Akulah Perempuan, Akulah Lelaki II

Untuk part I, (https://iiumc.com/akulah-perempuan-akulah-lelaki/).

Aku Siti Soleha (bukan nama sebenar) ingin menyambung luahan yang lalu di mana aku meninggalkan banyak persoalan kepada pembaca berkenaan latar belakang keluargaku dan aku terpanggil untuk menjawab komen-komen yang bertanya bagaimana cara aku dan adik-beradik aku dibesarkan?

Adakah perlakuan dua orang abang kandung aku itu mengikuti sikap bapaku yang sudah meninggal setahun yang lalu? Bapa borek anak rintik?

Aku tahu ramai yang akan menyalahkan cara didikan ibu dan bapa yang tidak melentur buluh dari kecil malah di sekolah juga dulu aku ditekankan bahawa tingkah laku anak-anak tercorak dari hasil didikan mereka serta banyak lagi pengaruh dari persekitaran yang lain. Aku sedar semua itu dan aku sangat-sangat jelas berkenaannya.

Di sini, ingin sekali aku mahu isu berkaitan tingkah laku anak-anak dikaji semula oleh mereka yang ahli dari semua bidang. Hal ini disebabkan, isu bapa borek anak rintik tidak berlaku dalam keluarga aku.

Arwah bapa aku ialah seorang yang sangat penyabar, berbudi bahasa, tenang dan dikagumi oleh masyarakat setempat walaupun dulu arwah hanyalah seorang pekerja kilang sebelum kemudiannya terpaksa berhenti apabila disahkan sebagai pesakit kronik.

Beliau juga sering dipanggil menjadi imam dan setiap malam akan mengajarkan anak-anak jiran membaca al-Quran.

Sewaktu kematiannya pada hari khamis, September 2020, ramai anak-anak yang menangisi pemergiannya termasuk aku dan adik-beradik yang lain. InsyaAllah, tempat beliau akan bersama dalam kalangan orang-orang soleh. Amin.

Mengenai latar adik-beradikku pula, aku memiliki seorang kakak sulung (30-an) yang masih belum berkahwin, kakak kedua (30-an) yang sudahpun bahagia berumah tangga, anak ketiga ialah abang aku (27), Ali (bukan nama sebenar) juga sudah berumah tangga, abang keempat (26) Abu masih bujang dan aku ialah anak bongsu yang masih belajar.

Seperti anak-anak orang lain yang mendapatkan pendidikan dari kecil, begitulah juga penerapan ilmu, agama, adab dan adat orang melayu sudah ditanamkan sejak kecil lagi. Kami bukanlah dari keluarga yang senang sehingga mampu untuk berbangga dan bertingkah sombong tatkala memiliki kekayaan dan harta.

Malam-malam ibu bapaku hantar kedua-dua orang abangku mengaji al-Quran di rumah ustazah dan tak cukup dengan itu di rumah pun ibu bapa kami sentiasa peka dengan kelengkapan ilmu agama di dada. Apabila buat salah, kami tetap akan dihukum dengan selayaknya.

Aku sendiri pun pernah dipukul dengan penyangkut baju sehingga berbekas lebam di lengan tapi itu tidak menjadikan aku sebagai anak yang harus memberontak kerana aku sedar, memang tanggungjawab ibu bapa untuk menghukum seandainya anak mereka membuat salah.

Pendek cerita, mereka bukanlah tipikal ibu bapa zaman sekarang yang memanjakan anak dengan gajet atau sebagainya. Yang mana hidup zaman 90-an pasti merasai hal yang sama.

Abang aku kedua-duanya sejak kecil memang payah dibentuk. Masing-masing ada kepala angin. Tak macam anak-anak orang lain. Nak suruh solat bukan main liat, kemudian mengamuk bila orang mengganggu waktu tidurnya. Mengamuk bukan biasa-biasa tetapi macam dirasuk hantu setan.

Nak kejut pergi sekolah pun payah bukan main. Si Ali itu sakit asma, selalu semput. Duit pun banyak habis untuk ubatkan dia. Itu pun masih lagi berlagak sombong dan berdengki dengan adik beradik terutama sekali kami yang perempuan.

Kakak aku yang sulung pun terpaksa guna wang PTPTN nya untuk support kewangan keluarga yang tak seberapa.

Sedikit pun dia tidak pernah berterima kasih. Kakak aku juga pernah tegur sikapnya apabila orang tua kami dah tak tahu nak buat apa lagi.

Macam biasalah, si Ali mengamuk bagaikan dirasuk. Pembaris sesiku L dipukulnya di bahagian kaki kakak aku. Kalau diikutkan banyak lagilah peristiwa hitam yang lalu.

Mahu ditulis diruangan ini pun silap-silap boleh cetak satu buku. Dulu, dia juga selalu mengungkit apabila kakak aku yang baru sahaja tamat pelajarannya menganggur seketika di rumah. Dikatanya macam-macam. Belajar tinggi-tinggi tetapi tak mampu cari kerja bagus.

Dia yang hanya belajar setakat SPM dan ponteng hari-hari pun dapat kerja. Kemudian bila mahu pinjam pada dia bukan main lagi mengata kami ni hanya harapkan duit poket dia sahaja. Langsung tak nak usaha. Ya! Ya! Ya, wahai abangku yang kaya raya!

Itu baru dia dapat kerja kilang, sudah berlagak macam dia pula tauke kilang! Dia langsung tak ingat, siapa yang bergolak gadai belikan barang-barang ubat sewaktu dia menderita asma, tercungap-cungap bagaikan orang yang dah tak lama nak mati?

Siapa yang susah-payah menjaga dia saat dia masuk hospital gara-gara kemalangan, bersimen tangan dan kaki? Mak aku terpaksa mengambil wang simpanan yang dikumpul hasil jualan nasi lemak yang diletakkan di sekolah agama semata-mata untuk dia.

Kalau diceritakan pada dia semula, belum tentu dia akan ingat jasa pengorbanan keluarga membesarkan dia selama ini. Hati keras!

Itu kisah Ali sewaktu zaman kecil dan remajanya. Berlainan pula dengan si Abu. Kalau nak diikutkan, Abu agak kurang baran berbanding Ali tetapi sikap dia yang selfish memang menyakitkan hati. Dulu dia sebenarnya ialah bekas budak sekolah tahfiz. Ini pun jenis lembik.

Tak boleh hidup susah di asrama, lebih kurang sebulan saja dia bertahan kalau tak silap. Kemudian dia memberontak tidak mahu dihantarkan ke sekolah tersebut dan apabila dimarahi dan ditegur sikapnya itu, dia bertindak untuk melarikan diri dari rumah.

Seminggu hilang sehingga mak bapa kami runsing memikirkan masalah anaknya yang seorang ini. Mak aku sampai dah tak tentu arah bila keadaan jadi begini. Air muka kecewa dan bagaikan kosong saat kehilangan anak lelakinya si Abu itu. Saudara mara aku semua berkumpul.

Polis dihubungi, bomoh perubatan Islam turut tidak ketinggalan semata-mata untuk menjejaki si Abu yang mengada-ngada.

Bila keadaan jadi begini, Ali pula mulalah bersuara menyalahkan ibu bapa kononnya adiknya itu tidak diberikan kasih sayang yang cukup. Dalam hati aku, nak saja aku maki, “kepala otak kau, jantan aje mengada-ngada!”

Masih segar dalam ingatan aku ketika aku masih berumur 8 tahun, ibu bapaku solat di ruang tamu. Bila dipanggil solat diangguk-angguknya. Aku diam saja perhatikan sikap si Abu. Aku lihat dia bentangkan sejadah di dalam bilik. Kemudian kembali duduk di katil sambil tangan bermain telefon cap ayam yang butang-butang tu.

Kemudian dia pandang aku dan letakkan jari telunjuknya di bibir. Suruh aku diam kerana dia sedang ‘bersolat’ di dalam. Habis sahaja ibu bapa aku solat. Dia pun mengaku yang dia dah solat. Aku pun speechless jadinya. Huh, dasar anak jin! Kuat menipu dan disuruhnya aku jadi penipu seperti dia.

Dengan orang tua pun mereka jarang bertegur sapa, balik kampung pun tak nak, orang sambut hari raya, mereka masih lagi tidur tak bangun-bangun! Mati-mati aku ingatkan dah meninggal. Kalau ambil gambar raya, tak pernah anggota keluarga kami lengkap.

Mak aku selalu sahaja beri perhatian kepada mereka. Namun bila dijentik, dua kali ganda mereka balas pada mak aku sampai lembam pergelangan tangan mak aku dicengkamnya. Mereka selalu salahkan mak aku sebab mak aku agak garang orangnya.

Tapi bagi aku tak pelik pun, mak-mak memanglah kuat membebel, marah bila anak buat salah. It’s normal okay! Mungkin sedikit silapnya sebab mereka selalu dibela oleh nenek kami. Bila mak aku nak ajar anak lelaki mereka berdikari, tetapi nenek aku selalu bela. Mak aku sengaja tak nak berikan makan kepada mereka.

Tapi nenek aku yang penyayang sangat dengan cucunya itulah yang ambilkan nasi letak di depan pintu bilik. Mananya dua orang itu tak berlemak? Mak bapa nak mendidik anak, tetapi neneknya pula asyik tak sampai hati, kasihan… Makanya memang mereka lebih agungkan nenek berbanding mak kami sehingga ke hari ini.

Aku masih ingat, nenek aku sewaktu dia masih sihat bukan main gembira lagi bila cucunya Ali itu mahu mengajaknya tinggal bersama.

Ditaburnya janji-janji manis konon akan menjaga selama-lamanya.

Namun hampeh, bila nenek aku dah sakit uzur, nak datang dekat pun tak nak! Nenek aku buang air besar pun dah tak tahan bau. Haih, cucu mithalilah sangat! Kasihan nenek aku ditipunya hidup-hidup.

Kemudian, nenek aku adalah simpan sejumlah wang di dalam beg tangannya. Nenek minta mak untuk simpankan sebahagian duitnya itu memandangkan dia sudah uzur dan tidak berdaya lagi. Mak aku tinggalkan Rm 80 lebih kurang di dalam beg, manakala yang selebihnya mak aku tolong simpankan.

Beg tersebut diletakkan kembali di bawah katil. Nak dijadikan cerita, beg tersebut hilang! Cari punya cari rupa-rupanya ada dalam bilik si Abu. Beg tersebut dijumpai di dalam tempat simpanannya. Isinya? Hahahah! Kosong! Cuma tinggal gigi palsu nenek aku sahaja di dalam beg itu.

Haih, sekali lagi aku kasihan dengan nenek aku kerana cucu kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh ketika kecil itu akhirnya berlaku khianat. Aku tak hairanpun kalau duit tu boleh hilang tiba-tiba sedangkan tiada sesiapa yang menceroboh masuk ke dalam rumah.

Duit raya aku masa kecil dulu pun pernah hilang tiba-tiba, rantai emas walaupun hanya zulian, juga hilang. faham-faham jelah! Malas aku nak cakap siapa pelakunya.

Itu baru sedikit yang sempat aku tulis di sini. Tak larat aku nak kenangkan semula sikap dua orang abang kandung aku yang langsung perangainya tak ikut bapa atau mak aku. Aku pun tak tahu dia menurun dari siapa. Nak cakap arwah datuk aku? Dua-dua orang yang disegani.

Tak adalah dalam sejarah keluarga nenek-moyang aku yang kaki pukul, kaki penipu, baran, pendengki, macam mereka. Dulu-dulu masa aku belum remaja, aku agak berfikiran nakal. Mungkin ada jin yang berjaya tukar senyap-senyap anak mereka dengan anak-anak mak bapa aku.

Itu yang susah benar nak dibentuk sejak kecil. Tetapi tak juga, sebab muka mereka memang saling tak tumpah dengan muka mak bapa aku.

Cuma itu saja yang menurun. Yang lain, ilek!

Jadi, akhir kalam. Aku cuma nak tegaskan, ibu dan bapa aku sudah cukup memberikan didikan sejak kecil.

Kalau mereka pilih kasih, dah tentu-tentu dengan aku dan adik perempuan yang lain pun jadi liar juga. Tetapi tidak. Jika mereka kata mereka kurang kasih sayang, mata kepala aku sendiri jadi saksi bagaimana pengorbanan seluruh keluarga aku terhadap mereka.

Mungkin aku masih kecil waktu itu, tetapi aku tak bodoh untuk menilai. Dari segi psikologi, pendapat yang mengatakan anak mengikut perangai bapa, atau bapa borek anak rintik, memang langsung tersasar. Bapa aku dah berikan contoh yang terbaik. Mak aku juga begitu.

Tetapi kenapa mereka tidak mengikut jejak langkah bapaku yang solat tidak pernah tinggal, yang tidak baran dan tidak pernah meninggi suara pada kaum perempuan terutamanya. Mak aku pun bukan tipikal memanjakan anak lelaki ke anak perempuan ke.

Mak aku layan sama rata sebenarnya, tetapi gara-gara sikap mereka yang payah dilentur akhirnya menguji diri sebagai ibu bapa. Sudahlah mak aku terpaksa menanggung mentaliti masyarakat yang akan menyalahkan mak bapa jika anak gagal menjadi manusia.

Dah dinasihat cara penuh hikmah pun tak lut, cara menghukum pun tidak jalan, apalagi yang harus dilakukan?

Seandainya berbalik pada agama, cuma satu sahaja yang dapat aku simpulkan bahawa, mereka dilahirkan sebagai ujian buat kami sekeluarga dan nak tak nak ia tetap harus diterima. Itulah realitinya kehidupan.

Kepada yang mengatakan abang-abang aku penagih dadah, wallahualam. Aku tak tahu. Seandainya benar aku harap keluarga aku sentiasa dilindungi daripada kekejaman ahli keluarganya sendiri.

Jika ini terjadi pada kita, orang luar mencaci maki ibu bapa kita pun kita dah rasa sakit hati, inikan pula ahli keluarga sendiri yang menghina mak bapa yang membesarkannya. Aku sebagai anak bongsu kadang-kadang tidak tahan bila mak aku ditengking dan memang aku akan masuk campur.

Dulu masa kecil aku tak berani, tapi sekarang tengah darah panas memang aku akan lawan semula. Mujur sahaja kakak aku selalu sabarkan aku. Katanya daripada aku bergaduh bertumbuk dengan mereka lebih baik aku duduk diam dan ambil telefon tala camera.

Cukup waktu, kalau mereka makin menjadi-jadi memang aku simpan bukti untuk heret mereka ke pihak berkuasa.

Tetapi aku masih sabar daripada bertindak demikian sebab aku masih fikir anak bininya. Lagipun si Ali tu dah kena buang kerja dari kilangnya sebab Covid kan. Kesian pulak karang!

Itu sahaja daripada aku, Siti Soleha. Terima kasih atas segala nasihat dan komen positif yang kalian titipkan. Doakan agar aku dan keluarga dapat mengharungi ujian getir ini dengan sabar.

‘Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa, ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai.’- Raihan. (Please take note this quote)

– Siti Soleha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *