Aku Sayang Kau Sahabat

Aku Sayang Kau Sahabat

Assalamualaikum. Ini pertama kali aku tulis confession di sini, aku harap sangat admin akan approve.

Aku mempunyai seorang sahabat yang aku kenali beberapa tahun yang lalu. Nama sahabat aku itu, Lia. Kami berkenalan semasa mendaftar di salah sebuah IPT, tetapi perkenalan kami sangatlah singkat kerana Lia mendapat tawaran yang lebih baik.

Walaupun kami telah berjauhan, kami tetap berhubung antara satu sama lain untuk bertanya khabar. Sampailah kami menghabiskan pelajaran, kami mula bekerja dalam bidang masing-masing.

Aku dan Lia sudah jarang berhubung disebabkan kekangan waktu bekerja. Aku seorang yang suka travel, tapi dalam malaysia je la, tak mampu lagi untuk ke oversea.

Suatu hari, kawan-kawan aku mengajak aku untuk bercuti ke satu tempat dan tempat itu sangatlah dekat dengan tempat tinggal Lia. Aku sangatlah teruja, aku menghubungi Lia dan mengatakan hasrat untuk berjumpa dengannya walau seketika.

Aku dan Lia sudah lebih 10 tahun kami tidak bertemu, kerana itu aku sangat teruja untuk bertemu dengannya semula. Sampailah saat yang dinanti-nantikan.

Pada mulanya, aku sangat risau untuk bertemu Lia, kerana telah lama kami tidak bertemu dan aku merasa sangatlah janggal memikirkan apa yang kami akan bualkan. Tetapi tidak Lia, dia seperti dirinya yang dahulu.

Dia sangatlah peramah, bermacam-macam cerita dia kongsikan kepada aku dan bermacam-macm soalan dia ajukan kepada aku.

Paling aku rasa terharu, Lia tidak pernah lupa akan segalanya tentang diri aku walaupun perkenalan kami hanyalah seketika dan kami sudah lama tidak bertemu. Tetapi tidak aku, aku hanya ingat akan nama penuh Lia sahaja, selain dari itu, aku langsung tak ingat apa-apa tentang dirinya.

Aku adalah seseorang yang tidak suka bercerita tentang rahsia atau masalah diri aku kepada sesiapa termasuk family aku sendiri.

Selepas pertemuan kali pertama itu, hubungan kami menjadi semakin rapat. Segala masalah dan segala rahsia, kami kongsikan bersama. Aku tak tahu kenapa, aku sangat selesa untuk bercerita segala tentang diri aku kepadanya.

Aku dan Lia, banyak persamaan dari segi minat dan perangai kami, namun kami sering bercanggah pendapat. Gaduh, memang selalu. Hubungan mana yang tiada pasang surutnya, sedangkan hubungan adik beradik, suami isteri pun akan bergaduh, inikan pula kami yang hanya bersahabat.

Tapi, jika kami bergaduh salah seorang akan mengalah dan memohon maaf. Lia selalu menasihati, mengingatkan, serta menegur aku tentang solat, aurat dan dia lah yang banyak membantu aku untuk berubah menjadi Hamba Allah yang lebih baik.

Setelah lama tidak berjumpa, aku mengajak Lia untuk pergi bercuti bersama. Pada mulanya, Lia menolak. Kerana jadual kerjanya yang sangatlah padat. Tetapi, akhirnya Lia bersetuju untuk bercuti dengan aku.

Kata orang, walau rapat manapun kita dengan seseorang, kita tidak akan tahu segala tentang dirinya selagi kita tidak menghabiskan masa seharian dengannya.

Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Percutian yang aku harapkan dapat mengeratkan lagi ikatan persahabatan kami, akhirnya berubah menjadi sebaliknya. Disebabkan satu teguran aku terhadap Lia, Lia mula menjauhkan diri dari aku.

Mungkin cara aku salah ketika menegurnya dan aku tak sangka Lia akan terasa dengan teguran aku itu. Berkali-kali aku cuba memohon maaf kepada Lia, tapi dia tidak mengendahkan kata maaf dari aku dan sehingga ke saat ini Lia semakin jauh dari aku. Segala mesej yang aku kirimkan, Lia membaca tanpa membalas.

Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita, sama ada ingin merubah hidup kita atau kita yang perlu mengubah hidup seseorang. Apabila aku niat untuk berubah menjadi lebih baik, waktu itulah Allah telah hadirkan Lia dalam hidup aku, untuk menegur aku, untuk membantu aku berubah.

Tetapi kini, aku telah kehilangan sahabat yang selalu nasihat dan tegur aku, aku hilang sahabat yang ada dengan aku saat aku jatuh.

Kalaulah aku tahu begini pengakhirannya, tak akan pernah aku ajak Lia bercuti bersama-sama. Lia betul-betul telah membuang aku dari hidupnya. Persahabatan yang aku harapkan sampai ke Syurga, berakhir dalam sekelip mata. Benarlah kata orang, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang.

Maafkan aku Lia, aku tak tahu apa lagi perlu aku lakukan untuk kau maafkan aku. Aku ingin kita bersahabat seperti dulu. Aku rindu kau dan aku sayang kau sangat-sangat sahabat. Sakitnya hilang sahabat itu, lebih menyakitkan dari putusnya sebuah percintaan.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit