.

Anak aku membesar dalam keadaan tak rapat dengan aku. Aku tak dicari. Yang dicari kadang-kala suami aku. Tu pun kadang kala je. Selalu dia cari, mesti lah yang lain. Faham-faham lah.

Aku sangat tertekan. Aku rasa tak cukup sebagai seorang ibu. Aku rasa aku tak ada pun tak apa. Anak aku tak kisah. Aku tertekan sebab keluarga aku bukan senang dari segi kewangan tapi sebab kesihatan, aku sekeluarga terpaksa menumpang. Dan aku tak kerja dan tak membantu pun mak bapak aku. Aku rasa sangat kurang sebagai seorang anak. Suami aku tak sambung degree sebab kerja untuk kahwin dengan aku. Aku sangat kekurangan sebab tak membantu suami.

Sekarang aku dah kerja sepenuh masa. Aku rasa tak berguna sebab kurang masa dengan anak-anak. Aku tak didik mereka sendiri. Aku tak kreatif macam kawan-kawan aku yang buat banyak benda untuk anak-anak mereka.

Anak aku sakit, seseorang cakap sebab aku tak bagi dia makan ubat betul-betul. Aku tak salahkan orang tu. Waktu anak aku sakit dulu, aku tak habiskan anti-biotic. Sebab aku lupa. Aku pelupa teruk. Aku tengah berbual pun dalam sesaat aku boleh lupa apa kita sedang bualkan. Aku lupa semua benda. Nasib tak lupa lagi orang-orang sekeliling aku. Alhamdulillah. Kalau cakap tentang pelupa aku, satu confession ni takkan habis.

Aku lupa beri anti-biotic ikut masa sebab aku nampak anak aku dah sihat. Aku kesukaan melayan dia sampaikan aku lupa anti-bioticnya perlu dihabiskan. Jujur. Aku tak tipu yang aku lupa.

Aku nangis bagai nak rak beritahu pada suami. Salah aku ke anak aku sakit lagi?? Dan suami cakap, kadang kala orang marah sebab kita ada salah.

Kebelakangan ini pun, aku rasa jauh dari suami. Sebab dia ada masalah yang tak boleh aku ungkapkan kat sini.

Anak-anak aku masih macam tu. Tak cari aku. Kadang ok kadang tidak. Aku rasa sangat tak berguna. Sangat tak berharga. Dan kalau aku tak ada, aku rasa takkan apa-apa. Bagai melukut di tepi gantang. Ada tak memenuhi. Tak ada tak memberi kekosongan.

Aku baca dan berfikir mungkin aku mengalami depresi. Aku selalu nak mati. Tapi aku tak berani. Aku masih fikir aku ada iman. Sampai lah 2 malam sebelumnya, aku tak tahan. Aku nak mati jugak.

Kadang aku pukul kaki anak aku yang sulung, aku tak dapat kawal marah. Aku sengaja biar dia menangis. Sebab aku marah dia tak cari aku dan dia taknak dengar cakap aku. Untuk pengetahuan semua, aku bekerja keras untuk ambil hati dia. Aku peluk dia aku cium dia. Aku cakap aku sayang dia. Bila otak aku okay, aku waras, aku boleh je cakap dengan dia elok-elok. Tapi bila emosi aku tak stabil, aku boleh marah dan pukul dia. Tak. Tak sampai tahap dera. Kadang dalam fikiran nak buat sebab marah sangat. Tapi hati aku tak benarkan. Lepas aku pukul dan dia tersedu-sedu, aku peluk. Aku rasa bersalah. Aku rasa aku gila.

Sebab tu, aku nak mati. Lebih baik aku yang sakit. Dari aku sakitkan anak aku. Aku sayang anak-anak aku. Aku sayang suami aku. Tapi, aku dah tak tahan. Aku taknak tempuh lagi kesakitan ni.

Terima kasih kerana membaca. Doakan suami dan anak-anak aku bahagia ke syurga. Aku sayang mereka. Aku jujur sayang sangat.

– Anak, Ibu dan Isteri

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit