Aku dan Hutang Bekas Suami

Namaku Red Rose. Coretan ini sebenarnya adalah coretan kedua saya di dalam ruangan ini.

Tak pasti kenapa tapi mencoret di sini lebih mudah dari bercerita tentang masalah saya kepada orang lain secara bersemuka. Taipan saya di sini lebih laju daripada saya berbicara dengan orang lain tentang masaalah saya.

Sebelum luahan saya ceritakan, saya ingin meminta jasa baik pembaca semua untuk tidak menghakimi saya dengan pelbagai andaian.

Saya tahu… Mungkin ada di kalangan pembaca yang akan mengatakan saya begitu bodoh dengan hanya melihat tajuk coretan saya ini.

Cukuplah saya dikatakan sedemikian oleh ahli keluarga bekas suami saya setiap kali saya adukan masalah saya kepada mereka.

Saya akui memang sekarang ini saya menanggung hutang bekas suami saya. Bukan sedikit tetapi terlalu banyak dan melebihi ratusan ribu.

Memang setiap bulan saya terpaksa membayar sejumlah wang yang pada dasarnya saya boleh gunakan untuk kelangsungan hidup saya dan anak.

Kenapa saya sanggup menjadi kambing hitam kepada bekas suami? Ketika itu alasan yang diberikan ialah untuk memulakan perniagaan (typical reason kalau suami nak minta isteri buat loan).

Demi membantu suami untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Namun begitu, perniagaan beliau tidak pernah berkekalan. Bila untung sikit, mula lupa diri. Kahwin lain, kerja ikut sempat, tak pernah serious dengan kerja.

Sedih? Kadang – kadang saya rasa saya terlalu penat untuk menangis. Setiap bulan ada sahaja perkara yang terpaksa dicatu untuk menampung keperluan hidup seharian.

Anak semakin membesar, perbelanjaan semakin tinggi, apatah lagi sekarang ini anak saya belajar di sekolah asrama. Perbelanjaan beliau di sana perlu saya utamakan.

Saya seperti wanita lain. Hendak membeli emas, hendak ke spa, hendak bercuti ke sana ke mari. Hendak beli barang – barang lain yang saya hendak.

Hendak menunaikan umrah (setiap kali ibu saya utarakan tentang menunaikan umrah saya hanya mampu mendiamkan diri). Tapi saya perlu utamakan apa yang penting. Pada masa sekarang saya mementingkan pendidikan anak saya.

Saya pernah mendapat tawaran ke universiti menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Tetapi saya terpaksa tolak kerana saya tidak berkemampuan. Ketika itu juga saya sedang sibuk dengan kerja sambilan saya sebagai guru tiusyen di pusat tiusyen.

Tambahan pula, sebagai ibu tunggal saya perlu memberikan perhatian yang lebih kepada anak saya. Anak saya datang dari broken family. Saya tidak mahu anak saya terganggu dengan masalah keluarga yang kami hadapi.

Kekangan ini menyebabkan saya terpaksa melupakan impian saya sejak kecil untuk sambung belajar di peringkat paling tinggi. Tapi saya redha.

Mungkin saya tidak dapat tapi Inshaa Allah anak saya akan dapat menyambung pelajarannya sehingga PHD. Doakan semoga impian anak saya akan berjaya.

Kalau hendak diikutkan kepada jawatan dan tangga gaji saya sekarang, sebenarnya sangat – sangat mencukupi.

Sekiranya saya tidak perlu membayar hutang bekas suami, saya boleh dapatkan rumah ke dua atau pun membeli rumah yang lebih besar dari sekarang.

Bukan saya tidak bersyukur. Dengan masalah hutang bekas suami yang saya hadapi sekarang, saya ada sebuah rumah dan sebuah kereta untuk kegunaan seharian. Walaupun kecil, tapi rumah itu sangat selesa.

Cuma kadang – kadang saya selalu terfikir. Betapa kadang – kadang saya penat berkerja seharian tetapi saya tak dapat nak menikmati apa yang saya kerjakan. Tambahan pula saya berkerja di bahagian pentadbiran.

Kadang – kadang ada program perlu dijalankan tetapi budget tidak mencukupi. Saya gunakan duit sendiri untuk menampung perbelanjaan program tersebut. Tak mengapalah. Janji anak – anak buah dapat buat program tersebut.

Mungkin ada yang akan bertanya kenapa tidak minta? Kalau nafkah anak pun culas hendak dibayar, apatah lagi hutang bekas suami kepada saya.

Sampai satu tahap saya penat nak menjadi peminta sedekah untuk mendapatkan hutang saya balik.

Saya pernah beritahu bekas suami kalau dia tak beri nafkah anak tak mengapa, tapi bayarlah hutang saya. Namun begitu, permintaan saya dipandang sepi.

Beliau sanggup tak jumpa anak untuk elak bayar nafkah anak. Masuk hari ini, sudah setahun anak tak jumpa bekas suami. Telefon pun jarang, apatah lagi hendak berjumpa.

Saya memang tidak menuntut apa- apa semasa di mahkamah kerana saya tahu saya tidak akan dapat. Bekas suami memang ketika saya menuntut fasakh tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.

Ketika kami masih suami isteri pun beliau tidak ada kerja tetap dan sering meminjam wang saya. Kerana itu saya ambil keputusan saya tidak akan tuntut apa – apa. Apatah lagi saya memikirkan perasaan anak saya.

Saya sudah bersendiri selama 10 tahun. Tipulah kalau saya katakan saya tidak ada keinginan untuk berkeluarga semula.

Ada ramai juga yang mencuba nasib tetapi saya tolak dengan baik. Bukan kerana saya tidak mahu tapi kerana saya takut. Tidak semua orang hendak hidup susah.

Tidak semua orang sanggup menanggung beban saya ini. Saya juga tidak mahu dikatakan ambil kesempatan ke atas orang lain. Alangan rakan baik saya pun menjauhkan diri, inikan lagi orang yang hendak hidup bersama kita.

Mungkin mereka fikir saya hendak meminjam wang mereka, kerana itu mereka menjauhkan diri. Jujur saya katakan.. sehingga hari ini saya memang belum pernah pinjam duit kawan – kawan apatah lagi adik beradik saya.

Biarlah saya susah dengan anak, namun saya tak mahu susahkan orang lain dengan meminjam wang mereka. Bimbang saya tidak mampu nak membayarnya.

Sehingga kini, saya masih lagi membayar hutang bekas suami dan perjalanan hutang itu masih jauh. Setiap hari saya memikirkan bagaimana saya hendak meminta bekas suami saya membayar hutang tersebut.

Tahun hadapan jika anak ada rezeki ke IPT, saya perlu memikirkan perbelanjaan beliau di sana juga.

Nasihat saya kepada wanita – wanita di luar sana. Sebelum memilih suami, pastikan selidik dahulu pekerjaannya. Adakah beliau benar – benar serious dengan pekerjaannya atau buat kerja bila kaya sikit terus duduk rehat – rehat seolah – olah duit tersebut akan beranak pinak dengan sendirinya.

Selidik latar belakang beliau dengan saudara mara yang lain. Mungkin beliau memang suka berhutang sejak dari muda dengan orang sekeliling.

Doakan saya untuk terus kuat. Semoga anak saya memperoleh kejayaan di masa akan datang. Ada kerja bagus dan dapat menikmati hidup lebih selesa di masa akan datang.

Semoga bekas suami digerakkan hatinya hendak membayar hutang saya walaupun 85% hati saya kata beliau tidak akan berbuat demikian.

– RED ROSE (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit