Aku Per3mpuan Limited?

Aku Nisa, seorang isteri kepada suami aku, aku namakan suami aku sebagai Umar. Aku juga seorang ibu kepada sepasang anak yang sangat comel. Yang kakak dah berusia 9 tahun. Si adik baru nak masuk tadika tahun ni.

Kalau dihitung, usia perkahwinan kami dah masuk 10 tahun. Alhamdulillah.

Baru baru ni aku terjumpa satu video, di mana jika anda terjumpa ciri ciri begitu dan begini pada seorang perempuan ni, percayalah dia seorang perempuan yang limited.

Antara ciri ciri yang di sebut di dalam video tu yang aku ingat. Menerima seorang lelaki untuk dijadikan suami dan lelaki tu hanya ada motosikal. Tiada kereta. Tinggal di rumah sewa dan tidak mempunyai rumah. Satu lagi bukan kerja kerajaan.

Aku tersenyum panjang sewaktu menyelesuri video tersebut.

Aku ni perempuan limited ke?

Tebak aku sambil senyum sendiri.

Teringat kisah aku sewaktu aku mula mula berjumpa dengan suami aku, Umar. Aku lepasan Universiti. Masa tu aku kerja swasta.

Gaji aku boleh dikatakan 3 kali ganda dari Umar, dan aku sudah beli kereta sendiri, cuma aku masih tinggal di rumah sewa. Sebuah apartment di KL.

Umar hanya ada motosikal honda kap. Bekerja sebagai juruteknik, dan lepasan diploma.

Nak dijadikan jodoh, kami dikenalkan oleh orang tengah. Member dia, kawan kepada member aku. Sejurus tahu masing masing sedang mencari pasangan, mereka mula kenalkan Umar pada aku.

Bukannya tak ada yang offer calon suami pada aku sebelum ni. Ada juga la sorang dua. Tapi mungkin bukan jodoh aku.

Sejujurnya aku tak pernah ada pakwe. Dari zaman sekolah, zaman belajar kat U, sampai lah aku kerja. Tak ada pakwe, tak pernah keluar dating berdua.

Entah lah, tengok orang ada pakwe, teringin juga. Tapi aku nekad menjaga prinsip diri. Jaga ikhtilat. Kalau boleh nak bercinta lepas nikah. Macam tu lah niatnya.

Aku banyak bermesej waktu nak kenal kenal dengan Umar. Ada juga waktu kami keluar bersama, tapi Umar akan pastikan kawan kawan dia atau kawan kawan aku akan ikut sekali.

Alhamdulillah kiranya dia juga orang yang menjaga bab ikhtilat ni.

Tak sampai sebulan kami kenal, dia ajak mak dan ayah dia datang rumah aku. Untuk kenal kenal family aku, Umar kata.

Masa diaorang datang rumah aku tu, tak ada sebut langsung pasal hal kahwin. Aku pun masa tu pelik juga. Betul ke Umar nak kahwin dengan aku ni.

Tapi lepas diaorang dah balik, baru lah Umar tanya aku. Betul ke aku nak kahwin dengan dia, sebab dia tak ada apa apa harta. Kerja pun biasa biasa. Nak bagi hantaran pun mungkin tak banyak mana.

Dia tengok family aku, family orang ada ada. Takkan nak terima dia yang tak ada apa. Dia suruh aku fikir dalam dalam.

Tapi sebelum dia utarakan soal tu, aku dah fikir dalam dalam, aku dah istikharah. Aku dah tanya pendapat mama papa aku. Kalau tak, takkan aku teruskan berkawan dengan dia kan.

Ada dua ciri dia yang buatkan aku terima dia, walaupun aku tak berapa kenal dia, walaupun kami tak pernah bercinta. Walaupun dia hanya pakai motosikal dan kerja biasa biasa.

Dia istiqomah solat jemaah di surau/masjid.

Dia tak merokok.

Aku terima dia dengan lapang dada. Aku yakin dia orang baik. Selebihnya, aku cuma boleh bertawakkal dan berserah kepada Allah, mudah mudahan, Umar memang orang baik. Dapat jadi suami yang baik untuk dunia dan akhirat aku.

Aku sampaikan terus pada dia malam tu. Yang mama papa terima dia seadanya. Rupanya mak ayah dia juga terima aku seadanya.

Alhamdulillah.

Mama papa aku jenis tak letak berapa hantaran untuk anak perempuan depa. Berapa pihak lelaki bagi, Alhamdulillah, mama papa aku terima.

Waktu kakak aku kahwin pun macam tu. Mama papa seboleh mungkin akan cuba permudahkan urusan pihak lelaki.

Majlis tunang pun mama papa aku suggest tak payah buat untuk anak anak perempuan depa. Katanya kesian kat pihak lelaki nak kena datang banyak kali, kena bawa tanda lagi. Banyak nak kena pakai duit.

Aku dan kakak kakak aku langsung tak ada majlis tunang. Sumpah!

Kiranya kali kedua Umar dan keluarga dia datang rumah aku, adalah hari kami diijabkabul. Kira-kira 4 bulan lepas kami kenal.

Dia kata dia mampu bagi aku cuma tiga ribu. Aku terima dengan ikhlas sekadar yang dia mampu. Mama papa aku pun sama. Alhamdulillah, Allah permudah urusan kahwin kami.

Bila direnung ke belakang yakni 10 tahun yang lalu, itu permulaan kisah kami. Alhamdulillah,

Nak tanya, gitu ke perempuan limited ? Hahaha.

Ditakdirkan selepas setahun kami berkahwin, tempat kerja aku ada masalah dan aku salah seorang staff yang terpaksa diberhentikan.

Memandangkan waktu tu kami bakal menimang cahaya mata, Umar suruh aku duduk rumah terus. Tak payah susah susah cari kerja.

Sampai la sekarang dah 9 tahun aku jadi surirumah. Aku dapat lihat kegigihan Umar dalam membangunkan keluarga kecil kami.

Hidup kami tak mewah, tapi alhamdulillah cukup serba serbi. Umar masih dengan motosikal honda kap dia. Kadang dia guna juga kereta aku. Kereta aku, kereta dia jugak kan?

Kami masih menyewa kerana dia masih belum mampu untuk beli rumah sendiri.

Kadang hujung minggu dia buat kerja sendiri. Freelance. Dia kata kat aku, biar dia sorang je yang kerja. Aku duduk rumah setelkan kerja kerja di rumah. Jaga makan pakai anak anak dan dia.

Alhamdulillah. Aku tak kisah. Sebenarnya aku lagi suka duduk di rumah.

Sejujurnya aku tak tahu sampai bila jodoh aku dengan Umar. Sampai bila Allah nak bagi pinjam Umar dekat aku. Aku harap biarlah sampai ke syurga sana kami masih berjodoh.

Aku sangat bersyukur, sebab aku buat keputusan untuk terima Umar suatu masa dulu walaupun ikutkan harta pangkat, dia serba kurang.

Pernah juga kawan aku hasut, aku boleh dapat suami yang lagi kaya dari Umar. Tapi aku cakap kat kawan aku, orang orang tu semua tak nak kat aku. Umar je nak kat aku. Hahaha.

Tapi aku yakin, pasangan yang Allah dah takdirkan untuk kita dalam hidup ni adalah yang terbaik untuk kita.

Umar selalu cakap, aku lain dari perempuan lain. Garu kening juga aku bila dia kata lagu tu. Bila aku tanya, lain macam mana. Dia sengih je.

Maybe aku ni perempuan limited kot.

Hahaha perasan!

– Nisa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *